Facebook banyak membuka kenangan lama. Laman sosial yang menjadi ‘kafe’ bertemu rakan-rakan lama dan menyingkap kenangan silam. Pagi ini, semasa melihat gambar-gambar ‘tagged’ di facebook, saya terimbas kembali zaman berpersatuan. Saya tiba-tiba terfikir adakah persatuan yang saya sertai semasa bersekolah dahulu membentuk siapa saya sekarang.

Sejak boleh memilih persatuan sendiri, bermula di tingkatan dua, saya menyertai Kelab Pidato. Sangat kontra kerana saya langsung tidak pernah malah tidak mahu berucap di hadapan khalayak. Rasanya saya memilih kelab ini kerana ini merupakan antara kelab paling aktif pada waktu. Dengan pelbagai program yang dianjurkan saban minggu. Ya, inilah yang saya suka; menganjur dan menguruskan sesuatu program. Oh ya, dan kami dapat trofi Kelab Terbaik pada tahun itu.
Menganjak ke tingkatan tiga, saya masih dengan kelab yang sama. Masih terus merancang dan menguruskan aktiviti-aktiviti ‘wajib’ seperti pertandingan debat dan pelbagai lagi. Petang Rabu menjadi hari yang ditunggu-tunggu. Dalam waktu perjumpaan dua jam itu kami akan bermesyuarat bersama semua ahli dan diselang-selikan dengan aktiviti dalaman kelab yang sangat menarik. Tetapi pada tahun itu, trofi Kelab Terbaik terlepas kepada kelab lain.
Di tingkatan empat dan lima, (kalau tidak salah) saya menyertai persatuan bahasa. Tingkatan empat di Persatuan Bahasa Arab dan tingkatan lima berpindah ke Persatuan Bahasa Melayu. Dalam masa yang sama juga menyertai Kadet Pertahanan Awam JPA3. Saya sangat benci berkawad. Sebab itu saya pilih pertahanan awam, menjadi anggota penyelamat semasa aktiviti sekolah lebih menyeronokkan.
Di matrikulasi, tiada persatuan. Rasanya matrik adalah tempat untuk belajar sahaja (dan bertemu sebegitu ramai rakan-rakan sebaya. hehehe).
Melangkah ke universiti pula, rasanya perlu buat entri lain kerana baru terasa, banyak juga persatuan dan kelab yang saya sertai semasa di universiti.
Rasanya, walaupun tidak banyak, persatuan dan kelab banyak membantu pembentukan peribadi. Dalam kes saya, saya banyak belajar menguruskan organisasi dan erti tanggung jawab.