Tuesday, May 26, 2009

FANATIK

Dalam apa hal pun, menjadi fanatik adalah tidak bagus. Seeloknya sederhana saja. Tapi fanatik dan suka atau minat adalah dua perkara yang berbeza.

Kalau saya kata "saya fanatik biawak" maksudnya saya sangat suka biawak, sayang biawak, ada kostum biawak, ada kulit biawak, simpan gambar biawak dan biawak adalah yang terbaik dalam hidup saya, kalau biawak curi anak ayam saya, tak mengapa, mungkin tak sengaja.

Tapi kalau saya kata "saya suka/minat biawak" maksudnya saya hanya suka pada beberapa hal berkaitan biawak seperti kelambatannya bergerak, tapi tidak suka yang lain-lainnya.

Maka tentulah menjadi satu masalah jika saya fanatik biawak, kerana saya tidak akan percaya bila dikata yang biawak itu tak baik dan saya mungkin akan menyelar orang yang mencipta kata 'biawak hidup'.

Tentu sekali itu hanyalah contoh. Saya tidak fanatik biawak, malah tidak suka pun. Tapi nampaknya spesis ini yang suka persekitaran rumah saya. haha.

Fanatik memang sangat tidak bagus, terutama dalam politik. Bila fanatik, kita akan cenderung menuduh tanpa mengkaji. Saya teringat satu contoh; semasa menonton rancangan bual bicara Di Luar Lingkungan di TV1 tentang topik buku dan pembacaan beberapa minggu lalu. Yang menjadi panelnya kak Nisah Haron, Puan Ainon PTS dan Encik Khair ITNM. Di pertengahan segmen, Puan Ainon bercakap sedikit tentang PPSMI. Kemudian kak Nisah juga menambah sedikit dan isu PPSMI dibangkitkan beberapa ketika. Kemudian tiba-tiba seorang kawan yang datang entah dari mana berdiri di tepi saya dan kata, "aku bosanlah, diorang mesti bela kerajaan punya". Saya kata,"eh mana ada, diorang bagi hujah tak menyokong PPSMI". Dia sambung, "habis tu apa diorang kata?". Haha ini sudah jadi masalah, dah berapa puluh minit rancangan tu, penatlah saya nak ulang siar balik. Saya suruh saja dia duduk menonton sama, tapi dia tak berminat kerana tetap yakin bahawa ini semua penyokong PPSMI (kerajaan).

Ini salah satu contoh orang yang fanatik. Kawan saya ini memang penyokong kuat pembangkang. Memang fanatik ke'pembakangan'nya. Jadi lihat, dia nampak saja rancangan yang sebenarnya sangat ilmiah ini ditayangkan RTM, maka dia melabel panel-panel yang dijemput mestilah tidak membangkang kerajaan. Apabila dia mendengar beberapa perkataan tentang PPSMI terus dia menerjah bahawa ini hujah menyokong PPSMI.

haa kan bermasalah di sini.

Nabi pernah berpesan supaya umat Islam bersederhana saja dalam apa saja. Dalam hidup, apa-apa pun mesti dikaji dahulu. Mesti fikir. Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri!

Friday, May 15, 2009

SELAMAT HARI GURU

Selamat hari guru. Kepada guru-guru dan bukan guru-guru. Biasanya tak perlu 'title' cikgu untuk jadi guru. Tapi sememangnya hari guru sudah dikhaskan untuk guru-guru yang dipanggil cikgu.

Puisi ini sudah termuat dalam majalah Pendidik pada November tahun lepas. Selepas ratusan kali membaca puisi ini, saya masih merasakan puisi ini sangatlah syok sendiri atau dalam istilah remajanya 'poyo'. Ironinya, ini adalah antara puisi yang paling saya suka. Maka minta maaflah kalau ada yang tak suka dengan tulisan ini :)

Wednesday, May 13, 2009

KOLAM PUISI

Semalam mahkamah umumkan Ir Nizar sah masih lagi MB Perak. Hari ini sah Dr. Zambry masih lagi MB Perak. Kerana 2 3 hari ini adalah hari yang paling memenatkan dan menyeksakan dalam hidup saya setakat ini, saya pun tidak ambil peduli. Macam mana pun, jadi macam itu jugalah. Majoriti rakyat katalah apa pun, semuanya akan jadi macam yang penguasa mahu juga. Macam mana? Ini yang kita tak tahu. (siapa yang tonton los dan faun tahulah nadanya macam mana).

Bercakap tentang puisi, saya bukanlah pencinta puisi seberang. Saya lebih suka penyair-penyair kita seperti SN Muhammad Haji Salleh dan SN A. Samad Said. Semasa bertemu SN Muhammad Haji Salleh tidak lama dulu, beliau berpesan supaya banyakkan membaca, termasuklah karya-karya luar. Supaya pemikiran dan hasil karya berkembang, tidak seputar kita kita saja.

Walaupun saya bukanlah pencinta puisi seberang, tapi apabila terima buku puisi terbaru Sapardi Djoko Damono; Kolam, siap dengan tandatangan dan tulisan pak Sapardi sendiri; 'untuk nissa', melompat jugalah dibuatnya.

Sebenarnya, inilah saja motif entri ini. Hahaha

Thursday, May 07, 2009

GURU

Suatu ketika, semasa proses perbincangan terbuka dalam bilik tutorial, pensyarah saya sempat berpesan; sekurang-kurangnya, pada hari guru, pergilah bertemu kembali guru-guru sekolah rendah kamu. Mereka adalah golongan yang paling banyak berkorban.

Bila difikirkan, memang betul pun. Mereka adalah yang paling banyak jasanya, tapi paling kurang diingati. Saya sendiri, memang sudah tak pernah jumpa cikgu-cikgu sekolah rendah kecuali seorang dua yang merupakan kawan mak atau ayah. Biasanya bila cuti semester, ada pula masa jenguk kedua-dua sekolah menengah, walaupun jauh. Sedangkan sekolah rendah yang hanya sepelaung saja dari rumah itu tak pernah pula saya jenguk. Haish.

Entahlah, mungkin kerana kedua-dua sekolah menengah saya itu sekolah asrama, memang banyak masa dalam proses membesar saya di sana. Cikgu-cikgu malah sudah jadi seperti mak/ayah/abang/kakak bagi kami.

Saturday, May 02, 2009

PECAH RUMAH

Baru beberapa hari lepas saya tulis tentang rumah di Ipoh yang sudah lama tak saya jenguk. Lewat petang semalam, baru saya diberitahu yang rumah kena pecah masuk lagi.

Sebelum ini pernah saya tulis tentang beberapa kali cubaan pecah masuk ini berlaku. Yang pertama apabila tingkap bilik saya cuba dikopak hampir pukul 2 pagi, ketika saya sedang bersantai-santai dengan laptop dan lampu terang benderang. Mujur lekas sedar dan orang itu cabut lagi. (Tingkap yang sama tempat saya menghendap biawak). Rupanya ketika itu sebuah kereta yang tak berkunci sudahpun digeledah habis.

Kemudian ada beberapa cubaan membuka atap, alhamdulillah, yang itu pun masih dipelihara Allah lagi.

Kali terakhir, saya kira lebih kurang hampir sepuluh bulan juga, perompak cuba kopak pintu dapur. Ditakdirkan Allah malam itu saya tidak boleh lelap. Tapi tergerak untuk bergelap dan cuba-cuba tidur, lagipun semua ahli keluarga lain sudah lena. Kira-kira baru pukul 10.30 malam, baru saja saya rasa mahu bangun buka tv yang memang ada dalam bilik saya, nampak seperti cahaya lampu suluh pada tingkap, kemudian ada bayang-bayang manusia cuba mengintai ke dalam. Kemudian hilang dan selang beberapa minit saya dengar bunyi tingkap dapur (yang awalnya saya sangkakan pintu) sedang dikopak. Dipendekkan cerita, apabila perompak itu sedar ada orang sedar, dia lari. Tak sempat ditangkap walaupun sudah dihubungi beberapa orang untuk stand-by tunggu di belakang.

Yang terbaru ini, dipecah masuk ketika hari siang. Ayah dan mak kerja, manakala adik ke sekolah. Tidak dapat dinafikan, memang mudah nak tahu kalau rumah saya tak ada orang. Kalau semua kereta tak ada dan basikal adik pun tak ada, maka memang tak ada oranglah. Melainkan kalau saya bercuti.

Mengikut kata mak saya, tingkap dapur (yang cuba dikopak dulu) terkopak, kemudian segala engsel dan kunci pintu dikopak. Satu lagi pintu dapur yang sengaja disendal dengan rak besi turut dibuka dan satu pintu depan dibuka. Menurut ayah, ini supaya dia senang lari kalau ada orang mengepung. Orang serbu satu pintu, dia boleh lari ke pintu lain. Bab ini saya memang tabik dengan ayah. Fikiran pencuri pun boleh dibacanya. Haih.

Berbalik soal rumah tadi. Habis bilik saya dan bilik utama digeledah. Ada sedikit barang kemas mak hilang, termasuklah cincin kahwin yang terlupa dipakai pagi itu. Mujurlah mak saya bukan jenis yang menyimpan sekotak barang kemas dalam almari macam dalam drama tv. Begitu juga duit tabung adik dalam biliknya. Bilik saya hanya ada baju dan buku saja pun. Dari satu sisi, mujurlah memang tiada orang langsung di rumah, atau keadaan jadi semakin bahaya.

Tentulah ini peringatan Allah. Apabila lama tak ada cubaan orang masuk, kami pun jadi sedikit terleka dan saya pun lupa mendoakan rumah yang satu itu.

Risau jugalah sekarang. Orang itu sudah berjaya masuk. Segenap rumah sudah diketahuinya. Tentu sudah dikira siling mana yang boleh dibuka. Grill mana yang boleh dibuka. Kalau dalam hal komputer, apabila hacker berjaya saja masuk sistem, perkara pertama yang akan dilakukan ialah install backdoor, seperti maksud pintu belakang, supaya lain kali dia dapat masuk lagi tanpa dikesani.

Doakanlah kami, semoga sentiasa dalam lindungan dan rahmat Ilahi. Perompak itu, semoga dia insaf dan bertaubat.

Wednesday, April 29, 2009

GAGAK

Jadi, betullah gagak makan bangkai.

Manalah saya nak tahu. Selama hidup ni saya hanya nampak gagak bertenggek di atas pokok. Sambil gak gak gak.

Walaupun sudah diajar gagak haram dimakan kerana gagak makan bangkai.

Tengah hari semalam saya nampak lima enam ekor gagak makan bangkai tikus di tengah jalan raya. Kemudian ternampak seekor lagi yang seperti sedang makan ketulan daging di atas papan tanda jalan.

Jadi, betullah.

Tuesday, April 28, 2009

BIAWAK DAN ULAR

Lama juga rasanya tak balik Ipoh. Saya pun macam tak percaya saya boleh jadi terlalu sibuk sampai memang tak ada ruang langsung untuk balik. Tak apalah. Berkorbanlah konon.

Hobi saya kalau di rumah, kalau tak ada orang, ialah duduk senyap-senyap dalam bilik dan intai tingkap. Manalah tahu, nampak apa-apa yang menarik. Antara yang berjaya saya 'intai' ialah biawak-biawak yang selalu lalu lintas di laman yang penuh bunga-bungaan mak. Maka saya akan cerita pada ahli keluarga yang lain info-info yang mereka tak tahu, contohnya port haiwan bermain-main.

Tapi, alhamdulillah, dengan kapasiti saya yang agak penakut dengan anasir-anasir luar ini, benda-benda yang saya nampak pun biasa-biasa saja, biawak pun saiz sederhana. Kalau yang besar selalu ada jauh sikit dari rumah.

Emak saya dengan tak sengaja pernah nampak tedung berlawan dengan biawak di belakang dapur. Fuh, lepas tu demam seminggu. Tedung di lantai, biawak pula di atas dinding batu. Tedung tu terbang (melompat?) serang biawak. Bila ada orang datang nak tangkap, hilang pula tak dapat ditangkap. Ada jugalah beberapa siri lain dengan binatang-binatang yang menakutkan ini.

Ini gambar yang sempat saya snap masa anak biawak sedang melintas di depan pagar (dalam bulatan). Nak ke rumah jiran agaknya. Biawak merangkak perlahan. Jadi sempat jugalah saya lari ambil kamera. Sebenarnya, saya tak pasti itu biawak atau cicak kubing atau binatang lain. Terlalu besar bagi seekor cicak kubing dan agak kecil pula bagi biawak. Maka saya andaikan itu anak biawak. Hehe.

Kadang-kadang rasa macam duduk pinggir hutan. Tapi memang pun!

Monday, April 20, 2009

PBAKL 2009

Alhamdulillah, akhirnya, pada hari ketiga sempat juga saya ke pesta buku. Sukar juga nak pilih masa untuk ke PWTC. Kali ini saya pergi dengan 'geng-geng' MPR.

Sebenarnya target saya untuk pergi PBAKL selepas siapkan final project. Tapi nampaknya projek tak siap lagi, jadi selepas ni terpaksa kerja berganda-ganda untuk 'lunas'kan hutang target yang saya sendiri abaikan.

Awalnya saya bersama kak Hani dan Zulfazlan jalan-jalan sekitar pesta buku. Memang rasa macam tak teruja sangat kali ini, tapi memikirkan yang mungkin inilah satu-satunya peluang saya untuk datang, maka sarat jugalah beg sandang dengan buku-buku. Kebanyakan buku saya beli dapat autograf penulisnya. Sempat jenguk abang Faisal Tehrani dengan 'Ketupat Cinta'nya di booth Ameen, juga ada Haji Isa Kamari dengan 'Rawa'. Sambung jalan-jalan lagi, jumpa kak Nisah di booth Utusan.

Selepas zohor dan makan tengah hari yang panjang (haha) kami ke forum Sai-Fai pula. Kali ini turut ada Ode, M.F Kencana dan Azree Hanifiah. Forum yang sangat menarik, tambahan lagi ada dua senior MPR yang menjadi panel; kak Nisah dan abang Pat (Ahmad Patria Abdullah). Kali pertama jumpa abang Pat semasa MPR 2006, di PD dahulu, abang Pat dijemput untuk slot 'alumni MPR'. Selepas dengar abang Pat bercakap, ramai jugalah peserta MPR 06 yang mahu cuba sai-fai.

Soalan pertama abang Pat untuk kami semua tadi, 'masih menulis lagi tak?'

Juga dapat jumpa Serunai Faqir, abang ngah yang 'marah' saya asyik berYM saja. Hehe.

kak Nisah memotong kek hari lahir daripada penganjur

Gambar lain agak tak sesuai untuk tontonan umum, haha.

Friday, April 17, 2009

LA LA LA


Kita banyak berkorban. Setiap hari. Yang paling sedih bukan apabila pengorbanan tak dihargai, tapi apabila banyak pengorbanan tak dihargai.

Saturday, April 11, 2009

KOMENTAR CERPEN PABILA HUJAN TURUN

Cerpen saya, Pabila Hujan Turun, yang tersiar di Dewan Kosmik Februari 2009 sudah dikritik seseorang yang baik hati ;)

Jadi, ayuh ramai-ramai ke blog MPR 2006, blog yang sudah mencecah usia dua tahun itu dibina sejurus selepas kami (mantan MPR 2006) pulang dari kursus seminggu MPR di PD dan KL, dengan tujuan utama untuk merantai jejak-jejak mantan MPR 2006, supaya tidaklah susah untuk kejar balik kalau hilang. Tentu saja blog tersebut punya nilai sentimental yang tinggi untuk para mantan dan mungkin mentor-mentor MPR 2006.

Malah memang diakui, blog tersebut adalah pencetus kepada kelahiran blog rasmi mantan MPR.

Komentar untuk cerpen saya yang dibuat oleh rakan seMPR, Ainunl Muaiyanah, bolehlah digelarkan sebagai komentar 'perasmi' untuk projek terbaharu kami iaitu kritikan karya kami sendiri.

Lebih mudah saya sebutkan projek ini merupakan serampang dua mata, selain menjadi ruang baru untuk kami saling belajar daripada kelebihan dan kekurangan karya masing-masing, tujuannya juga adalah untuk menjadikan blog tersebut kembali cergas sepertimana keadaan di awal penubuhannya dahulu.

Maka, kawan-kawan mantan MPR 2006, marilah teruskan tradisi ini. Minta saja mana-mana rakan MPR 2006 untuk komen karya anda, kemudian postkan saja di blog tersebut. Tak kan nak harapkan mentor saja, kesian mereka.

Kalau tak pandai kritik, tak apa, dengar nama pun sudah tahu ini projek 'syok sendiri'. hahaha.