Friday, May 31, 2013

Taman dan Seorang Teman

Petang ini, sengaja saya membelek lagi kumpulan puisi Chairil Anwar - Aku Ini Binatang Jalang. Niat di hati, saya mahu carikan sebuah sajak Chairil yang sedikit 'lembut' untuk diberikan kepada seorang teman yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. 

Teman saya ini, menurutnya, namanya diberikan oleh ayahnya bersempena nama Chairil Anwar, dengan salah satu sebabnya adalah kerana sajak Penerimaan.

Tapi akhirnya saya hanya menemukan sajak Taman, yang ini bukan didedikasikan untuk dia, sekadar untuk saya baca. (ehem bimbang juga pasangannya marah nanti. haha)

Taman

Taman punya kita berdua
tak lebar luas, kecil saja
satu tak kehilangan lain dalamnya.
Bagi kau dan aku cukuplah
Taman kembangnya tak berpuluh warna
Padang rumputnya tak berbanding permadani
halus lembut dipijak kaki.
Bagi kita bukan halangan
Karena
dalam taman punya kita berdua
Kau kembang, aku kumbang
aku kumbang, kau kembang.
Kecil, penuh surya taman kita
tempat merenggut dari dunia dan 'nusia

Chairil Anwar
Maret 1943


Untuk teman saya itu (kalau berkesempatan dia membaca), saya ucapkan semoga berbahagia. Maaf kerana tidak dapat ke Johor esok. Sejujurnya saya memang ingin sangat meraikan hari bahagiamu, juga meraikan persahabatan unik kita.

Selamat pengantin baru.

Saturday, May 25, 2013

Kemanusiaan, Budaya dan Agama dalam Ayam Patah Kepak

Tajuk: Ayam Patah Kepak
Penulis: Hafizah Iszahanid
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Terbit: 2013
Nombor Resit: ITBM02000002

Ayam Patah Kepak, ini merupakan kumpulan cerpen pertama Hafizah Iszahanid. Memang saya ternanti-nanti kumpulan cerpen ini dan penantian itu ternyata berbaloi apabila naskhah berkulit putih bersih ini diterbitkan awal bulan lalu. Kebanyakan cerpen di dalam kumpulan cerpen ini mengangkat tema kemanusiaan dan lebih cenderung diisi dengan elemen budaya dan jati diri beragama. Ini boleh dibaca jelas dalam 13 cerpen yang terkandung di dalam buku ini.

Cerpen pertama, Adiba Seorang Ultraman, mengangkat isu masyarakat, tentang Adiba seorang ibu muda yang mahu ‘lari’daripada AIDS dan ini menemukan Adiba dengan “saya”, seorang doktor. Kisah ini bukan tentang perjuangan dengan diri sendiri semata-mata, tetapi juga dengan masyarakat dan kaum keluarga.

Ayam Patah Kepak yang diangkat menjadi judul buku mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Cerpen ini membawakan watak Riyan yang mahu mengangkat idea komunisme, dengan alasan persamaan perjuangan – komunisme menolak penindasan,, ketidakadilan dan menentang kapitalisme. Tapi dalam masa yang sama, dalam mipinya dia melihat lelaki dengan tengkolok Helang Menyongsong Angin dan dia tahu mimpi ini mahu membawakan makna sesuatu. Lelaki ini datang lagi kemudian, kali ini dengan destar Ayam Patah Kepak.

Beberapa cerpen membawa tema cinta dan agama. Antaranya Nama Saya Ling Mei Ling, Kami Bertemu di Brussels dan Lari dari Katrina. Kami bertemu di Brussels menggugah pembaca dengan persoalan cinta dan pesona, yang mana sebenarnya?

Hati Yang Parah dan Menjadi Perempuan membawa isu wanita yang lari daripada kebiasaan. Hati yang Parah adalah sebuah kisah tentang Zana, muslimah yang teguh dalam perjuangan tapi kalah melawan dirinya sendiri dan pujuk rayu teman “seperjuangan”. Penceritaan segar dibawa dalam Menjadi Perempuan, latar moden berganti dengan cerita dari zaman Dinasti Tang tapi membawa jalan yang sama –tentang wanita yang mahu (dan terpaksa) jadi jelita.

Dalam Dakapan New York bukanlah sebuah kisah romantis, tapi dengan lembut cerpen ini mengangkat isi sejagat, tentang cakna pada isu agama dan perjuangan yang sebenar. Lari Dari Katrina pula bukanlah cerpen sedih. Cerpen ini bercerita tentang Kathrine, seorang gadis Amerika yang memilih Islam dan memilih suami lalu meninggalkan dunia lamanya. Tapi dugaan datang kuat apabila dia diasak kembali dengan cita-cita lama untuk menjaid penyanyi dan masalah rumah tangga. Pengarang menyusun plot dengan sangat baik dan membuatkan saya sedikit terkejar-kejar mahu tahu pengakhirannya.

Emosi yang sama juga berlaku dalam cerpen Ryan & RM200,000. Ryan, seorang doktor pakar dikaburi dengan bayaran besar untuk melakukan IVF untuk seorang penyanyi dengan sperma sang kekasih. Memang, dengan RM200,000, Ryan mahu saja menutup mata pada hal etika dan agama.

Saya juga merasakan cerpen Istimewa istimewa. Cerpen ini disusun dengan begitu baik meski masih cuba “menyimpan” identiti sebenar seorang lelaki bernama Istimewa.

Cerpen terakhir, Pala Tumpa’ Kayau Indau adalah tentang Hanis, seorang Iban-Islam yang mahu membawa pua ke mata dunia. Tapi dia perlu mengorbankan tradisi, menurut indainya, dan semngat pua itu sendiri.

Seperti yang saya tuliskan di awal tadi, meskipun rencam dengan tema kemanusiaan dan isu-isu lain, cerpen-cerpen dan kumpulan cerpen ini diikat dengan agama dan budaya. Bagi saya, inilah kekuatan sebenar buku ini. Unsur budaya paling ketara dilihat dalam Ayam Patah Kepak dan Pala Tumpa’ Kayau Indau. Kehadiran lelaki kacak yang saya kira menyalin sejarah Raja Muhammad-Tun Besar dalam mimpi Riyan membawa makna yang cukup besar. Begitu juga pertelingkahan antara adat dan agama dalam meneruskan tradisi pua yang diolah dalam Pala Tumpa’ Kayau Indau.

Walaupun cerpen-cerpen seperti Lari Dari Katrina, Kita Bertemu di Brussels dan Dalam Dakapan New York mengambil tema luar negara, isu Islam tetap diolah dengan baik sekali.

============================================ 

Top 3 cerpen pilihan saya: Pala Tumpa’ Kayau Indau, Istimewa, Kami Bertemu di Brussels

Ada beberapa sebab saya gemar membaca kumpulan cerpen. Cerpen itu sendiri yang tidak panjang, mudah untuk dibaca berhenti-henti -sesuai untuk dibaca dalam perjalanan atau hanya pada waktu senggang. Tidaklah terlalu menjadi ‘terikat’ kepada cerita atau watak jika terpaksa berhenti membaca dahulu.

Thursday, May 16, 2013

Lalang

..sekadar lalang ditiup angin