Ini perkongsian semasa sarapan semalam. Ya, saya tahu, di zaman Twitter ini, hal pagi semalam memang agak ketinggalan diceritakan pagi ini. Tapi ini bukanlah sebuah 'cerita'. Sambil sarapan pagi semalam, saya membelek-belek Aksara Usia. Tapi ini tidaklah bermakna sarapan saya semata-mata dengan kopi dan puisi saja. Heh!
Saya terselak puisi berjudul 'Kesetiaan'. Em rasanya selama ini memang saya tidak pernah membaca puisi ini, ataupun mungkin pernah membaca tapi tidak menusuk jiwa.
"aku tidak akan memohon maaf / kerana tidak setia kepada perasaanmu". Dua baris awalnya sangat menarik saya. Dua baris itu mempunyai magisnya sendiri walaupun tidak berbunga-bunga dan hanya menggunakan kata-kata biasa. Tidak lembut tetapi tidak pula terlalu keras. Ini bukanlah puisi cinta. Baris ketiga membuka ruang untuk pemahaman maksud yang lebih jelas. Tapi saya kira kalau tidak dijelaskan pun lebih baik, seperti karya-karya Chairil Anwar yang dibiarkan samar-samar saja sehingga ramai yang menebak itu adalah seputar kisah cinta.
Saya turunkan seluruh puisi itu di sini.
kesetiaan
aku tidak akan memohon maaf
kerana tidak setia kepada perasaanmu
kepada rancangan politik
atau kepada mimpimu.
ini bukan meja perancang kuasa
tapi balai didik
di mana bijaksana menjadi ketua
di mana bangsa bernaung.
aku menolakmu
yang menolak unggul,
aku menolakmu
yang menolak manusia lain.
aku menolakmu, batu kering
di kampung tamadun.
SN Muhammad Haji Salleh
