Sunday, August 18, 2013

Kehilangan

Saya dikejutkan dengan beberapa kehilangan dalam sebulan-dua ini. Ada yang memang kenalan rapat, mempunyai pertalian darah, dan ada juga yang tidak saya kenal secara peribadi. Kehilangan – boleh jadi kerana kematian atau kerana putus pertalian.

Dalam apa juga tali yang mengikat, kehilangan adalah sesuatu yang sangat perit dan sakit untuk dihadapi kerana kita perlu meneruskan hidup selepas itu.

Sunday, August 11, 2013

Membaca Bidadari Burung

“Lama dia terkaku melihat bidadari burung bersayap emas dikepung ombak. Berenang memainkan riak air. Matahari di atas redup sepertikan malu. Ketika angin menampar kepalanya, dia diterkam ilham. Kemudian perlahan-lahan dia turun ke pantai dan mengambil sayap bersepuh emas lalu pergi menyembunyikannya. Dia menunggu bidadari itu naik ke pantai.” – cerpen Bidadari Burung


Kumpulan cerpen Bidadari Burung ini antara yang saya ‘terlepas pandang’. Salah satunya kerana saya lebih banyak membaca karya S.M. Zakir yang terbit di dalam majalah atau akhbar, jadi tidak teruja sangat untuk memiliki buku ini semasa baru diterbitkan. Buku ini saya beli ketika jualan gila-gila ITBM semasa pesta buku yang lalu, baru kali ini sempat dibelek. Itupun sebenarnya untuk mengisi masa lapang dalam keretapi ketika backpacking ke Ipoh. (Asal bawa backpack dan naik keretapi dah boleh kira backpacking kan :p )

Melalui kata pengantarnya, saya baru tahu bahawa 12 cerpen yang termuat di dalam buku ini dipilih oleh penulisnya untuk tujuan terjemahan ke bahasa Inggeris selepas beliau memenangi SEA Write Award, tapi kemudiannya diterbitkan oleh ITBM dalam bentuk karya asli.

Tentang karya, tidak banyak yang dapat saya ulaskan. S.M. Zakir dengan gayanya yang tersendiri –anti-falsafah dalam gaya ahli falsafah. Beliau ‘melukis’ sesebuah cerita dengan sangat baik dan berkesan, cuma tidak banyak yang menyentuh emosi, selain Malam Bertangkup di Aidilfitri. Ini pun bukanlah satu masalah kerana jika mahu beremosi janganlah baca karya S.M. Zakir. Eheh.

Cepat juga saya habiskan buku ini kerana seperti yang saya tuliskan awal tadi, kebanyakannya sudah saya baca semasa diterbitkan, jadi ini lebih kurang menjadi revision saja. Beliau memilih cerpen-cerpen ini mewakili dua dekad penulisan beliau. Secara tak langsung menjadikan buku ini salah satu koleksi wajib bagi para peminat S.M. Zakir!

Naskhah Bidadari Burung milik saya sudah pun selamat di'sangkar'kan :)