Thursday, November 21, 2019

Travelog Dromomania


Turut terbit bersama-sama Perempuan Pengembara dan Sajak-sajak Perjalanan adalah buku Travelog Dromomania - sebuah buku yang mengumpulkan catatan-catatan kembara saya di lima buah negara Asia Tenggara iaitu Indonesia (Jakarta, Palembang, Belitung), Kemboja (Siem Reap, Phnom Penh), Filipina (Manila, Vigan), Laos (Vientiane, Vang Vieng, Luang Prabang) dan Brunei (Bandar Seri Begawan).

Separuh tulisan yang terdapat di dalam buku ini telah terbit secara eceran di beberapa buah majalah dan zine, saya kumpulkan kembali dan terbitkan versi asal. 

Judul buku ini dicadangkan oleh seorang rakan baik saya yang jauh di utara, kerana katanya istilah ini amat tepat dengan saya. Dromomania, diterjemahkan sebagai keinginan yang tidak terkawal untuk mengembara, sehingga menggelisahkan diri. Memang saya adalah seorang dromomaniac, cuma syukurlah keadaan sudah semakin terkawal sekarang, mungkin juga kerana saya sudah berjaya menyelesaikan misi peribadi untuk mengembara ke seluruh negara Asean. Perjalanan di dalam Travelog Dromomania adalah separuh daripada cerita-cerita kembara saya dalam misi ini.

Tetapi jika ada pembaca yang mencari sebuah guideline atau itinerary perjalanan, buku ini tidak sesuai untuk anda. Saya hanyalah seorang perempuan pengembara yang cuba berkongsi sejujurnya apa yang saya lihat dan rasa semasa di dalam setiap perjalanan. 

Terima kasih kepada yang sudah membaca. Saya amat menghargainya. Jika ada yang berminat untuk mendapatkan buku ini atau buku-buku terbitan yang sama, boleh hubungi Nusa Centre, jika mahu minta tandatangan juga boleh dibawa berbincang :) 

Harga pakej untuk kedua-dua buah buku saya adalah RM35 termasuk pos.

Wednesday, August 07, 2019

Perempuan Pengembara


akhirnya telah tiba pada suatu hari yang berjalan seperti hari-hari biasa yang lain, saya bersetuju untuk mengumpulkan sebahagian sajak menjadi sebuah kumpulan puisi. dalam wajah penyair saya adalah seseorang yang sedang bersembunyi di sebalik kata-kata. dan itulah penyair. orang menulis dalam lapis-lapis makna. boleh jadi kerana itu, saya sukar untuk bersetuju.

suara-suara menyuruh saya menerbitkan kumpulan puisi telah lama ada; dari kalangan teman-teman penulis malah penulis-penulis senior yang lain. suara yang biasanya tidak saya endahkan. setelah beberapa perdebatan dengan diri sendiri dan juga perbincangan dengan beberapa orang, antaranya ialah Yana - untuk memilih menerbitkan bahagian sajak saya yang mana - tahun ini telah lahirlah Perempuan Pengembara dan Sajak-sajak Perjalanan, yang mengumpulkan 40 buah sajak-sajak kembara saya. 

menulis sajak-sajak perjalanan mempunyai kepuasan yang tersendiri. membawa saya menilai setiap perjalanan dengan pandangan yang lebih halus dan pemikiran yang lebih dalam. sebahagiannya adalah sajak berbentuk peribadi, tentang ingatan kepada kampung halaman atau orang yang jauh. sesuatu yang hanya saya sedari apabila saya terbang meninggalkan sarang selesa.

buku pertama ini diterbitkan oleh Nusa Centre. saya berhutang terima kasih kepada abang Zakir yang telah beberapa tahun menyuruh saya menerbitkan kumpulan puisi, Yana yang menjadi penyusun Perempuan Pengembara, kak Salina Ibrahim yang dalam gelak-tawa kami di kedai kopi telah bersetuju melukis beberapa ilustrasi di dalam buku ini dan rakan-rakan yang menyokong dengan membeli dan membaca. kesudian anda untuk membaca sudah cukup menggembirakan saya.

Perempuan Pengembara (dan pasangannya Travelog Dromomania) boleh dibeli secara dalam talian di Shopee atau secara terus dengan Nusa Centre.