Tentang tajuk ini, saya bukanlah seorang yang gemar membalut buku. Sememangnya semua buku yang saya beli dan baca akan dibiarkan tidak berbalut plastik. Entah, mungkin selepas bertahun-tahun terpaksa membalut buku sekolah ketika zaman belajar dahulu, saya merasakan membalut buku tidak cool. Haha.
Tapi, semalam sebuah buku yang tidak begitu bertuah berjaya dibalut. Saya katakan tidak begitu bertuah kerana buku ini adalah buku yang sudah berbulan-bulan saya bawa di dalam beg tangan, tapi dalam berbulan-bulan itu tidak juga habis dibaca. Dari awal tahun sehinggalah sudah hampir mengakhiri bulan kesembilan tahun ini.
Asalnya saya membalut buku tersebut kerana kulitnya sudah sedikit rosak akibat selalu bercampur dengan pelbagai isi dalam beg. Tapi selepas selesai, saya tak fikir ini penyelesaian yang baik supaya saya cepat menghabiskan pembacaan.
Kerana selepas berplastik, saya fikir dia boleh lebih lama lagi menetap di dalam beg. Aduh!
