Ini adalah sebuah catatan terlewat, Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk terlibat di dalam projek buku ini. Seperti judulnya, "Muhammad Haji Salleh Di Mata Kami", buku ini menghimpunkan 26 buah tulisan daripada pelbagai latar penulis (kebanyakannya kenalan baik MHS) yang menulis tentang Sasterawan Negara ini.
Mengimbas kembali, banyak tahun yang lalu semasa abang Rahimidin (arwah) memulakan projek buku ini, saya pernah diajak untuk menulis kerana arwah tahu saya memang peminat Muhammad Haji Salleh. Tapi saya menolak kerana rasa tidak layak, dan saya tidak pernah mengenali MHS secara peribadi. Satu keputusan yang saya kira betul pada waktu itu, walaupun kata arwah, "tulis je". Kemudian saya tidak mendengar lagi tentang projek ini.
Beberapa tahun kemudian, saya diundang oleh abang Ridzuan Harun untuk menulis semasa beliau ingin meneruskan projek ini, kali ini saya terus bersetuju. Jika tidak, mungkin saya akan menyesal pula kemudian.
Saya menyumbang sebuah tulisan bertajuk "Kembara Penghujung Musim Bunga Bersama Salju Shibuya". Saya pernah berbual dengan seorang rakan rapat tentang ini. Ketika arwah abang Rahimidin mengundang saya dulu, saya belum begitu aktif mengembara, dan jika ditanya apa buku MHS kegemaran saya pada ketika itu, saya akan menjawab "Kalau, Atau dan Maka".
Keadaan berubah selepas itu. Setelah saya mengembara di Jepun (dan menyukainya), buku kegemaran saya berubah kepada "Salju Shibuya". - pengalaman inilah yang saya tuliskan di dalam buku ini.
Buku ini baru saja diterbitkan oleh ITBM, meneruskan siri "Di Mata Kami" yang lain. Membacanya seperti dapat mengenali sedikit peribadi MHS. Jika berminat, boleh dibeli terus di website ITBM :)
Disclaimer: Di dalam buku ini saya seorang saja yang tidak mempunyai pengalaman secara peribadi dengan Prof. MHS dan juga tidak dikenali oleh beliau 😉




