Saturday, March 28, 2009

AMRULLAH / earth hour

Sejak kebelakangan ini, saya asyik sekali dengan lagu ini. Ketika sedang buat kerja, lagu ini berulang-ulang saya pasang. Betapa selama ini saya sudah terlepas pandang pada hadith ini.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم "لا تزال طائفة من أمتي على الدين ظاهرين ، لعدوهم قاهرين ،لا يضرهم من خالفهم ، ولا ما أصابهم من البلاء حتى يأتيهم أمر الله وهم كذلك , قالوا يا رسول الله وأين هم ؟ قال في بيت المقدس و أكناف بيت المقدس"

Akan sentiasa wujud sekumpulan dari umatku yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walau dipinggirkan dan dirintangi kesusahan kecuali ujian (Illahi) sehinggalah datang ketentuan Allah. Mereka akan tetap sedemikian. Sahabat bertanya 'Di mana mereka itu?' Baginda menjawab 'Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya'
(Musnad Imam Ahmad)



Jadi, apa yang boleh dikatakan lagi. Marilah kita bersama-sama membantu menyelamatkan Palestin. Kalau mampu boikot, boikotlah!

Oh ya, entri ini ditulis semasa earth hour. Sedang bergelaplah ni. Sudah dapat amaran dari Dr. Fahd Razy, 'rosak mata main internet dalam gelap'. Sudah habis tulis entri. Sekarang nak keluar. Maklumlah rumah dah gelap. Hehe.

Wednesday, March 25, 2009

SAMA ATAU TIDAK

Artist: Unknown

Sunday, March 22, 2009

MEMPERKENALKAN

pak mail 3m, dulu-dulu orang panggil mail 4b. tapi semenjak sedar dia bukan belia lagi, pak mail sudah tak aktif dengan belia 4b lagi. dia letak jawatan sebagai pengerusi belia 4b. kemudian orang panggil mail 3m, semenjak dia masuk persatuan mari mengembara, segalanya ada di malaysia.

sebenarnya, dulu-dulu hampir setiap hari pak mail pusing kampung dengan motor kapcai. ajak orang kampung mengembara. satu orang pun tak ikut. dengar-dengarnya, orang kampung bukan suka pak mail sangat. masa dia jadi pengerusi belia 4b dulu, ramai pengikutnya. maklumlah, kalau ada dia di kedai kopi, habis semua orang dibelanja. tapi duit itu pun bukan duit dia, itu duit yb bagi. untuk mengangkasakan belia-belia, biar sampai ke angkasa. kalau yb sibuk, pak mail lah yang jadi vip di hari sukan sekolah atau hari anugerah tadika.

masa tu, kalau pusing-pusing kampung dengan motor kapcainya tu, mahu 4 jam baru habis. mana taknya, bila berhenti tanya khabar, berderet-deret orang salam cium-cium tangan pak mail.


kalau buat program, dia akan pakai bunga paling besar di poket baju, tanda jadi pengerusi. senang cerita, lebih kurang macam pengerusi belia 4b kampung talang dalam cerita man laksa tu lah.

emm tapi itu dululah. dulu. sebelum pak mail rasa dia bukan belia lagi, dan letak jawatan.


Monday, March 16, 2009

Friday, March 13, 2009

MENYIMPAN KARYA DI ALAM MAYA

Bagi seorang penulis, menyimpan karya adalah sesuatu yang sangat penting. Karya yang ditulis bagaikan merakam perjalan hidup. Ini betul, kerana biasanya apa yang ditulis adalah refleks kepada apa yang berlaku di sekeliling.

Menyimpan karya yang tersiar pula menjadi satu kemestian. Selain berkenaan unsur-unsur sentimental (tentunya), penting juga sebagai rujukan.

Selain menyimpan keratan karya, saya membuat satu lagi 'fail' khas di alam maya. Saya gunakan blogspot. Ya, sebuah lagi blog. Mengapa blog? Kerana beberapa aplikasi seperti label yang sangat membantu. Mengapa pula di internet? Tentu sahaja salah satunya kerana rekod ini boleh diakses di mana-mana sekalipun, asalkan ada sambungan internet. Maka kebarangkalian untuk 'hilang' rekod karya itu sangat rendah. Keduanya, dengan pelbagai template yang boleh diubah mengikut citarasa peribadi dan pelbagai 'add-on', saya lebih senang menggunakan blog berbanding lain-lain aplikasi internet storage. Ketiga, Tidak ada had saiz fail. Jadi kalau mahu simpan semua karya termasuk novel pun tidak ada masalah.

Ini contoh fail karya saya. Saya namakan 'fail karya'. Blog ini memang tidak akan dijumpai. Carilah macam mana pun, kalau jumpa pun memang tak akan boleh dimasuki. Memang sengaja saya jadikan fail ini peribadi. Saya saja yang boleh akses. Hehe.

1) Untuk homepage, saya letakkan post mengikut tahun. Karya-karya dalam setiap tahun itu pula saya pecahkan mengikut genre masing-masing. Contohnya untuk tahun 2009, setakat ini hanya ada empat karya yang tersiar dalam dua genre. Jadi ada dua sahajalah. Kalau ada genre-genre lain yang tersiar, akan ditambah. Artikel, bab-bab novel atau resensi contohnya. Memang saya setkan muka depan ini dengan senarai karya sahaja. Salinan karya tidak diletak di depan.

2) Di sebelah kiri, di bawah gambar, adalah senarai label. Untuk memudahkan carian, saya labelkan mengikut tahun-genre dan media. Jadi mudahlah untuk tengok 'berapa karya yang tersiar genre ini tahun ini' atau 'berapa karya yang sudah tersiar dalam media ini' kerana di bahagian label akan diletak bilangan.

3) Setiap entri baru saya buat untuk setiap karya yang tersiar. Contohnya satu cerpen tersiar, saya buka satu entri dan pastekan keseluruhan cerpen tersebut. Kemudian kalau rajin saya masukkan juga gambar scan muka surat cerpen. Kalau rajin lagi bolehlah tambahkan proses kreatif dan sebagainya. Selepas itu labelkan dengan tahun-cerpen (contoh: 2009 - cerpen) dan media (contoh: Dewan Kosmik). Jadi jika saya mahu baca kembali cerpen itu saya boleh klik pada mana-mana satu label. Kalau rajin lagi, boleh buat link terus daripada senarai karya di homepage tadi ke post karya yang berkaitan.


Sengaja saya buat entri ini, sebagai idea permulaan kepada sesiapa yang mahu simpan karya online. Tapi kalau penulis yang sudah sepuluh tahun menulis mahu mula buat macam ni jenuh jugalah nak masukkan karya-karya yang banyak. Boleh, tapi mungkin akan makan masa lama sedikit, itu saja.

Jadi lepas ini tak adalah masalah sangat mahu kira bilangan karya yang tersiar. Kalau mahu baca semula boleh klik klik saja. Tak adalah pening sangat nak buka folder sana sini dalam hard disk.

Tuesday, March 10, 2009

YANG GHAIB-GHAIB

pertama;

Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW baginda bersabda:”Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu:
1) Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah.
2) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah.
3) Tiada seorangpun yang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah.
4) Tiada seorangpun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah
5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah.

kedua;

Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Tidak ada penularan, tidak ada pengaruh atau tanda bahaya daripada suara burung dan tidak ada hantu.

Monday, March 02, 2009

BLOG RASMI MPR DISERANG PENUNJUK PERASAAN?

warkah panjang untuk 'guest' @ '?'.

ke hadapan 'guest' @ '?' (ini adalah orang yang sama),

sebenarnya agak sukar untuk saya mulakan warkah ini. lebih sukar daripada mahu menulis ayat pertama cerpen rasanya. cuma selepas beberapa kali awak menjerit di shoutbox blog rasmi MPR, saya seperti sangat tertarik. mungkinkah awak menyimpan tekanan emosi yang sangat tinggi, atau awak ada frust cinta dengan mana-mana mantan (oh ini hipotesis seorang senior yang lain, bukan saya kata), sampaikan awak selalu kelihatan seperti tidak puas hati dengan mantan-mantan ini. atau hipotesis saya, mungkinkah awak mahu menjadi moderator? kerana terus-terusan mengacau-bilaukan blog itu. bukankah itu seperti taktik politik, awak kacau-bilaukan, kemudian awak datang sebagai penyelamat. dan tentu sekali awak akan jadi hero (atau heroin). oh ini hanyalah draf cerpen saya rasanya, bukan ditujukan untuk awak.

biarlah saya berterus terang saja. memanglah itu bukan blog saya (kerana itu saya menulis warkah ini di sini, bukan di sana), tapi saya seperti sangat geram memandangkan jeritan-jeritan awak selalu mengganggu ketenteraman perkampungan itu. analoginya seperti jeritan langsuir yang mengganggu di tengah malam, sekali dua memang orang akan buat tak tahu, tapi kalau selalu pasti surau akan buat bacaan yassin dan jampi garam kasar.

jadi begini, memandangkan awak juga seorang mantan, perbuatan 'baling batu sembunyi tangan' seperti ini sangat tidak baik. kalau betul awak tidak puas hati, boleh suarakan tanpa berselindung diri, tak ada masalah di pihak saya mahupun mantan yang lain, hatta para senior sekalipun, saya pasti. memandangkan awak mempunyai nama yang baik, nama pena yang baik, identiti yang baik, pendidikan yang baik, juga karya-karya yang baik, adalah tidak wajar awak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan yang baik-baik ini.

seperti jeritan awak bahawa awak menyesal menyertai MPR, itu adalah masalah awak sebenarnya. cadangan saya, awak boleh larikan diri saja daripada MPR. Tak perlu jenguk blog sekalipun, jika itu akan menyakitkan hati awak.

tentang pertanyaan awak mengapa perlu baik-baik mengucap tahniah, saya tidak ada jawapan. saya mengucap tahniah kerana saya rasa mereka itu layak menerimanya, saya menerima ucapan tahniah dan menjadikan itu minyak membakar sumbu penulisan saya. saya rasa waktu awak memberi soalan itu tidak berapa sesuai, sepatutnya awak bertanya semasa orang lain mengucap tahniah kepada karya-karya awak. tetapi mengapa awak jawab 'terima kasih'?. dan lebih menarik juga apabila awak menjawab 'terima kasih' menggunakan nama awak.

beginilah, saya memang belum mandapat title network engineer dan saya pun jarang-jarang melayan komen-komen di shoutbox MPR dengan serius, tapi saya sangat sukakan hal-hal mencabar seperti menjejak pengacau-pengacau yang merahsiakan diri ini. sebagai moderator yang beretika, sekarang rahsia ini hanya kita berdua sahaja yang tahu. hahaha. saya harap awak berhenti mengacau-bilaukan blog itu. tapi jika awak tidak berhenti, sekali lagi, sebagai orang yang beretika, saya tidak akan menghantar garuda melanyak blog awak pula, tapi mungkin hal ini akan bocor. maklumlah orang perempuan memang suka berkongsi rahsia. awak pun tentu maklum kan.

sebenarnya awak memang wajar berhenti mengganggu begitu, saya hormati awak, janganlah sampai rasa hormat saya hilang dan diganti dengan rasa sebaliknya pula. sebagai penulis yang diajar tentang amanah, tentu saja kita perlu bertanggung jawab dengan apa yang kita tulis. sudahlah awak menggunakan ejaan tak betul. ish ish ish.

sampai di sini sahajalah dulu warkah saya. tak apa, saya tak mengharap awak balas pun. kalau ada masa dan saya rajin, saya akan tunjukkan cara yang betul bagimana mahu sembunyi tangan kalau membaling batu ke arah yang tidak sewajarnya. bukankah dalam karya yang baik perlu ada saranan. heh tapi menyarankan hal tidak baik adalah tidak wajar dalam karya sastera yang baik. jadi, mungkin saya akan fikirkan dahulu tentang itu.

Sunday, March 01, 2009

PECAHKAN TEMPURUNG

Saya tonton filem selamat pagi cinta semalam. Uh saya memang selalu lambat menonton filem. Melainkan filem milik pengarah-pengarah, penerbit-penerbit atau jalan-cerita-jalan-cerita yang saya suka, cepatlah saya tonton. Lain-lain, saya 'rembat' saja di mana-mana. Lagipun sebenarnya bila tengok iklan saja dah boleh tahu menarik atau tidak, kalau tak menarik tunggu sajalah dua bulan, lepas itu adalah filem itu di mana-mana. Heheh.

Tentang SPC? Lah ini satu lagi filem cinta remaja yang tak ada apa-apa. Tapi memanglah taraf filem remaja Malaysia di sini saja agaknya. Em skrip pun merapu-rapu, dan seorang pelakon lelaki tu, rasanya dia tak sesuailah jadi pelakon. Wakaka. Begitupun mujurlah filem ini tidak sebodoh filem I'm Not Single atau 9 September. Dua filem itu, masyaAllah.. INS saya tonton juga sampai habis walau bepuluh kali klik forward, 9 September memang saya tengok 10 minit saja.
Memang jauhlah bezanya jika dibanding dengan Ayat-ayat Cinta atau Princess Diaries atau filem-filem luar yang lain.

Satu sajalah yang saya suka dalam SPC, ada watak Pak Agi semasa scene awal. Saya tunggu-tunggu juga kalau-kalau ada lagi wataknya. Tapi rupanya memang satu scene saja.


Filem remaja yang saya rasa bagus seperti KAMI dan Budak Kelantan. Filem-filem ini mengangkat satu sisi yang lain. Tapi sayangnya, sisi-sisi itu perlu melalui aspek-aspek negatif untuk ditonjolkan.

Saya tak boleh komen banyak-banyak, sebab saya tak pernah pun tulis skrip, berlakon, apatah lagi mengarah drama sekalipun. Cuma harapan sajalah. Semoga ada perubahan.

Mungkin sudah sampai masanya dibanyakkan filem adaptasi dari novel sastera remaja, novel sastera, bukan novel pop. Kalau lihat kejayaan AAC, Laskar Pelangi atau Princess Diaries sekalipun, semua ini adaptasi novel. Malah Slumdog Millionaire pun sama.

Novelis sastera Malaysia banyak idea-idea segar lagi bernas! Penerbit-penerbit perlu ambil perhatian. Saya rasa ramai pengarah dan penulis skrip mahu melakukan sebegini, tapi mungkin dasar penerbit mesti sampai 'pecah panggung' saja, bukan 'pecah tempurung'.

InsyaAllah, perkara keempat yang akan saya buat bila jadi jutawan nanti ialah terbitkan filem Melayu Islam yang hebat! :D