Friday, February 06, 2009

ISTIDRAJ

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. [Al-A'raaf : 182]

Nikmat yang dikurniakan Allah, dengan bahasa yang saya mudahkan, ada dua; rahmat dan istidraj. Satu nikmat yang diberi atas kebaikan dan usaha yang berkat, manakala satu lagi adalah nikmat yang semakin merosakkan balasan kepada kemungkaran yang dilakukan.

Istidraj adalah yang kedua itu. Apabila Allah mengurniakan dia rezeki melimpah ruah, sedangkan hidupnya bergelumang dengan perkara mungkar, sentiasa melangkaui perintah-Nya, meninggalkan solat dengan alasan kerja. Nikmat itulah istidraj.

Allah memberikan kemewahan sebagai balasan kepada kemungkaran agar dia akan terus lalai dan leka dalam dunia mungkarnya itu. Istidraj adalah pembalasan secara senyap. Pembalasan yang paling menyakitkan.

Daripada Nabi sallaLlahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah istidraj”.

Lalu Rasulullah sallaLlahu ‘alayhi wa sallam membaca (surah al-An’aam ayat 44):

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). [Hadith riwayat Ahmad]

Secara ringkasnya begini, apabila kita melihat seorang yang zalim semakin berkuasa, seorang yang memfitnah untuk kuasa semakin bermaharajalela atau seorang yang kita tahu mengamalkan rasuah jadi semakin kaya-raya. Nah, inilah contoh-contoh istidraj.

Tidak perlulah kita rasa bahawa zalim, memfitnah atau makan rasuah untuk berjaya ini adalah perkara-perkara yang diberkati Allah, semata-mata kerana dia semakin berjaya, sedangkan orang yang jujur, amanah dan sabar dengan fitnah; dijatuhkan, dimalukan atau semudah-mudahnya disingkirkan. Begitulah. Yang mungkar tetap mungkar, walaupun zahirnya nampak baik.

Rujukan:
http://www.islamonline.net
http://www.muftisays.org
http://saifulislam.com

No comments: