Ada sebuah cerita yang pernah saya kongsikan dengan seorang sahabat baik di universiti. Ketika itu kami masing-masing sudah membawa haluan kerjaya sendiri dan masing-masing berhadapan dengan ujian dan cabaran 'hidup sebenar'.
Cerita ini saya baca di internet, dan ketika sahabat saya ini terlalu tertekan, saya ceritakan kisah ini kepadanya. Dia sangat menyukai cerita ini dan mendapat 'sesuatu' daripadanya. Ceritanya lebih kurang begini;
Seorang pegawai bank Amerika bercuti di pedalaman Mexico dan semasa berjalan-jalan di pantai, dia bertemu dengan seorang nelayan tempatan yang sedang memungah hasil tangkapan di dalam bot kecilnya. Pegawai ini bertanya berkenaan hasil tangkapan nelayan ini, nelayan ini membalas yang hasilnya sekadar cukup-cukup makan. Pegawai ini bertanya pula mengapa nelayan ini tidak duduk di laut lebih lama dan menangkap lebih banyak ikan. Nelayan berkata yang hasil ini sudah cukup untuk menyara keluarganya.
Apa yang awak buat dengan masa selebihnya? Tanya pegawai bank itu lagi. Nelayan memberitahu bahawa masa selebihnya dihabiskan dengan bersama isteri dan anak-anak, bermain gitar atau duduk di kedai kopi dengan rakan-rakan. Pegawai bank tadi membalas lagi bahawa dia boleh membantu nelayan ini untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Nelayan ini seharusnya menggunakan lebih banyak masa bekerja untuk menangkap lebih banyak ikan, kemudian membeli bot yang lebih besar, kemudian membuka syarikat perniagaan perikanan, menjadi pengedar ikan, pindah ke bandar besar, dan menguruskan empayar pernigaannya sahaja.
Nelayan tadi bertanya berapa lama masa yang akan diambil untuk itu. 15 ke 20 tahun. Balas pegawai bank tadi. Selepas itu? Tanya nelayan lagi. Pegawai tadi menjawab, selepas itu awak akan menjadi sangat kaya, awak boleh menjual kesemua saham syarikat, mendapat puluhan juta ringgit.
Selepas itu? Tanya nelayan tadi lagi. Selepas itu awak boleh bersara, menghabiskan masa bersama isteri dan anak-anak, bermain gitar atau duduk di kedai kopi dengan rakan-rakan.


