Wednesday, July 01, 2009

LABU SAYONG


peti sejuk tiba-tiba rosak.
seisi penghuni istana pun tiba-tiba berebut minum dari labu sayong bonda.

Monday, June 22, 2009

BAS


Beberapa hari lepas, saya naik bas dari KL ke Ipoh bersama seorang rakan. Waktu tengah hari. Tempat duduk kami lebih kurang tengah-tengah bas. Bas tak penuh pun, mungkin sebab hari bekerja. Selang 3 tempat duduk di depan kami ada seorang atok yang tadi dihantar oleh anaknya (mungkin) sampai ke atas bas dan ada dalam 5 6 orang sebaya kami.

Sampai di R&R, bas berhenti, saya terjaga. Memang agaknya sejak azali lagi saya ada sumpahan kenderaan dan lebuh raya. Asal lepas saja gerbang tol, memang saya tidur. Haha. Dalam sedang betul-betulkan otot tu, saya dengar atok yang duduk selang 3 kerusi di depan kami bercakap;

"adik, kamu duduk mana, asyik tidur je."

senyap. uish atok ni cakap dengan saya ke. Pedas ni.

"belajar ke kerja?" atok tu tanya lagi.

senyap.

Saya berfikirlah kemungkinan atok tu bercakap dengan saya. Dalam fikir-fikir tu saya pun tertidur balik.

Setelah selamat sampai di Ipoh, saya tanya pada kawan kalau-kalau dia dengar perbualan yang sama. Mana tahu saya yang bermimpi di siang hari. Kawan saya kata ada. Dia cakap dengan dua budak perempuan yang duduk di kerusi sebelahnya.

Kata kawan saya lagi, "Nasib baiklah bukan kita yang duduk situ!"

Kadang-kadang saya malas update blog. Kalau online YM pun saya akan nyorok-nyorok. FB pula kadang-kadang baru buka. Saja, pergi membawa diri mencari erti ketulusan.. Hahaha. Apa pulak ni!

Sunday, June 21, 2009

POSTER


chatter A : poster baru ni teman nak tampal kat bilik. Mungkin bawah poster angkasawan negara tu.

chatter B : ala susah-susah sangat mike bagi je poster angkasawan tu kat teman, kan senang.

chatter A : uish, mana boleh. Ada otograf tu. Kenangan sepanjang hayat. Tapi teman ada poster tuan guru N, yang tu boleh bagi.

chatter B : tak payahlah..

Saturday, June 06, 2009

KOMENTAR MERDEKANYA SEBUAH IMPIAN

Selepas cerpen Pabila Hujan Turun dikomentarkan oleh Ainunl Muaiyanah, kali ini sebuah cerpen saya dikomentarkan pula oleh Sapiah Derahman, seorang lagi mantan MPR 2006 yang sentiasa hebat dengan idea-idea cerpennya.

Merdekanya Sebuah Impian yang tersiar di majalah e@siswa pada bulan Ogos 2008 ini mepunyai 'nilai' yang tersendiri. Masakan tidak, inilah cerpen pertama yang tersiar sepanjang hidup saya, meskipun bukanlah cerpen pertama yang ditulis.

gambar tiga orang tu macam jack sparrow dan kawan-kawan kan

MSI ditulis dalam tempoh yang relatif singkat ini mengajar saya pahit, manis, gembira dan takutnya mengejar
deadline. Terima kasih kepada senior MPR, kak Salina Ibrahim yang menjadi perintis jalannya.

Bersesuaian dengan bulan Ogos dan tajuknya sendiri yang mempunyai perkataan 'merdeka' cerpen ini bertemakan soal merdeka. Kononya saya mahu menulis tentang merdeka dalam konteks yang luas, pelbagai, berideologi dan pelbagai lagi cita-cita tinggi. Kononnyalah.

Tentang komentar yang ditulis oleh Sapiah, silalah ke blog MPR 2006 untuk membacanya. Sebuah lagi projek syok sendiri kami. Hahaha.

Monday, June 01, 2009

HANTU-HANTU MELAYU

Tak ingat saya terjumpa tip-tip ini di laman web mana. Tapi saya edit sedikit dan letakkan di sini. Sebenarnya selepas menonton Twilight saya macam jadi berani banyak. Maklumlah, vampirenya punyalah macho! Tapi tak boleh lawan kawan saya, terus jatuh hati dengan vampire. Parah.. parah.


Tip-tip apabila terjumpa hantu;
(aplikasi di tanah melayu sahaja)

POCONG
Hantu yang berbungkus ini memang mudah dikalahkan. Kita hanya perlu buka tali pengikat di atas kepalanya dan tarik kain balutannya. Sudah tentu dia akan lari kerana malu, sebab dia tidak pakai apa-apa selain kain kapan pembungkusnya itu.

LANGSUIR
Hantu ini suka memandang muka manusia,jadi beranikan diri anda untuk tenung kembali mukanya sambil jelir lidah ataupun, cara kedua, tunjuk cermin muka padanya, pasti dia tersipu-sipu malu.

PONTIANAK
Hantu yang sangat suka ketawa.Kalau terserempak dengannya, ketawalah bersamanya. Kalau boleh cuba mengilai lebih kuat daripada dia,tentu dia bosan.

HANTU GALAH
Hantu ini adalah yang paling tinggi di muka bumi. Kalau terjumpa dia ,kita hendaklah maniarap .Pasti dia tak perasan kita ada di situ.

p/s: siapa kata orang malaysia tak kreatif?

Tuesday, May 26, 2009

FANATIK

Dalam apa hal pun, menjadi fanatik adalah tidak bagus. Seeloknya sederhana saja. Tapi fanatik dan suka atau minat adalah dua perkara yang berbeza.

Kalau saya kata "saya fanatik biawak" maksudnya saya sangat suka biawak, sayang biawak, ada kostum biawak, ada kulit biawak, simpan gambar biawak dan biawak adalah yang terbaik dalam hidup saya, kalau biawak curi anak ayam saya, tak mengapa, mungkin tak sengaja.

Tapi kalau saya kata "saya suka/minat biawak" maksudnya saya hanya suka pada beberapa hal berkaitan biawak seperti kelambatannya bergerak, tapi tidak suka yang lain-lainnya.

Maka tentulah menjadi satu masalah jika saya fanatik biawak, kerana saya tidak akan percaya bila dikata yang biawak itu tak baik dan saya mungkin akan menyelar orang yang mencipta kata 'biawak hidup'.

Tentu sekali itu hanyalah contoh. Saya tidak fanatik biawak, malah tidak suka pun. Tapi nampaknya spesis ini yang suka persekitaran rumah saya. haha.

Fanatik memang sangat tidak bagus, terutama dalam politik. Bila fanatik, kita akan cenderung menuduh tanpa mengkaji. Saya teringat satu contoh; semasa menonton rancangan bual bicara Di Luar Lingkungan di TV1 tentang topik buku dan pembacaan beberapa minggu lalu. Yang menjadi panelnya kak Nisah Haron, Puan Ainon PTS dan Encik Khair ITNM. Di pertengahan segmen, Puan Ainon bercakap sedikit tentang PPSMI. Kemudian kak Nisah juga menambah sedikit dan isu PPSMI dibangkitkan beberapa ketika. Kemudian tiba-tiba seorang kawan yang datang entah dari mana berdiri di tepi saya dan kata, "aku bosanlah, diorang mesti bela kerajaan punya". Saya kata,"eh mana ada, diorang bagi hujah tak menyokong PPSMI". Dia sambung, "habis tu apa diorang kata?". Haha ini sudah jadi masalah, dah berapa puluh minit rancangan tu, penatlah saya nak ulang siar balik. Saya suruh saja dia duduk menonton sama, tapi dia tak berminat kerana tetap yakin bahawa ini semua penyokong PPSMI (kerajaan).

Ini salah satu contoh orang yang fanatik. Kawan saya ini memang penyokong kuat pembangkang. Memang fanatik ke'pembakangan'nya. Jadi lihat, dia nampak saja rancangan yang sebenarnya sangat ilmiah ini ditayangkan RTM, maka dia melabel panel-panel yang dijemput mestilah tidak membangkang kerajaan. Apabila dia mendengar beberapa perkataan tentang PPSMI terus dia menerjah bahawa ini hujah menyokong PPSMI.

haa kan bermasalah di sini.

Nabi pernah berpesan supaya umat Islam bersederhana saja dalam apa saja. Dalam hidup, apa-apa pun mesti dikaji dahulu. Mesti fikir. Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri!

Friday, May 15, 2009

SELAMAT HARI GURU

Selamat hari guru. Kepada guru-guru dan bukan guru-guru. Biasanya tak perlu 'title' cikgu untuk jadi guru. Tapi sememangnya hari guru sudah dikhaskan untuk guru-guru yang dipanggil cikgu.

Puisi ini sudah termuat dalam majalah Pendidik pada November tahun lepas. Selepas ratusan kali membaca puisi ini, saya masih merasakan puisi ini sangatlah syok sendiri atau dalam istilah remajanya 'poyo'. Ironinya, ini adalah antara puisi yang paling saya suka. Maka minta maaflah kalau ada yang tak suka dengan tulisan ini :)

Wednesday, May 13, 2009

KOLAM PUISI

Semalam mahkamah umumkan Ir Nizar sah masih lagi MB Perak. Hari ini sah Dr. Zambry masih lagi MB Perak. Kerana 2 3 hari ini adalah hari yang paling memenatkan dan menyeksakan dalam hidup saya setakat ini, saya pun tidak ambil peduli. Macam mana pun, jadi macam itu jugalah. Majoriti rakyat katalah apa pun, semuanya akan jadi macam yang penguasa mahu juga. Macam mana? Ini yang kita tak tahu. (siapa yang tonton los dan faun tahulah nadanya macam mana).

Bercakap tentang puisi, saya bukanlah pencinta puisi seberang. Saya lebih suka penyair-penyair kita seperti SN Muhammad Haji Salleh dan SN A. Samad Said. Semasa bertemu SN Muhammad Haji Salleh tidak lama dulu, beliau berpesan supaya banyakkan membaca, termasuklah karya-karya luar. Supaya pemikiran dan hasil karya berkembang, tidak seputar kita kita saja.

Walaupun saya bukanlah pencinta puisi seberang, tapi apabila terima buku puisi terbaru Sapardi Djoko Damono; Kolam, siap dengan tandatangan dan tulisan pak Sapardi sendiri; 'untuk nissa', melompat jugalah dibuatnya.

Sebenarnya, inilah saja motif entri ini. Hahaha

Thursday, May 07, 2009

GURU

Suatu ketika, semasa proses perbincangan terbuka dalam bilik tutorial, pensyarah saya sempat berpesan; sekurang-kurangnya, pada hari guru, pergilah bertemu kembali guru-guru sekolah rendah kamu. Mereka adalah golongan yang paling banyak berkorban.

Bila difikirkan, memang betul pun. Mereka adalah yang paling banyak jasanya, tapi paling kurang diingati. Saya sendiri, memang sudah tak pernah jumpa cikgu-cikgu sekolah rendah kecuali seorang dua yang merupakan kawan mak atau ayah. Biasanya bila cuti semester, ada pula masa jenguk kedua-dua sekolah menengah, walaupun jauh. Sedangkan sekolah rendah yang hanya sepelaung saja dari rumah itu tak pernah pula saya jenguk. Haish.

Entahlah, mungkin kerana kedua-dua sekolah menengah saya itu sekolah asrama, memang banyak masa dalam proses membesar saya di sana. Cikgu-cikgu malah sudah jadi seperti mak/ayah/abang/kakak bagi kami.

Saturday, May 02, 2009

PECAH RUMAH

Baru beberapa hari lepas saya tulis tentang rumah di Ipoh yang sudah lama tak saya jenguk. Lewat petang semalam, baru saya diberitahu yang rumah kena pecah masuk lagi.

Sebelum ini pernah saya tulis tentang beberapa kali cubaan pecah masuk ini berlaku. Yang pertama apabila tingkap bilik saya cuba dikopak hampir pukul 2 pagi, ketika saya sedang bersantai-santai dengan laptop dan lampu terang benderang. Mujur lekas sedar dan orang itu cabut lagi. (Tingkap yang sama tempat saya menghendap biawak). Rupanya ketika itu sebuah kereta yang tak berkunci sudahpun digeledah habis.

Kemudian ada beberapa cubaan membuka atap, alhamdulillah, yang itu pun masih dipelihara Allah lagi.

Kali terakhir, saya kira lebih kurang hampir sepuluh bulan juga, perompak cuba kopak pintu dapur. Ditakdirkan Allah malam itu saya tidak boleh lelap. Tapi tergerak untuk bergelap dan cuba-cuba tidur, lagipun semua ahli keluarga lain sudah lena. Kira-kira baru pukul 10.30 malam, baru saja saya rasa mahu bangun buka tv yang memang ada dalam bilik saya, nampak seperti cahaya lampu suluh pada tingkap, kemudian ada bayang-bayang manusia cuba mengintai ke dalam. Kemudian hilang dan selang beberapa minit saya dengar bunyi tingkap dapur (yang awalnya saya sangkakan pintu) sedang dikopak. Dipendekkan cerita, apabila perompak itu sedar ada orang sedar, dia lari. Tak sempat ditangkap walaupun sudah dihubungi beberapa orang untuk stand-by tunggu di belakang.

Yang terbaru ini, dipecah masuk ketika hari siang. Ayah dan mak kerja, manakala adik ke sekolah. Tidak dapat dinafikan, memang mudah nak tahu kalau rumah saya tak ada orang. Kalau semua kereta tak ada dan basikal adik pun tak ada, maka memang tak ada oranglah. Melainkan kalau saya bercuti.

Mengikut kata mak saya, tingkap dapur (yang cuba dikopak dulu) terkopak, kemudian segala engsel dan kunci pintu dikopak. Satu lagi pintu dapur yang sengaja disendal dengan rak besi turut dibuka dan satu pintu depan dibuka. Menurut ayah, ini supaya dia senang lari kalau ada orang mengepung. Orang serbu satu pintu, dia boleh lari ke pintu lain. Bab ini saya memang tabik dengan ayah. Fikiran pencuri pun boleh dibacanya. Haih.

Berbalik soal rumah tadi. Habis bilik saya dan bilik utama digeledah. Ada sedikit barang kemas mak hilang, termasuklah cincin kahwin yang terlupa dipakai pagi itu. Mujurlah mak saya bukan jenis yang menyimpan sekotak barang kemas dalam almari macam dalam drama tv. Begitu juga duit tabung adik dalam biliknya. Bilik saya hanya ada baju dan buku saja pun. Dari satu sisi, mujurlah memang tiada orang langsung di rumah, atau keadaan jadi semakin bahaya.

Tentulah ini peringatan Allah. Apabila lama tak ada cubaan orang masuk, kami pun jadi sedikit terleka dan saya pun lupa mendoakan rumah yang satu itu.

Risau jugalah sekarang. Orang itu sudah berjaya masuk. Segenap rumah sudah diketahuinya. Tentu sudah dikira siling mana yang boleh dibuka. Grill mana yang boleh dibuka. Kalau dalam hal komputer, apabila hacker berjaya saja masuk sistem, perkara pertama yang akan dilakukan ialah install backdoor, seperti maksud pintu belakang, supaya lain kali dia dapat masuk lagi tanpa dikesani.

Doakanlah kami, semoga sentiasa dalam lindungan dan rahmat Ilahi. Perompak itu, semoga dia insaf dan bertaubat.