Dialog ini saya salin dari ruangan Sastera, Berita HarianSEMPENA cuti sekolah, Ikah dan Ira balik ke kampung di Perak untuk tinggal bersama-sama opah mereka selama seminggu. Ikah dalam dalam Tingkatan Satu dan Ira masih dalam Darjah Empat. Kedua-dua mereka bersekolah di Petaling Jaya, Selangor. Pada hari kedua, kedua-dua adik-beradik ini di kampung… Opah: Ikah! Ajak adik naik, makan.Ikah: Lauk apa opah?Opah: Paeh anak marak sama tempoyak bocat.Ikah mengajak adiknya Ira yang sedang asyik bermain di bawah, naik ke rumah untuk makan tengah hari.Ikah: Ira, jom naik. Opah panggil tu, makan. Dia kata ada lauk anak burung merak.Ira: Best tu, tentu sedap macam rendang angsa semalam. Semalam dah makan angsa, hari ni makan burung merak. Esok makan apa pulak agaknya?! Tentu benda yang best-best.Setelah mengadap hidangan….Ira: Kak Ikah! Mana gulai burung meraknya? Takde pun bawah sangai ni.Ikah: Opah, mana gulai anak meraknya, takde pun bawah sangai ni. Kat dapur lagi ke? Biar Ikah tolong ambil.Opah: Mana pulak peginya, tadi opah dah letakkan bawah sanga tu. Dah dilarikan kucing ke?Opah datang ke meja hidangan dan mengangkat tudung saji.Opah: Ni ha! Ada ni, bebungkus dengan daun pisang ni.Ikah membuka bungkusan tersebut.Ikah: Ini anak ikanlah opah, bukan burung merak. Kecik-kecik macam ni macam mana nak makan. Kepalanya pun ada lagi.Opah: Inilah namanya anak marak, bukan burung merak. Mana nak coye burung merak. Kalau buang kepala, apanya yang tinggal, tulah kena masak semuanya. Kena makan semua sekali, tak payah buang kepala.Ira: Mana dapat anak ikan banyak-banyak ni?Opah: Pagi tadi mak nyah pergi sauk kat bendang. Sedap buat paeh ni. Ibunya Kimi dah kae, tu yang masak tempoyak tu. Ah! Apa tunggu lagi, senduk nasi tu makan le. Itu yang ada lauk orang kampung! Makan cepat karang sejuk pulak paeh tu, tak sedap.Setelah selesai makan….Ikah: Sedaplah paeh anak marak ni, opah… kan Ira?Ira: Nasi sampai tambah tiga kali.Opah: Tulah, lauk orang kampung sedap juga. Kome asyik makan kentaki aje, bukannya sedap sangat. Galok-galok le balik kampung. Bila cuti sekolah, suruh papa hantar balik rumah opah. Boleh selalu makan paeh anak marak.perkataan condong berwarna biru maskudnya saya pun tak faham!
Oh tapi jangan salahkan saya, sebab Perak adalah negeri Melayu yang mempunyai paling banyak loghat. Sebab itu jangan kata seseorang orang Perak tu bukan orang Perak apabila dia bercakap lain daripada yang anda tahu. Kawan-kawan saya selalu suruh saya cakap Perak, saya cakaplah kow-kow punya, adeke deme kate saya menipu sebabnye saya cakap tak same macam kawan deme (yang orang Perak juga) cakap. Memangle ghope itu yeop! Loghat Perak bukan bukan setakat kepekatan 'r'nya saja. r=gh.
Loghat Perak sebenarnya terbahagi mengikut aliran Sungai Perak. Di bahagian utara loghatnya lain, tengah lain dan di hilir pun lain. Bahagian utara (Parit Buntar, Bagan Serai, Selama, Taiping dan yang berhampiran) loghatnya lebih kurang loghat negeri-negeri Utara. Air = ayaq, tukar = tukaq, lapar=lapaq, hampir sama saja dengan loghat Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Kalau nak belajar lagi boleh tanya kak Salina Ibrahim. Hehe.
Bahagian tengah pula (Ipoh, Kuala Kangsar, Sungai Siput dan yang berhampiran) loghatnya adalah loghat yang paling sinonim dengan Perak. Maksud saya loghat ini adalah yang paling popular, cakap saja, confirm orang tau ini loghat Perak. Air = Ayor, tukar = tukor, lapar = lapo, pendek kata semua yang hujungnya 'ar' jadi 'or' dan 'a' jadi ' e' seperti sebutan 'e'nam. bila = bile, lama = lame, kata = kate. Satu lagi, 'as' jadi 'eh'. Sebutan 'eh' macam menyebut bol'eh'. Malas = maleh, tandas = tandeh. Senang saja, Kak Rai yang jarang-jarang balik kampung pun boleh cakap. Haha jangan marah.
Hilir Perak (Teluk Intan, Parit, Malim Nawar dan yang berhampiran) bagi saya loghatnya paling complicated. Kalau anda menonton Ta'in di tv3, latar yang digunakan Parit, tapi loghatnya lebih kepada kawasan tengah. Orang-orang kawasan ini masih mengekalkan 'ar' jadi 'or' seperti bahagian tengah tapi menyebut 'a' jadi 'e' seperti 'e'pal. Mana jadi mane ('ne' seperti menyebut nama 'Ne'pal), bila = bile ('le' = 'le'pak). Tapi jangan bimbang, kerana mereka tidak meyebut 'kota', tapi menggunakan perkataan 'pekan'. Hehe. Selain itu, mereka juga menyebut 'ai' jadi 'a'.Contohnya sungai = sunga, petai = peta, sampai = sampa. Kawasan ini jugalah yang paling popular dengan perkataan 'ate'nya, 'te' seperti menyebut 'te'mbak. Ate ni kalau nak tahu maksudnya, famili saya biasa sebut so.
Setakat ini saja kuliah bahasa hari ini. Berbalik kepada dialog di atas tadi, saya rasa itu loghat hilir Perak, mengikut kepada opah yang menyebut sangai sebagai sanga (lihat perkataan yang bold).
Selalu kawan-kawan minta saya cakap Perak, kononya nak belajar. Mungkin sebab saya membesar di Ipoh dan kemudian belajar merata-rata (sekolah asrama sampai U), loghat tu tak berapa nak ada, walaupun di rumah kedua ibu bapa saya tegar mempertahankan loghat masing-masing. Susah juga sebenarnya sebab banyak loghatnya. Saya bantai cakap Parit Buntaq baru tau. (kampung saya juga tu)