Sunday, September 18, 2011

Penerimaan

Penerimaan
Chairil Anwar

Jika kau mau, kuterima kau kembali
Dengan sepenuh hati
Aku masih tetap sendiri
Kutahu kau bukan yang dulu lagi
Bak kembang sari sudah terbagi
Jangan tunduk! Tentang aku dengan berani
Jika kau mau, kuterima kau kembali
Tapi untukku sendiri
Sedang dengan cermin aku enggan berbagi

(Maret 1943)

Penerimaan, sebuah puisi Chairil Anwar yang mungkin tidak begitu mesra dengan pembaca yang biasanya mengenal Chairil dengan "aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang". Penerimaan, menerusi sebuah diskusi dengan beberapa rakan, lama dahulu, kami menyimpulkan ini sebagai sebuah puisi patriotik. selepas belanda menjajah indonesia. Chairil tidak mahu berkongsi negaranya, sedang dengan cermin dia enggan berbagi.

Tuesday, September 06, 2011

Lagu Raya

selamat hari raya buat pembaca blog ini. walaupun ini adalah blog peribadi, saya memohon maaf jika ada yang tidak wajar dibaca di sini.

bercerita tentang hari raya, selain makanan raya dan rancangan tv, yang menarik ialah lagu-lagu raya. saban tahun ada saja lagu-lagu baru untuk bersaing dengan lagu-lagu evergreen. walaupun saya memang boleh dikatakan pendengar radio yang tegar, saya kurang gemarkan lagu-lagu raya. terutama yang dimainkan dalam bulan ramadan dan di pusat membeli belah (sejak bulan syaaban lagi!)

tapi ada juga beberapa lagu evergreen yang saya suka seperti lagu sepasang kurung biru (khairil johari). bukan berdasarkan kisah sebenar ya. tapi saya sukakan lagunya yang perlahan dan unik.



ok ini top 5 lagu raya pilihan saya tahun ini;

1. track 3 & track 4 dalam album anugerah aidilfitri (rasanya dua lagu ni pun dah bosan dengan saya sebab asyik ulang-ulang sepanjang perjalanan balik kampung)
3. raya o yeah - yuna (kalau tajuknya 'cinta di hari raya' akan ada feel raya yang lebih)
4. aidilfitri limpah kurniaan Ilahi - nubhan (sebenarnya pertama kali dengar pada malam raya)
5. bunga api di hati (dari tahun lepas saya rasakan tajuknya agak kelakar, tapi lagu dan liriknya sangat sesuai dengan saya dan kawan-kawan yang jauh)

Monday, August 22, 2011

Kuliah Ramadan

saya fikir sekarang sudah ramai para penceramah yang turun ke dalam masyarakat. dan memang itulah tugas pendakwah, membetulkan masyarakat supaya masyarakat boleh membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

tapi seharusnya kita belajar dengan lebih banyak guru supaya pemahaman lebih luas walaupun kadang-kadang keluasan pemahaman itu mendatangkan keraguan dalam diri sendiri kerana ada hal-hal yang bercanggah sesama ustaz sendiri. kalau ia berkenaan mazhab, tidak mengapa. kita boleh merujuk pada hadis-hadis sahih dan ulama-ulama yang muktabar.

antara pendakwah yang saya fikir sangat mudah diahami kuliahnya ialah ustaz kazim elias. pendekatan beliau kebanyakannya sederhana dan tidak menyukarkan khalayak umum. ada sebuah ceramah lama beliau berkenaan ramadan yang sangat saya suka. sudah beberapa kali juga saya ulang dengar walaupun ceramah ini adalah ceramah lama.

kuliah ini menjawab beberapa persoalan semasa berkenaan solat tarawih, berbuka puasa, bersahur dan sebagainya. di sini juga sudah ada jawapan tentang persolan panjang lebar saya dalam entri yang lepas berkenaan buffet berbuka puasa.

saya kongsikan sumber mp3 di sini. boleh download jika berminat. saya tidak tahu siapa yang upload, tapi kira public domainlah kan :)

Kazim Elias - Digigit Jin

selamat meneruskan pelajaran dalam madrasah ramadan!

Saturday, August 20, 2011

Percaya

kata shakespeare (yang tiba-tiba saya jumpa), love all, trust a few, do wrong to none.

kepercayaan adalah sesuatu yang biasanya sukar diberi. ia tidak pernah datang dalam satu pakej yang mudah. kita boleh berkenalan, berkawan, bersahabat atau bercinta. tapi tidak ada sesiapa yang boleh menetapkan kepercayaan itu akan datang di fasa mana.

ahli falsafah rene descartes pernah menyebut, the senses deceive from time to time, and it is prudent never to trust wholly those who have deceived us even once. dan ini sangat bersesuaian dengan sebuah hadis Nabi s.a.w yang bermaksud "seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali."


selamat menyambung fasa ketiga Ramadan. percayalah kepada Allah :)

Saturday, August 13, 2011

Pertelingkahan

Walaupun sudah masuk ke fasa kedua Ramadan, ada satu pertelingkahan yang masih belum selesai dalam kepala saya. Pertelingkahan dengan diri sendiri. Kalau dalam novel Enrique Mengundang Jauh digambarkan sebagai pertelingkahan hati kecil dan hati besar. Teringin mahu mengulang baca novel tersebut, tapi... ketebalannya membuatkan saya biarkan dulu niat itu.

Berbalik tentang pertelingkahan di dalam kepala saya tadi, saya asyik berfikir tentang trend buffet berbuka puasa. Tak kiralah di restoran makanan segera, di hotel ataupun di restoran biasa. Buffet berbuka puasa biasanya didatangkan dengan pakej sekali bayar kemudian makan selagi terdaya. Ambillah seberapa banyak lauk pun, ulang tambah berapa banyak pun, tak kisah. Asalkan masih mampu makan.

Berbuka sesekali dengan rakan-rakan ataupun meraikan majlis memang seronok. Kita akan berbual-bual sambil makan yang sedap-sedap. Dalam situasi seperti ini, tak kiralah wangnya kita keluarkan sendiri ataupun percuma, kita pasti akan makan selagi terdaya. Jika makan sikit, membazir. Makanan sedap dan bayarannya mahal pula tu.

Jadi kita akan makan untuk mengelakkan pembaziran. Kemudian, dengan perut kenyang berapa ramai yang boleh berlapang hati (dan perut) menunaikan solat? Maghrib mungkin boleh berjemaah sebelum makan makanan berat. Kemudian, solat Isyak dan tarawih (12 rakaat tak termasuk witir tu!!) bagaimana?

Ada satu ‘pihak’ dalam kepala saya yang meletakkan ini sebagai taktik untuk melemahkan umat Islam. Selepas seharian berpuasa, diberi makan sebanyak-banyaknya, kemudian tinggal beberapa peratus saja yang masih mampu bersolat fardhu dan sunat dengan baik.

Hmm tapi kerana namanya pun ‘pertelingkahan’, jadi ada satu ‘pihak’ lagi yang meletakkan ini sebagai perkara yang baik. Berbuka puasa berjemaah, makan sampai tidak membazir sehingga setidak-tidaknya berbaloi dengan apa yang dibayar. Asalkan, paling penting pastikan tempat makan itu menyediakan surau yang selesa dan selepas itu mesti solat tarawih walapun ditunaikan bersendiri di rumah. Lagi pula bukannya hari-hari akan ‘makan besar’ sebegitu. Paling-paling pun (dalam kategori orang macam saya), seminggu sekali saja.

Kemudian sesi hujah ini akan berulang beberapa kali.

Tapi sampai sekarang, pertelingkahan ini masih belum selesai. Ada sesiapa yang sudi memberi pencerahan dalam gelap ini? Adakah di akhir zaman ini memang semua perkara bergantung kepada hati kita sendiri saja? Hmmm..

Oh ya, selamat menjalani ibadah puasa dan yang lain-lainnya!

Tuesday, August 09, 2011

Gerhana Masih Dijual


Sempena Ramadan/Ogos yang menjadikan Gerhana sudah genap setahun di pasaran, dan selepas setahun itu saya masih belum mempunyai novel kedua (haha!), saya kembali membuka kaunter jualan. Ada beberapa naskhah yang masih ada dalam simpanan saya.

Harga buku: RM 13.50
Kos pos ekspress: RM 3.50
Harga termasuk pos: RM 17 15

Jika berminat, sila maklumkan melalui emel kepada nissa.yusof@gmail.com

Selain itu, pembelian boleh juga dibuat secara online di Bookcafe dengan diskaun 15%

Atau tentu saja boleh dibeli di kedai-kedai buku kalau jumpa ;)

Friday, August 05, 2011

Tentang Hari Lahir

Tahun lepas, pada 1 Ramadan, Gerhana selamat diterbitkan. Tahun lepas saya juga ada menulis bahawa impian hari lahir saya adalah untuk membaca novel sendiri. Tercapai rasanya. Walaupun sedikit terlewat, beberapa hari selepas tarikh hari lahir, saya 'makan besar' dengan kawan-kawan; majlis berbuka puasa bersempena meraikan hari lahir bersekali dengan pelancaran Gerhana. 3 dalam 1. Bagaimana melancarkannya? Pada malam yang cerah itu, Gerhana telahpun direbus dalam dua perisa iaitu tom yam dan sup. Sungguhlah...

Tahun ini, tidak ada impian yang besar. Ada beberapa buah buku yang sudahpun saya senaraikan sebagai hadiah untuk diri sendiri. Ehem, baru senarai saja.. Sebelum membeli, ada sesuatu yg lebih penting untuk dilangsaikan.

Baru buat senarai dari diri sendiri, perlu buat juga senarai untuk dituntut dari kawan-kawan. Inilah masanya untuk mengepau :D

Salam Ramadhan untuk semua. Moga kita berjaya meraikan bulan ini lebih baik daripada tahun lalu.

Thursday, July 28, 2011

Persekitaran

Ada banyak perkara yang kita belajar dari persekitaran. Bermula dari zaman membesar, kita belajar daripada persekitaran dalam rumah. Daripada mak, ayah, adik-beradik dan mungkin saudara-mara. Kemudian kita bergaul dengan rakan-rakan sebaya, jiran-jiran. Kemudian zaman sekolah, pergaulan kita semakin luas dan kita melihat pelbagai jenis manusia. Sehingga zaman universiti untuk diploma atau ijazah pertama, bulatan persekitaran kita menjadi semakin besar dan pelbagai. Bertambah lagi dengan pembacaan kita dari buku-buku atau di internet. Kita tahu lebih banyak perkara.

Semakin dewasa, kita semain tidak tahu dari mana kita belajar pelbagai perkara dan apa yang membentuk peribadi kita. Boleh jadi dari rumah, dari jiran, dari kawan-kawan datau dari buku. Ada perkara yang kita belajar semasa melihat orang ketika menunggu bas atau lrt. Ada perkara yang kita tahu dari buku dan filem.

Dari seorang abang yang tak perlu disebutkan namanya, baru-baru ini saya belajar bahawa kita tidak perlu terus bertindak balas dengan sesuatu. Tambah tidak molek lagi menggunakan hujah yang kita baru tahu, atau baru selapis difahami. Mengkritiklah dengan tenang dan ada ilmu. Kritiklah sesuatu kesalahan atau sifat itu berdasarkan sifat dan kesalahan itu sendiri. Bukan sama sekali mengkritik peribadi.

Termasuk bab peribadi, ada sebuah hadis yang saya pegang. Isinya lebih kurang 'apabila membenci sifat seseorang; bencilah sifatnya sahaja, bukan orangnya'. Kita tidak boleh sama sekali membenci manusia kerana 'dia', tapi kita boleh membenci 'perangainya'. Dan jika orang itu sahabat kita, berusahalah untuk menegur kerana itu lebih baik daripada kita memendam atau menceritakannya kepada orang lain.

Tuesday, July 26, 2011

Pusingan Hidup

"Life is a cycle" ulas Pak AGI. Ketika itu kami sedang bercakap tentang kumpulan cerpen Temasha Tinta (A. Samad Ismail). Buku pilihan Encik Khair Ngadiron itu ditulis empat dekad yang lalu dan merupakan refleks Pak Samad (Ismail) terhadap dunia sekitarnya. Wartawan, pengarang, muka dua, muka empat, headline, aktiviti senggang, masyarakat, gaji rendah dan macam-macam lagi.

Pak Samad selalu membiarkan ceritanya mengalir sendiri -begitu sahaja. Tanpa menetapkan tema dari awal. Lalu berakhir pada pembaca juga untuk menilai mesej yang tersirat di dalamnya.

Pelik tapi benar, banyak cerita yang ditulis dalam kumpulan cerpen tersebut berulang lagi dalam dekad ini. Itulah yang disebut dari awal bahawa hidup ini satu putaran. Sejauh mana benar kenyataan bahawa penulis itu meramal masa depan, entahlah.

Saya menulis post ini dari ruang tamu apartment tepi pantai (tak adalah tepi sangat sebenarnya), tenang, damai dan rehat. Selamat berehat untuk anda juga. Jom bersama-sama bekerja sambil bersantai.

Tuesday, July 05, 2011

Tentang Yang Tak Kena

saya baru selesai membaca dua buku comel; Kentang dan Tentang. sengaja membaca Kentang dahulu kerana lebih cepat dan mudah. selak-selak macam lihat album gambar. (barangkali abang saharil akan buat analisis psikologi berdasarkan 'membaca Kentang dahulu sebelum Tentang' atau sebaliknya).

kemudian, saya membaca Tentang dengan lebih perlahan sebab dalam Tentang ada banyak cerita-cerita menarik yang kononnya nak saya hayati seperti tajuk di atas tadi; 'Tentang Yang Tak Kena'. itu sebenarnya tulisan ala bercakap dengan diri sendiri, sejenis terapi yang baik untuk orang-orang macam kami. macam mana? itu rahsia. hehe.

semakin bertambah usia, saya semakin terasa sukar untuk berfikiran 'naif' seperti dulu-dulu. kenapa kita tak boleh fikir semua orang di sekeliling kita baik, berhati mulia dan ikhlas. kenapa mesti kejahatan yang orang buat mengacau fikiran kita, membuatkan kita stress dan kemudian tak boleh tidur sedangkan dia yang kacau kita, dan kita masih tak kacau orang.

hidup, selain tak adil, selalunya akan jadi complicated bila kita semakin dewasa. dahulu kita boleh lihat pelangi cantik dan suka lihat pelangi cantik. sekarang, bila kita lihat pelangi, kita tahu pelangi itu tak datang tiba-tiba. tentu tadi sudah hujan dan kereta yang baru dicuci berkilat tengah hari tadi sudah dipenuhi daun-daun kuning yang digugurkan hujan.

cerita akan jadi complicated lagi kalau selepas itu kita berfikir pula alangkah baiknya kalau tadi kita tak pergi basuh kereta, atau selepas basuh kereta kita tak parkir di bawah pokok, atau lebih ekstrim kalau kita tak kerja di situ; mungkin kereta kita akan tenang di pangkir bertingkat atau bawah tanah.

hidup akan jadi lapang kalau masalah kita hanyalah seperti itu. tapi kalau masalah kita melibatkan orang lain, itu macam jadi disaster yang datang untuk membuat kita bermuhasabah. mungkin hari-hari perlu cakap pada diri sendiri seperti sedikit cebisan Tentang Yang Tak Kena;
"Bukankah ini hidup aku. Bukankah suara-suara yang begitu gamat dan mencengkam itu cuma suara-suara dari tempat-tempat lain yang kalau aku fikir betul-betul perit bisanya tidak mampu langsung untuk menyentuh aku."