Awal tahun dahulu, saya pernah menulis bahawa saya mahu membaca buku-buku berkaitan kembara. Alhamdulillah, Eat, Pray, Love dan Ibu Melayu Mengelilingi Dunia telah berjaya dibaca. Saya tahu, banyak buku tentang kembara yang terdapat di pasaran, tetapi kehendak saya mungkin sedikit berlebihan. Saya lebih suka membaca cerita pengalaman daripada sekadar checklist atau promosi. Meskipun begitu, saya tetap ‘hormat’ kepada kepentingan Lonely Planet dan yang seumpamanya.
Jadi, semasa diberitahu bahawa SuaraSuara sedang mengusahakan dua buah buku berkenaan catatan kembara, saya agak tidak sabar mahu membacanya. Travelscapes dan Landskap Kembara masing-masing dalam bahasa Inggeris dan Melayu mula dijual semasa PBAKL yang lalu.
Sejujurnya, pertama kali cuba membaca kedua-dua buku ini, agak sukar untuk saya jatuh suka. Ini kerana kedua-duanya merupakan gabungan catatan kembara daripada penulis-penulis yang berbeza. 8 penulis menyumbang untuk Travelscapes dan 10 penulis untuk Landskap Kembara. Masalah dengan kepelbagaian ini adalah susah untuk mendapatkan feel pembacaan. Masing-masing menggunakan pendekatan berbeza, dengan gaya dan cara tersendiri. Begitu juga sudut pandang yang digunakan, pelbagai. Tapi kelebihannya pula adalah kita dapat ‘membaca’ kepelbagaian itu.
LANDSKAP KEMBARA: PERJALANAN RENCAM SENIMAN
Itu adalah tajuk pada front cover buku. Kebanyakan penulis yang menyumbang adakah mereka yang mengembara dengan jiwa seni; penulis dan pelukis. Lokasi kembara/seminar/bengkel/misi yang ditulis pula adalah Cuba, Afghanistan, Afrika Selatan, Jakarta, Palembang, Itali, Manila dan Cambodia.
Saya suka membaca catatan Siti Zainon Ismail di Itali dan Rom yang sungguh halus dan puitis. Saya juga sukakan tulisan MF Nasution yang jujur terhadap Jakarta. Begitu juga tulisan-tulisan lain yang membawa pengalaman masing-masing.
TRAVELSCAPES : ALTERNATIVE JOURNEYS
Kalau Landskap Kembara menyajikan penulisan yang pelbagai kepada pembaca, Travelscapes lebih lagi kepelbagaiannya. Ada juga yang membawa saya ke suatu pemandangan baru, ke tengah kebun getah (pada zaman sebelum merdeka) dan ke dusun durian di Gopeng :)
Secara keseluruhannya, membaca pengalaman dan penulisan yang rencam dalam dua buah buku ini memberi perasaan yang bercampur-baur juga. Adakalanya seronok, ada kala sedih, ada kala geram dan lebih banyak seronok mengembara bersama-sama mereka.
Jika berminat untuk membeli, saya tidak pasti berapa harganya. Saya membeli semasa promosi pelancaran, RM 50 untuk 3 buah buku (termasuk buku Tonton Filem yang turut diterbitkan). Boleh buat bising di FB SuaraSuara untuk maklumat lanjut.

No comments:
Post a Comment