Friday, December 04, 2009

CERPEN: H2O2 Dari Anortosit Lunar Terrae

awal malam tadi saya pergi membelek-belek majalah di kedai mamak bersama teman seMPR, ainunl muaiyanah, yang puisinya tersiar di tunas cipta. ramai juga rakan-rakan yang karya mereka tersiar di TC bulan ini.

karya saya di TC tidak ada, tetapi ucapan terima kasih saya kepada pihak editorial dewan kosmik yang sekali lagi menyiarkan cerpen saya di majalah tersebut.


sebuah penutup tahun yang baik bagi saya sebagai orang yang baru mahu belajar menulis kreatif. ini menjadikan keseluruhan cerpen saya yang tersiar tahun ini 3 buah dan , ya, ketiga-tiganya tersiar di Dewan Kosmik!

Secara jujurnya, H2O2 dari Anartosit Lunar Terrae ini adalah yang paling saya suka grafiknya. Kereta terbang yang sofistikated. hehe melebihi bayangan saya. yang paling saya suka ceritanya juga ...


Saturday, November 28, 2009

MENCARI PENYAIR

sebetulnya, memanglah catatan ini terlambat. sedikit cerita-cerita tentang perhimpunan penyair nusantara tempoh hari.

selepas pasti bahawa yang di sebelah saya ialah penyair jamaludin d, saya beranikan diri menegur beliau. banyak sekali nasihat yang saya dapat, rancak juga saya bertanya itu ini kepada beliau, dan rancak sekali beliau bercerita dalam masa orang sedang berpuisi di atas pentas ketika majlis perasmian ppn itu.

menemui dan menegur beberapa penulis senior, saya dapati mereka ini golongan yang punya setempayan penuh (malah lebih) pengalaman. dekatilah mereka, maka mereka akan mencurahkan isi tempayan itu tanpa sempat kita tadah lagi.

menegur penulis mapan memanglah sesuatu yang sukar. pertama kerana kerdilnya saya, kedua kerana bimbang tersalah orang. malam itu, banyak kali saya dan yana bermain-main mata dengan maksud 'itu siapa?'. haha maklumlah, penyair, terutamanya, jarang sekali mendapat publisiti, dapat pula dengan kami yang tidak meluangkan masa mencari foto-foto para penyair ini.

biarlah kami berman-main mata dahulu, apabila sudah pasti kami akan 'menyerang' mereka ini. seperti mana yang berlaku pada malam tersebut...

Wednesday, November 18, 2009

NASI KERABU TANPA BUDU

Saya belum pernah makan nasi kerabu di kelantan. tapi nasi kerabu boleh dikatakan ada di mana-mana dalam satu malaysia. kadang-kadang saya suka juga makan nasi kerabu, dan memang setiap kali, saya akan cakap supaya jangan letak budu.

semasa tahun pertama di uni, saya pernah pesan pada seorang kawan yang berasal dari kelantan supaya bawa balik budu ke uni. saja teringin nak rasa. hehe tapi baru ambil bau sudah tak boleh masuk.

berbalik soal nasi kerabu tak berbudu tadi, sampai sekarang sebenarnya saya masih tak pasti yang dinamakan 'budu' tu yang mana. kalau beli di pasar malam, saya cakap saja 'jangan letak budu ye', jadi mana kuah yang tidak dicedokkan itulah budu. kalau dia letak juga.. mana-mana bahagian yang ada rasa masam-masam saya tinggalkan.

Sunday, November 01, 2009

KONSPIRASI MIS I

Mungkin penulisan saya agak perlahan kebelakangan ini. Tapi November ini sebuah cerpen tersedia untuk dibaca. Secara rasminya, ini merupakan cerpen kedua yang tersiar pada tahun ini selepas Pabila Hujan Turun dalam Dewan Kosmik Februari 2009.


Konspirasi MIS i

Dewan Kosmik, November 2009


Memang tidak produktif. Tapi bolehlah, daripada tak ada langsung :)

Senarai 'satu bulan satu puisi' semenjak Ogos;
  1. Sayap-sayap Cinta (Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2009)
  2. Lautan Duga ii (Berita Minggu, 27 September 2009)
  3. Menggoncang Percaya (Suara Keadilan bil. 201, 6-13 Oktober 2009)


Tuesday, October 27, 2009

MEMBINA WEBSITE

Ada yang bertanya pendapat saya tentang penggunaan domain sendiri. Jadi semasa lapang, saya sengaja meneroka perkara-perkara baru dan salah satu yang paling menarik perhatian saya ialah pakej GDI.

GDI sebenarnya lebih terkenal sebagai program affiliate berbanding servis laman web. Jika ada yang berminat untuk membina laman web syarikat atau persendirian yang profesional pada kos yang jauh lebih rendah, saya syorkan GDI. Pakej GDI (samada domain .com, .net, .org, .ws dan lain-lain) ini menyediakan:
  1. Sistem WeBuilder - aplikasi pereka bentuk laman web dengan sejumlah besar template percuma
  2. Alamat E-mail - 10 alamat e-mail @domain
  3. Kapasiti hosting sebanyak 100MB - server yang besar dan pantas
  4. Juga (jika berminat) boleh menjana pendapatan dengan komisyen

Harga: RM35 sebulan

Pakej website ini sangat sesuai untuk laman web persendirian atau syarikat-syarikat kecil. Jika dikira dengan kos, biasanya purata harga domain sahaja RM150 setahun (lebih kurang). Murah bagi yang boleh mereka laman web sendiri atau syarikat kukuh yang mempunyai web designer sendiri. Tetapi bagi orang persendirian atau syarikat yang perlu mengupah freelance, bayaran profesional boleh mencecah RM1000!

Dengan aplikasi WeBuilder dalam pakej ini, tak perlu memahami html pun. Kalau mahu cuba dahulu, samada untuk mereka laman web atau mencuba program affiliate, setiap pendaftaran akan diberi free trial selama seminggu. Boleh cuba dahulu, jika tidak puas hati, batalkan akaun sebelum tempoh 7 hari berakhir supaya anda tidak perlu membuat pembayaran. Daftarlah dengan link saya, boleh saya dapat komisyen :)


Sunday, October 25, 2009

CINTA HATI KITA

Salam Zulkaedah.

Saya baru sahaja menyudahkan pembacaan novel Cinta Hati Kita oleh H.M. Tuah Iskandar. Novel yang saya terima sebagai hadiah.

Sedikit sebanyak, harus saya akui bahawa novel ini punya citra motivasinya yang tersendiri. Meskipun pembacaan kerap kali terganggu dengan selitan teks-teks daripada novel karya penulis yang sama, Enrique Mengundang Jauh yang pernah memenangi hadiah sastera utusan.

Beberapa bab awal juga lambat bergerak. Setiap bab awal menjadi pengenalan kepada watak-watak novel menyebabkan susunan cerita kadang-kala tidak konsisten. Tetapi apabila sampai kepada plot pertemuan sesama watak, penceritaan jadi mudah difahami dan gaya santai penulis ini menjadikan proses 'membaca sambil berfikir' berlaku seiring, walaupun beberapa kali terpaksa mengulang baca bab awal untuk memahami plot.

Selepas membaca novel ini, rasa teringin untuk mengulang baca kembali novel Enrique Mengundang Jauh dan mengundang kembali jati diri Melayu yang sekarang ini bercelaru di negaranya sendiri.

Saturday, October 24, 2009

PEMBACA ALAM

Saya sedang cuba-cuba untuk tenggelam dalam lautan buku. Setelah lama menjadi pembaca alam, tetapi tetap gagal menjadi penterjemah yang faham segala rahsia.

Sunday, October 11, 2009

MAJALAH PENGANTIN


Sambil menunggu kawan di kaki lima jalan, saya pun memanjangkan langkah ke gerai majalah berhampiran.

"Ini tengok majalah baru sampai," kata aci penjaga gerai sambil menghulurkan majalah tebal bertulis 'Pengantin' kepada saya.

"Tak apalah tengok-tengok saja." Jawab saya pula sambil tersenyum-senyum.

"Ini pun baru juga." Dia hulur pula sebuah majalah dengan kulit depan gubahan hantaran.

'Err apa hal pulak asyik hulur majalah ala-ala pengantin saja ni. Sudahlah datang seorang. Muka pun macam orang baru masuk U,' kata saya dalam hati sambil memuji-muji diri sendiri.

Dia ambil majalah Keluarga pula, tapi sebelum sempat dia hulur saya sudah lekas-lekas permisi ke tempat lain.

Apabila direnung-renung ke belakang, barulah saya faham. Patut pun, tadi saya berjalan dari arah bangunan dua tingkat yang bertulis ' Kursus Perkahwinan'.

p/s: ini hanyalah tulisan blog yang merapu.

Tuesday, October 06, 2009

MENYIMPAN KARYA DENGAN SELAMAT

Kerosakan komputer samada berkenaan serangan virus atau kemusnahan hardware memang sangat menguji kesabaran. Bagi para penulis, tentunya hal ini lebih menyakitkan apabila manuskrip yang ditulis beberapa lama lenyap begitu saja tanpa ada backup. Malah Allahyarham SN Arena Wati juga pernah merasai hal ini terhadap manuskrip novel hebatnya; Armageddon yang akhirnya tertunda begitu lama untuk penulisan semula.

Malah kepada bukan penulis juga, kehilangan kerja-kerja penting atau gambar-gambar kenangan memang menyedihkan.

Jadi seiring dengan teknologi, selain daripada melakukan backup kepada beberapa media seperti pendrive dan cd, terdapat banyak ruang simpan internet (internet storage) yang boleh digunakan dengan percuma. Salah satu yang telah lama saya gunakan dan dijamin berkesan ialah Dropbox.

Apa yang menarik, Dropbox boleh dipasang di beberapa komputer. Sebagai contoh, anda pasangkan (install) di komputer riba dan komputer pejabat. Dropbox di kedua-dua komputer ini akan syncronise, katakan anda simpan sebuah manuskrip novel dalam komputer riba, tetapi terfikir untuk menyudahkannya di komputer pejabat, buka Dropbox, sambung tulis dan save. Manuskrip yang di komputer riba juga akan updated. Sama juga jika anda menambah fail-fail baharu di komputer pejabat, fail-fail itu juga boleh didapati dalam Dropbox di komputer riba. (amaran: ini hanya contoh, tidak seharusnya menulis novel pada waktu kerja :)

Selain dari komputer-komputer yang anda pasangkan, fail-fail dalam Dropbox anda juga terdapat di internet. Anda juga boleh pilih jika mahu kongsikan fail tersebut dengan orang lain melalui laman web Dropbox.

Baiklah, mari lihat cara ringkas memasang Dropbox:

  • Langkah 1: Masuk ke laman web Dropbox.
  • Langkah 2: Isikan nama, emel, dan kata lalauan yang anda mahu untuk akaun Dropbox. Klik create account.
  • Langkah 3: Ikuti overview atau klik saja butang Download Dropbox di bahagian bawah.
  • Langkah 4: Muat turun dan install terus Dropbox ke komputer anda.
  • Langkah 5: Install Dropbox anda ke beberapa komputer lain jika perlu.

Selepas install, folder Dropbox sudah boleh digunakan. Anda ada 2GB ruang. Jangan lupa simpan fail dalam folder Dropbox. Untuk akses di internet pula, masuk saja ke laman web Dropbox dan login.

Selepas ini jika hard disk crash, kita masihlah boleh senyum-senyum lagi =)

Saturday, October 03, 2009