Sudah lama sebenarnya saya menamatkan novel ini, tapi baru sekarang sempat menulis tentangnya. Sebetulnya, sejak mengetahui bahawa penulis hebat, Abdul Latip Talib sedang menukangi novel berkenaan Sultan Muhammad Al-Fateh ini, memang saya tunggu-tunggu kelahirannya. Akhirnya novel ini saya dapat percuma saja. Hehe. Terima kasih, Pak Latip.
Saya mengenali Sultan Muhammad Al-Fateh dalam usia muda lela, menerusi sebuah pembacaan. Mengenali tokoh pemimpin dari golongan remaja ini membuat saya berkobar-kobar. Hey siapa kata dunia ini milik orang yang makan garam dulu saja! Memang saya selalu mencari-cari bahan bacaan tentang Sultan ini. Mungkin kerana kemalasan saya mencari atau kurang prihatin, memang saya jarang jumpa tentangnya...
Bagi saya, inilah tokoh pemimpin yang sebenar. Selepas Nabi Muhammad dan para sahabat, tentunya. Sultan Muhammad memimpin dengan teladan sejarah, belajar daripada contoh terdahulu, berani dan yakin pada Tuhan. Itulah sebenar-benarnya pemimpin! Bukan tidak ada politik kotor pada zamannya, malah hal-hal ‘main belakang’ memang ada pada zaman manapun, kebijaksanaan sahajalah yang mengatasi, dan paling penting adalah kebergantungan pada agama, iaitu Tuhan dan Rasul-Nya. Dua ciri inilah yang menjadikan tokoh ini begitu hebat di mata dunia. Keyakinan pada agama menjadikan beliau yakin untuk menakluk Konstantinopel yang menjadi kubu kuat kristian ketika itu dan menukar namanya kepada Istanbul, atau asalnya Islam bol (lebih kurang) yang membawa maksud Islam seluruhnya.

Beliau membina tembok, melatih tentera, malah melayarkan kapal perang di atas daratan! Oh kalaulah semua orang mengenalinya. Sesungguhnya setiap orang adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya. Bacalah, anda akan kagum dengan tokoh ini juga.
Malah sesuatu yang perlu dipuji tentang penulisan Pak Latip adalah cara santainya. Bertepatan dengan kata ‘novel’, Pak Latip menggunakan laras bahasa yang mudah difahami. Contoh paling baik ialah dalam novel sejarah Melayu beliau, Setelah Roboh Kota Melaka misalnya, tidak menggunakan sepatahpun perkataan arkaik yang selalu membuatkan kebanyakan remaja hari ini menjauhi sejarah. Jadi, sekarang tak wujud soal tidak suka membaca untuk remaja atau siapa sahaja. Jika ingin versi klasik, banyak bahan-bahannya, jika mahu yang moden pun sudah tersedia. Inilah masanya mendekati tokoh yang sebenar-benar tokoh.

3 comments:
teruskan membaca...
Nisa'
Terima kasih.
baiklah, abg jebat :)
pak latip, pandangan peribadi saya saja. saya yang patut ucapkan terima kasih :)
Post a Comment