Selamat pagi Rabu. Akhir-akhir ini banyak drama dan filem yang diadaptasikan daripada novel. Ada yang berkonsepkan cinta, ada yang menambah unsur-unsur Islam (karya Islami katanya) dan pelbagai lagi.
Salah satu yang sedang hangat sekarang adalah drama bersiri Sehangat Asmara. Saya perlu berhati-hati setiap kali menaip tajuknya kerana asyik-asyik mahu tertaip ‘asrama’, kalau tajuknya jadi Sehangat Asrama, sudah tentu-tentulah hilang nuansa romantis. Tapi sesuai juga. Ahaks.
Saya pernah membaca novel ini, semasa di sekolah asrama – kan dah cakap tadi, memang sesuai jadi Sehangat Asrama! Okeh, ini cerita lamaaaa dahulu, biasalah ketika bosan di hujung minggu, saya mencari bahan bacaan yang menarik, memandangkan bilik tv selalu penuh. Biasanya ketika inilah kawan-kawan akan mengeluarkan novel-novel yang mereka seludup.
Ya, peraturan asrama kami tidak membenarkan novel cinta dibawa (dan dibaca!). Banyak juga asrama yang ada peraturan begini sebenarnya. Bukanlah menghairankan. Jika ada yang bertanya, novel jenis bagaimana yang boleh dibawa, saya boleh jawab “novel-novel yang ada di perpustakaan”.
Jadi itu bagaimana saya berkenalan dengan Kay dan Zainal. Secara sembunyi-sembunyi di dalam dorm.
Sekarang, ada juga sesekali saya tersengajatonton drama ini. Tentulah menarik hati, dengan latar Sydney yang cantik. Membuatkan saya terkenangkan dunia kampus. Tak banyak tanggung jawab dan mudah saja.
Ada satu episod, tidak pasti yang keberapa, ada scene mak-mak datin berbual di ruang tamu rumah, tentang anak-anak datin dan puan sri yang lain. Rasanya sudah lama tidak ada scene sebegini, biasanya sekarang datin-datin akan bersembang di coffee house.
Selamat menonton kepada yang suka menonton, selamat membaca kepada yang suka membaca.
"Orang cakap, bila seseorang tu ambil berat pasal kita, maknanya dia sayang kita" - Kay