Tuesday, October 27, 2009

MEMBINA WEBSITE

Ada yang bertanya pendapat saya tentang penggunaan domain sendiri. Jadi semasa lapang, saya sengaja meneroka perkara-perkara baru dan salah satu yang paling menarik perhatian saya ialah pakej GDI.

GDI sebenarnya lebih terkenal sebagai program affiliate berbanding servis laman web. Jika ada yang berminat untuk membina laman web syarikat atau persendirian yang profesional pada kos yang jauh lebih rendah, saya syorkan GDI. Pakej GDI (samada domain .com, .net, .org, .ws dan lain-lain) ini menyediakan:
  1. Sistem WeBuilder - aplikasi pereka bentuk laman web dengan sejumlah besar template percuma
  2. Alamat E-mail - 10 alamat e-mail @domain
  3. Kapasiti hosting sebanyak 100MB - server yang besar dan pantas
  4. Juga (jika berminat) boleh menjana pendapatan dengan komisyen

Harga: RM35 sebulan

Pakej website ini sangat sesuai untuk laman web persendirian atau syarikat-syarikat kecil. Jika dikira dengan kos, biasanya purata harga domain sahaja RM150 setahun (lebih kurang). Murah bagi yang boleh mereka laman web sendiri atau syarikat kukuh yang mempunyai web designer sendiri. Tetapi bagi orang persendirian atau syarikat yang perlu mengupah freelance, bayaran profesional boleh mencecah RM1000!

Dengan aplikasi WeBuilder dalam pakej ini, tak perlu memahami html pun. Kalau mahu cuba dahulu, samada untuk mereka laman web atau mencuba program affiliate, setiap pendaftaran akan diberi free trial selama seminggu. Boleh cuba dahulu, jika tidak puas hati, batalkan akaun sebelum tempoh 7 hari berakhir supaya anda tidak perlu membuat pembayaran. Daftarlah dengan link saya, boleh saya dapat komisyen :)


Sunday, October 25, 2009

CINTA HATI KITA

Salam Zulkaedah.

Saya baru sahaja menyudahkan pembacaan novel Cinta Hati Kita oleh H.M. Tuah Iskandar. Novel yang saya terima sebagai hadiah.

Sedikit sebanyak, harus saya akui bahawa novel ini punya citra motivasinya yang tersendiri. Meskipun pembacaan kerap kali terganggu dengan selitan teks-teks daripada novel karya penulis yang sama, Enrique Mengundang Jauh yang pernah memenangi hadiah sastera utusan.

Beberapa bab awal juga lambat bergerak. Setiap bab awal menjadi pengenalan kepada watak-watak novel menyebabkan susunan cerita kadang-kala tidak konsisten. Tetapi apabila sampai kepada plot pertemuan sesama watak, penceritaan jadi mudah difahami dan gaya santai penulis ini menjadikan proses 'membaca sambil berfikir' berlaku seiring, walaupun beberapa kali terpaksa mengulang baca bab awal untuk memahami plot.

Selepas membaca novel ini, rasa teringin untuk mengulang baca kembali novel Enrique Mengundang Jauh dan mengundang kembali jati diri Melayu yang sekarang ini bercelaru di negaranya sendiri.

Saturday, October 24, 2009

PEMBACA ALAM

Saya sedang cuba-cuba untuk tenggelam dalam lautan buku. Setelah lama menjadi pembaca alam, tetapi tetap gagal menjadi penterjemah yang faham segala rahsia.

Sunday, October 11, 2009

MAJALAH PENGANTIN


Sambil menunggu kawan di kaki lima jalan, saya pun memanjangkan langkah ke gerai majalah berhampiran.

"Ini tengok majalah baru sampai," kata aci penjaga gerai sambil menghulurkan majalah tebal bertulis 'Pengantin' kepada saya.

"Tak apalah tengok-tengok saja." Jawab saya pula sambil tersenyum-senyum.

"Ini pun baru juga." Dia hulur pula sebuah majalah dengan kulit depan gubahan hantaran.

'Err apa hal pulak asyik hulur majalah ala-ala pengantin saja ni. Sudahlah datang seorang. Muka pun macam orang baru masuk U,' kata saya dalam hati sambil memuji-muji diri sendiri.

Dia ambil majalah Keluarga pula, tapi sebelum sempat dia hulur saya sudah lekas-lekas permisi ke tempat lain.

Apabila direnung-renung ke belakang, barulah saya faham. Patut pun, tadi saya berjalan dari arah bangunan dua tingkat yang bertulis ' Kursus Perkahwinan'.

p/s: ini hanyalah tulisan blog yang merapu.

Tuesday, October 06, 2009

MENYIMPAN KARYA DENGAN SELAMAT

Kerosakan komputer samada berkenaan serangan virus atau kemusnahan hardware memang sangat menguji kesabaran. Bagi para penulis, tentunya hal ini lebih menyakitkan apabila manuskrip yang ditulis beberapa lama lenyap begitu saja tanpa ada backup. Malah Allahyarham SN Arena Wati juga pernah merasai hal ini terhadap manuskrip novel hebatnya; Armageddon yang akhirnya tertunda begitu lama untuk penulisan semula.

Malah kepada bukan penulis juga, kehilangan kerja-kerja penting atau gambar-gambar kenangan memang menyedihkan.

Jadi seiring dengan teknologi, selain daripada melakukan backup kepada beberapa media seperti pendrive dan cd, terdapat banyak ruang simpan internet (internet storage) yang boleh digunakan dengan percuma. Salah satu yang telah lama saya gunakan dan dijamin berkesan ialah Dropbox.

Apa yang menarik, Dropbox boleh dipasang di beberapa komputer. Sebagai contoh, anda pasangkan (install) di komputer riba dan komputer pejabat. Dropbox di kedua-dua komputer ini akan syncronise, katakan anda simpan sebuah manuskrip novel dalam komputer riba, tetapi terfikir untuk menyudahkannya di komputer pejabat, buka Dropbox, sambung tulis dan save. Manuskrip yang di komputer riba juga akan updated. Sama juga jika anda menambah fail-fail baharu di komputer pejabat, fail-fail itu juga boleh didapati dalam Dropbox di komputer riba. (amaran: ini hanya contoh, tidak seharusnya menulis novel pada waktu kerja :)

Selain dari komputer-komputer yang anda pasangkan, fail-fail dalam Dropbox anda juga terdapat di internet. Anda juga boleh pilih jika mahu kongsikan fail tersebut dengan orang lain melalui laman web Dropbox.

Baiklah, mari lihat cara ringkas memasang Dropbox:

  • Langkah 1: Masuk ke laman web Dropbox.
  • Langkah 2: Isikan nama, emel, dan kata lalauan yang anda mahu untuk akaun Dropbox. Klik create account.
  • Langkah 3: Ikuti overview atau klik saja butang Download Dropbox di bahagian bawah.
  • Langkah 4: Muat turun dan install terus Dropbox ke komputer anda.
  • Langkah 5: Install Dropbox anda ke beberapa komputer lain jika perlu.

Selepas install, folder Dropbox sudah boleh digunakan. Anda ada 2GB ruang. Jangan lupa simpan fail dalam folder Dropbox. Untuk akses di internet pula, masuk saja ke laman web Dropbox dan login.

Selepas ini jika hard disk crash, kita masihlah boleh senyum-senyum lagi =)

Saturday, October 03, 2009

Wednesday, September 30, 2009

Salam Aidilfitri

Salam hari raya kepada semua pengunjung. Raya kali ini menjadi raya yang sungguh sibuk bagi saya, kebetulan pula keluarga bapa saudara dari KL balik ke Ipoh dan berkampung di rumah kami. Memang meriah jadinya. Dapat bertemu dengan sepupu seangkatan yang jarang-jarang sangat bertemu, walaupun sama-sama ada Shah Alam!

Raya memang berbeza pengertiannya. Jika tak ada 'orang-orang tua' dalam keluarga, agaknya hilanglah kemanisan hari kemenangan. Mereka pentingkan ziarah ke rumah saudara-mara, malah kami sampai pusing 80% negeri Perak dalam masa seminggu, untuk menziarahi kaum-kerabat.

Tapi bila dibiarkan kami yang muda-muda dan single mingle sendiri, ziarah kami di shoping mall dan ke panggung wayang akhirnya!

Wednesday, September 09, 2009

RIANG RIA



dulu maca kecil-kecil
saya tak pernah main mercun. betul. tapi pernahlah sebenarnya, itupun mercun pop pop. kalau mercun dalam erti kata sebenar yang perlukan api untuk meletup, memang tak pernah. kalau musim raya, dengan kawan-kawan atau sepupu-sepupu, kalau orang main mercun pun, saya main bunga api saja. yang saya masih ingat, ada sejenis mercun yang akan kejar orang. namanya entah mercun ayam, katak atau naga -tak pasti. itupun kalau betul-betul mercun ni wujudlah. kalau tidak, mungkin hanya imaginasi.

sekarang
adik saya ajak main mercun. dengan bangga kononnya saya nak cuba. barulah saya tahu, mercun papan yang meletup kuat tu perlu dibakar dengan tangan, kemudian baru baling. mercun roket pula, perlu ditanam sedikit atau sandarkan di batu, kemudian bakar dan dia akan terbang macam roket. sekarang saya taklah hairan kenapa selalu ada yang hilang jari kerana main mercun. sampai sekarang saya memang tak minat main mercun pun. kalau terlambat campak, tak pasal-pasal meletup di tangan. mana nak sarung cincin?

kih kih kih

Wednesday, September 02, 2009

CERITA DULU-DULU

entah zaman bila, optical mouse saya terjejas sedikit. butang klik kiri dan kanan masih ok, cuma roda di tengahnya dan lampu yang sepatutnya berkelip biru merah hanya menyala terang -tidak berkelip-kelip.


jadi kononnya untuk bereksperimen, saya operate optical mouse tu daN betulkan rodanya. sebelum pasang semula, teringin pula untuk padamkan saja led biru merah yang tidak berkelip-kelip dan selalu menyakitkan mata dengan cahaya terang tu. jadi empat batang kaki led pun diputuskan. selepas siap pasang semula, cursor langsung tak bergerak.

laaa nama pun optical mouse, kalau tak ada led merah macam mana nak detect pergerakan mouse. kah kah kah marilah kita ketawa sambil berguling-guling sambil menanti waktu berbuka. ops. marilah kita berzikir.


Friday, August 21, 2009

OH OH RAMADHAN TIBA

SAYAP-SAYAP CINTA

Cinta suci
Bertebaran di taman ini

Sayap-sayap mengapung jiwa
Semilir halus mendesir sukma

Di sini bintang-bintang turun berlangir
Saling berpuisi dalam rapsodi sang penyair

Tekunilah harum cinta nan segar
Dari bebunga rindu yang kian mekar

Giringlah langkah ke taman pilihan
Madrasah jiwa mengasuh iman

Silakan berteduh di rimbunan kasih
Sejahteralah dengan hati bersih

Namun, awas, berhati-hati
Taman ini bukan abadi

Aku hanyalah sebelah sayap yang akan gugur
dari cinta ranum,
Hamparkan aku kasih-Mu
kerana akukan terhempas
dan hancur.

Nissa' Yusof
Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2009