Monday, January 29, 2007

CATATAN TERTANGGUH HUJUNG MINGGU

Isnin kembali lagi.

Hujung minggu yang lalu saya habiskan sepenuhnya bersama keluarga, di Shah Alam. Pada petang Sabtu, saya dan dua orang sepupu merayau-rayau di sekitar Plaza Low Yat- Imbi- Times Square. Sejak meningkat remaja, memang jarang benar saya berbual mesra bersama sepupu-sepupu walaupun dengan yang sebaya. Apabila keluar bersama mereka saya rasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak, di mana kami selalu meluangkan masa bersama-sama. Bezanya sekarang kami tidak lagi bermain masak-masak, tembak-tembak atau bercerita mengenai siri kartun di televisyen, tetapi lebih terbuka untuk berbicara pelbagai isu. Mendekati soal peribadi, pelajaran, kerjaya, perancangan masa depan dan sebagainya.

Bagi saya, peluang sebegini memang jarang-jarang diperolehi. Bukan senang mahu berkumpul dan keluar bersama-sama (di KL pula tu!). Sewaktu kecil, kami sesama sepupu yang sebaya (kira-kira 5 orang) memang rapat, memandangkan dalam keluarga pada waktu itu, majoriti sepupu sudah dewasa, bahkan anak-anak mereka sudah sebaya dengan kami –generasi yang kecil-kecil ni. Memang unik! Ini menyebabkan kami cuma bermain sesama sendiri apabila berkumpul beramai-ramai. Namun apabila masing-masing sudah menginjak ke sekolah menengah kami membawa haluan sendiri dan jarang bertemu. Kalau bertemu pun memang jarang berbual panjang (terutama dengan sepupu lelaki).

Mungkin ini merupakan salah satu perbezaan perlakuan disebabkan oleh perubahan peringkat usia. Pada zaman kanak-kanak, kami rapat. Apabila besar sedikit, masing-masing sudah jadi pemalu, tambahan pula jarang bertemu. Kini, kami sama-sama telah remaja (ada yang sudah mahu kahwin pun), kemesraan zaman kanak-kanak berulang lagi. Mudah-mudahan situasi ini tetap sama untuk peringkat usia yang seterusnya.

Kembali kepada kisah saya dan dua sepupu, kami keluar sekitar 5 jam, tetapi cuma sempat meninjau beberapa gajet terbaru. Sebabnya, masa perjalanan sahaja sudah menelan hampir 2 jam. Jadi, tempoh pergi dan balik sudah mengambil masa 4 jam, gara-gara kesukaran mendapat kenderaan awam. Tetapi sekurang-kurangnya tempoh selama itu membolehkan kami membuka pelbagai topik. Saya rasa perjalanan kami masih boleh dibanggakan, bayangkan, dalam masa lebih kurang satu jam kami boleh meronda 3 plaza! Hebat.

Semalam pula, puisi saya TEJA, TANPA CINTA, tersiar di akhbar Mingguan Malaysia. Puisi tersebut telah lama saya hantar kepada editor, semenjak sebelum MPR lagi. Setakat ini, itu merupakan puisi saya yang paling panjang yang pernah tersiar. Aduhai, terasa malu dan kerdil yang teramat sangat apabila puisi itu disiarkan, berhampiran dengan puisi abang Shamsudin Othman pula tu. Namun, secara peribadinya, bagi saya, TEJA, TANPA CINTA merupakan puisi terbaik yang saya hasilkan sebelum menyertai MPR. Selepas MPR tentunya lain=)

Wednesday, January 24, 2007

SAINS DALAM ISLAM (lagi..)

Salam sains=)

Saya suka bercakap tentang sains, kerana saya juga 'budak sains'.Jadi saya mahu berkongsi cerita, cerita yang anda semua sudah tahu, tapi tidak salah jika saya sebutkan lagi.
Masih ingat sebuah hadis Nabi Muhammad S.A.W berkenaan lalat?

"Jika seekor lalat jatuh ke dalam minuman kamu, maka benamkanlah (lalat itu sepenuhnya dalam minuman itu) dan kemudian buanglah (lalat) itu. Kerana sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyembuh manakala pada sebelah yang lain terdapat penyakit."

Pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universitas Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golonganAntomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat.
Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit.Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah.


Pada tahun 1947, Ernestein dari Inggris juga menyelidiki fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahwa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria.

Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekaligus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya.

Mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini. Maka adalah logik apabila ingin mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat, badannya harus dibasahkan -menyelupkan lalat yang jatuhterebut sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat.

Subhanallah betapa hebatnya Junjungan kita, Nabi Muhammad..

*Maklumat ini saya perolehi dari sumber internet

Thursday, January 18, 2007

ALKISAH MALAS MENULIS

Assalamualaikum
Biasalah tak sempat menulis panjang.Jadilah bacalah dari gambar=)





sudah nampak kegemilangan tamadun Islam?
Ini baru 1% sahaja

Sunday, January 14, 2007

SAINS DALAM ISLAM

replika balai cerap


Semalam, saya menghabiskan masa di KLCC, menghadiri pameran SAINS DALAM TAMADUN ISLAM. Bergerak dari Shah Alam kira-kira jam 11.30 pagi dan tiba di KLCC jam 3.30 petang. Melebihi perjalanan ke Ipoh!!! Tiba lewat kerana banyak masa -secara tidak sengaja- dihabiskan dengan makan dan solat. Maklumlah bergerak beramai-ramai, jadinya seperti rombongan sambil belajar-macam-macam hal.

Apabila tiba di tempat pameran,suasana memang penuh-mampat-sendat. Walaupun menyulitkan pergerakan, situasi seperti ini menunjukkan bahawa masyarakat kita mencintai ilmu.Alhamdulillah.


alatan astronomi yang digunakan


Bersemangat apabila melihat replika-replika peralatan sains yang dicipta oleh para saintis Islam. Meninjau hasil tangan Ar-Razi, kreativiti Al-Zakhrawi dan lain-lainnya menimbulkan seribu kekaguman dalam hati saya. Mereka merupakan golongan yang sangat perlu disanjungi.
Saya hadir dengan tangan kosong, tapi saya bawa pulang kreativiti Al-Sijzi, intelektual Al-Khujandi, minda Al-Razi, semangat Al-Mizyi, kesungguhan Al-Maridini, pemikiran Al-Amidi, ketekunan Al-Idrisi, kehebatan Jabir Ibn Hayyan dan kegemilangan Tamadun Islam.

Wednesday, January 03, 2007

SAYA DAN TULISAN



Salam penulisan.

Ada yang memberi komen bahawa saya mencatat di blog terlalu sedikit.

Saya sememangnya tidak arif menulis panjang-panjang. Rasa seperti terlalu berjela-jela kalau menulis panjang lebar. Tulisan yang panjang lebar di blog orang lain pun jarang-jarang saya baca sepenuhnya..

Tulisan saya yang paling panjang dan paling bagus setakat ini (rasa-rasanyalah) ialah karangan Bahasa Melayu sewaktu SPM. Tentulah bagus kerana saya dapat A1 untuk subjek BM=)

Mungkin selepas ini saya perlu cuba menulis panjang-panjang-supaya tidak lagi pening kepala menulis cerpen.


Selamat mula bersekolah untuk yang masih bersekolah.
Apabila melihat berduyun-duyun manusia memakai seragam sekolah,terutama yang menaiki bas sekolah, saya rasa bangga -kerana saya tak perlu lagi memakai unifom sekolah.hehehe