Wednesday, March 09, 2011

Cerpen ECPM; Komen SM Zakir

Awal 2006, saya setia dengan Tunas Cipta. Walaupun tidak pernah ada karya saya yang tersiar di situ, saya suka membaca komentar SM Zakir untuk cerpen-cerpen yang tersiar bulan sebelumnya dan ulasan Shamsudin Othman untuk bahagian puisi.

Ulasan yang diberikan setiap bulan dalam dua ruangan berbeza ini menepati apa yang saya cari; kritikan dan cadangan penambahbaikan. Shamsudin Othman memberi cadangan secara tidak langsung dengan menampilkan contoh sajak-sajak yang baik dan seseuai dengan tema ulasan. Begitu juga SM Zakir. Contoh-contoh yang diberikan membuatkan saya lebih cepat faham. Bukan diberikan teori semata-mata.

Kerana ini, saya berazam agar ada karya saya yang diulas oleh mereka di TC. Ahamdulillah, impian itu tercapai apabila puisi saya tersiar pada bulan September. Seterusnya memungkinkan saya mengikuti MPR pada tahun yang sama (2006).

Saya merasakan tidak boleh menulis cerpen. Lantas saya memang tidak pernah menulis cerpen ketika itu. Cuma selepas MPR saya mencuba (selepas dipaksa oleh kak Nisah). Sayangnya, penerbitan TC dihentikan dan digantikan dengan sisipan TC dalam Dewan Sastera. Jadi tiada lagi ruangan untuk ulasan cerpen dan puisi yang tersiar. Selepas penerbitan TC dijalankan semula, Shamsudin Othman dan SM Zakir tidak lagi menjadi pengkritik tetap.

Dipendekkan cerita, tahun 2011 ini, impian saya menjadi nyata apabila SM Zakir mengkritik sedikit tentang cerpen Eskapisme Cinta Pagi Merdeka (Dewan Kosmik, November 2010) dalam TC Mac. Cerpen ini dikumpulkan bersama beberapa cerpen teman-teman lain dalam esei bertajuk Kepelbagaian Dalam Cerpen Penulis Muda Mutakhir.

Seperkara lagi yang saya suka ialah label yang diberkan SM Zakir kepada kami;
“...kelompok penulis yang membentuk kelompok geososial mereka melalui kegiatan sastera yang dilibati bersama tidak lagi cenderung menulis melalui gaya dan bentuk yang sama.”

3 comments:

Rumah Cerekawala said...

Menyukai label yang diberikan oleh S.M Zakir.

Nissa' Yusof said...

selamat datang. terima kasih sudi membaca di sini :)

Nabiha Mashut said...

Salam, kak nissa ada simpan ulasan sm zakir untuk cerpen kita x? di TC. dulu x sempat nak beli n baca.. Kalau x silap, sama dengan ulasan cerpen ECPM.. Kalau x silap.