Baru beberapa hari lepas saya tulis tentang rumah di Ipoh yang sudah lama tak saya jenguk. Lewat petang semalam, baru saya diberitahu yang rumah kena pecah masuk lagi.
Sebelum ini pernah saya tulis tentang beberapa kali cubaan pecah masuk ini berlaku. Yang pertama apabila tingkap bilik saya cuba dikopak hampir pukul 2 pagi, ketika saya sedang bersantai-santai dengan laptop dan lampu terang benderang. Mujur lekas sedar dan orang itu cabut lagi. (Tingkap yang sama tempat saya menghendap biawak). Rupanya ketika itu sebuah kereta yang tak berkunci sudahpun digeledah habis.
Kemudian ada beberapa cubaan membuka atap, alhamdulillah, yang itu pun masih dipelihara Allah lagi.
Kali terakhir, saya kira lebih kurang hampir sepuluh bulan juga, perompak cuba kopak pintu dapur. Ditakdirkan Allah malam itu saya tidak boleh lelap. Tapi tergerak untuk bergelap dan cuba-cuba tidur, lagipun semua ahli keluarga lain sudah lena. Kira-kira baru pukul 10.30 malam, baru saja saya rasa mahu bangun buka tv yang memang ada dalam bilik saya, nampak seperti cahaya lampu suluh pada tingkap, kemudian ada bayang-bayang manusia cuba mengintai ke dalam. Kemudian hilang dan selang beberapa minit saya dengar bunyi tingkap dapur (yang awalnya saya sangkakan pintu) sedang dikopak. Dipendekkan cerita, apabila perompak itu sedar ada orang sedar, dia lari. Tak sempat ditangkap walaupun sudah dihubungi beberapa orang untuk stand-by tunggu di belakang.
Yang terbaru ini, dipecah masuk ketika hari siang. Ayah dan mak kerja, manakala adik ke sekolah. Tidak dapat dinafikan, memang mudah nak tahu kalau rumah saya tak ada orang. Kalau semua kereta tak ada dan basikal adik pun tak ada, maka memang tak ada oranglah. Melainkan kalau saya bercuti.
Mengikut kata mak saya, tingkap dapur (yang cuba dikopak dulu) terkopak, kemudian segala engsel dan kunci pintu dikopak. Satu lagi pintu dapur yang sengaja disendal dengan rak besi turut dibuka dan satu pintu depan dibuka. Menurut ayah, ini supaya dia senang lari kalau ada orang mengepung. Orang serbu satu pintu, dia boleh lari ke pintu lain. Bab ini saya memang tabik dengan ayah. Fikiran pencuri pun boleh dibacanya. Haih.
Berbalik soal rumah tadi. Habis bilik saya dan bilik utama digeledah. Ada sedikit barang kemas mak hilang, termasuklah cincin kahwin yang terlupa dipakai pagi itu. Mujurlah mak saya bukan jenis yang menyimpan sekotak barang kemas dalam almari macam dalam drama tv. Begitu juga duit tabung adik dalam biliknya. Bilik saya hanya ada baju dan buku saja pun. Dari satu sisi, mujurlah memang tiada orang langsung di rumah, atau keadaan jadi semakin bahaya.
Tentulah ini peringatan Allah. Apabila lama tak ada cubaan orang masuk, kami pun jadi sedikit terleka dan saya pun lupa mendoakan rumah yang satu itu.
Risau jugalah sekarang. Orang itu sudah berjaya masuk. Segenap rumah sudah diketahuinya. Tentu sudah dikira siling mana yang boleh dibuka. Grill mana yang boleh dibuka. Kalau dalam hal komputer, apabila hacker berjaya saja masuk sistem, perkara pertama yang akan dilakukan ialah install backdoor, seperti maksud pintu belakang, supaya lain kali dia dapat masuk lagi tanpa dikesani.
Doakanlah kami, semoga sentiasa dalam lindungan dan rahmat Ilahi. Perompak itu, semoga dia insaf dan bertaubat.