Saya tidak membaca buku puisi seperti membaca buku-buku lain. Buku puisi memang biasanya saya baca mengikut mood dan dipilih secara rambang saja. Tapi dalam sejarah pembacaan saya, ada dua buah buku puisi yang saya baca dari kulit ke kulit; yang pertama kumpulan puisi super tebal Pak Samad yang menghimpunkan karya beliau dalam setengah abad. Sebab saya membacanya dengan begitu berhati-hati adalah kerana terdapat nota-nota peribadi Pak Samad pada setiap puisi. Jadi, membaca buku puisi tersebut seperti membaca sebuah buku autobiografi!
Dan buku kedua pula ialah kumpulan sajak Kafe, Lutfi Ishak. Itu kerana semua sajak dalam buku tersebut bertajuk ‘kafe’ jadi saya tidak boleh memilih. Ahaks! Juga kerana faktor buku tersebut yang agak nipis, tidak perlu masa yang lama untuk menghatamnya.
Saya memang penggemar Prof. Muhammad Haji Salleh. Ada buku beliau yang memang selalu dekat dengan saya di bili;, untuk saya selak bila datang mood untuk membaca. Cuma, dalam situasi patah hati, sangat sukar mencari sajak beliau yang boleh sejiwa. Ketika menyelak Kalau, Atau dan Maka semalam, saya membaca kembali sajak bertajuk Jikalau;
jikalau kau mau kembara jauh
kau harus pergi sendiri
semua jalannya pendek
dan berakhir di lembah riuh
kampungnya dijerit masalah
atau dililit adat
jikalau kau mau mendaki gunung
ikut jalan hati, dibelangkan kota hutan
yang terlindung dari mata pertama
atau mimpi biasa yang kabur.
tiada kampung pada cita
tiada kawan pada gagasan.
sepi itu syarat cita
mimpi itu rancangan kenyataan.
Muhammad Haji Salleh
Memang, sajak itu sedikit pun tidak memujuk, tetapi ayat "jikalau kau mau kembara jauh/kau harus pergi sendiri..." itu diam beberapa lama dalam kepala saya.
