Sunday, February 13, 2011

Adaptasi: Filem atau Buku Dahulu

saya baru selesai mambaca buku The Accidental Billionaires yang telah difilemkan sebagai The Social Network penghujung tahun lepas. saya sememangnya cenderung menyukai filem yang diaptasi daripada buku. maka ini menjawab persoalan mengapa saya suka baca novel-novel nicholas sparks. kebanyakan karya beliau difilemkan, dan saya sangat suka menonton apa yang dibaca.

seboleh-bolehnya, saya akan membaca buku dahulu sebelum menonton filemnya. saya akan merasakan kepuasan dengan apa yang saya tonton kemudian selepas membaca dengan plain - without judgment. hal ini jarang berlaku apabila saya menonton filem dahulu, saya akan kesal dengan perubahan jalan cerita dan pembacaan saya cenderung untuk menjadi hambar, lalu cepat bosan.

The Accidental Billionaires saya baca selepas menonton The Social Network. walaupun plotnya tidak banyak berubah, pembacaan saya agak tergesa-gesa dan bias kerana sejak awal lagi saya sudah mempunyai rasa kasihan kepada Eduardo, membayangkan Mark sebagai tipikal geek yang egoisitik, Sean seorang pengacau yang sungguh menjengkelkan dan kembar Winklevoss yang menjadi 'perencah' tambahan.

begitulah saya membaca sampai ke muka surat akhir. mark tetap begitu, tebal dengan perangai bangsanya. seperti terentang banner 'vote for eduardo' dalam kepala. ops, ini bukan pasal eduardo dalam The Social Network sangat comel ya. tapi, walau bagaimanapun eduardo juga sebangsa dengan mark!

Tuesday, February 08, 2011

Intelektual Politik

Jika di bidang fiqh yang kadang-kala menghajatkan kepastian hukum, para ulama saling menghormati, apalagi masalah perbezaan pandangan politik. Di bidang yang tidak sering 'hitam putih' ini, umat Islam semestinya jauh lebih dapat saling menghargai. [Dua sisi Umar bin Khattab]


saya barangkali adalah remaja tipikal yang tidak begitu suka kepada politik kepartian. saya memang tidak gemarkan sepak terajang politik ini yang selalunya berputar belit, penuh dengan kritikan-kritikan pelik dan saling menjatuhkan.

menggunakan pentas ceramah agama, contohnya, untuk menyebarkan kritikan dan pembelaan bukanlah sesuatu yang salah. tetapi biarlah berpada, mungkin cukup sekadar 10%. senario sekarang, para penceramah cenderung menjadikan isu-isu politik sebagai 'umpan' ceramah mereka dengan jenaka-jenaka yang menjatuhkan pihak lain. jadi di mana intelektualnya? walaupun tidak semua orang perlukan yang intelek-intelek, tapi mengapa perlu merendahkan audien.

sebuah kritikan, pada saya, perlulah ada sebab dan pilihan. sebab; mengapa perkara itu salah, pilihan; cadangan lain untuk menggantikan perkara yang dikritik. memang, sudah lumrah, orang yang berada di luar padang bola lebih kecoh daripada yang bermain. kalau tak ada pengkritik di luar padang, pemain akan bermain sambil-lewa. tapi, kalau semuanya mahu didengar, barangkali tak ada lagi yang mahu main bola.

saya barangkali adalah remaja tipikal yang tidak begitu suka kepada politik kepartian. tetapi tidak suka tak bermakna tidak ambil tahu. ramai kawan-kawan saya cenderung untuk tidak ambil tahu. sebabnya? apa yang terpapar di media (arus perdana dan alternatif) langsung tidak menjana pemikiran mereka. layan novel jiwang lagi baik. ada juga ruang berimaginasi!

Tuesday, February 01, 2011

Bukit Bintang

Ini adalah judul sajak saya dalam Tunas Cipta bulan ini. Saya memang sengaja mahu menulis tentang ini di sini kerana selain bersifat peribadi, sajak ini adalah sesuatu yang lain daripada beberapa karya saya yang pernah tersiar.

Bukit Bintang, kalau perlu dijelaskan dalam satu perkataan, adalah sajak yang jujur. Apa yang tertulis adalah apa yang sebenarnya berlaku; lokasi, waktu, suasana, watak-wataknya, malahan juga sedikit isi perbincangan kami di meja kafe. Yang mana biasanya saya akan sedaya upaya 'sorokkan' dalam tulisan. Tapi tidak kali ini.

Dalam sajak ini juga saya sengaja memasukkan suatu unsur yang selalu ada dalam sajak-sajak penyair kegemaran saya.

Terima kasih kepada pihak editorial yang sudi menyiarkannya. Tidak sabar menunggu TC Mac untuk ulasan.

Memang, bagi penulis, semua karya adalah peribadi. Untuk yang terlibat, mungkin ini boleh jadi rakaman sejarah kita pernah berkawan. Mana tahu, bila Azriq judah jadi SN nanti, boleh jadi bukti persahabatan. Dan, tentu saja, saya tetap menuntut sajak balas Perempuan Bukit Bintang yang disebut-sebut kelmarin.