Minggu lepas saya memandu ke Pasar Seni dan Pudu. Satu ativiti yang memang selalu saya elakkan. Ya, saya memang tidak pernah memandu menuju ke kedua-dua destinasi tersebut. Tersesat pernah. Berkereta pun pernah, tapi dipandu orang lain. Tapi oleh kerana keperluan, saya redahkan saja.
Selepas menjemput tetamu di KL Sentral, saya pun membawa haluan ke Pasar Seni. Memasuki kesesakan di Jalan Hishamudin, Jalan Petaling dan yang sekitarnya itu membuka mata saya kepada beberapa perkara. Dalam sesak dan cuba-cuba ambil peluang untuk meneyelit di celah-celah bas yang di belakangnya tertampal notis “sila beri laluan” (ok saya memang tak puas hati tentang ini, ingat dia saja yang perlu laluan? Saya tuliskan tentang ini lain kali), selain memerhati kedai-kedai di tepi jalan, saya juga melihat orang yang lalu-lalang –kebanyakannya pelancong.
Saya melihat mereka, dan kemudian melihat sekeliling saya. Di situ, deretan kedai-kedai lama yang usang –tidak langsung melambangkan “Kuala Lumpur” seperti dalam fikiran orang Malaysia.
Pelancong yang saya maksudkan di sini adalah dalam kategori pengembara dan backpackers. Sejujurnya, saya sangat menghormati golongan ini. Mereka mengembara bukan untuk mencari kesenangan, tetapi untuk menambah pengalaman dan mencari sesuatu yang baru dengan cuba hidup seperti orang tempatan. Mereka ini bukanlah jenis yang akan tinggal di hotel berbintang dan membeli belah di KLCC dan Pavi. Pengembara akan duduk di kawasan paling strategik, boleh berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam seperti penduduk tempatan.
Para pengembara ini, yang saya lihat di kiri dan kanan saya, akan menginap di hotel bajet atau guesthouse murah di Jalan Petaling, atau backpackers hostel di Pudu atau Brickfields. Setiap hari mereka akan berjalan kaki selagi mampu untuk mengalami kehidupan sebagai orang tempatan. Jarang sekali golongan ini akan jejak ke pusat membeli belah. Kawasan seperti Pasar Seni dan Jalan Petaling itulah pilihan terbaik jika mahu membeli kenang-kenangan. Saya lakukan perkara yang sama semasa ke Manila tempoh hari. Keluar pagi-pagi, naik jeepney, bertukar-tukar lane keretapi dan berjalan kaki ke serata tempat.
Para pengembara ini melihat sebuah Kuala Lumpur dengan begitu telus; bangunan lama (sekali pandang macam di pekan-pekan lama di Perak tau!), jalan raya tidak teratur, rakyat kurang berdisiplin tapi baik-baik dan berbudi bahasa belaka. Kenalah ada yang baik kan, takkan nak mengutuk je :p
Pandangan mereka akan berbeza sama sekali dengan pandangan Malaysian sendiri terhadap Kuala Lumpur; ibu negara, pesat, moden, gah, ghairah dan semua yang hebat-hebat.
Walau apa pun, saya harap mereka akan merasa nasi lemak, char kueh tiow, cendol, ais kacang, teh tarik dan makanan Malaysia yang lain. Kita selalu bangga dengan kepelbagaian makanan Malaysia, tapi saya lihat bakso dan es teler lebih komersil di Pasar Seni.







