Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Thursday, November 21, 2019

Travelog Dromomania


Turut terbit bersama-sama Perempuan Pengembara dan Sajak-sajak Perjalanan adalah buku Travelog Dromomania - sebuah buku yang mengumpulkan catatan-catatan kembara saya di lima buah negara Asia Tenggara iaitu Indonesia (Jakarta, Palembang, Belitung), Kemboja (Siem Reap, Phnom Penh), Filipina (Manila, Vigan), Laos (Vientiane, Vang Vieng, Luang Prabang) dan Brunei (Bandar Seri Begawan).

Separuh tulisan yang terdapat di dalam buku ini telah terbit secara eceran di beberapa buah majalah dan zine, saya kumpulkan kembali dan terbitkan versi asal. 

Judul buku ini dicadangkan oleh seorang rakan baik saya yang jauh di utara, kerana katanya istilah ini amat tepat dengan saya. Dromomania, diterjemahkan sebagai keinginan yang tidak terkawal untuk mengembara, sehingga menggelisahkan diri. Memang saya adalah seorang dromomaniac, cuma syukurlah keadaan sudah semakin terkawal sekarang, mungkin juga kerana saya sudah berjaya menyelesaikan misi peribadi untuk mengembara ke seluruh negara Asean. Perjalanan di dalam Travelog Dromomania adalah separuh daripada cerita-cerita kembara saya dalam misi ini.

Tetapi jika ada pembaca yang mencari sebuah guideline atau itinerary perjalanan, buku ini tidak sesuai untuk anda. Saya hanyalah seorang perempuan pengembara yang cuba berkongsi sejujurnya apa yang saya lihat dan rasa semasa di dalam setiap perjalanan. 

Terima kasih kepada yang sudah membaca. Saya amat menghargainya. Jika ada yang berminat untuk mendapatkan buku ini atau buku-buku terbitan yang sama, boleh hubungi Nusa Centre, jika mahu minta tandatangan juga boleh dibawa berbincang :) 

Harga pakej untuk kedua-dua buah buku saya adalah RM35 termasuk pos.

Wednesday, August 07, 2019

Perempuan Pengembara


akhirnya telah tiba pada suatu hari yang berjalan seperti hari-hari biasa yang lain, saya bersetuju untuk mengumpulkan sebahagian sajak menjadi sebuah kumpulan puisi. dalam wajah penyair saya adalah seseorang yang sedang bersembunyi di sebalik kata-kata. dan itulah penyair. orang menulis dalam lapis-lapis makna. boleh jadi kerana itu, saya sukar untuk bersetuju.

suara-suara menyuruh saya menerbitkan kumpulan puisi telah lama ada; dari kalangan teman-teman penulis malah penulis-penulis senior yang lain. suara yang biasanya tidak saya endahkan. setelah beberapa perdebatan dengan diri sendiri dan juga perbincangan dengan beberapa orang, antaranya ialah Yana - untuk memilih menerbitkan bahagian sajak saya yang mana - tahun ini telah lahirlah Perempuan Pengembara dan Sajak-sajak Perjalanan, yang mengumpulkan 40 buah sajak-sajak kembara saya. 

menulis sajak-sajak perjalanan mempunyai kepuasan yang tersendiri. membawa saya menilai setiap perjalanan dengan pandangan yang lebih halus dan pemikiran yang lebih dalam. sebahagiannya adalah sajak berbentuk peribadi, tentang ingatan kepada kampung halaman atau orang yang jauh. sesuatu yang hanya saya sedari apabila saya terbang meninggalkan sarang selesa.

buku pertama ini diterbitkan oleh Nusa Centre. saya berhutang terima kasih kepada abang Zakir yang telah beberapa tahun menyuruh saya menerbitkan kumpulan puisi, Yana yang menjadi penyusun Perempuan Pengembara, kak Salina Ibrahim yang dalam gelak-tawa kami di kedai kopi telah bersetuju melukis beberapa ilustrasi di dalam buku ini dan rakan-rakan yang menyokong dengan membeli dan membaca. kesudian anda untuk membaca sudah cukup menggembirakan saya.

Perempuan Pengembara (dan pasangannya Travelog Dromomania) boleh dibeli secara dalam talian di Shopee atau secara terus dengan Nusa Centre.


Sunday, September 23, 2018

Muhammad Haji Salleh - Di Mata Kami



Ini adalah sebuah catatan terlewat, Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk terlibat di dalam projek buku ini. Seperti judulnya, "Muhammad Haji Salleh Di Mata Kami", buku ini menghimpunkan 26 buah tulisan daripada pelbagai latar penulis (kebanyakannya kenalan baik MHS) yang menulis tentang Sasterawan Negara ini.

Mengimbas kembali, banyak tahun yang lalu semasa abang Rahimidin (arwah) memulakan projek buku ini, saya pernah diajak untuk menulis kerana arwah tahu saya memang peminat Muhammad Haji Salleh. Tapi saya menolak kerana rasa tidak layak, dan saya tidak pernah mengenali MHS secara peribadi. Satu keputusan yang saya kira betul pada waktu itu, walaupun kata arwah, "tulis je". Kemudian saya tidak mendengar lagi tentang projek ini.

Beberapa tahun kemudian, saya diundang oleh abang Ridzuan Harun untuk menulis semasa beliau ingin meneruskan projek ini, kali ini saya terus bersetuju. Jika tidak, mungkin saya akan menyesal pula kemudian. 

Saya menyumbang sebuah tulisan bertajuk "Kembara Penghujung Musim Bunga Bersama Salju Shibuya". Saya pernah berbual dengan seorang rakan rapat tentang ini. Ketika arwah abang Rahimidin mengundang saya dulu, saya belum begitu aktif mengembara, dan jika ditanya apa buku MHS kegemaran saya pada ketika itu, saya akan menjawab "Kalau, Atau dan Maka".

Keadaan berubah selepas itu. Setelah saya mengembara di Jepun (dan menyukainya), buku kegemaran saya berubah kepada "Salju Shibuya". - pengalaman inilah yang saya tuliskan di dalam buku ini.

Buku ini baru saja diterbitkan oleh ITBM, meneruskan siri "Di Mata Kami" yang lain.  Membacanya seperti dapat mengenali sedikit peribadi MHS. Jika berminat, boleh dibeli terus di website ITBM :) 

Disclaimer: Di dalam buku ini saya seorang saja yang tidak mempunyai pengalaman secara peribadi dengan Prof. MHS dan juga tidak dikenali oleh beliau 😉

Wednesday, May 16, 2018

A Strangeness in My Mind



Saya bukanlah penggemar karya Orhan Pamuk, tapi keinginan untuk membacanya tetap ada. Sama seperti saya bukanlah penggemar Murakami, tapi tetap beli dan baca semua bukunya. Berbeza kali ini, saya ada keyakinan yang lebih semasa membeli A Strangeness in My Mind. Pertama kerana I judge the book by its cover, memang awal-awal lagi saya sudah jatuh hati. Kedua apabila membaca blurb, saya fikir saya akan suka dengan ceritanya. Ternyata tepat. Saya sukakan ceritanya, cuma masih belum mesra dengan pace Pamuk yang saaaaangat perlahan. 

Sudah tiga bulan saya membeli buku ini, tapi baru di bab 11. Saya memang mempunyai masalah dengan buku-buku tebal. Saya cepat bosan. Jadi, ada kalanya saya akan tinggalkan buku ini berminggu-minggu dan membaca buku-buku lain pula.

Ahh.. akan mula baca semula sekarang!

Friday, March 25, 2016

the diving pool

salah satu buku yang dah lama sungguh saya beli, tapi baru dibaca. buku ini memuatkan tiga novelet -the diving pool, pregnancy diary dan dormitory.

rate saya:
the diving pool 
pregnancy diary 
dormitory 

gaya ogawa melukis naratif sangat hebat. hebat dalam erti kata lain sungguh terperinci dan indah. contohnya dalam dormitory

I watched him walking away, sweater over his shoulders, bag in hand, until he was no more than a tiny point in the distance. I watched, without so much as blinking, and I realized how utterly lonely I was. But all my staring couldn't prevent that distant point from vanishing like a snowflake dissolving in the sunlight.

But all my staring couldn't prevent that distant point from vanishing like a snowflake dissolving in the sunlight. saya dapat melihat gambarannya seperti menonton wayang!

cuma, dalam pregnancy diary dan dormitory, saya geram dengan endingnya yang.. entahlah. terlalu tergantung? mungkin penulis mahu pembaca berfikir, tapi terlalu banyak yang tertinggal untuk difikirkan. haha.

Wednesday, March 23, 2016

Tahun Baharu

hampir ke penghujung 3 bulan pertama tahun baharu. dan saya baru mahu menulis tentang azam. antara azam saya adalah untuk tidak membeli buku. ya, sangat opportunis!

sebenarnya dalam tahun-tahun yang lepas banyak juga azam saya berkaitan buku; nak baca falsafah, nak baca sejarah, ulang baca beberapa buku, tulis buku, dan lain-lain yg berkaitan. tahun ni rare sikit.

tapi, surprisingly, saya berjaya melaksanakannya.. dalam bulan pertama tahun ini. saya tidak beli sebarang buku. bring it on januari! cuma, masuk saja februari, tak berdaya lagi rasanya. buku-buku di bawah saya beli sepanjang februari.


sebagai pujukan untuk diri sendiri;
- buku abang Im memang wajib beli, walau macam mana sekalipun!
- membedah p. ramlee untuk mengikut trend
- sumpah tujuh keturunan adalah buku pilihan abang zainal rashid semasa Borak Buku bersama beliau bertahun-tahun dulu, cuma sangat susah nak dicari. jadi memang terpaksa beli.
- KTM dan KTI saya jangkakan akan terhad di pasaran, jadi perlu beli siap-siap sebelum gigit jari

belum boleh baca lagi kerana ada satu lagi azam yang berkenaan iaitu untuk menghabiskan buku-buku yang masih tak bersentuh sekian lama.

buku-buku baru, welcome to my tbr pile!

Sunday, April 12, 2015

Book Pile

Hampir dua bulan sejak saya menulis post yang terakhir. Tentang reading slump yang datang menyinggah. Selepas dua bulan, secara rasminya perangai tsundoku yang datang juga tidak pergi lagi. Untuk memujuk hati, saya yakin buku-buku yang saya pile-up kan itu adalah buku-buku yang perlu ada, tidak dapat tidak!

Sebagai update, sejak dua bulan, saya hanya bergerak satu bab dalam My Name is Red, ya saya baca juga buku ini, sebagai cabaran untuk diri sendiri. saya sendiri tertanya-tanya bila agaknya saya dapat habiskan.

Sepanjang Mac, saya hanya habiskan sebuah buku – Luka Nering, oleh Malim Ghozali Pk. Novel yang menarik, memang jenis saya, tapi sebenarnya expectation saya terhadap novel tebal ini lebih tinggi. Jadi agak kecewa sedikit, tapi novel ini masih sebuah novel yang patut dibaca. Tidak ada lagi yang seumpamanya.


Antara buku-buku ‘perlu ada’ yang stuck di pile saya sekarang ialah 
 - Misa Melayu. Tuhan saja tahu berapa lama saya mahukan buku ini, tapi bila sudah dapat, ambil bau dan letak di tepi dulu.
- Hikayat Faridah Hanum , buku pinjam semasa melakukan scanning di rak buku orang 
- Membongkar Rahsia Dunia Melayu, kononnya sejak 3-4 tahun kebelakangan ni saya sangat meminati sejarah Melayu. Tapi pembacaan di buku ini terhenti di bab pertama lagi, entah kenapa sungguh terasa bosannya bab yang bercerita tentang asal-usul bangsa Melayu itu. 
- Hikayat Abdullah. Akan baca, mesti akan baca. Mana boleh tak baca karya Munsyi Abdullah ini. 
- Cerpen Terbaik 2014. Saya paksa Yana, yang salah satu cerpennya ada di dalam buku ini untuk beri percuma. Buku ini sengaja saya simpan untuk dibawa mengembara.

Ada lagi beberapa buah lagi di pile buku Bahasa Melayu ini, tapi biarlah dulu. Pile English lebih banyak habuknya, tapi dah tentu akan dibaca (pujuk hati lagi).

Jadi, mungkin saya hanya akan datang ke PBAKL tahun ini sekali saja, itupun untuk mendapatkan buku-buku tertentu yang baru terbit. Emm mungkin juga yang mempunyai diskaun. Dan buku-buku penulis yang saya suka. Dan buku yang susah ditemui di kedai. Haha sudah tak terkawal. I better off to read all those books.

Wednesday, January 14, 2015

Gerhana diadaptasi ke TV

Gerhana, novel yang satu-satunya itu sudah mula ditayangkan di tvi (180).


Kita flashback sikit, Gerhana ditulis bersama oleh saya dan MF Kencana. Aneh kan, satu novel tulis berdua. Tapi seronok juga.

Kemudian diterbitkan oleh PTS pada tahun 2011. Dengan agak tergesa-gesa (saya terpaksa akui), jadi maafkanlah kesalahan typo dan kekurangan editing dalam novel yang hanya dicetak sekali itu.

Selepas itu, kami mula membuat adaptasi pada awal tahun 2013. Adaptasi untuk drama bersiri 13 episod. Ada beberapa episod yang saya tulis (memang hanya beberapa, selebihnya haruslah diselamatkan oleh MF Kencana). Setahu saya penggambaran sudah selesai lebih setahun lalu, cuma baru tahun ini ditayangkan oleh stesen tv.

Apabila menonton semula, rupanya masih ada lagi sisa-sisa rasa excited pada saya. Menonton Iman Muhaimin dan Zikri Husain yang sangat obses dengan gerhana, Dr. Amatine yang bijak dan cute, ada Wana, Umi dan lain-lain.

Its quite personal actually, masih terasa-rasa pengalaman zaman uni yang bercampur-campur di dalamnya. But, still.. the time is not coming back :)

Alif Aziz sebagai Iman (dan Zik)



Thursday, December 04, 2014

la adri

Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu).

Inilah yang ditulis di blurb buku, memetik hadis Nabi s.a.w.


Buku ini adalah himpuna tulisan rencam pelbagai tajuk. Melihat judulnya, saya menyangka bahawa ini koleksi artikel agama, tetapi rupanya dimuatkan juga cerita peribadi penulis. ditulis seperti blog.

Kehadiran buku-buku begini, diterbitkan pula oleh penerbit indie kegemaran muda-mudi malaysia ini adalah satu usaha yang baik. mereka boleh berfikir tidak akan kurang hipster walaupun membaca buku agama.

Membaca tulisan bercampur-campur sebenarnya menjadi masalah bagi saya, susah juga nak switch off daripada kisah peribadi penulis, kemudian on pula tentang tafsiran nikmat dunia dengan panduan Quran dan hadis.

Tahniah untuk penulis dan penerbit, semoga buku ini tersebar luas ke pelbagai lapisan masyarakat.

Friday, August 08, 2014

Travelog Seychelles

i - Seychelles

Buku ini merakamkan pengalaman penulis mengembara di Seychelles selama seminggu. Tempoh seminggu ini termasuklah hari pergi-balik perjalanan dan juga tempoh transit (lebih 24 jam) dalam perjalanan. Jadi, saya kira tempoh ini terlalu singkat, tambahan pula tujuan penulis kembara ke republik itu adalah untuk kajian ilmiah dan menjejak tinggalan Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim yang dibuang negeri oleh Inggeris -kerana didakwa membunuh J.W.W. Birch.

Sultan Abdullah digambarkan gembira berada di sana. Walaupun dalam buangan, baginda tetap diberi keistimewaan kemewahan sebagai sultan semasa di Pulau Mahe. Penulis berjaya menemui rumah agam tempat kediaman Sultan Abdullah yang sekarang dimiliki oleh pegawai tempatan. 

ii - lagu negeri perak

Semasa di sana jugalah Sultan Abdullah terpikat dengan lagu Rosalie (dalam bahasa Perancis). Apabila baginda dibenarkan pulang ke Perak, baginda mengambil lagu Rosalie untuk dijadikan lagu Negeri Perak -Allah Lanjutkan Usia Sultan.

Dipendekkan cerita, semasa menjelang kemerdekaan, panel yang bertindak memilih lagu untuk dijadikan lagu kebangsaan negara telah mendengar lagu rasmi bagi semua negeri dan sepakat memilih lagu negeri Perak untuk dijadikan lagu kebangsaan. Sebuah pertandingan dianjurkan untuk menggubah liriknya. Daripada pertandingan tersebut, lahirlah lirik Negaraku :)

Dalam cerita panjang pula, lagu Rosalie ini begitu popular di kalangan anak-anak kapal dan menjadi siulan mereka. Kerana itu lagu ini tersebar luas seantero dunia dan contoh terdekat adalah liriknya yang digubah menjadi lagu Terang Bulan di Indonesia.


iii - Travelog


Kaedah pengulangan memang bukan minat saya. Kerana itu saya perlu banyak bersabar dan bersungguh untuk menghabiskan karya-karya besar seperti karya Azizi Hj Abdullah atau Shahnon Ahmad. It tooks a lot of my energy, seriously.

Mungkin ini masalah gen-y, atau masalah orang IT, atau masalah diri sendiri. *wink*.

Sudah lama juga saya membawa travelog ini ke sana sini, sekarang baru berada di bab 30. sebagai sebuah travelog, buku ini tidak mempunyai timeline yang jelas. bab-babnya bercampur-campur dan diulang-ulang.

Thursday, July 03, 2014

Rebel

Saya selalu berfikir, orang muda yang rebel, sebaiknya buatlah seperti Soe Hok Gie. Berani (dah pasti), logikal dan bertanggung jawab.

Saya mengenal Gie melalui filemnya dahulu. Filem Gie (2008) mengangkat Nicholas Saputra sebagai Soe Hok Gie. Lelaki puitis yang berani menentang dalam keadaan sememangnya sudah sedia kacau.

Kerana begitu tertarik dengan filemnya, saya memesan buku Catatan Seorang Demonstran kepada seorang rakan yang kebetulan ke Indonesia. CSD sebenarnya adalah diari milik Gie, yang ditulis sejak tahun 1967 (beliau berusia 15 tahun) sehingga tahun 1988 (sehari sebelum kematian beliau). 

Catatan ini bermula sejak Gie di bangku sekolah, kemudian beberapa kali bertukar sekolah kerana bertengkar dengan guru-gurunya. Di sinilah dia menuliskan bahawa "guru bukan dewa, dan selalu benar. Dan murid bukan kerbau".

Gie kemudian menjadi mahasiswa Fakulti Sastera, Universiti Indonesia, sememangnya dia menjadi mahasiswa yang tidak duduk diam. Selain menulis, juga aktif menyusun acara menonton filem di fakulti dan seterusnya mendiskusikan filem yang mereka tonton. Ada ketika dia juga keluar berdemonstrasi menentang kepimpinan Sukarno dan di akhirnya dia sendiri merasa bersalah apabila setelah Sukarno turun, junta berkuasa dan keadaan jadi makin kacau. Atas rasa tanggung jawab itulah Gie labih tajam menulis dan mengkritik kepimpinan negara walaupun dinasihati oleh orang sekelilingnya supaya berhenti saja setelah datang pelbagai ancaman.

“apakah kau masih akan berkata, kudengar derap jantungmu.
kita begitu berbeda dalam semua
kecuali dalam cinta?”

Salah satu yang menarik adalah catatan Riri Reza (pengarah filem Gie) yang sememangnya sangat terinspirasi dengan Gie sejak kali pertama dia membaca CSD ketika di universiti. Menariknya, Riri Reza membayangkan Gie adalah sosok yang selalu serius, pendiam dan tidak berkawan. Dengan persepsi itulah mereka (Riri dan Mira Lesmana) mencipta sosok Soe Hok Gie pada Rangga di dalam Ada Apa Dengan Cinta. Hanya semasa dalam pembikinan skrip Gie, Riri menemubual rakan-rakan dan ahli keluarga Gie dan barulah dia menemui sifatnya yang sebenarnya tidak pasif.

Satu lagi kegemaran Gie adalah mendaki gunung, di sana dia menikmati alam dan menulis puisi. Gie meninggal dunia pada usia 26 tahun semasa berada di Gunung Semeru, gunung yang menempatkan puncak tertinggi tanah Jawa.

Saya turunkan puisi terakhir Soe Hok Gie, yang turut dibaca dalam babak akhir filem Gie;

ada orang yang menghabiskan waktunya berziarah ke mekkah
ada orang yang menghabiskan waktunya berjudi di miraza
tapi aku ingin habiskan waktuku di sisimu sayangku

bicara tentang anjing-anjing kita yang nakal dan lucu
atau tentang bunga-bunga yang manis di lembah mendala wangi
ada serdadu-serdadu Amerika yang mati kena bom di danang
ada bayi-bayi yang mati lapar di Biafra

tapi aku ingin mati di sisimu sayangku
setelah kita bosan hidup dan terus bertanya-tanya
tentang tujuan hidup yang tak satu setanpun tahu

mari, sini sayangku
kalian yang pernah mesra, yang pernah baik dan simpati padaku
tegakklah ke langit atau awan mendung
kita tak pernah menanamkan apa-apa,
kita takkan pernah kehilangan apa-apa




Wednesday, March 12, 2014

Perjalanan Bersama Memoir

Ketika saya menulis post ini, misi mencari MH370 masih diteruskan. Doa kita untuk mereka, semoga ada penyelesaian yang terbaik. Sebenarnya sudah sekian lama saya berhenti menulis hal-hal peribadi di sini. Saya lebih bebas (dalam zon selamat) untuk berkongsi tentang pembacaan dan refleksi yang tidak banyak. Kita tinggalkan sebentar buku-buku pemenang Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH, ataupun buku-buku avant-garde karya penulis mapan, saya baru selesai membaca karya Azizi Abdullah, Memoir Seorang Guru.

Membaca buku ini saya rasakan seperti sebuah perjalanan unik yang separa panjang. Perjalanan dengan keretapi. Seperti menaiki ETS dari KL ke Ipoh.


Bab-bab awal begitu perlahan dan menguji ketekunan. Samalah seperti perjalan awal menaiki ETS, bunyi enjin keretapi berdengung-dengung dan kemudian meninggalkan landasan. Pemandangan tidak menarik, hanya ruang gelap dinding KL Sentral kemudian bersambung pula dengan Stesen Kuala Lumpur. Keretapi berhenti lagi –seperti pembacaan yang diuji lagi. Dengan sabar (selepas beberapa hari), saya sambung membaca lagi.

Tidak lama kemudian keretapi bergerak laju sedikit meninggalkan Stesen KL, pemandangan semakin baik dan untung jika tidak berjerebu, kita boleh melihat lukisan matahari di celah-celah bangunan tinggi. Panahan tajam matahari ini adalah semasa Mat tersungkap pohon pinang. Bab ini memang membuka mata, memaksa saya berlawan dengan minda sendiri. Cerita yang begitu ngeri itu adalah batu licin yang membuatkan saya terjatuh dalam sungai deras. Seperti di dalam keretapi, penghawa dingin yang baik dan kelajuan membuatkan saya terus hanyut zzzZZzzzz....

Lena terganggu dengan pengumuman keretapi tiba di Tanjung Malim, ah begitulah pembacaan yang sedang enak tadi terganggu dengan bahagian tertentu yang membosankan. Saya perlu bersabar lagi mendengar enjin keretapi berdengung dan bergerak perlahan. Perjalanan indah bersambung lagi. Hal sama berulang beberapa kali sehingga saya sudah terbiasa dengan ritual keretapi ini. Beberapa kali saya turut sama marahkan ustaz ini yang asyik membenci muridnya. Juga marah kerana ceritanya begitu perlahan. Tapi tidak lama, keretapi kembali bergerak dengan 110km/j. Ada cerita tentang Alias dan beruknya, kemudian tentang Mihad, Sakinah dan Mohd Dhuha. Anak-anak miskin yang mahu belajar, perlu berlawan dengan kemiskinan dan persekitaran.

Sampai akhirnya keretapi tiba di Ipoh, stesen terakhir. Elok pula cuaca baik yang menyambut. Buku ini ditutup dengan happy ending, bekas murid menjadi orang berguna, dia merestui profesyen pilihan anaknya malah ustaz ini dapat penghargaan pula daripada bekas murid-muridnya.

Walaupun keretapi telah tiba di destinasi, kali ini saya mahu menyambung perjalanan lagi, mahu ke Taiping dengan keretapi lain. Sekarang saya membaca Zikir Rindu, daripada bab-bab awal ini, rupanya buku ini adalah sambungan kepada Memoir Seorang Guru. Cuma buku ini lebih nipis, perjalanan tidak lama untuk sampai ke Taiping :)

Saturday, February 22, 2014

Tersesat ke Ipoh

Notis: Ini bukan review. 

Bagi saya, Sepetang di Kafe Biblioholic adalah sebuah novel yang membawa kelainan. Plotnya disusun kemas dan perjalanannya sederhana. Saya rasa banyak momen yang dapat dilukis dengan begitu baik, terutamanya saat-saat menikmati teh dan kopi.


Ketepikan tentang Redza atau Umair yang menjadi pilihan. Saya hanya jatuh hati dengan Tengku Iskandar sahaja. (Eh ini cerita lain). Perasaan si watak utama, Kamellia, menikmati teh atau kopinya ditulis dengan begitu berhati-hati, sampaikan pembaca mungkin akan merasa malang jika membacanya di tengah malam tatkala kafe sudah ditutup, jadi perlu menunggu esok untuk menikmati minuman sepertinya juga. Tapi, ini semua nafsu! Hehe.

Selain Kuala Lumpur, Bandaraya Ipoh (ya, bandaraya ok, bukan bandar) juga menjadi latar dalam beberapa bab dan disebut sebagai bandar yang tidur. Baik di sini saya ada masalah. Kita selalu mencela pembangunan yang memusnahkan semua kesan lama yang walaupun tidak ada impak kepada sejarah negara. Tapi apabila ada sebuah bandaraya yang pembangunannya dibiarkan perlahan dan banyak bangunan era kolonial yang dipelihara malah masih digunakan, kita menggelarnya bandar yang tidur?

Walau bagaimanapun, saya terjumpa artikel kembara ini di The Washington Post. Tentang seorang mat saleh yang tersesat ke Ipoh dan dia menyukainya. Jadi, selain Tengku Iskandar, saya suka pada mat saleh ni juga ;)


Monday, January 20, 2014

Membaca Kembali TKVDW




Membaca kembali buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini lain perasaannya. Buku ini saya beli memandangkan naskhah yang pernah saya baca dahulu dipinjam orang dan masih belum dipulangkan. Tak mengapalah. Naskhah kedua yang saya ada ini lebih istimewa (jangan ada yang teka saya dapat autograf pulak) kerana saya beli di Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka yang sempat diziarahi tahun lepas. Sebuah percutian keluarga yang sangat bermakna. Saya tidak ingat sejak bila, tapi saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk ke rumah kelahiran Buya Hamka dan melihat sendiri Danau Maninjau. Memang cantiknya tidak terkata.

Tapi kecantikan itu tidaklah dapat percuma. Untuk turun ke sana dari Bukittinggi, kita perlu melalui 44 buah kelok yang sudahlah sempit, boleh tahan juga curamnya. Memang setiap kelok itu ditandakan nombor, dan sebagai pengubat hati, dari Kelok 44 yang paling atas lagi kita sudah boleh lihat pemandangan Danau Maninjau menggamit-gamit. Psiko kan!

Membaca kembali TKVDW dengan usia yang lebih remaja (ehem), memberikan ruang untuk saya berfikir lebih banyak. Jika dulu hanya dapat menghadam kisah cinta Zainuddin dan Hayati saja, sekarang pembacaan itu boleh diluaskan lagi tentang adat Minang, kerendahan hati, dan paling istimewa, kehalusan bahasa yang digunakan Hamka. Ada bahagian-bahagian yang dapat dirasakan juga sayu dan pedihnya.

Saya suka nasihat abang Muluk kepada Zainuddin selepas dia sakit teruk kerana Hayati berkahwin dengan Aziz; janganlah jadi lemah kerana seorang perempuan, sedangkan Zainuddin adalah orang yang berilmu dan dipandang baik oleh masyarakat. Zainuddin menyewa di rumah ibu Muluk sepanjang pengajiannya di Padang Panjang. Tapi Muluk sentiasa mengelak untuk bertemu dengan Zainuddin kerana Zainuddin orang siak (orang alim) manakala dia orang Parewa (orang muda yang suka berjudi, menyabung, tetapi hebat dalam silat dan berdukun etc).

Tapi setelah Zainuddin pulang daripada mengembara untuk mengubat hati :), ibu Muluk menyarankan Zainuddin cuba bercakap dengannya, barangkali ada yang dapat dikongsi. Dari situlah Muluk bertindak sebagai seorang abang dan sampai akhirnya menjadi sahabat yang setia dan bersama Zainuddin ke Jakarta dan seterusnya Surabaya. Sahabat yang saling belajar dan saling menyokong.

Dalam pembacaan kali kedua ini juga, saya sudah terbayang Herjunot Ali sebagai Zainuddin dan Reza Rahadian yang membawa watak Aziz. Filemya masih ditayangkan di Indonesia...saya masih menunggu dengan sabar untuk menontonnya.

Sementara itu, saya sedang membaca buku Ayah, tulisan Irfan Hamka yang menulis kisah hidup Buya Hamka dari pandangan anaknya.

Friday, October 18, 2013

Jikalau kau mau kembara jauh

Saya tidak membaca buku puisi seperti membaca buku-buku lain. Buku puisi memang biasanya saya baca mengikut mood dan dipilih secara rambang saja. Tapi dalam sejarah pembacaan saya, ada dua buah buku puisi yang saya baca dari kulit ke kulit; yang pertama kumpulan puisi super tebal Pak Samad yang menghimpunkan karya beliau dalam setengah abad. Sebab saya membacanya dengan begitu berhati-hati adalah kerana terdapat nota-nota peribadi Pak Samad pada setiap puisi. Jadi, membaca buku puisi tersebut seperti membaca sebuah buku autobiografi! 

Dan buku kedua pula ialah kumpulan sajak Kafe, Lutfi Ishak. Itu kerana semua sajak dalam buku tersebut bertajuk ‘kafe’ jadi saya tidak boleh memilih. Ahaks! Juga kerana faktor buku tersebut yang agak nipis, tidak perlu masa yang lama untuk menghatamnya.

Saya memang penggemar Prof. Muhammad Haji Salleh. Ada buku beliau yang memang selalu dekat dengan saya di bili;, untuk saya selak bila datang mood untuk membaca. Cuma, dalam situasi patah hati, sangat sukar mencari sajak beliau yang boleh sejiwa. Ketika menyelak Kalau, Atau dan Maka semalam, saya membaca kembali sajak bertajuk Jikalau;


jikalau kau mau kembara jauh
kau harus pergi sendiri

semua jalannya pendek
dan berakhir di lembah riuh

kampungnya dijerit masalah
atau dililit adat

jikalau kau mau mendaki gunung
ikut jalan hati, dibelangkan kota hutan

yang terlindung dari mata pertama
atau mimpi biasa yang kabur.

tiada kampung pada cita
tiada kawan pada gagasan.

sepi itu syarat cita
mimpi itu rancangan kenyataan.

Muhammad Haji Salleh


Memang, sajak itu sedikit pun tidak memujuk, tetapi ayat "jikalau kau mau kembara jauh/kau harus pergi sendiri..." itu diam beberapa lama  dalam kepala saya.

Thursday, September 19, 2013

Dua Biografi

Saya bukanlah jenis yang minat berniaga, walaupun darah tu ada juga sikit-sikit. Ironinya, saya selalu ended up membaca buku biografi tokoh yang berjaya dalam perniagaan. Tapi dalam beberapa tahun ini saya memang minat membaca buku biografi atau autobiografi. Bos saya tidak menggalakkan saya membaca buku begini kerana menurutnya, buku biografi ditulis dalam keadaan yang telah di”murni”kan. Boleh jadi dia risau saya terlalu over the moon dengan apa yang saya baca. Challenge accepted! Kita boleh baca apa yang kita mahu, dan kita mesti ada “filter” sendiri. Betul tak?

Buku biografi terkini yang saya baca ialah biografi Syed Mokhtar Al Bukhary. Semasa membaca buku ini, saya teringat kepada buku Duncan Bannatyne, seorang ahli perniagaan Scottish, yang pernah saya baca beberapa tahun lepas. Kedua-dua buku ini menggunakan latar kulit buku berwarna gelap/hitam, tetapi kisah kedua-dua mereka jauh berbeza.

Bannatyne memang business minded person, manakala Syed Mokhtar lebih gemar bernostalgik. Masing-masing mempunyai dua cara yang berbeza. Bannatyne bermula dengan perniagaan ais krim menggunakan van yang dibeli di jualan lelong, selepas perniagaannya berkembang, beliau menjual perniagaan tersebut dan bermula dengan perniagaan baru. Proses menjual dan memulakan perniagaan baru ini berlaku beberapa kali, sehinggalah sekarang beliau hanya mengekalkan rangkaian hotel dan health club.

Saya katakan Syed Mokhtar lebih gemar bernostalgik kerana beliau masih lagi mengekalkan perniagaan-perniagaan awal yang dimilikinya. Beliau bermula dengan syarikat pengangkutan, kemudian pemprosesan beras dan berkembang kepada pembinaan dan sehingga yang terkini beliau menguasai Proton (melalui DRB-Hicom). Malah bukan setakat syarikat, beliau juga masih menyimpan kereta Merz dan lori pertamanya.

Jadi, sememangnya tidak ada “hanya satu cara” untuk menjadi apa yang kita mahu. Setiap orang diciptakan berbeza, jadi kita boleh saling belajar dan memperbaiki diri.

Sunday, August 11, 2013

Membaca Bidadari Burung

“Lama dia terkaku melihat bidadari burung bersayap emas dikepung ombak. Berenang memainkan riak air. Matahari di atas redup sepertikan malu. Ketika angin menampar kepalanya, dia diterkam ilham. Kemudian perlahan-lahan dia turun ke pantai dan mengambil sayap bersepuh emas lalu pergi menyembunyikannya. Dia menunggu bidadari itu naik ke pantai.” – cerpen Bidadari Burung


Kumpulan cerpen Bidadari Burung ini antara yang saya ‘terlepas pandang’. Salah satunya kerana saya lebih banyak membaca karya S.M. Zakir yang terbit di dalam majalah atau akhbar, jadi tidak teruja sangat untuk memiliki buku ini semasa baru diterbitkan. Buku ini saya beli ketika jualan gila-gila ITBM semasa pesta buku yang lalu, baru kali ini sempat dibelek. Itupun sebenarnya untuk mengisi masa lapang dalam keretapi ketika backpacking ke Ipoh. (Asal bawa backpack dan naik keretapi dah boleh kira backpacking kan :p )

Melalui kata pengantarnya, saya baru tahu bahawa 12 cerpen yang termuat di dalam buku ini dipilih oleh penulisnya untuk tujuan terjemahan ke bahasa Inggeris selepas beliau memenangi SEA Write Award, tapi kemudiannya diterbitkan oleh ITBM dalam bentuk karya asli.

Tentang karya, tidak banyak yang dapat saya ulaskan. S.M. Zakir dengan gayanya yang tersendiri –anti-falsafah dalam gaya ahli falsafah. Beliau ‘melukis’ sesebuah cerita dengan sangat baik dan berkesan, cuma tidak banyak yang menyentuh emosi, selain Malam Bertangkup di Aidilfitri. Ini pun bukanlah satu masalah kerana jika mahu beremosi janganlah baca karya S.M. Zakir. Eheh.

Cepat juga saya habiskan buku ini kerana seperti yang saya tuliskan awal tadi, kebanyakannya sudah saya baca semasa diterbitkan, jadi ini lebih kurang menjadi revision saja. Beliau memilih cerpen-cerpen ini mewakili dua dekad penulisan beliau. Secara tak langsung menjadikan buku ini salah satu koleksi wajib bagi para peminat S.M. Zakir!

Naskhah Bidadari Burung milik saya sudah pun selamat di'sangkar'kan :)

Friday, June 14, 2013

Sayang Ustazah Sayang


Kisah ini begitu lembut. Perlahan dan tenang seperti madrasah itu sendiri. Tetapi di dalamnya bergolak dengan pelbagai konflik. Memang, orang suka melabelkan bahawa penulis perempuan lebih suka bercerita seputar hal rumah tangga, tentang cinta dan derita. Tak global langsung! Tapi setelah 'letih' dengan isu-isu besar, saya lebih suka memesrai buku-buku yang bertema sederhana.

Novel ini tidak membawa isu yang besar, hanya seputar madrasah dan kehidupan ustaz-ustazahnya saja. Semasa membaca bab-bab awal, saya perlu menyelak kembali Bab Satu beberapa kali untuk mengingati watak. Ustazah Nazimah - guru besar, Ustazah Zahirah - punya masalah dengan suami, Ustazah Naemah - suka berniaga, Ustazah Zamilah - ustazah yang masih bujang dan menjalin cinta dengan Musdi. Kemudian ada juga dua orang ustaz di situ, dan beberapa lagi watak lain. Dengan nama yang seakan-akan saja macam tu, memang haruslah saya sesekali 'tersilap orang'.

Ceritanya sederhana, masing-masing mendepani pelbagai masalah; hal rumah tangga para ustaz, ustazah, masalah pelajar yang hidup dalam keluarga susah, begitu juga hal anak-anak muda yang selalu duduk di warung kopi di depan madrasah. Dalam masa yang sama, mereka juga sedang bekerja untuk menjayakan Malam Derma untuk mengutip wang membesarkan madrasah.

Saya suka kias-kiasan yang digambarkan dalam surat Ustazah Zamilah-Musdi, meskipun hanya di tulis sedikit sahaja. Mengingatkan saya bertapa indahnya bahasa persuratan Melayu yang berhias dengan seni dan kias.

Keseluruhannya, kalau awak memang anti dengan novel pergolakan rumah tangga dan soal hati, tak perlulah membacanya. Tapi mungkin rugi sedikit, kerana novel ini lain dari yang lain.

Friday, June 07, 2013

Buku Kembara

Awal tahun dahulu, saya pernah menulis bahawa saya mahu membaca buku-buku berkaitan kembara. Alhamdulillah, Eat, Pray, Love dan Ibu Melayu Mengelilingi Dunia telah berjaya dibaca. Saya tahu, banyak buku tentang kembara yang terdapat di pasaran, tetapi kehendak saya mungkin sedikit berlebihan. Saya lebih suka membaca cerita pengalaman daripada sekadar checklist atau promosi. Meskipun begitu, saya tetap ‘hormat’ kepada kepentingan Lonely Planet dan yang seumpamanya.

Jadi, semasa diberitahu bahawa SuaraSuara sedang mengusahakan dua buah buku berkenaan catatan kembara, saya agak tidak sabar mahu membacanya. Travelscapes dan Landskap Kembara masing-masing dalam bahasa Inggeris dan Melayu mula dijual semasa PBAKL yang lalu.

Sejujurnya, pertama kali cuba membaca kedua-dua buku ini, agak sukar untuk saya jatuh suka. Ini kerana kedua-duanya merupakan gabungan catatan kembara daripada penulis-penulis yang berbeza. 8 penulis menyumbang untuk Travelscapes dan 10 penulis untuk Landskap Kembara. Masalah dengan kepelbagaian ini adalah susah untuk mendapatkan feel pembacaan. Masing-masing menggunakan pendekatan berbeza, dengan gaya dan cara tersendiri. Begitu juga sudut pandang yang digunakan, pelbagai. Tapi kelebihannya pula adalah kita dapat ‘membaca’ kepelbagaian itu.

LANDSKAP KEMBARA: PERJALANAN RENCAM SENIMAN
Itu adalah tajuk pada front cover buku. Kebanyakan penulis yang menyumbang adakah mereka yang mengembara dengan jiwa seni; penulis dan pelukis. Lokasi kembara/seminar/bengkel/misi yang ditulis pula adalah Cuba, Afghanistan, Afrika Selatan, Jakarta, Palembang, Itali, Manila dan Cambodia.

Saya suka membaca catatan Siti Zainon Ismail di Itali dan Rom yang sungguh halus dan puitis. Saya juga sukakan tulisan MF Nasution yang jujur terhadap Jakarta. Begitu juga tulisan-tulisan lain yang membawa pengalaman masing-masing.

TRAVELSCAPES : ALTERNATIVE JOURNEYS
Kalau Landskap Kembara menyajikan penulisan yang pelbagai kepada pembaca, Travelscapes lebih lagi kepelbagaiannya. Ada juga yang membawa saya ke suatu pemandangan baru, ke tengah kebun getah (pada zaman sebelum merdeka) dan ke dusun durian di Gopeng :)

Secara keseluruhannya, membaca pengalaman dan penulisan yang rencam dalam dua buah buku ini memberi perasaan yang bercampur-baur juga. Adakalanya seronok, ada kala sedih, ada kala geram dan lebih banyak seronok mengembara bersama-sama mereka.

Jika berminat untuk membeli, saya tidak pasti berapa harganya. Saya membeli semasa promosi pelancaran, RM 50 untuk 3 buah buku (termasuk buku Tonton Filem yang turut diterbitkan). Boleh buat bising di FB SuaraSuara untuk maklumat lanjut.

Saturday, May 25, 2013

Kemanusiaan, Budaya dan Agama dalam Ayam Patah Kepak

Tajuk: Ayam Patah Kepak
Penulis: Hafizah Iszahanid
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Terbit: 2013
Nombor Resit: ITBM02000002

Ayam Patah Kepak, ini merupakan kumpulan cerpen pertama Hafizah Iszahanid. Memang saya ternanti-nanti kumpulan cerpen ini dan penantian itu ternyata berbaloi apabila naskhah berkulit putih bersih ini diterbitkan awal bulan lalu. Kebanyakan cerpen di dalam kumpulan cerpen ini mengangkat tema kemanusiaan dan lebih cenderung diisi dengan elemen budaya dan jati diri beragama. Ini boleh dibaca jelas dalam 13 cerpen yang terkandung di dalam buku ini.

Cerpen pertama, Adiba Seorang Ultraman, mengangkat isu masyarakat, tentang Adiba seorang ibu muda yang mahu ‘lari’daripada AIDS dan ini menemukan Adiba dengan “saya”, seorang doktor. Kisah ini bukan tentang perjuangan dengan diri sendiri semata-mata, tetapi juga dengan masyarakat dan kaum keluarga.

Ayam Patah Kepak yang diangkat menjadi judul buku mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Cerpen ini membawakan watak Riyan yang mahu mengangkat idea komunisme, dengan alasan persamaan perjuangan – komunisme menolak penindasan,, ketidakadilan dan menentang kapitalisme. Tapi dalam masa yang sama, dalam mipinya dia melihat lelaki dengan tengkolok Helang Menyongsong Angin dan dia tahu mimpi ini mahu membawakan makna sesuatu. Lelaki ini datang lagi kemudian, kali ini dengan destar Ayam Patah Kepak.

Beberapa cerpen membawa tema cinta dan agama. Antaranya Nama Saya Ling Mei Ling, Kami Bertemu di Brussels dan Lari dari Katrina. Kami bertemu di Brussels menggugah pembaca dengan persoalan cinta dan pesona, yang mana sebenarnya?

Hati Yang Parah dan Menjadi Perempuan membawa isu wanita yang lari daripada kebiasaan. Hati yang Parah adalah sebuah kisah tentang Zana, muslimah yang teguh dalam perjuangan tapi kalah melawan dirinya sendiri dan pujuk rayu teman “seperjuangan”. Penceritaan segar dibawa dalam Menjadi Perempuan, latar moden berganti dengan cerita dari zaman Dinasti Tang tapi membawa jalan yang sama –tentang wanita yang mahu (dan terpaksa) jadi jelita.

Dalam Dakapan New York bukanlah sebuah kisah romantis, tapi dengan lembut cerpen ini mengangkat isi sejagat, tentang cakna pada isu agama dan perjuangan yang sebenar. Lari Dari Katrina pula bukanlah cerpen sedih. Cerpen ini bercerita tentang Kathrine, seorang gadis Amerika yang memilih Islam dan memilih suami lalu meninggalkan dunia lamanya. Tapi dugaan datang kuat apabila dia diasak kembali dengan cita-cita lama untuk menjaid penyanyi dan masalah rumah tangga. Pengarang menyusun plot dengan sangat baik dan membuatkan saya sedikit terkejar-kejar mahu tahu pengakhirannya.

Emosi yang sama juga berlaku dalam cerpen Ryan & RM200,000. Ryan, seorang doktor pakar dikaburi dengan bayaran besar untuk melakukan IVF untuk seorang penyanyi dengan sperma sang kekasih. Memang, dengan RM200,000, Ryan mahu saja menutup mata pada hal etika dan agama.

Saya juga merasakan cerpen Istimewa istimewa. Cerpen ini disusun dengan begitu baik meski masih cuba “menyimpan” identiti sebenar seorang lelaki bernama Istimewa.

Cerpen terakhir, Pala Tumpa’ Kayau Indau adalah tentang Hanis, seorang Iban-Islam yang mahu membawa pua ke mata dunia. Tapi dia perlu mengorbankan tradisi, menurut indainya, dan semngat pua itu sendiri.

Seperti yang saya tuliskan di awal tadi, meskipun rencam dengan tema kemanusiaan dan isu-isu lain, cerpen-cerpen dan kumpulan cerpen ini diikat dengan agama dan budaya. Bagi saya, inilah kekuatan sebenar buku ini. Unsur budaya paling ketara dilihat dalam Ayam Patah Kepak dan Pala Tumpa’ Kayau Indau. Kehadiran lelaki kacak yang saya kira menyalin sejarah Raja Muhammad-Tun Besar dalam mimpi Riyan membawa makna yang cukup besar. Begitu juga pertelingkahan antara adat dan agama dalam meneruskan tradisi pua yang diolah dalam Pala Tumpa’ Kayau Indau.

Walaupun cerpen-cerpen seperti Lari Dari Katrina, Kita Bertemu di Brussels dan Dalam Dakapan New York mengambil tema luar negara, isu Islam tetap diolah dengan baik sekali.

============================================ 

Top 3 cerpen pilihan saya: Pala Tumpa’ Kayau Indau, Istimewa, Kami Bertemu di Brussels

Ada beberapa sebab saya gemar membaca kumpulan cerpen. Cerpen itu sendiri yang tidak panjang, mudah untuk dibaca berhenti-henti -sesuai untuk dibaca dalam perjalanan atau hanya pada waktu senggang. Tidaklah terlalu menjadi ‘terikat’ kepada cerita atau watak jika terpaksa berhenti membaca dahulu.