Sepanjang dua hari mengikuti Seminar Pemikiran SN Abdullah Hussain tempoh hari, banyak masa terluang saya gunakan dengan berjalan-jalan di dalam kedai buku dbp. Memandangkan kedai buku dbp bukanlah termasuk dalam kategori yang selalu saya kunjungi, maka saya gunakan sepenuhnya peluang berada di situ. Tidak banyak buku yang saya beli, cuma beberapa buah buku puisi dan dua kumpulan cerpen yang mana kedua-duanya merupakan cerpen-cerpen Mohd. Affandi Hassan.
Saya memilih untuk membaca kumpulan cerpen Mimpi Rakyat terlebih dahulu memandangkan kebanyakan cerpen dalam MR ditulis lebih awal daripada cerpen-cerpen dalam Pura Pujangga. Sekadar untuk mengikuti rentak penulisnya dari awal.MR mengumpulkan sebelas cerpen dengan tema yang sama; politik semasa yang kalau boleh saya simpulkan di sini diambil dari sudut pandang penduduk kampung yang jauh dari bandar dan kemajuan. Membaca cerpen pertama dalam buku ini, Mimpi Rakyat, saya tertarik dengan pengolahan yang digunakan. Bagaimana Pak Usu yang selama ini gemar menceritakan mimpi-mimpi bohongnya di kedai kopi tiba-tiba ‘insaf’ dan menceritakan mimpinya yang sebenar. Malangnya, orang-orang kampung tidak sukakan mimpinya yang sebenar. Malah pemimpin di kawasan tersebut menasihati Pak Usu supaya berhenti saja bercerita tentang mimpinya. “Pak Usu tak ada permit, tak ada tauliah, tak boleh cerita mimpi-mimpi pada orang ramai.”
Saya tidaklah membaca buku ini sekali hadap. Hanya saya baca di sela-sela masa lapang. Tapi masuk cerpen ketiga, saya sudah mula rasa mual. Mungkin inilah masalahnya apabila sebuah kumpulan cerpen menghimpunkan karya-karya yang sama tema. Pembaca (atau lebih spesifik, diri saya sendiri) menjadi muak dengan isu sama yang terus diulang-ulang. Contohnya seperti watak ketua parti dan menteri yang ada dalam semua cerpen. Tapi saya teruskan juga membacanya dengan perlahan. Cerpen-cerpen seterusnya seperti Balak, Pit, Awang Sabil dan Cacing antara yang saya suka. Lontaran ideanya menarik dan tidaklah terlalu mengajar pembaca.
Tahun lepas saya pernah cuba membaca novel Jejak Warisan dalam buku Pujangga Melayu. Pembacaan saya terhenti pada bab-bab awal dan buku tersebut masih terbiar di rak. Barangkali cerpen-cerpen Mohd. Affandi Hassan lebih sesuai dengan selera pembacaan saya berbanding novel atau teori beliau :)
Tapi ini juga masih ‘teori’ saya lagi, saya akan membaca Pura Pujangga jika berkelapangan. Nanti baru boleh dinilai teori saya ini betul atau tidak.


