Alhamdulillah, Borak Buku sudah masuk tahun kedua. Dalam seronok-seronok, kelam-kabut, penat, miscommunication, susah-payah dan senang-lenang, program ini sudah diadakan sebanyak 13 siri. Syukur atas segala nikmat dan kekuatan yang diberi kepada semua pihak. Ada banyak kesenangan disebalik kepayahan dan tentu sahaja ada banyak perkara yang mahu diperbaiki lagi.
Semasa Borak Buku dengan Ustaz Don tempoh hari, pelbagai isu yang dapat dibicarakan bermula dengan perbincangan tentang buku (kitab) Syamail Muhammadiyah. Salah satunya, beliau sempat membaca sebuah hadis popular berkenaan niat.
“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."
Hadis ini adalah hadis pertama dalam susunan Hadis 40 (Imam Nawawi). Cuma sayangnya, kita (saya) selalu terlupa. Ustaz sempat mengulas bahawa setiap orang akan mendapat apa yang dikehendaki. Akan mencapai apa impian yang dihajati. Tapi, jika tidak ada niat kerana Allah, maka tiadalah 'bahagia' untuknya. Hmm saya meletakkan tanda pada perkataan bahagia itu kerana erti bahagia terbuka kepada pemahaman masing-masing.
Hadis ini membuat saya berfikir, tentang apa yang saya lakukan selama ini, segala yang saya kejar, apa yang saya usahakan, adakah paling tidak sedikit cebisan niat untuk ikhlas kerana Allah? Ternyata bagi saya ini adalah perkara mudah yang sukar. Mudah diungkap tetapi sukar dibuat. Mudah difaham tapi sukar dilaksanakan.
Moga hidup kita sama-sama menjadi semakin baik, bukan untuk dunia sahaja, tetapi akhirat juga. Amiin.

No comments:
Post a Comment