Thursday, January 03, 2013

Negeri 5 Menara

Saya membuka 2013 dengan menonton Negeri 5 Menara. Di youtube sahaja, memandangkan tidak ada dvd yang berjaya saya temui di sini.

N5M mengisahkan Alif, “anak pandai” yang bercita-cita mahu belajar sampai ITB dan jadi seperti Pak Habibie. Tetapi impian ibunya lebih besar, mahu anaknya jadi hebat serupa Hamka. Dari situlah akhirnya Alif ‘paksa rela’ mendaftarkan diri di Pondok Madani, Ponorogo, Jawa Timur. Sebuah pesantren moden yang bukan mengajar agama semata-mata, tetapi juga melengkapkan ilmu dunia.

Maka inilah dia inti filem ini. Tentang hidup Alif dan enam rakan yang lain di PM.

Baiklah, secara jujurnya saya tidak merasakan ini adalah isi cerita yang kuat untuk sebuah filem. Tidak ada momen yang signifikan. Mungkinlah boleh diberi kredit untuk babak mereka memujuk ustaz untuk memberi ruang menonton piala thomas secara langusng (tv diharamkan di pondok tersebut) dan ketika mereka berusaha membetulkan generator lama yang kerap mati.

Saya menanti filem ini agak lama. Novelnya yang sudah terbit trilogi siri kedua memang sangat saya suka. Tapi tidak semestinya novel yang baik, akan menjadi filem adaptasi yang baik. Banyak momen dan pemikiran dalam novel yang tidak dapat diterjemah dalam filemnya.

Walau apapun, saya tetap menunggu novel terakhir dalam trilogi N5M ini!

Wednesday, December 19, 2012

Deru Angin

Selepas mendapat tahu novel ini menang tempat pertama, saya terus mencarinya di kedai buku. Terima kasihlah kepada yang sudi menemani pusing berkali-kali dalam MPH untuk cari juga walaupun staf di situ tidak jumpa buku ini dalam sistem.

Selepas sekali itu, sengaja saya tidak mencari lagi. Hajatnya untuk dibaca pada awal Januari saja. Saya menahan diri daripada membaca sebarang review, supaya tidak spoil mood membaca nanti. Tapi kebetulan kak Nisah membawa beberapa naskhah semasa perhimpunan alumni tempoh hari. Jadi, keinginan untuk membaca memang tidak dapat ditahan. Haha. Okeh, itu cerita panjang bagaimana akhirnya saya jumpa Deru Angin.

Ini novel yang memenangi HSKU 2011. Novel-novel yang memenangi HSKU biasanya punya kekuatan yang tersendiri. Ternyata dengan mengambil latar Leeds, novel ini membawa tema Islamofobia yang mula menular. Tentang pertingkahan budaya dan agama. Tentang cinta yang kesampaian tapi menyeksa. Tentang permainan emosi remaja dan banyak lagi. Saya sukakan cara penulisan kak Hafizah yang lembut walaupun membawa isu yang "keras". Boleh dikatakan, iniah novel beliau yang paling "mastera" berbanding yang lain-lain :)

Beberapa elemen budaya cuba ditonjolkan, tapi tidak mendalam. Setidaknya saya baru tahu apa itu menora. *sigh*

Sedikit terpengaruh dengan elemen drama Melayu, saya awalnya menjangkakan Johan akan bercinta dengan Hiza dan kemudian mendapat tahu bahawa Hiza adalah sepupunya. Tapi novel ini dihentikan sebelum itu.

Wednesday, December 05, 2012

Di Antara Titis Hujan

Hujan lagi di luar. Saya di depan PC, menyiapkan sesuatu untuk projek Gerhana. Satu-satunya novel yang sampai sekarang pun saya belum baca semula. Kami sedang usahakan sesuatu untuk novel ini. Kebetulan, Lifehouse sudah keluarkan video klip lagu terbaru mereka “Between The Raindrops” yang sesuai dengan musim hujan.

Teringat dahulu, saya mula kenal Lifehouse kerana seseorang yang begitu sukakan lagu You and Me. Ketika itu kami jauh, dia di KT. Tapi begitulah, apabila sudah dekat, hubungan yang diharapkan tidak menjadi.

Kata Yana, mesti kerana “You and Me” saya suka naik keretapi. Haha. Sebenarnya tidak pun. Alhamdulillah dalam tahun ini sudah beberapa kali kembara, cuma belum lagi berkeretapi (selain backpaking ke Ipoh yang tak boleh dimasukkan dalam senarai). Sedang merancang juga untuk backpacking berkeretapi.

Wednesday, November 21, 2012

Kami

Semasa ke kedai DVD tempoh hari, saya terjumpa vcd filem Kami. Cerita anak-anak remaja yang masing-masing ada masalah peribadi. 

Ada satu babak dalam filem (atau drama?) Kami, Ali dan kakaknya dibawa ke kedai kereta terpakai oleh ayah mereka. Masing-masing boleh memilih kereta sendiri untuk digunakan. Ali memilih kereta Volvo model lama. Model sama yang pernah digunakan ayahnya lama dahulu. 

Memang janggal. Malah pilihan Ali turut dipertikaikan oleh ayah dan kakaknya. Tapi dia memberi alasan bahawa dia mahu mengenang pada saat mereka sekeluarga bahagia. 


Mungkin benar bila dikatakan, tidak semestinya semakin kaya menjadikan kita semakin bahagia. Ada perkara yang perlu ditukarkan dengan kemewahan. Jadi, kita wajar belajar dari drama-drama Melayu yang memaparkan keluarga Melayu yang mewah dan bahagia *wink*

Friday, October 05, 2012

Nasihat dari Khalil

Sedang enak membaca Debu Cinta Bertebaran, dalam bab yang hampir akhir ini, penulis memetik sebuah sajak Khalil Gibran yang indah. Sebuah nasihat yang ditulis Khalil pabila ditanya tentang persahabatan.

Dalam novel ini, Rivai menyalin sajak ini dalam surat yang mahu dikirimkan kepada Deanne.

Persahabatan

Sahabatmu berarti kebutuhan yang dipenuhi
Dia adalah ladang tempat kautebarkan cinta
Dan berpanen dengan rasa terima kasih

Dan apabila dia bungkam tak berkata,
janganlah hatimu berhenti
mendengarkan degup kalbunya.
Sebab tanpa kata-kata, dalam persahabatan, segala pikiran,
segala hasrat keinginan, segala harapan, dilahirkan dan 
dirasakan bersama-sama,
dengan kenikmatan diam-diam.

Jika kau berpisah dari sahabatmu, janganlah bersedih hati,
sebab apa yang kau paling cintai pada dirinya
'kan lebih jelas pada saat-saat dia tiada, laksana bukit
bagi si pendaki, kian jelas di dataran lapang.

Dan kehendaknya tiada tujuan lain dari persahabatan
kecuali kemantapan rohani kita.
Sebab cinta yang mencari hal lain daripada terbukanya
rahasianya sendiri, bukanlah cinta melainkan suatu jaringan yang dibentangkan;
   dan hanya yang merugikan yang tertangkap.

Wednesday, September 26, 2012

Membalut Buku

Tentang tajuk ini, saya bukanlah seorang yang gemar membalut buku. Sememangnya semua buku yang saya beli dan baca akan dibiarkan tidak berbalut plastik. Entah, mungkin selepas bertahun-tahun terpaksa membalut buku sekolah ketika zaman belajar dahulu, saya merasakan membalut buku tidak cool. Haha.

Tapi, semalam sebuah buku yang tidak begitu bertuah berjaya dibalut. Saya katakan tidak begitu bertuah kerana buku ini adalah buku yang sudah berbulan-bulan saya bawa di dalam beg tangan, tapi dalam berbulan-bulan itu tidak juga habis dibaca. Dari awal tahun sehinggalah sudah hampir mengakhiri bulan kesembilan tahun ini.

Asalnya saya membalut buku tersebut kerana kulitnya sudah sedikit rosak akibat selalu bercampur dengan pelbagai isi dalam beg. Tapi selepas selesai, saya tak fikir ini penyelesaian yang baik supaya saya cepat menghabiskan pembacaan.

Kerana selepas berplastik, saya fikir dia boleh lebih lama lagi menetap di dalam beg. Aduh!

Wednesday, August 29, 2012

Rumah Kampung

Rumah kampung, pada saya, selalu misteri. Di Perak, yang secara tradisinya dibina Rumah Kutai, sudah sukar ditemui yang asli. Ada beberapa pendapat yang mengatakan rumah kutai yang asli masih boleh dilihat jika rajin menghilir tebing Sungai Perak. Tapi, saya tidaklah serajin itu :)

Di kampung, rumah pusaka arwah opah saya tidak pasti jenis apa. Begitu juga rumah-rumah lain di sekitarnya yang banyak sudah bercampur binaan kayu dan batu. Biasanya di bahagian bawah sudah di’batu’kan. Tinggal tingkat atas yang masih kayu dan dihias ala kadar untuk tetamu.

Saya katakan ‘misteri’ di awal tadi, kerana biasanya apabila pergi beraya, hanya satu bahagian yang dibuka untuk tetamu. Kalau masuk melalui tangga depan, terus ke tingkat atas, maka di situlah tetamu akan duduk. Melainkan saudara rapat yang akan berjalan-jalan sampai ke dapur. Haha.

Itu juga uniknya, satu bahagian untuk tetamu, satu bahagian untuk keluarga.

Thursday, July 26, 2012

Menjadi Kaya

Saya percaya, orang Islam perlu jadi kaya. Asal boleh membantu diri sendiri dan orang sekeliling. Tapi jangan sampai jadi rat race.


Salam Ramadan :)


Rat Race (Potret Kuala Lumpur) 


Apabila wisel ditiupkan
berjuta tikus bertempiaran

ada yang tergelek dengan perut berburai
ada yang tergolek di tepi sungai
ada yang lapar
ada yang menelan ibunya sendiri
ada yang kenyang
ada yang mati kekenyangan
ada yang putus ekornya
ada yang menyambung ekor yang putus
ada yang memanjat kepala teman
ada yang kepalanya dipanjat
ada yang meraung
ada yang termenung
ada yang mabuk di timbunan beras
ada yang gila di timbunan sampah
ada yang pulang dipeluk kekasih
ada yang hilang jalan pulang

berjuta tikus berkeliaran
menyambut cabaran wisel

T. Alias Taib 

Monday, July 09, 2012

Pesanan Rumi

Sebuah pesanan Jalaluddin Rumi. Bahasa yang indah, pesanan yang menggugah.

In generosity and helping others, be like a river
In compassion and grace, be like the sun
In concealing other’s faults, be like the night
In anger and fury, be as if you have died
In modesty and humility, be like the earth
In tolerance, be like the sea
And either appear as you are, or be as you appear

Thursday, July 05, 2012

Melupakan

Membiarkan dan melupakan seperti melihat bulan dari tingkap bilik saya. Yang kelihatan hanyalah samar-samar cahayanya di langit yang cantik seperti semalam. Tidak ada walau sedikit wajahnya kelihatan. Tapi semasa keluar awal pagi, bulan cantik ada di atas dengan latar langit yang sudah mula membiru.

Barangkali begitulah, membiarkan dan melupakan. Saya boleh melupakan walau ianya masih ada di sekitar diri, tapi apabila lebih berani keluar, nah, di situ ada keindahan yang lain.

Barangkali begitulah ....