Tuesday, July 05, 2011

Tentang Yang Tak Kena

saya baru selesai membaca dua buku comel; Kentang dan Tentang. sengaja membaca Kentang dahulu kerana lebih cepat dan mudah. selak-selak macam lihat album gambar. (barangkali abang saharil akan buat analisis psikologi berdasarkan 'membaca Kentang dahulu sebelum Tentang' atau sebaliknya).

kemudian, saya membaca Tentang dengan lebih perlahan sebab dalam Tentang ada banyak cerita-cerita menarik yang kononnya nak saya hayati seperti tajuk di atas tadi; 'Tentang Yang Tak Kena'. itu sebenarnya tulisan ala bercakap dengan diri sendiri, sejenis terapi yang baik untuk orang-orang macam kami. macam mana? itu rahsia. hehe.

semakin bertambah usia, saya semakin terasa sukar untuk berfikiran 'naif' seperti dulu-dulu. kenapa kita tak boleh fikir semua orang di sekeliling kita baik, berhati mulia dan ikhlas. kenapa mesti kejahatan yang orang buat mengacau fikiran kita, membuatkan kita stress dan kemudian tak boleh tidur sedangkan dia yang kacau kita, dan kita masih tak kacau orang.

hidup, selain tak adil, selalunya akan jadi complicated bila kita semakin dewasa. dahulu kita boleh lihat pelangi cantik dan suka lihat pelangi cantik. sekarang, bila kita lihat pelangi, kita tahu pelangi itu tak datang tiba-tiba. tentu tadi sudah hujan dan kereta yang baru dicuci berkilat tengah hari tadi sudah dipenuhi daun-daun kuning yang digugurkan hujan.

cerita akan jadi complicated lagi kalau selepas itu kita berfikir pula alangkah baiknya kalau tadi kita tak pergi basuh kereta, atau selepas basuh kereta kita tak parkir di bawah pokok, atau lebih ekstrim kalau kita tak kerja di situ; mungkin kereta kita akan tenang di pangkir bertingkat atau bawah tanah.

hidup akan jadi lapang kalau masalah kita hanyalah seperti itu. tapi kalau masalah kita melibatkan orang lain, itu macam jadi disaster yang datang untuk membuat kita bermuhasabah. mungkin hari-hari perlu cakap pada diri sendiri seperti sedikit cebisan Tentang Yang Tak Kena;
"Bukankah ini hidup aku. Bukankah suara-suara yang begitu gamat dan mencengkam itu cuma suara-suara dari tempat-tempat lain yang kalau aku fikir betul-betul perit bisanya tidak mampu langsung untuk menyentuh aku."

Saturday, June 11, 2011

Pasca MPR

semalam, ketika berkesempatan rehat di rumah, saya memilih melayari internet tanpa had. Ya, tentunya rasa sangat bebas kerana baru sekarang dapat rasa kurangnya bebanan kerja dan yang paling penting, saya sudah gantikan broadband yang rosak dan upgradekan bandwidthnya lagi. mana tak bebas!

kebetulan senarai blog mantan mpr 2011 yang baru saja berlalu minggu lepas sudah dikemaskini di blog alumni, saya ambil kesempatan merayau-rayau di blog mereka. ramai yang bercerita tentang kenangan-kenangan semasa berlangsungnya mpr.

teringat juga semasa mpr 2006 di PD dahulu. kami menggunakan sistem mentor-protege. ada lima orang mentor yang menjaga lima kumpulan peserta (kami-kami semualah); abg din, abg lutfi, ustaz zaid, kak nisah dan kak rai.

selepas pulang dari mpr kami berinisiatif membina blog khas mpr06 memandangkan ketika itu hanya ada yahoogroups yang mengumpulkan alumni. selepas itu wujud blog mpr sendiri, dan blog mpr06 menjadi sangat eksklusif atau dalam erti kata lain, jarang berupdate lagi. hahaha

rakan-rakan semasa mpr dahulu kebanyakannya sudah mula bekerjaya. saya sendiri jarang-jarang menulis. ramai juga yang bermastautin di kawasan lembah klang, jadi sesekali ada juga pertemuan di rumah pena atau kedai kopi yang biasanya bersama dengan alumni mpr yang lain. ramai yang kurang menulis, tapi tetap membaca dan menyokong. saya fikir itu menjadi kesan jangka panjang yang sangat nyata.

Wednesday, May 25, 2011

Sukakan Happy Ending?

Sangat menusuk kalbu orang yang suka melanggar lampu merah. ehem.

Saturday, May 07, 2011

Minda Tertawan

kesempatan bertemu dan berkenalan dengan raja ahmad aminullah yang sudi menjadi tetamu Borak Buku 4 tempoh hari mengujakan saya untuk membaca Minda Tertawan; Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa. justeru, buku ini adalah salah satu buku yang saya beli di pbakl tempoh hari.

sememangnya saya masih belum memahami istilah minda tertawan ataupun 'captive mind' yang dipopularkan oleh syed hussein al-attas ini. membaca Minda Tertawan membuaka lebih banyak ruang ke arah pemahaman itu.

setakat ini saya baru menguliti separuh isinya, penyampaian santai dan ringkas tidak meremehkan tujuan penulisan dan isi-isi di dalamnya. inilah pendapat awal saya. unuk ulasan lain mungkin perlu tunggu saya membaca hingga akhir dahulu!

Wednesday, March 30, 2011

Love

"Semua orang bisa menulis, tapi tak semuanya beruntung bisa menjual tulisan" –Awin


kebetulan singgah di kedai dvd, ada beberapa tajuk menarik yang dijual dengan diskaun. saya beli beberapa tajuk, salah satunya Love. Filem indonesia tahun 2008 yang diadaptasi daripada Cinta. sebetulnya saya sudah menonton filem ini pada tahun 2008, saya tetap merasakan filem Cinta lebih berkesan. kecuali babak Rama-Iin yang dilakonkan Fauzi Baadilla.

Fauzi dengan mukanya, ekspresinya, dan suara yang dalam ketika membaca puisi 'aku adalah kunang-kunang' sangat berkesan. itulah satu-satunya babak yang saya ingat dalam Love sebelum menonton kembali dvdnya.

Oh ya, bukan nak bercerita tentang perbandingan Love dan Cinta. saya sebenarnya mahu kongsikan beberapa line kegemaran dalam filem ini selain yang mula-mula tadi;

"Hidup itu ibaratnya toko buku. Di dalamnya ada bacaan-bacaan ringan sampai bacaan-bacaan berat. Tapi kebanyakan orang datang untuk mencari buku yang ringan-ringan aja" - Awin

"Kita tak tahu apa yang bakal terjadi esok, jika di hari ini kita berhenti" – Rama

"Ketakutan berlebihan itu berbahaya." "Sama bahayanya dengan harapan yang berlebihan" – Awin dan Tere

"Kalau kamu tak mahu aku masuk sejauh ini, seharunya dari awal lagi kau tak buka pintu hati kamu untuk aku" – Tere

"Cinta yang sejati; cinta yang ketika kita kira sudah pergi ternyata cuma bersembunyi, menunggu untuk kembali lagi." -Dinda


walau apapun, yang terbaik tentulah bacaan puisi Fauzi


Saturday, March 26, 2011

Earth Hour


sekadar tutup lampu memang tak beri kesan kepada dunia. memang kita tidak dapat mengurangkan kadar pemanasan global dengan satu jam. tapi, mengapa tidak mahu menyokong benda yang baik. kan?

26 Mac, 8.30-9.30 pm GMT+0800

Wednesday, March 09, 2011

Cerpen ECPM; Komen SM Zakir

Awal 2006, saya setia dengan Tunas Cipta. Walaupun tidak pernah ada karya saya yang tersiar di situ, saya suka membaca komentar SM Zakir untuk cerpen-cerpen yang tersiar bulan sebelumnya dan ulasan Shamsudin Othman untuk bahagian puisi.

Ulasan yang diberikan setiap bulan dalam dua ruangan berbeza ini menepati apa yang saya cari; kritikan dan cadangan penambahbaikan. Shamsudin Othman memberi cadangan secara tidak langsung dengan menampilkan contoh sajak-sajak yang baik dan seseuai dengan tema ulasan. Begitu juga SM Zakir. Contoh-contoh yang diberikan membuatkan saya lebih cepat faham. Bukan diberikan teori semata-mata.

Kerana ini, saya berazam agar ada karya saya yang diulas oleh mereka di TC. Ahamdulillah, impian itu tercapai apabila puisi saya tersiar pada bulan September. Seterusnya memungkinkan saya mengikuti MPR pada tahun yang sama (2006).

Saya merasakan tidak boleh menulis cerpen. Lantas saya memang tidak pernah menulis cerpen ketika itu. Cuma selepas MPR saya mencuba (selepas dipaksa oleh kak Nisah). Sayangnya, penerbitan TC dihentikan dan digantikan dengan sisipan TC dalam Dewan Sastera. Jadi tiada lagi ruangan untuk ulasan cerpen dan puisi yang tersiar. Selepas penerbitan TC dijalankan semula, Shamsudin Othman dan SM Zakir tidak lagi menjadi pengkritik tetap.

Dipendekkan cerita, tahun 2011 ini, impian saya menjadi nyata apabila SM Zakir mengkritik sedikit tentang cerpen Eskapisme Cinta Pagi Merdeka (Dewan Kosmik, November 2010) dalam TC Mac. Cerpen ini dikumpulkan bersama beberapa cerpen teman-teman lain dalam esei bertajuk Kepelbagaian Dalam Cerpen Penulis Muda Mutakhir.

Seperkara lagi yang saya suka ialah label yang diberkan SM Zakir kepada kami;
“...kelompok penulis yang membentuk kelompok geososial mereka melalui kegiatan sastera yang dilibati bersama tidak lagi cenderung menulis melalui gaya dan bentuk yang sama.”

Sunday, February 13, 2011

Adaptasi: Filem atau Buku Dahulu

saya baru selesai mambaca buku The Accidental Billionaires yang telah difilemkan sebagai The Social Network penghujung tahun lepas. saya sememangnya cenderung menyukai filem yang diaptasi daripada buku. maka ini menjawab persoalan mengapa saya suka baca novel-novel nicholas sparks. kebanyakan karya beliau difilemkan, dan saya sangat suka menonton apa yang dibaca.

seboleh-bolehnya, saya akan membaca buku dahulu sebelum menonton filemnya. saya akan merasakan kepuasan dengan apa yang saya tonton kemudian selepas membaca dengan plain - without judgment. hal ini jarang berlaku apabila saya menonton filem dahulu, saya akan kesal dengan perubahan jalan cerita dan pembacaan saya cenderung untuk menjadi hambar, lalu cepat bosan.

The Accidental Billionaires saya baca selepas menonton The Social Network. walaupun plotnya tidak banyak berubah, pembacaan saya agak tergesa-gesa dan bias kerana sejak awal lagi saya sudah mempunyai rasa kasihan kepada Eduardo, membayangkan Mark sebagai tipikal geek yang egoisitik, Sean seorang pengacau yang sungguh menjengkelkan dan kembar Winklevoss yang menjadi 'perencah' tambahan.

begitulah saya membaca sampai ke muka surat akhir. mark tetap begitu, tebal dengan perangai bangsanya. seperti terentang banner 'vote for eduardo' dalam kepala. ops, ini bukan pasal eduardo dalam The Social Network sangat comel ya. tapi, walau bagaimanapun eduardo juga sebangsa dengan mark!

Tuesday, February 08, 2011

Intelektual Politik

Jika di bidang fiqh yang kadang-kala menghajatkan kepastian hukum, para ulama saling menghormati, apalagi masalah perbezaan pandangan politik. Di bidang yang tidak sering 'hitam putih' ini, umat Islam semestinya jauh lebih dapat saling menghargai. [Dua sisi Umar bin Khattab]


saya barangkali adalah remaja tipikal yang tidak begitu suka kepada politik kepartian. saya memang tidak gemarkan sepak terajang politik ini yang selalunya berputar belit, penuh dengan kritikan-kritikan pelik dan saling menjatuhkan.

menggunakan pentas ceramah agama, contohnya, untuk menyebarkan kritikan dan pembelaan bukanlah sesuatu yang salah. tetapi biarlah berpada, mungkin cukup sekadar 10%. senario sekarang, para penceramah cenderung menjadikan isu-isu politik sebagai 'umpan' ceramah mereka dengan jenaka-jenaka yang menjatuhkan pihak lain. jadi di mana intelektualnya? walaupun tidak semua orang perlukan yang intelek-intelek, tapi mengapa perlu merendahkan audien.

sebuah kritikan, pada saya, perlulah ada sebab dan pilihan. sebab; mengapa perkara itu salah, pilihan; cadangan lain untuk menggantikan perkara yang dikritik. memang, sudah lumrah, orang yang berada di luar padang bola lebih kecoh daripada yang bermain. kalau tak ada pengkritik di luar padang, pemain akan bermain sambil-lewa. tapi, kalau semuanya mahu didengar, barangkali tak ada lagi yang mahu main bola.

saya barangkali adalah remaja tipikal yang tidak begitu suka kepada politik kepartian. tetapi tidak suka tak bermakna tidak ambil tahu. ramai kawan-kawan saya cenderung untuk tidak ambil tahu. sebabnya? apa yang terpapar di media (arus perdana dan alternatif) langsung tidak menjana pemikiran mereka. layan novel jiwang lagi baik. ada juga ruang berimaginasi!

Tuesday, February 01, 2011

Bukit Bintang

Ini adalah judul sajak saya dalam Tunas Cipta bulan ini. Saya memang sengaja mahu menulis tentang ini di sini kerana selain bersifat peribadi, sajak ini adalah sesuatu yang lain daripada beberapa karya saya yang pernah tersiar.

Bukit Bintang, kalau perlu dijelaskan dalam satu perkataan, adalah sajak yang jujur. Apa yang tertulis adalah apa yang sebenarnya berlaku; lokasi, waktu, suasana, watak-wataknya, malahan juga sedikit isi perbincangan kami di meja kafe. Yang mana biasanya saya akan sedaya upaya 'sorokkan' dalam tulisan. Tapi tidak kali ini.

Dalam sajak ini juga saya sengaja memasukkan suatu unsur yang selalu ada dalam sajak-sajak penyair kegemaran saya.

Terima kasih kepada pihak editorial yang sudi menyiarkannya. Tidak sabar menunggu TC Mac untuk ulasan.

Memang, bagi penulis, semua karya adalah peribadi. Untuk yang terlibat, mungkin ini boleh jadi rakaman sejarah kita pernah berkawan. Mana tahu, bila Azriq judah jadi SN nanti, boleh jadi bukti persahabatan. Dan, tentu saja, saya tetap menuntut sajak balas Perempuan Bukit Bintang yang disebut-sebut kelmarin.