Showing posts with label Karya. Show all posts
Showing posts with label Karya. Show all posts

Thursday, November 21, 2019

Travelog Dromomania


Turut terbit bersama-sama Perempuan Pengembara dan Sajak-sajak Perjalanan adalah buku Travelog Dromomania - sebuah buku yang mengumpulkan catatan-catatan kembara saya di lima buah negara Asia Tenggara iaitu Indonesia (Jakarta, Palembang, Belitung), Kemboja (Siem Reap, Phnom Penh), Filipina (Manila, Vigan), Laos (Vientiane, Vang Vieng, Luang Prabang) dan Brunei (Bandar Seri Begawan).

Separuh tulisan yang terdapat di dalam buku ini telah terbit secara eceran di beberapa buah majalah dan zine, saya kumpulkan kembali dan terbitkan versi asal. 

Judul buku ini dicadangkan oleh seorang rakan baik saya yang jauh di utara, kerana katanya istilah ini amat tepat dengan saya. Dromomania, diterjemahkan sebagai keinginan yang tidak terkawal untuk mengembara, sehingga menggelisahkan diri. Memang saya adalah seorang dromomaniac, cuma syukurlah keadaan sudah semakin terkawal sekarang, mungkin juga kerana saya sudah berjaya menyelesaikan misi peribadi untuk mengembara ke seluruh negara Asean. Perjalanan di dalam Travelog Dromomania adalah separuh daripada cerita-cerita kembara saya dalam misi ini.

Tetapi jika ada pembaca yang mencari sebuah guideline atau itinerary perjalanan, buku ini tidak sesuai untuk anda. Saya hanyalah seorang perempuan pengembara yang cuba berkongsi sejujurnya apa yang saya lihat dan rasa semasa di dalam setiap perjalanan. 

Terima kasih kepada yang sudah membaca. Saya amat menghargainya. Jika ada yang berminat untuk mendapatkan buku ini atau buku-buku terbitan yang sama, boleh hubungi Nusa Centre, jika mahu minta tandatangan juga boleh dibawa berbincang :) 

Harga pakej untuk kedua-dua buah buku saya adalah RM35 termasuk pos.

Tuesday, August 09, 2011

Gerhana Masih Dijual


Sempena Ramadan/Ogos yang menjadikan Gerhana sudah genap setahun di pasaran, dan selepas setahun itu saya masih belum mempunyai novel kedua (haha!), saya kembali membuka kaunter jualan. Ada beberapa naskhah yang masih ada dalam simpanan saya.

Harga buku: RM 13.50
Kos pos ekspress: RM 3.50
Harga termasuk pos: RM 17 15

Jika berminat, sila maklumkan melalui emel kepada nissa.yusof@gmail.com

Selain itu, pembelian boleh juga dibuat secara online di Bookcafe dengan diskaun 15%

Atau tentu saja boleh dibeli di kedai-kedai buku kalau jumpa ;)

Wednesday, March 09, 2011

Cerpen ECPM; Komen SM Zakir

Awal 2006, saya setia dengan Tunas Cipta. Walaupun tidak pernah ada karya saya yang tersiar di situ, saya suka membaca komentar SM Zakir untuk cerpen-cerpen yang tersiar bulan sebelumnya dan ulasan Shamsudin Othman untuk bahagian puisi.

Ulasan yang diberikan setiap bulan dalam dua ruangan berbeza ini menepati apa yang saya cari; kritikan dan cadangan penambahbaikan. Shamsudin Othman memberi cadangan secara tidak langsung dengan menampilkan contoh sajak-sajak yang baik dan seseuai dengan tema ulasan. Begitu juga SM Zakir. Contoh-contoh yang diberikan membuatkan saya lebih cepat faham. Bukan diberikan teori semata-mata.

Kerana ini, saya berazam agar ada karya saya yang diulas oleh mereka di TC. Ahamdulillah, impian itu tercapai apabila puisi saya tersiar pada bulan September. Seterusnya memungkinkan saya mengikuti MPR pada tahun yang sama (2006).

Saya merasakan tidak boleh menulis cerpen. Lantas saya memang tidak pernah menulis cerpen ketika itu. Cuma selepas MPR saya mencuba (selepas dipaksa oleh kak Nisah). Sayangnya, penerbitan TC dihentikan dan digantikan dengan sisipan TC dalam Dewan Sastera. Jadi tiada lagi ruangan untuk ulasan cerpen dan puisi yang tersiar. Selepas penerbitan TC dijalankan semula, Shamsudin Othman dan SM Zakir tidak lagi menjadi pengkritik tetap.

Dipendekkan cerita, tahun 2011 ini, impian saya menjadi nyata apabila SM Zakir mengkritik sedikit tentang cerpen Eskapisme Cinta Pagi Merdeka (Dewan Kosmik, November 2010) dalam TC Mac. Cerpen ini dikumpulkan bersama beberapa cerpen teman-teman lain dalam esei bertajuk Kepelbagaian Dalam Cerpen Penulis Muda Mutakhir.

Seperkara lagi yang saya suka ialah label yang diberkan SM Zakir kepada kami;
“...kelompok penulis yang membentuk kelompok geososial mereka melalui kegiatan sastera yang dilibati bersama tidak lagi cenderung menulis melalui gaya dan bentuk yang sama.”

Tuesday, February 01, 2011

Bukit Bintang

Ini adalah judul sajak saya dalam Tunas Cipta bulan ini. Saya memang sengaja mahu menulis tentang ini di sini kerana selain bersifat peribadi, sajak ini adalah sesuatu yang lain daripada beberapa karya saya yang pernah tersiar.

Bukit Bintang, kalau perlu dijelaskan dalam satu perkataan, adalah sajak yang jujur. Apa yang tertulis adalah apa yang sebenarnya berlaku; lokasi, waktu, suasana, watak-wataknya, malahan juga sedikit isi perbincangan kami di meja kafe. Yang mana biasanya saya akan sedaya upaya 'sorokkan' dalam tulisan. Tapi tidak kali ini.

Dalam sajak ini juga saya sengaja memasukkan suatu unsur yang selalu ada dalam sajak-sajak penyair kegemaran saya.

Terima kasih kepada pihak editorial yang sudi menyiarkannya. Tidak sabar menunggu TC Mac untuk ulasan.

Memang, bagi penulis, semua karya adalah peribadi. Untuk yang terlibat, mungkin ini boleh jadi rakaman sejarah kita pernah berkawan. Mana tahu, bila Azriq judah jadi SN nanti, boleh jadi bukti persahabatan. Dan, tentu saja, saya tetap menuntut sajak balas Perempuan Bukit Bintang yang disebut-sebut kelmarin.

Friday, November 05, 2010

Dua Karya November

Tunas Cipta

Puisi bertajuk Diam. Seingat saya, puisi ini terbiar lama. apabila menyemak kembali draf-draf karya, sengaja cuba dihantar ke TC.












Dewan Kosmik

Ini sebenarnya kali kedua (dalam tahun yang berbeza) dua karya saya tersiar serentak di TC dan Kosmik. awal tahun lepas, berlaku sekali begini; puisi di TC, cerpen di Kosmik. sebagai penulis, saya tentu saja sangat gembira diberi ruang sebegini.

Bulan ini, cerpen terbaharu saya; Eskapisme Cinta Pagi Merdeka. sejujurnya, saya memang me'lupa'kan cerpen ini selepas dihantar kepada pihak editor. sampaikan saya tidak ingat langsung tentang watak-watak yang saya tulis.

Sunday, October 10, 2010

Mahu mendapatkan Gerhana?

Selepas lebih sebulan diterbitkan, Gerhana masih sukar didapati di kedai-kedai buku. Sebagai alternatif kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan novel sulung saya ini, pembelian boleh dibuat secara online di Bookcafe dengan diskaun 15% atau melalui saya sendiri.

Harga buku: RM 13.50
Kos pos ekspress: RM 3.50
Harga selepas diskaun: RM 17 15

Jika berminat, sila maklumkan melalui emel kepada nissa.yusof@gmail.com


Wednesday, July 21, 2010

Gerhana



mana satu pilihan anda?

Wednesday, March 10, 2010

KATARSIS

karya terkini: Katarsis (cerpen)
Tunas Cipta Mac

..............

mentari membakar duka
gerimis membias cahaya
melakar cerita di wajah pelangi

biarkan aku berlari

Monday, January 11, 2010

2010

alhamdulillah. bulan januari ini dimulai dengan karya pertama yang tersiar di majalah dara.com edisi 01 jan 10.

cerpen: sungai tak bermuara

sekadar secubit kisah berkenaan cabaran remaja muslimah di tanah asing, jauh dari kampung halaman.

ini bukanlah karya besar yang mengangkat isu tauhid atau tasawuf. sekadar secubit cerita.


(cerpen ini mempunyai sambungan pada edisi seterusnya)

Friday, December 04, 2009

CERPEN: H2O2 Dari Anortosit Lunar Terrae

awal malam tadi saya pergi membelek-belek majalah di kedai mamak bersama teman seMPR, ainunl muaiyanah, yang puisinya tersiar di tunas cipta. ramai juga rakan-rakan yang karya mereka tersiar di TC bulan ini.

karya saya di TC tidak ada, tetapi ucapan terima kasih saya kepada pihak editorial dewan kosmik yang sekali lagi menyiarkan cerpen saya di majalah tersebut.


sebuah penutup tahun yang baik bagi saya sebagai orang yang baru mahu belajar menulis kreatif. ini menjadikan keseluruhan cerpen saya yang tersiar tahun ini 3 buah dan , ya, ketiga-tiganya tersiar di Dewan Kosmik!

Secara jujurnya, H2O2 dari Anartosit Lunar Terrae ini adalah yang paling saya suka grafiknya. Kereta terbang yang sofistikated. hehe melebihi bayangan saya. yang paling saya suka ceritanya juga ...


Sunday, November 01, 2009

KONSPIRASI MIS I

Mungkin penulisan saya agak perlahan kebelakangan ini. Tapi November ini sebuah cerpen tersedia untuk dibaca. Secara rasminya, ini merupakan cerpen kedua yang tersiar pada tahun ini selepas Pabila Hujan Turun dalam Dewan Kosmik Februari 2009.


Konspirasi MIS i

Dewan Kosmik, November 2009


Memang tidak produktif. Tapi bolehlah, daripada tak ada langsung :)

Senarai 'satu bulan satu puisi' semenjak Ogos;
  1. Sayap-sayap Cinta (Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2009)
  2. Lautan Duga ii (Berita Minggu, 27 September 2009)
  3. Menggoncang Percaya (Suara Keadilan bil. 201, 6-13 Oktober 2009)


Friday, August 21, 2009

OH OH RAMADHAN TIBA

SAYAP-SAYAP CINTA

Cinta suci
Bertebaran di taman ini

Sayap-sayap mengapung jiwa
Semilir halus mendesir sukma

Di sini bintang-bintang turun berlangir
Saling berpuisi dalam rapsodi sang penyair

Tekunilah harum cinta nan segar
Dari bebunga rindu yang kian mekar

Giringlah langkah ke taman pilihan
Madrasah jiwa mengasuh iman

Silakan berteduh di rimbunan kasih
Sejahteralah dengan hati bersih

Namun, awas, berhati-hati
Taman ini bukan abadi

Aku hanyalah sebelah sayap yang akan gugur
dari cinta ranum,
Hamparkan aku kasih-Mu
kerana akukan terhempas
dan hancur.

Nissa' Yusof
Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2009








Saturday, June 06, 2009

KOMENTAR MERDEKANYA SEBUAH IMPIAN

Selepas cerpen Pabila Hujan Turun dikomentarkan oleh Ainunl Muaiyanah, kali ini sebuah cerpen saya dikomentarkan pula oleh Sapiah Derahman, seorang lagi mantan MPR 2006 yang sentiasa hebat dengan idea-idea cerpennya.

Merdekanya Sebuah Impian yang tersiar di majalah e@siswa pada bulan Ogos 2008 ini mepunyai 'nilai' yang tersendiri. Masakan tidak, inilah cerpen pertama yang tersiar sepanjang hidup saya, meskipun bukanlah cerpen pertama yang ditulis.

gambar tiga orang tu macam jack sparrow dan kawan-kawan kan

MSI ditulis dalam tempoh yang relatif singkat ini mengajar saya pahit, manis, gembira dan takutnya mengejar
deadline. Terima kasih kepada senior MPR, kak Salina Ibrahim yang menjadi perintis jalannya.

Bersesuaian dengan bulan Ogos dan tajuknya sendiri yang mempunyai perkataan 'merdeka' cerpen ini bertemakan soal merdeka. Kononya saya mahu menulis tentang merdeka dalam konteks yang luas, pelbagai, berideologi dan pelbagai lagi cita-cita tinggi. Kononnyalah.

Tentang komentar yang ditulis oleh Sapiah, silalah ke blog MPR 2006 untuk membacanya. Sebuah lagi projek syok sendiri kami. Hahaha.

Friday, May 15, 2009

SELAMAT HARI GURU

Selamat hari guru. Kepada guru-guru dan bukan guru-guru. Biasanya tak perlu 'title' cikgu untuk jadi guru. Tapi sememangnya hari guru sudah dikhaskan untuk guru-guru yang dipanggil cikgu.

Puisi ini sudah termuat dalam majalah Pendidik pada November tahun lepas. Selepas ratusan kali membaca puisi ini, saya masih merasakan puisi ini sangatlah syok sendiri atau dalam istilah remajanya 'poyo'. Ironinya, ini adalah antara puisi yang paling saya suka. Maka minta maaflah kalau ada yang tak suka dengan tulisan ini :)

Saturday, April 11, 2009

KOMENTAR CERPEN PABILA HUJAN TURUN

Cerpen saya, Pabila Hujan Turun, yang tersiar di Dewan Kosmik Februari 2009 sudah dikritik seseorang yang baik hati ;)

Jadi, ayuh ramai-ramai ke blog MPR 2006, blog yang sudah mencecah usia dua tahun itu dibina sejurus selepas kami (mantan MPR 2006) pulang dari kursus seminggu MPR di PD dan KL, dengan tujuan utama untuk merantai jejak-jejak mantan MPR 2006, supaya tidaklah susah untuk kejar balik kalau hilang. Tentu saja blog tersebut punya nilai sentimental yang tinggi untuk para mantan dan mungkin mentor-mentor MPR 2006.

Malah memang diakui, blog tersebut adalah pencetus kepada kelahiran blog rasmi mantan MPR.

Komentar untuk cerpen saya yang dibuat oleh rakan seMPR, Ainunl Muaiyanah, bolehlah digelarkan sebagai komentar 'perasmi' untuk projek terbaharu kami iaitu kritikan karya kami sendiri.

Lebih mudah saya sebutkan projek ini merupakan serampang dua mata, selain menjadi ruang baru untuk kami saling belajar daripada kelebihan dan kekurangan karya masing-masing, tujuannya juga adalah untuk menjadikan blog tersebut kembali cergas sepertimana keadaan di awal penubuhannya dahulu.

Maka, kawan-kawan mantan MPR 2006, marilah teruskan tradisi ini. Minta saja mana-mana rakan MPR 2006 untuk komen karya anda, kemudian postkan saja di blog tersebut. Tak kan nak harapkan mentor saja, kesian mereka.

Kalau tak pandai kritik, tak apa, dengar nama pun sudah tahu ini projek 'syok sendiri'. hahaha.



Friday, March 13, 2009

MENYIMPAN KARYA DI ALAM MAYA

Bagi seorang penulis, menyimpan karya adalah sesuatu yang sangat penting. Karya yang ditulis bagaikan merakam perjalan hidup. Ini betul, kerana biasanya apa yang ditulis adalah refleks kepada apa yang berlaku di sekeliling.

Menyimpan karya yang tersiar pula menjadi satu kemestian. Selain berkenaan unsur-unsur sentimental (tentunya), penting juga sebagai rujukan.

Selain menyimpan keratan karya, saya membuat satu lagi 'fail' khas di alam maya. Saya gunakan blogspot. Ya, sebuah lagi blog. Mengapa blog? Kerana beberapa aplikasi seperti label yang sangat membantu. Mengapa pula di internet? Tentu sahaja salah satunya kerana rekod ini boleh diakses di mana-mana sekalipun, asalkan ada sambungan internet. Maka kebarangkalian untuk 'hilang' rekod karya itu sangat rendah. Keduanya, dengan pelbagai template yang boleh diubah mengikut citarasa peribadi dan pelbagai 'add-on', saya lebih senang menggunakan blog berbanding lain-lain aplikasi internet storage. Ketiga, Tidak ada had saiz fail. Jadi kalau mahu simpan semua karya termasuk novel pun tidak ada masalah.

Ini contoh fail karya saya. Saya namakan 'fail karya'. Blog ini memang tidak akan dijumpai. Carilah macam mana pun, kalau jumpa pun memang tak akan boleh dimasuki. Memang sengaja saya jadikan fail ini peribadi. Saya saja yang boleh akses. Hehe.

1) Untuk homepage, saya letakkan post mengikut tahun. Karya-karya dalam setiap tahun itu pula saya pecahkan mengikut genre masing-masing. Contohnya untuk tahun 2009, setakat ini hanya ada empat karya yang tersiar dalam dua genre. Jadi ada dua sahajalah. Kalau ada genre-genre lain yang tersiar, akan ditambah. Artikel, bab-bab novel atau resensi contohnya. Memang saya setkan muka depan ini dengan senarai karya sahaja. Salinan karya tidak diletak di depan.

2) Di sebelah kiri, di bawah gambar, adalah senarai label. Untuk memudahkan carian, saya labelkan mengikut tahun-genre dan media. Jadi mudahlah untuk tengok 'berapa karya yang tersiar genre ini tahun ini' atau 'berapa karya yang sudah tersiar dalam media ini' kerana di bahagian label akan diletak bilangan.

3) Setiap entri baru saya buat untuk setiap karya yang tersiar. Contohnya satu cerpen tersiar, saya buka satu entri dan pastekan keseluruhan cerpen tersebut. Kemudian kalau rajin saya masukkan juga gambar scan muka surat cerpen. Kalau rajin lagi bolehlah tambahkan proses kreatif dan sebagainya. Selepas itu labelkan dengan tahun-cerpen (contoh: 2009 - cerpen) dan media (contoh: Dewan Kosmik). Jadi jika saya mahu baca kembali cerpen itu saya boleh klik pada mana-mana satu label. Kalau rajin lagi, boleh buat link terus daripada senarai karya di homepage tadi ke post karya yang berkaitan.


Sengaja saya buat entri ini, sebagai idea permulaan kepada sesiapa yang mahu simpan karya online. Tapi kalau penulis yang sudah sepuluh tahun menulis mahu mula buat macam ni jenuh jugalah nak masukkan karya-karya yang banyak. Boleh, tapi mungkin akan makan masa lama sedikit, itu saja.

Jadi lepas ini tak adalah masalah sangat mahu kira bilangan karya yang tersiar. Kalau mahu baca semula boleh klik klik saja. Tak adalah pening sangat nak buka folder sana sini dalam hard disk.

Tuesday, February 17, 2009

PPSMI

Sejujurnya, sejak awal isu PPSMI lagi saya memang tak pernah ambil kisah. Boleh dianalogikan, saya memang jadi lalang saja. Bila ada hujah pro, saya sokong PPSMI, bila ada hujah menentang, saya tentang PPSMI.

Kemudian, saya mula berfikir secara logik. Ikut logik saya dulu, bagus juga PPSMI. Saya sendiri, di matrikulasi semua pembelajaran dalam BI. Masuk universiti, pun semua pembelajaran dalam BI, walaupun universiti itu 'hak milik melayu dan bumiputera'. Huh yang ini saya langsung tak faham. Hak milik melayu dan bumiputera, tapi tak menjunjung hak milik melayu itu pun. Tak apa, itu hal lain.

Tentang soal PPSMI, saya fikir, bagus juga, kalau sudah masuk IPT semuanya dalam BI, bagus juga mula dari sekolah rendah. Lagipun term-term sains semuanya BI. Pada saya ini pendapat professional.

Tapi kemudian, saya fikir kembali, ini bukan persoalan pokok pun. Saya dulu belajar semua dalam BM, masuk U boleh saja guna BI. Begitu juga kawan-kawan saya dan generasi-generasi sebelum saya. Termasuklah angkasawan-angkasawan dan menteri-menteri. Tak ada masalah pun.

Tambah lagi, tengok negara yang semakin maju, jepun contohnya, mereka sangat menyanjungi bahasa ibunda, dan mereka semakin berjaya. Dalam teknologi, mereka lebih daripada US sekalipun. Ini pula pendapat anak melayu yang sedar diri.

Dan lalang diri ini terus ke kiri ke kanan sampailah suatu hari, saya bercuti di Ipoh. Sambil bersantai-santai dalam bilik, saya baca akhbar, tengok tv -akhirnya di situ, saya sudah tidak jadi lalang lagi. Akhirnya. Saya menyanjung bahasa saya, tapi saya juga tahu ada golongan yang akan terus buat apa yang mereka mahu.

Ketika itulah saya menulis Apologi kepada Sekuntum Bahasa (Berita Harian, 14 Februari 2009)

APOLOGI KEPADA SEKUNTUM BAHASA

Di sinilah sekuntum harum terpencil
bunga kasih ibunda.

Mereka mewarnakanmu kelabu
dan menamakan kau duri
agar tidak didekati.
Mereka menggantung mentari di tangkaimu
agar embun menjadi takut
dan tunas cintaku terlurut .

Bagaimana aku bisa menjadi srikandi
kalau rerama pun hanya singgah sesekali
dan lekas-lekas pergi
seperti tidak akan ada dunia
selepas senja.

Aku masih menanti
kalau-kalau pawana esok
membawakan musim bunga
- yang tak kunjung tiba.

Bahawa senja ini semakin bisu
bersama sekuntum bahasa yang kian layu.

Nissa' Yusof
Ipoh, Perak


ini pula berkuntum-kuntum harum dari pondok orkid bonda.
saya ambil gambar ini sewaktu hari sudah senja.
Tapi senja itu tidak bisu dan orkid ini pun tidak layu.
Bagitulah hendaknya Bahasa Melayu!




Semoga para pejuang yang di barisan hadapan akan terus tegar!

Thursday, January 29, 2009

DUA KARYA BAHARU 2009

Akhirnya,
dua karya pertama dalam dua genre untuk tahun 2009:


Cerpen

Pabila Hujan Turun

Dewan Kosmik Februari 2009






Puisi
Pembeli Usia

Tunas Cipta Februari 2009

Tuesday, January 20, 2009

PENULISAN 2009 - melankolika pasca diskusi

Salam pasca diskusi MPR.
Foto daripada kak Nisah

Bersama rakan-rakan MPR selalu membuatkan semangat menulis saya kembali berkobar-kobar. Bekerjasama melaksanakan sebuah program dengan 'kawan-kawan yang suka sama suka' ini lebih-lebihlah lagi membuatkan saya jadi berkobar. Sememangnya kami gembira melaksanakan program ini. Biarlah hampir setiap hari menjelang diskusi terpaksa tidur menjelang pagi untuk menyudahkan montaj dan hal-hal lain, berdikit-dikit setiap hari, saya tidak kisah pun. Malah menjadikan saya bersemangat. Yelah, saya bukan jenis yang buat kerja awal dan konsisten, untuk MPR saja tiba-tiba berubah lebih baik. Biasanya kalau
asignment pun saya bantai buat malam sebelum kena hantar saja. hehehe.

Saya suka menjadi penyair. Saya sangat suka perkataan 'penyair' itu sendiri. Selepas MPR 2006, cinta saya kepada 'penyair' semakin bercambah. Saya sertai MPR 2006 dengan niat mendalami prosa kerana memang sebelum saya serius menulis sekalipun, saya menyukai prosa (cerpen dan novel). Tidak pernah terlintas sekalipun tentang puisi ataupun penyair. Ya 'barangkali apa yang kamu fikir tidak itu baik untuk kamu'. Tapi saya ikuti MPR 2006 atas tiket puisi, dengan niat mendalami prosa, Kak Nisah Haron menjadi mentor saya.

Selepas MPR, saya menulis cerpen juga. Tapi lebih banyaknya puisi. Saya yakin, Kak Nisah tidak akan kecewa jika seorang
protegenya ini tersesat menjadi penyair, bukan cerpenis atau novelis. Haha. Tapi saya pasti ada yang kecewa jika saya berhenti dan menyepi terus. Kalaulah tidak ada orang kecewa sekalipun, saya memang tidak wajar berhenti selepas berjalan sejauh ini. Setakat 2008, alhamdulillah, saya masih menulis. Sepanjang tahun 2006 dan 2007 puisi-puisi saya saja yang tersiar. Tahun 2008 sudah ada puisi dan cerpen, malah artikel juga (yang pertama tersiar di Dewan Masyarakat Disember 2008).

Terima kasih para mentor MPR 2006;
kak Nisah, kak Rai, abang Lutfi, abang Din dan ustaz Zaid, kerana mereka kami, mantan 2006, masih ingat pada apa yang disebut 'tanggungjawab penulis'. Begitu juga kepada para senior MPR yang lain; kak Salina, abang Faisal dan yang lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama), mereka inilah penunjuk jalan sangat baik hati. Jujurnya, sampai sekarang pun saya masih lagi meminta nasihat dan pendapat kak Nisah dalam beberapa hal. Jasamu dikenang, kak!

Wah saya pun tak tahu kenapa saya menulis begini, melankolika pasca diskusi ni. Ucapan begini biasanya ada dua; ucapan orang yang mahu berhenti menulis atau ucapan orang yang menang anugerah. Tapi saya masih bukan di mana-mana. Haha.

Inilah penyair yang dipinggirkan oleh manusia pada zamannya,
Dan hanya dikenali sesudah jasad ditinggalkan
Dunia pun mengucapkan selamat tinggal dan kembali ia pada Ilahi

Inilah penyair yang tak meminta apa-apa dari manusia
kecuali seulas senyuman

Inilah penyair yang penuh semangat dan memenuhi cakerawala
dengan kata-kata indah

Namun manusia tetap menafikan kewujudan keindahannya
......................

Dan oh para penyair,

Kalian adalah kehidupan dalam kehidupan ini:
Telah engkau tundukkan abad demi abad termasuk tirainya.
Penyair..

Suatu hari kau akan merajai hati-hati manusia
Dan, kerana itu kerajaanmu adalah abadi.

Penyair..periksalah mahkota berdurimu..
kau akan menemui kelembutan di
sebalik jambangan bunga-bunga Laurel...

Petikan puisi Penyair, Khalil Gibran

Saya akan menulis tentang diskusi nanti, tunggu gambar-gambar yang menarik.

Tuesday, January 13, 2009

MAJLIS DISKUSI KARYA MANTAN MPR 2009

Semua ahli kelab alumni, para penulis, pembaca, penelaah, pemerhati, peminat dan pencinta ilmu sastera tanah air dengan segala hormatnya diundang untuk menghadiri Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2009. Maklumat lanjut di entri sebelum ini.

Bila lagi nak lihat pelbagai golongan manusia dalam berbeza bidang profesionalisme dan tentu sekali berbeza pemikiran dikumpulkan di bawah satu nama, 'penulis'. Bila lagi nak lihat penulis menjadi penyambut tetamu, cerpenis menjadi pengacara majlis, novelis menjaga kaunter pendaftaran, penulis juga menjadi promoter, penyair menjadi technician (eh siapa tu?) dan macam-macam lagilah. Contohnya seperti sekarang ini, saya sudah menjadi promoter.

Kami, junior-junior MPR ini akan berusaha sedaya-upaya untuk memastikan kelancaran majlis.

tengok ni, kami bermesyuarat dengan tekun..

barulah senyum.. eleh senyum ada makna tu. lepas ni pergi mana? =)