Friday, December 23, 2011

Titik Mula


Terminus A Quo – judul kumpulan puisi Raihani Mohd. Saaid. Buku ini merupakan kumpulan puisi pertama Kak Rai dan merupakan salah satu daripada hanya beberapa kumpulan puisi penyair muda wanita.

Saya belum habis membaca buku ini kerana sudah menjadi kebiasaan saya membaca buku puisi mengikut ‘mood’. Cuma sementara buku ini masih ‘panas’ mahu juga menulis sedikit untuk kononnya menjadi ‘gelombang’ pertama. Ewah..

Ketika Kak Rai minta saya menulis sedikit untuk ‘nota kawan-kawan’ dalam buku ini, saya memang sangat terharu. Malu pun ada. Saya kenal Kak Rai semasa MPR tahun 2006, ketika itu Kak Rai menjadi mentor kami. Sebelum itu penah sekali (kalau tak salah) sajak kami bertembung di Berita Minggu tapi tentulah saya tidak kenal siapa Raihani Mohd. Saaid tu. Selepas itu, saya memang terus mengikuti sajak-sajak Kak Rai. Mungkin juga kerana fakta kami sama-sama minat dengan karya-karya SN Muhammad Haji Salleh, saya mudah menyenangi sajak-sajak Kak Rai. Tapi dalam malu-malu mahu tulis ‘nota kawan-kawan’ tu, saya tulis juga, masuk nama di kulit buku puisi tu! Haha.

Kumpulan puisi ini mengumpulkan 52 buah sajak yang dibahagikan kepada lima bahagian. Kalau mahu dapatkan, perlu pesan segera. Cetakan terhad dan khabarnya memang laku keras!

RM 15 (tambah RM 2 untuk kos pos)
Emel ke deppviggo@yahoo.com untuk pesanan 

Sejujurnya, sejak kenal Kak Rai lagi saya memang menanti buku puisi ini. Banyak bait-bait sajak Kak Rai yang senang melekat dalam kepala saya, antaranya perenggan awal Janji Si Muda Lela;

Si muda lela dan si ayu kirana
Ibarat keris dengan pendua
Kalau harus jadi cendekia
Jadilah Nadim yang rindu putih jiwa
Kalau harus jadi juita
Jadilah Fatimah yang rindu timbang saksama
Kalau harus jadi setia
Jadilah Tuah yang rindu sebuah empayar kembali terbina.

Monday, December 12, 2011

Buku Besar

Saya sedang membaca biografi Einstein. Saya sebut buku ini sebagai 'buku besar einstein' kerana sebetulnya ini adalah biografi lengkap tentang beliau yang pertama kali saya baca. Buku ini diterbitkan dengan sangat 'mewah'  dari segi kandungan dan bahan-bahannya. Contohnya seperti poskad einstein kepada Mileva yang dicetak seperti poskad asal dan diselitkan dalam buku dan begitu juga gambar-gambar, surat, faksimile dan sebagainya yang dicetak seperti dokumen asal.

Buku ini bukan sekadar buku yang menceritakan bagaimana seorang budak yang disangka bodoh rupa-rupanya menggunakan otaknya dengan peratus yang lebih tinggi daripada orang lain. Siapa sangka einstein sebenarnya berkali-kali menulis tentang fizik, tetapi berkali-kali juga kertasnya tidak diterima sebagai disertasi phd. Jadi, beliau terpaksa bekerja sebagai patern clerk di swiss patent office (ketika itu einstein sudah berkahwin dengan mileva dan mempunyai seorang anak lelaki, Hans Albert) di mana beliau mendapat idea untuk menulis teori quantum dan menghasilkan e=mc2 yang sangat popular. Selepas berjaya dalam kerjaya di universiti, einstein dan mileva berpisah dan beliau berkahwin pula dengan Elsa.

buku ini boleh didapati di bookxcess
dengan harga yang sangat berpatutan
Saya baru membaca separuh. Pembacaan agak perlahan pertamanya kerana saiz yang besar (perlu dibaca dengan proper dan tidak boleh diangkut merata-rata) dan banyak masa berhenti-henti untuk meneliti gambar-gambar dan dokumen yang dikepilkan. Saya dapati dari segi moral, einstein sebenarnya telah membuat banyak kesilapan. Perkahwinan beliau dengan Mileva ditentang keluarga, mempunyai seorang anak perempuan dengan Mileva (luar nikah) yang tidak pernah ditemui sehingga bayi itu mati akibat demam berdarah, mengabaikan keluarga selepas bertemu Elsa dan akhirnya berpisah dengan Mileva.

Sekadar membandingkan sedikit dengan ilmuan Islam, Ibnu Sina sebagai contoh mengahafal Al-Quran pada usia sepuluh tahun. Kemudian dari situ beliau menghabiskan pelajaran sastera, agama, falsafah, politik dan perubatan pada usia 20-an. Bermula dengan Al-Quran dahulu...


Thursday, November 10, 2011

Penghargaan

Saya mendengar dan membaca banyak rungutan berkenan kematian Dennis Ritchie yang sama sekali dilupakan. Di mana-mana saja orang mengingati Steve Jobs, walaupun yang tidak pernah menyentuh barangan Apple. Jobs adalah usahawan yang bertaraf selebriti, jadi ini bukanlah hal yang terlalu menghairankan. Berbanding Ritchie yang merupakan hero komputer yang sebenar. Beliau bekerja di belakang Linux, C dan lain-lain. Seorang ‘geek’ memanglah selalunya tidak dikenali walaupun telah memberi banyak kepada industri. Orang yang duduk di hadapan; usahawan, model dan lain-lain, akan lebih dikenali.

Pada saya, penghargaan itu lebih bermakna daripada orang yang benar-benar tahu menghargai. Ritchie mungkin tidak dikenali ramai orang. Tapi, orang-orang yang mengenali beliau tahu sumbangannya yang sangat besar dalam industri ICT.

Begitu juga dalam penulisan, ramai yang saya kenal tidak mendapat penghargaan walaupun karya mereka sangat bagus. Tidak dikenali, malah kurang dibaca karyanya. Mempunyai sedikit pembaca, tetapi yang tahu menghargai karya dan berfikir tentangnya adalah lebih baik. Walaupun mereka tidak bercakap tentangnya. Tapi tentu saja bergantung kepada tujuan penulis itu sendiri.



Monday, October 31, 2011

Mimpi Rakyat

Sepanjang dua hari mengikuti Seminar Pemikiran SN Abdullah Hussain tempoh hari, banyak masa terluang saya gunakan dengan berjalan-jalan di dalam kedai buku dbp. Memandangkan kedai buku dbp bukanlah termasuk dalam kategori yang selalu saya kunjungi, maka saya gunakan sepenuhnya peluang berada di situ. Tidak banyak buku yang saya beli, cuma beberapa buah buku puisi dan dua kumpulan cerpen yang mana kedua-duanya merupakan cerpen-cerpen Mohd. Affandi Hassan.

Saya memilih untuk membaca kumpulan cerpen Mimpi Rakyat terlebih dahulu memandangkan kebanyakan cerpen dalam MR ditulis lebih awal daripada cerpen-cerpen dalam Pura Pujangga. Sekadar untuk mengikuti rentak penulisnya dari awal.

MR mengumpulkan sebelas cerpen dengan tema yang sama; politik semasa yang kalau boleh saya simpulkan di sini diambil dari sudut pandang penduduk kampung yang jauh dari bandar dan kemajuan. Membaca cerpen pertama dalam buku ini, Mimpi Rakyat, saya tertarik dengan pengolahan yang digunakan. Bagaimana Pak Usu yang selama ini gemar menceritakan mimpi-mimpi bohongnya di kedai kopi tiba-tiba ‘insaf’ dan menceritakan mimpinya yang sebenar. Malangnya, orang-orang kampung tidak sukakan mimpinya yang sebenar. Malah pemimpin di kawasan tersebut menasihati Pak Usu supaya berhenti saja bercerita tentang mimpinya. “Pak Usu tak ada permit, tak ada tauliah, tak boleh cerita mimpi-mimpi pada orang ramai.”

Saya tidaklah membaca buku ini sekali hadap. Hanya saya baca di sela-sela masa lapang. Tapi masuk cerpen ketiga, saya sudah mula rasa mual. Mungkin inilah masalahnya apabila sebuah kumpulan cerpen menghimpunkan karya-karya yang sama tema. Pembaca (atau lebih spesifik, diri saya sendiri) menjadi muak dengan isu sama yang terus diulang-ulang. Contohnya seperti watak ketua parti dan menteri yang ada dalam semua cerpen. Tapi saya teruskan juga membacanya dengan perlahan. Cerpen-cerpen seterusnya seperti Balak, Pit, Awang Sabil dan Cacing antara yang saya suka. Lontaran ideanya menarik dan tidaklah terlalu mengajar pembaca.

Tahun lepas saya pernah cuba membaca novel Jejak Warisan dalam buku Pujangga Melayu. Pembacaan saya terhenti pada bab-bab awal dan buku tersebut masih terbiar di rak. Barangkali cerpen-cerpen Mohd. Affandi Hassan lebih sesuai dengan selera pembacaan saya berbanding novel atau teori beliau :)

Tapi ini juga masih ‘teori’ saya lagi, saya akan membaca Pura Pujangga jika berkelapangan. Nanti baru boleh dinilai teori saya ini betul atau tidak.

Friday, October 28, 2011

Monday, October 24, 2011

Tapi..

ada banyak perkara yang membuat 'lintas hormat' dalam kepala saya. sangat banyak sebenarnya, yang mahu saya tulis di blog, di twitter, di status fb, cerpen, sajak dan macam-macam lagilah. tapi, ya bila ada tapi maksudnya perkara tu bukanlah sehebat yang dibayangkan.. tapi, semua perkara itu ditongkah badai segala macam teori, formula dan idea yang lebih utama. haa kan dah kata, bila ada 'tapi' maksudnya perkara tu tak jadi seperti yang diharapkan.

walau bagaimanapun, (penggunaan ini memberi sedikit harapan) nanti-nantilah saya tulis. Baca S.O.S dululah ya :)

Monday, October 17, 2011

Jarum Peniti dan S.O.S

Majalah S.O.S Edisi 01 diterbitkan November 2011. Kami sudah mula menjualnya sekarang. Kami bergerak sendiri, dengan kerjasama PENA dan Soljah, membangunkan majalah ini. Dari Rumah PENA ke kedai kopi. Dari online ke offline.

Rakan-rakan sidang redaksi lain ramai yang sudah mempromosi macam-macam tentang S.O.S. Jadi tidak perlulah lagi saya mengulang hal yang sama. Jika mahu beli, kami biasanya ada di majlis-majlis seni dan sastera. Kepada yang memang mengenali saya atau sidang redaksi yang lain boleh terus menghubungi kami. Kami masing-masing ada stok. Jika mahu beli secara pos hantar sahaja emel kepada suaraorangseni[at]gmail.com.





Harga pengenalan: RM 5
Tambah RM 1 jika dibeli melalui pos.


Dulu-dulu saya pernah menulis tentang impian saya untuk membaca ruangan gosip dalam Dewan Sastera. Tentulah sampai sekarang imaginasi itu tidak tercapai. Tapi... dalam S.O.S ada ruangan Cucuk-cucuk Jarum Peniti! Yeah, impian jadi nyata akhirnya. Oh kalau anda bertanya 'siapa JP?', jawapannya mestilah tidak boleh diberi :)

Thursday, September 29, 2011

The Story

Beberapa minggu lepas, saya membaca sebuah forum tentang Dear John. Sebuah novel tulisan Nicholas Sparks yang kemudiannya diangkat menjadi filem dengan judul yang sama. Saya membaca novelnya separuh, kemudian menonton filem dan menyambung baca. Tak sabar mahu tunggu habiskan novel untuk tonton filem...

Di forum tersebut, ada yang bertanya adakah lagu Dear John (Taylor Swift) ada kaitan dengan novel/filem Dear John. Kemudian jawapan yang diterima ialah lagu Dear John ditulis dan dinyanyikan oleh Taylor Swift selepas putus dengan John Meyer. Dari situ, tiba-tiba saya terjebak dengan kisah lagu-lagu Taylor yang rupanya sangat banyak berkisar hal peribadi.

Sebagai contoh, lagu The Story of Us yang saya suka atas sebab-sebab peribadi juga bercerita tentang kisah Swift-Meyer. Kemudian lagu Back to December tentang Swift-Lutner. Ada lagi lagu Forever and Always (dari album sebelumnya) tentang kisah Swift-Joe Jonas (Jonas Brothers). Lagu Better Than Revenge ditulis untuk seorang aktres yang dikatakan merampas Joe Jonas.. OK cukuplah setakat itu, nanti nampak banyak sangat tahu :D

Apa yang menarik ialah kisah-kisah disebalik lagu-lagu ini didedahkan sendiri oleh Swift, bukan sekadar gosip atau andaian. Kebolehan Swift menulis sendiri lagu-lagu tentang hidupnya dengan sisi-sisi yang berbeza agak mengagumkan saya.

Ramai yang boleh menulis karya peribadi, tapi tak ramai yang bijak menyusunnya untuk ditonjolkan dari sisi yang berbeza.


Oh ya, saya suka susunan lagu dan lirik dalam album Speak Now. Masih lagi mengekalkan identiti muzik country.

Sunday, September 18, 2011

Penerimaan

Penerimaan
Chairil Anwar

Jika kau mau, kuterima kau kembali
Dengan sepenuh hati
Aku masih tetap sendiri
Kutahu kau bukan yang dulu lagi
Bak kembang sari sudah terbagi
Jangan tunduk! Tentang aku dengan berani
Jika kau mau, kuterima kau kembali
Tapi untukku sendiri
Sedang dengan cermin aku enggan berbagi

(Maret 1943)

Penerimaan, sebuah puisi Chairil Anwar yang mungkin tidak begitu mesra dengan pembaca yang biasanya mengenal Chairil dengan "aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang". Penerimaan, menerusi sebuah diskusi dengan beberapa rakan, lama dahulu, kami menyimpulkan ini sebagai sebuah puisi patriotik. selepas belanda menjajah indonesia. Chairil tidak mahu berkongsi negaranya, sedang dengan cermin dia enggan berbagi.

Tuesday, September 06, 2011

Lagu Raya

selamat hari raya buat pembaca blog ini. walaupun ini adalah blog peribadi, saya memohon maaf jika ada yang tidak wajar dibaca di sini.

bercerita tentang hari raya, selain makanan raya dan rancangan tv, yang menarik ialah lagu-lagu raya. saban tahun ada saja lagu-lagu baru untuk bersaing dengan lagu-lagu evergreen. walaupun saya memang boleh dikatakan pendengar radio yang tegar, saya kurang gemarkan lagu-lagu raya. terutama yang dimainkan dalam bulan ramadan dan di pusat membeli belah (sejak bulan syaaban lagi!)

tapi ada juga beberapa lagu evergreen yang saya suka seperti lagu sepasang kurung biru (khairil johari). bukan berdasarkan kisah sebenar ya. tapi saya sukakan lagunya yang perlahan dan unik.



ok ini top 5 lagu raya pilihan saya tahun ini;

1. track 3 & track 4 dalam album anugerah aidilfitri (rasanya dua lagu ni pun dah bosan dengan saya sebab asyik ulang-ulang sepanjang perjalanan balik kampung)
3. raya o yeah - yuna (kalau tajuknya 'cinta di hari raya' akan ada feel raya yang lebih)
4. aidilfitri limpah kurniaan Ilahi - nubhan (sebenarnya pertama kali dengar pada malam raya)
5. bunga api di hati (dari tahun lepas saya rasakan tajuknya agak kelakar, tapi lagu dan liriknya sangat sesuai dengan saya dan kawan-kawan yang jauh)