Saturday, January 22, 2011

Trivia 2010

Ya, saya tahu sekarang sudah hampir penghujung Januari. Tapi masih ‘bulan 1’, jadi rasanya belum terlambat untuk saya bernostalgia sedikit tentang tahun 2010. Ahaks!

  1. Saya labelkan Journey to Space oleh angkasawan negara sebagai Book of the Year. Sebabnya, saya menunggu buku tersebut berbulan-bulan dan akhirnya dapat di PBAKL dengan autograf. Ternyata sangat berpuas hati dengan pengisiannya.
  2. Movie of the Year, barangkali Magika.
  3. Mula membaca falsafah. Tertekan juga baca buku-buku Al-Attas. Tapi kata abang Lutfi, itulah gaya Al-Attas...
  4. Selain sejarah Perak, saya mula sukakan sejarah Tudor Court. Terima kasih kepada The Other Boleyn Girl.
  5. Perangai kumpul-tanda-tangan-penulis saya semakin menjadi-jadi. Malah saya membawa Daun sampai ke Pangkor dan memaksa Fairuz kenalkan saya dengan Pak Malim. Apalagi, sebab nak autograf beliau lah! Kemudian tersengih-sengih sepanjang hari.
  6. Mula terjebak dengan masalah ‘orang dewasa’. Sangat sangat sangat terekan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sabar memberi sokongan. Sengaja tidak letak nama mereka, takut ada pula yang pergi korek rahsia. Hehe.
  7. 3 kali kemalangan. Yang pertama, langgar main-main saja. Yang kedua dan ketiga, kereta cedera, tapi saya OK. Alhamdulillah.
  8. 3 kali pindah rumah.
  9. Kali keberapa patah hati? Oh, abaikan.
  10. Tajuk cerpen sendiri yang paling saya suka ialah Eskapisme Cinta Pagi Merdeka. Cerpen ini tersiar di Dewan Kosmik November. Tajuknya sangat elegan! Hehe.
  11. Tajuk novel sendiri yang paling saya suka tentulah Gerhana. Sebab hanya satu saja novel saya.
  12. Tiada tajuk puisi sendiri yang paling saya suka. Setakat ini, semuanya biasa-biasa.
  13. Konvoi raya sampai ke rumah Kak Nisah di Seremban. Raya paling banyak jalan-jalan semenjak remaja ni. Bezanya dengan zaman kanak-kanak; dulu kumpul duit raya, sekarang beri duit raya.
  14. Saya sudah bertahun-tahun tidak menulis diari. Jadi, sangatlah susah nak siapkan trivia-trivia ni!

Saturday, January 15, 2011

Sejarah Adalah Sejarah

saya baru sahaja mendengar cerita tentang pengalaman seseorang yang belajar Sains Komputer di zaman 1980-an. bukan lama sangat jarak masanya. sedangkan saya sendiri lahir dalam tahun 1980-an juga.

beliau bercerita bagaimana ketika sekitar 1986, hanya ada satu makmal komputer untuk pelajar sains komputer. dan komputer pada ketika itu adalah komputer yang tak dapat saya bayangkan sekarang. hard disk sebesar tin biskut, mesin seluas bilik kelas, tapi hanya boleh dioperasikan oleh 5 pengguna sahaja. ya, ini adalah komputer biasa. bukan mainframe atau database.

kerana kesukaran ini, hanya pada tahun dua mereka boleh menggunakan makmal komputer ini. sebelumnya, pembelajaran lebih kepada programming. bagaimana menulis programming code tanpa komputer? teknologi yang digunakan ialah teknologi punchcard. coding akan dipunch pada program card, kemudian akan ada mesin lain untuk run code tersebut. jumlah card bergantung pada kompleksiti program. kalau besar, beratus-ratus card diperlukan.

yang paling saya kagum, bagaimana apabila dirun, ada error? mereka terpaksa menghabiskan sepanjang siang dan malam untuk menyemak setiap satu card sampai boleh mengenalpasti mana satu yang salah.

sekarang, laptop sudah ada di mana-mana. kadang-kadang seperti tidak dapat dibayangkan dahulu tidak ada kemudahan seperti ini. tapi itu adalah sejarah. dan sejarah tetap begitu, samada kita boleh menerima atau tidak.

Wednesday, January 05, 2011

Jack & Bobby

“I run because when I run, everything else goes away. Just me and the road.”


Ini adalah salah satu quote kegemaran saya dalam drama bersiri Jack & Bobby. Jika tidak salah, saya mula menonton Jack & Bobby dalam tahun 2005 ketika ditayangkan di TV3, 10PM setiap Jumaat. Saya menjadi pengikut setia siri ini, malah turut memaksa adik saya menonton sekali.

Jack & Bobby memang pilihan saya. Oh, bukan kerana Jack sangat macho, walaupun hakikatnya ya, tapi garapan kisah dan permainan plotnya sangat memuaskan hati. Cerita ini lebih kepada sebuah biografi, tentang zaman remaja dua bersaudara; Jack McCallister dan Bobby McCallister yang dibesarkan oleh seorang ibu yang sedaya upaya cuba mengatur hidup mereka dengan cara ‘intelek’ ; Dr. Grace McCallister.

Pada tahun 2041, salah seorangnya menjadi Presiden US.

Sebuah ‘dokumentari’ yang diceritakan dalam kelas tersendiri.

Monday, January 03, 2011

Tahun Baharu

Hari ini hari ketiga tahun baru. Hari pertama saya sepatutnya bekerja di tahun 2011. Sengaja saya ambil cuti. Rasa seronok pula apabila berkuasa untuk ‘menunda’ kerja di tahun baru ini. Hehe.

Sebetulnya hari ini saya mengisi masa untuk diri sendiri, bermuhasabah, berfikir, merancang aktiviti dan resolusi. Saya membayangkan tahun ini akan menjadi tahun yang sibuk. Sangat sibuk, barangkali. Jadi saya mahu mulakan segala-galanya dengan baik. Semoga kesudahannya juga baik.

Pastinya 2011 menjanjikan cabaran dalaman dan luaran yang lebih hebat. Saya mahu mempersiapkan diri untuk itu. Saya mahu terus membaiki diri, kearah muslim yang lebih baik. Usia bertambah. Tanggung jawab juga bertambah. Memang mustahil saya dapat selalu bersantai seperti hari ini; menikmati sarapan di kafe sambil membelek Dewan Sastera, berjalan-jalan mengikut gerak rasa dan membuat keputusan tanpa menghirau masa. Tapi, saya akan cuba menjadi lebih baik dan lebih tenang. Daripada anda yang membaca catatatan perbadi ini, saya mohon doanya.