Monday, October 24, 2011

Tapi..

ada banyak perkara yang membuat 'lintas hormat' dalam kepala saya. sangat banyak sebenarnya, yang mahu saya tulis di blog, di twitter, di status fb, cerpen, sajak dan macam-macam lagilah. tapi, ya bila ada tapi maksudnya perkara tu bukanlah sehebat yang dibayangkan.. tapi, semua perkara itu ditongkah badai segala macam teori, formula dan idea yang lebih utama. haa kan dah kata, bila ada 'tapi' maksudnya perkara tu tak jadi seperti yang diharapkan.

walau bagaimanapun, (penggunaan ini memberi sedikit harapan) nanti-nantilah saya tulis. Baca S.O.S dululah ya :)

Monday, October 17, 2011

Jarum Peniti dan S.O.S

Majalah S.O.S Edisi 01 diterbitkan November 2011. Kami sudah mula menjualnya sekarang. Kami bergerak sendiri, dengan kerjasama PENA dan Soljah, membangunkan majalah ini. Dari Rumah PENA ke kedai kopi. Dari online ke offline.

Rakan-rakan sidang redaksi lain ramai yang sudah mempromosi macam-macam tentang S.O.S. Jadi tidak perlulah lagi saya mengulang hal yang sama. Jika mahu beli, kami biasanya ada di majlis-majlis seni dan sastera. Kepada yang memang mengenali saya atau sidang redaksi yang lain boleh terus menghubungi kami. Kami masing-masing ada stok. Jika mahu beli secara pos hantar sahaja emel kepada suaraorangseni[at]gmail.com.





Harga pengenalan: RM 5
Tambah RM 1 jika dibeli melalui pos.


Dulu-dulu saya pernah menulis tentang impian saya untuk membaca ruangan gosip dalam Dewan Sastera. Tentulah sampai sekarang imaginasi itu tidak tercapai. Tapi... dalam S.O.S ada ruangan Cucuk-cucuk Jarum Peniti! Yeah, impian jadi nyata akhirnya. Oh kalau anda bertanya 'siapa JP?', jawapannya mestilah tidak boleh diberi :)

Thursday, September 29, 2011

The Story

Beberapa minggu lepas, saya membaca sebuah forum tentang Dear John. Sebuah novel tulisan Nicholas Sparks yang kemudiannya diangkat menjadi filem dengan judul yang sama. Saya membaca novelnya separuh, kemudian menonton filem dan menyambung baca. Tak sabar mahu tunggu habiskan novel untuk tonton filem...

Di forum tersebut, ada yang bertanya adakah lagu Dear John (Taylor Swift) ada kaitan dengan novel/filem Dear John. Kemudian jawapan yang diterima ialah lagu Dear John ditulis dan dinyanyikan oleh Taylor Swift selepas putus dengan John Meyer. Dari situ, tiba-tiba saya terjebak dengan kisah lagu-lagu Taylor yang rupanya sangat banyak berkisar hal peribadi.

Sebagai contoh, lagu The Story of Us yang saya suka atas sebab-sebab peribadi juga bercerita tentang kisah Swift-Meyer. Kemudian lagu Back to December tentang Swift-Lutner. Ada lagi lagu Forever and Always (dari album sebelumnya) tentang kisah Swift-Joe Jonas (Jonas Brothers). Lagu Better Than Revenge ditulis untuk seorang aktres yang dikatakan merampas Joe Jonas.. OK cukuplah setakat itu, nanti nampak banyak sangat tahu :D

Apa yang menarik ialah kisah-kisah disebalik lagu-lagu ini didedahkan sendiri oleh Swift, bukan sekadar gosip atau andaian. Kebolehan Swift menulis sendiri lagu-lagu tentang hidupnya dengan sisi-sisi yang berbeza agak mengagumkan saya.

Ramai yang boleh menulis karya peribadi, tapi tak ramai yang bijak menyusunnya untuk ditonjolkan dari sisi yang berbeza.


Oh ya, saya suka susunan lagu dan lirik dalam album Speak Now. Masih lagi mengekalkan identiti muzik country.

Sunday, September 18, 2011

Penerimaan

Penerimaan
Chairil Anwar

Jika kau mau, kuterima kau kembali
Dengan sepenuh hati
Aku masih tetap sendiri
Kutahu kau bukan yang dulu lagi
Bak kembang sari sudah terbagi
Jangan tunduk! Tentang aku dengan berani
Jika kau mau, kuterima kau kembali
Tapi untukku sendiri
Sedang dengan cermin aku enggan berbagi

(Maret 1943)

Penerimaan, sebuah puisi Chairil Anwar yang mungkin tidak begitu mesra dengan pembaca yang biasanya mengenal Chairil dengan "aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang". Penerimaan, menerusi sebuah diskusi dengan beberapa rakan, lama dahulu, kami menyimpulkan ini sebagai sebuah puisi patriotik. selepas belanda menjajah indonesia. Chairil tidak mahu berkongsi negaranya, sedang dengan cermin dia enggan berbagi.

Tuesday, September 06, 2011

Lagu Raya

selamat hari raya buat pembaca blog ini. walaupun ini adalah blog peribadi, saya memohon maaf jika ada yang tidak wajar dibaca di sini.

bercerita tentang hari raya, selain makanan raya dan rancangan tv, yang menarik ialah lagu-lagu raya. saban tahun ada saja lagu-lagu baru untuk bersaing dengan lagu-lagu evergreen. walaupun saya memang boleh dikatakan pendengar radio yang tegar, saya kurang gemarkan lagu-lagu raya. terutama yang dimainkan dalam bulan ramadan dan di pusat membeli belah (sejak bulan syaaban lagi!)

tapi ada juga beberapa lagu evergreen yang saya suka seperti lagu sepasang kurung biru (khairil johari). bukan berdasarkan kisah sebenar ya. tapi saya sukakan lagunya yang perlahan dan unik.



ok ini top 5 lagu raya pilihan saya tahun ini;

1. track 3 & track 4 dalam album anugerah aidilfitri (rasanya dua lagu ni pun dah bosan dengan saya sebab asyik ulang-ulang sepanjang perjalanan balik kampung)
3. raya o yeah - yuna (kalau tajuknya 'cinta di hari raya' akan ada feel raya yang lebih)
4. aidilfitri limpah kurniaan Ilahi - nubhan (sebenarnya pertama kali dengar pada malam raya)
5. bunga api di hati (dari tahun lepas saya rasakan tajuknya agak kelakar, tapi lagu dan liriknya sangat sesuai dengan saya dan kawan-kawan yang jauh)

Monday, August 22, 2011

Kuliah Ramadan

saya fikir sekarang sudah ramai para penceramah yang turun ke dalam masyarakat. dan memang itulah tugas pendakwah, membetulkan masyarakat supaya masyarakat boleh membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

tapi seharusnya kita belajar dengan lebih banyak guru supaya pemahaman lebih luas walaupun kadang-kadang keluasan pemahaman itu mendatangkan keraguan dalam diri sendiri kerana ada hal-hal yang bercanggah sesama ustaz sendiri. kalau ia berkenaan mazhab, tidak mengapa. kita boleh merujuk pada hadis-hadis sahih dan ulama-ulama yang muktabar.

antara pendakwah yang saya fikir sangat mudah diahami kuliahnya ialah ustaz kazim elias. pendekatan beliau kebanyakannya sederhana dan tidak menyukarkan khalayak umum. ada sebuah ceramah lama beliau berkenaan ramadan yang sangat saya suka. sudah beberapa kali juga saya ulang dengar walaupun ceramah ini adalah ceramah lama.

kuliah ini menjawab beberapa persoalan semasa berkenaan solat tarawih, berbuka puasa, bersahur dan sebagainya. di sini juga sudah ada jawapan tentang persolan panjang lebar saya dalam entri yang lepas berkenaan buffet berbuka puasa.

saya kongsikan sumber mp3 di sini. boleh download jika berminat. saya tidak tahu siapa yang upload, tapi kira public domainlah kan :)

Kazim Elias - Digigit Jin

selamat meneruskan pelajaran dalam madrasah ramadan!

Saturday, August 20, 2011

Percaya

kata shakespeare (yang tiba-tiba saya jumpa), love all, trust a few, do wrong to none.

kepercayaan adalah sesuatu yang biasanya sukar diberi. ia tidak pernah datang dalam satu pakej yang mudah. kita boleh berkenalan, berkawan, bersahabat atau bercinta. tapi tidak ada sesiapa yang boleh menetapkan kepercayaan itu akan datang di fasa mana.

ahli falsafah rene descartes pernah menyebut, the senses deceive from time to time, and it is prudent never to trust wholly those who have deceived us even once. dan ini sangat bersesuaian dengan sebuah hadis Nabi s.a.w yang bermaksud "seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali."


selamat menyambung fasa ketiga Ramadan. percayalah kepada Allah :)

Saturday, August 13, 2011

Pertelingkahan

Walaupun sudah masuk ke fasa kedua Ramadan, ada satu pertelingkahan yang masih belum selesai dalam kepala saya. Pertelingkahan dengan diri sendiri. Kalau dalam novel Enrique Mengundang Jauh digambarkan sebagai pertelingkahan hati kecil dan hati besar. Teringin mahu mengulang baca novel tersebut, tapi... ketebalannya membuatkan saya biarkan dulu niat itu.

Berbalik tentang pertelingkahan di dalam kepala saya tadi, saya asyik berfikir tentang trend buffet berbuka puasa. Tak kiralah di restoran makanan segera, di hotel ataupun di restoran biasa. Buffet berbuka puasa biasanya didatangkan dengan pakej sekali bayar kemudian makan selagi terdaya. Ambillah seberapa banyak lauk pun, ulang tambah berapa banyak pun, tak kisah. Asalkan masih mampu makan.

Berbuka sesekali dengan rakan-rakan ataupun meraikan majlis memang seronok. Kita akan berbual-bual sambil makan yang sedap-sedap. Dalam situasi seperti ini, tak kiralah wangnya kita keluarkan sendiri ataupun percuma, kita pasti akan makan selagi terdaya. Jika makan sikit, membazir. Makanan sedap dan bayarannya mahal pula tu.

Jadi kita akan makan untuk mengelakkan pembaziran. Kemudian, dengan perut kenyang berapa ramai yang boleh berlapang hati (dan perut) menunaikan solat? Maghrib mungkin boleh berjemaah sebelum makan makanan berat. Kemudian, solat Isyak dan tarawih (12 rakaat tak termasuk witir tu!!) bagaimana?

Ada satu ‘pihak’ dalam kepala saya yang meletakkan ini sebagai taktik untuk melemahkan umat Islam. Selepas seharian berpuasa, diberi makan sebanyak-banyaknya, kemudian tinggal beberapa peratus saja yang masih mampu bersolat fardhu dan sunat dengan baik.

Hmm tapi kerana namanya pun ‘pertelingkahan’, jadi ada satu ‘pihak’ lagi yang meletakkan ini sebagai perkara yang baik. Berbuka puasa berjemaah, makan sampai tidak membazir sehingga setidak-tidaknya berbaloi dengan apa yang dibayar. Asalkan, paling penting pastikan tempat makan itu menyediakan surau yang selesa dan selepas itu mesti solat tarawih walapun ditunaikan bersendiri di rumah. Lagi pula bukannya hari-hari akan ‘makan besar’ sebegitu. Paling-paling pun (dalam kategori orang macam saya), seminggu sekali saja.

Kemudian sesi hujah ini akan berulang beberapa kali.

Tapi sampai sekarang, pertelingkahan ini masih belum selesai. Ada sesiapa yang sudi memberi pencerahan dalam gelap ini? Adakah di akhir zaman ini memang semua perkara bergantung kepada hati kita sendiri saja? Hmmm..

Oh ya, selamat menjalani ibadah puasa dan yang lain-lainnya!

Tuesday, August 09, 2011

Gerhana Masih Dijual


Sempena Ramadan/Ogos yang menjadikan Gerhana sudah genap setahun di pasaran, dan selepas setahun itu saya masih belum mempunyai novel kedua (haha!), saya kembali membuka kaunter jualan. Ada beberapa naskhah yang masih ada dalam simpanan saya.

Harga buku: RM 13.50
Kos pos ekspress: RM 3.50
Harga termasuk pos: RM 17 15

Jika berminat, sila maklumkan melalui emel kepada nissa.yusof@gmail.com

Selain itu, pembelian boleh juga dibuat secara online di Bookcafe dengan diskaun 15%

Atau tentu saja boleh dibeli di kedai-kedai buku kalau jumpa ;)

Friday, August 05, 2011

Tentang Hari Lahir

Tahun lepas, pada 1 Ramadan, Gerhana selamat diterbitkan. Tahun lepas saya juga ada menulis bahawa impian hari lahir saya adalah untuk membaca novel sendiri. Tercapai rasanya. Walaupun sedikit terlewat, beberapa hari selepas tarikh hari lahir, saya 'makan besar' dengan kawan-kawan; majlis berbuka puasa bersempena meraikan hari lahir bersekali dengan pelancaran Gerhana. 3 dalam 1. Bagaimana melancarkannya? Pada malam yang cerah itu, Gerhana telahpun direbus dalam dua perisa iaitu tom yam dan sup. Sungguhlah...

Tahun ini, tidak ada impian yang besar. Ada beberapa buah buku yang sudahpun saya senaraikan sebagai hadiah untuk diri sendiri. Ehem, baru senarai saja.. Sebelum membeli, ada sesuatu yg lebih penting untuk dilangsaikan.

Baru buat senarai dari diri sendiri, perlu buat juga senarai untuk dituntut dari kawan-kawan. Inilah masanya untuk mengepau :D

Salam Ramadhan untuk semua. Moga kita berjaya meraikan bulan ini lebih baik daripada tahun lalu.