Sunday, February 13, 2011

Adaptasi: Filem atau Buku Dahulu

saya baru selesai mambaca buku The Accidental Billionaires yang telah difilemkan sebagai The Social Network penghujung tahun lepas. saya sememangnya cenderung menyukai filem yang diaptasi daripada buku. maka ini menjawab persoalan mengapa saya suka baca novel-novel nicholas sparks. kebanyakan karya beliau difilemkan, dan saya sangat suka menonton apa yang dibaca.

seboleh-bolehnya, saya akan membaca buku dahulu sebelum menonton filemnya. saya akan merasakan kepuasan dengan apa yang saya tonton kemudian selepas membaca dengan plain - without judgment. hal ini jarang berlaku apabila saya menonton filem dahulu, saya akan kesal dengan perubahan jalan cerita dan pembacaan saya cenderung untuk menjadi hambar, lalu cepat bosan.

The Accidental Billionaires saya baca selepas menonton The Social Network. walaupun plotnya tidak banyak berubah, pembacaan saya agak tergesa-gesa dan bias kerana sejak awal lagi saya sudah mempunyai rasa kasihan kepada Eduardo, membayangkan Mark sebagai tipikal geek yang egoisitik, Sean seorang pengacau yang sungguh menjengkelkan dan kembar Winklevoss yang menjadi 'perencah' tambahan.

begitulah saya membaca sampai ke muka surat akhir. mark tetap begitu, tebal dengan perangai bangsanya. seperti terentang banner 'vote for eduardo' dalam kepala. ops, ini bukan pasal eduardo dalam The Social Network sangat comel ya. tapi, walau bagaimanapun eduardo juga sebangsa dengan mark!

Tuesday, February 08, 2011

Intelektual Politik

Jika di bidang fiqh yang kadang-kala menghajatkan kepastian hukum, para ulama saling menghormati, apalagi masalah perbezaan pandangan politik. Di bidang yang tidak sering 'hitam putih' ini, umat Islam semestinya jauh lebih dapat saling menghargai. [Dua sisi Umar bin Khattab]


saya barangkali adalah remaja tipikal yang tidak begitu suka kepada politik kepartian. saya memang tidak gemarkan sepak terajang politik ini yang selalunya berputar belit, penuh dengan kritikan-kritikan pelik dan saling menjatuhkan.

menggunakan pentas ceramah agama, contohnya, untuk menyebarkan kritikan dan pembelaan bukanlah sesuatu yang salah. tetapi biarlah berpada, mungkin cukup sekadar 10%. senario sekarang, para penceramah cenderung menjadikan isu-isu politik sebagai 'umpan' ceramah mereka dengan jenaka-jenaka yang menjatuhkan pihak lain. jadi di mana intelektualnya? walaupun tidak semua orang perlukan yang intelek-intelek, tapi mengapa perlu merendahkan audien.

sebuah kritikan, pada saya, perlulah ada sebab dan pilihan. sebab; mengapa perkara itu salah, pilihan; cadangan lain untuk menggantikan perkara yang dikritik. memang, sudah lumrah, orang yang berada di luar padang bola lebih kecoh daripada yang bermain. kalau tak ada pengkritik di luar padang, pemain akan bermain sambil-lewa. tapi, kalau semuanya mahu didengar, barangkali tak ada lagi yang mahu main bola.

saya barangkali adalah remaja tipikal yang tidak begitu suka kepada politik kepartian. tetapi tidak suka tak bermakna tidak ambil tahu. ramai kawan-kawan saya cenderung untuk tidak ambil tahu. sebabnya? apa yang terpapar di media (arus perdana dan alternatif) langsung tidak menjana pemikiran mereka. layan novel jiwang lagi baik. ada juga ruang berimaginasi!

Tuesday, February 01, 2011

Bukit Bintang

Ini adalah judul sajak saya dalam Tunas Cipta bulan ini. Saya memang sengaja mahu menulis tentang ini di sini kerana selain bersifat peribadi, sajak ini adalah sesuatu yang lain daripada beberapa karya saya yang pernah tersiar.

Bukit Bintang, kalau perlu dijelaskan dalam satu perkataan, adalah sajak yang jujur. Apa yang tertulis adalah apa yang sebenarnya berlaku; lokasi, waktu, suasana, watak-wataknya, malahan juga sedikit isi perbincangan kami di meja kafe. Yang mana biasanya saya akan sedaya upaya 'sorokkan' dalam tulisan. Tapi tidak kali ini.

Dalam sajak ini juga saya sengaja memasukkan suatu unsur yang selalu ada dalam sajak-sajak penyair kegemaran saya.

Terima kasih kepada pihak editorial yang sudi menyiarkannya. Tidak sabar menunggu TC Mac untuk ulasan.

Memang, bagi penulis, semua karya adalah peribadi. Untuk yang terlibat, mungkin ini boleh jadi rakaman sejarah kita pernah berkawan. Mana tahu, bila Azriq judah jadi SN nanti, boleh jadi bukti persahabatan. Dan, tentu saja, saya tetap menuntut sajak balas Perempuan Bukit Bintang yang disebut-sebut kelmarin.

Saturday, January 22, 2011

Trivia 2010

Ya, saya tahu sekarang sudah hampir penghujung Januari. Tapi masih ‘bulan 1’, jadi rasanya belum terlambat untuk saya bernostalgia sedikit tentang tahun 2010. Ahaks!

  1. Saya labelkan Journey to Space oleh angkasawan negara sebagai Book of the Year. Sebabnya, saya menunggu buku tersebut berbulan-bulan dan akhirnya dapat di PBAKL dengan autograf. Ternyata sangat berpuas hati dengan pengisiannya.
  2. Movie of the Year, barangkali Magika.
  3. Mula membaca falsafah. Tertekan juga baca buku-buku Al-Attas. Tapi kata abang Lutfi, itulah gaya Al-Attas...
  4. Selain sejarah Perak, saya mula sukakan sejarah Tudor Court. Terima kasih kepada The Other Boleyn Girl.
  5. Perangai kumpul-tanda-tangan-penulis saya semakin menjadi-jadi. Malah saya membawa Daun sampai ke Pangkor dan memaksa Fairuz kenalkan saya dengan Pak Malim. Apalagi, sebab nak autograf beliau lah! Kemudian tersengih-sengih sepanjang hari.
  6. Mula terjebak dengan masalah ‘orang dewasa’. Sangat sangat sangat terekan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sabar memberi sokongan. Sengaja tidak letak nama mereka, takut ada pula yang pergi korek rahsia. Hehe.
  7. 3 kali kemalangan. Yang pertama, langgar main-main saja. Yang kedua dan ketiga, kereta cedera, tapi saya OK. Alhamdulillah.
  8. 3 kali pindah rumah.
  9. Kali keberapa patah hati? Oh, abaikan.
  10. Tajuk cerpen sendiri yang paling saya suka ialah Eskapisme Cinta Pagi Merdeka. Cerpen ini tersiar di Dewan Kosmik November. Tajuknya sangat elegan! Hehe.
  11. Tajuk novel sendiri yang paling saya suka tentulah Gerhana. Sebab hanya satu saja novel saya.
  12. Tiada tajuk puisi sendiri yang paling saya suka. Setakat ini, semuanya biasa-biasa.
  13. Konvoi raya sampai ke rumah Kak Nisah di Seremban. Raya paling banyak jalan-jalan semenjak remaja ni. Bezanya dengan zaman kanak-kanak; dulu kumpul duit raya, sekarang beri duit raya.
  14. Saya sudah bertahun-tahun tidak menulis diari. Jadi, sangatlah susah nak siapkan trivia-trivia ni!

Saturday, January 15, 2011

Sejarah Adalah Sejarah

saya baru sahaja mendengar cerita tentang pengalaman seseorang yang belajar Sains Komputer di zaman 1980-an. bukan lama sangat jarak masanya. sedangkan saya sendiri lahir dalam tahun 1980-an juga.

beliau bercerita bagaimana ketika sekitar 1986, hanya ada satu makmal komputer untuk pelajar sains komputer. dan komputer pada ketika itu adalah komputer yang tak dapat saya bayangkan sekarang. hard disk sebesar tin biskut, mesin seluas bilik kelas, tapi hanya boleh dioperasikan oleh 5 pengguna sahaja. ya, ini adalah komputer biasa. bukan mainframe atau database.

kerana kesukaran ini, hanya pada tahun dua mereka boleh menggunakan makmal komputer ini. sebelumnya, pembelajaran lebih kepada programming. bagaimana menulis programming code tanpa komputer? teknologi yang digunakan ialah teknologi punchcard. coding akan dipunch pada program card, kemudian akan ada mesin lain untuk run code tersebut. jumlah card bergantung pada kompleksiti program. kalau besar, beratus-ratus card diperlukan.

yang paling saya kagum, bagaimana apabila dirun, ada error? mereka terpaksa menghabiskan sepanjang siang dan malam untuk menyemak setiap satu card sampai boleh mengenalpasti mana satu yang salah.

sekarang, laptop sudah ada di mana-mana. kadang-kadang seperti tidak dapat dibayangkan dahulu tidak ada kemudahan seperti ini. tapi itu adalah sejarah. dan sejarah tetap begitu, samada kita boleh menerima atau tidak.

Wednesday, January 05, 2011

Jack & Bobby

“I run because when I run, everything else goes away. Just me and the road.”


Ini adalah salah satu quote kegemaran saya dalam drama bersiri Jack & Bobby. Jika tidak salah, saya mula menonton Jack & Bobby dalam tahun 2005 ketika ditayangkan di TV3, 10PM setiap Jumaat. Saya menjadi pengikut setia siri ini, malah turut memaksa adik saya menonton sekali.

Jack & Bobby memang pilihan saya. Oh, bukan kerana Jack sangat macho, walaupun hakikatnya ya, tapi garapan kisah dan permainan plotnya sangat memuaskan hati. Cerita ini lebih kepada sebuah biografi, tentang zaman remaja dua bersaudara; Jack McCallister dan Bobby McCallister yang dibesarkan oleh seorang ibu yang sedaya upaya cuba mengatur hidup mereka dengan cara ‘intelek’ ; Dr. Grace McCallister.

Pada tahun 2041, salah seorangnya menjadi Presiden US.

Sebuah ‘dokumentari’ yang diceritakan dalam kelas tersendiri.

Monday, January 03, 2011

Tahun Baharu

Hari ini hari ketiga tahun baru. Hari pertama saya sepatutnya bekerja di tahun 2011. Sengaja saya ambil cuti. Rasa seronok pula apabila berkuasa untuk ‘menunda’ kerja di tahun baru ini. Hehe.

Sebetulnya hari ini saya mengisi masa untuk diri sendiri, bermuhasabah, berfikir, merancang aktiviti dan resolusi. Saya membayangkan tahun ini akan menjadi tahun yang sibuk. Sangat sibuk, barangkali. Jadi saya mahu mulakan segala-galanya dengan baik. Semoga kesudahannya juga baik.

Pastinya 2011 menjanjikan cabaran dalaman dan luaran yang lebih hebat. Saya mahu mempersiapkan diri untuk itu. Saya mahu terus membaiki diri, kearah muslim yang lebih baik. Usia bertambah. Tanggung jawab juga bertambah. Memang mustahil saya dapat selalu bersantai seperti hari ini; menikmati sarapan di kafe sambil membelek Dewan Sastera, berjalan-jalan mengikut gerak rasa dan membuat keputusan tanpa menghirau masa. Tapi, saya akan cuba menjadi lebih baik dan lebih tenang. Daripada anda yang membaca catatatan perbadi ini, saya mohon doanya.

Wednesday, December 08, 2010

Kerjaya ii

beberapa orang yang rapat dengan saya mempunyai bidang kerjaya yang hampir sama. salah seorangnya adalah sepupu yang beza beberapa tahun dari saya. semasa saya mula bekerja, sepupu saya ini pernah mengeluarkan satu teori bahawa ketakutan utama yang dialami oleh majikan untuk mengambil fresh grad, terutamanya dari bidang teknikal IT, ialah golongan ini cepat bosan dan cenderung untuk bertukar kerja.

melihat apa yang berlaku pada saya sekarang, saya fikirkan teori sepupu saya tadi wajar dipertimbangkan. akhir-akhir ini saya sedikit tertekan. walaupun kadang-kadang saya tahu beberapa perkara wajar ditegur kerana kecuaian saya sendiri, tapi saya tetap rasa itu tak patut berlaku. selepas berfikir lama, saya pasti root causenya adalah hal yang saya sebutkan awal tadi; bosan.

sudah masuk tahun baru hijrah. mungkin saya sebaik-baiknya mencari tempat baru. moga-moga akan beroleh pengalaman baru dan belajar lebih banyak perkara baru dalam bidang yang saya pilih ini. ilmu Allah kan sentiasa luas. walaupun saya hanya memilih satu bidang, tentu ada sahaja perkara yang tidak saya tahu :)

salam maal hijrah.


Sunday, December 05, 2010

Kerjaya

selepas beberapa hari bekerja di luar. saya temui sesuatu yang telah lama saya rindu tanpa saya sedari. apabila saya sebut 'bekerja di luar', situasi sebenarnya ialah keluar dari pejabat kemudian terperap di dalam sebuah bilik super-sejuk, tanpa pemandangan luar, dan hanya ada satu bunyi yang sama.

maka sekarang, saya kembali berfikir, mungkin saya perlu tukar kerjaya. kembali kepada sesuatu yang sememangnya saya suka. hmm peduli apa dengan kadar pengangguran dan harga minyak naik. cewah!

Wednesday, November 24, 2010

Yang Kami Perlukan

Pagi yang sedikit 'pening' bagi saya hari ini. Maka sengaja membelek buku puisi yang saya gemari; lalu saya temui puisi ini untuk permulaan hari...

Yang Kami Perlukan

yang kami perlukan
kata benar,
bukan cerita besar,
ditambah rempah kisah,
kerana dalam alir hikayat
sudah cukup makna dan kias
yang dapat mengalir
ke sungai kecil diri.

jadi, tamanlah pohon cerita
yang berakar pada akal,
supaya dapat kami percaya
dan menjadi ahli kekal.

SN Muhammad Haji Salleh
Aksara Usia