Membaca kembali buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini lain perasaannya. Buku ini saya beli memandangkan naskhah yang pernah saya baca dahulu dipinjam orang dan masih belum dipulangkan. Tak mengapalah. Naskhah kedua yang saya ada ini lebih istimewa (jangan ada yang teka saya dapat autograf pulak) kerana saya beli di Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka yang sempat diziarahi tahun lepas. Sebuah percutian keluarga yang sangat bermakna. Saya tidak ingat sejak bila, tapi saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk ke rumah kelahiran Buya Hamka dan melihat sendiri Danau Maninjau. Memang cantiknya tidak terkata.
Tapi kecantikan itu tidaklah dapat percuma. Untuk turun ke sana dari Bukittinggi, kita perlu melalui 44 buah kelok yang sudahlah sempit, boleh tahan juga curamnya. Memang setiap kelok itu ditandakan nombor, dan sebagai pengubat hati, dari Kelok 44 yang paling atas lagi kita sudah boleh lihat pemandangan Danau Maninjau menggamit-gamit. Psiko kan!
Membaca kembali TKVDW dengan usia yang lebih remaja (ehem), memberikan ruang untuk saya berfikir lebih banyak. Jika dulu hanya dapat menghadam kisah cinta Zainuddin dan Hayati saja, sekarang pembacaan itu boleh diluaskan lagi tentang adat Minang, kerendahan hati, dan paling istimewa, kehalusan bahasa yang digunakan Hamka. Ada bahagian-bahagian yang dapat dirasakan juga sayu dan pedihnya.
Saya suka nasihat abang Muluk kepada Zainuddin selepas dia sakit teruk kerana Hayati berkahwin dengan Aziz; janganlah jadi lemah kerana seorang perempuan, sedangkan Zainuddin adalah orang yang berilmu dan dipandang baik oleh masyarakat. Zainuddin menyewa di rumah ibu Muluk sepanjang pengajiannya di Padang Panjang. Tapi Muluk sentiasa mengelak untuk bertemu dengan Zainuddin kerana Zainuddin orang siak (orang alim) manakala dia orang Parewa (orang muda yang suka berjudi, menyabung, tetapi hebat dalam silat dan berdukun etc).
Tapi setelah Zainuddin pulang daripada mengembara untuk mengubat hati :), ibu Muluk menyarankan Zainuddin cuba bercakap dengannya, barangkali ada yang dapat dikongsi. Dari situlah Muluk bertindak sebagai seorang abang dan sampai akhirnya menjadi sahabat yang setia dan bersama Zainuddin ke Jakarta dan seterusnya Surabaya. Sahabat yang saling belajar dan saling menyokong.
Dalam pembacaan kali kedua ini juga, saya sudah terbayang Herjunot Ali sebagai Zainuddin dan Reza Rahadian yang membawa watak Aziz. Filemya masih ditayangkan di Indonesia...saya masih menunggu dengan sabar untuk menontonnya.
Sementara itu, saya sedang membaca buku Ayah, tulisan Irfan Hamka yang menulis kisah hidup Buya Hamka dari pandangan anaknya.

No comments:
Post a Comment