Ketika saya menulis post ini, misi mencari MH370 masih diteruskan. Doa kita untuk mereka, semoga ada penyelesaian yang terbaik. Sebenarnya sudah sekian lama saya berhenti menulis hal-hal peribadi di sini. Saya lebih bebas (dalam zon selamat) untuk berkongsi tentang pembacaan dan refleksi yang tidak banyak. Kita tinggalkan sebentar buku-buku pemenang Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH, ataupun buku-buku avant-garde karya penulis mapan, saya baru selesai membaca karya Azizi Abdullah, Memoir Seorang Guru.
Membaca buku ini saya rasakan seperti sebuah perjalanan unik yang separa panjang. Perjalanan dengan keretapi. Seperti menaiki ETS dari KL ke Ipoh.
Bab-bab awal begitu perlahan dan menguji ketekunan. Samalah seperti perjalan awal menaiki ETS, bunyi enjin keretapi berdengung-dengung dan kemudian meninggalkan landasan. Pemandangan tidak menarik, hanya ruang gelap dinding KL Sentral kemudian bersambung pula dengan Stesen Kuala Lumpur. Keretapi berhenti lagi –seperti pembacaan yang diuji lagi. Dengan sabar (selepas beberapa hari), saya sambung membaca lagi.
Tidak lama kemudian keretapi bergerak laju sedikit meninggalkan Stesen KL, pemandangan semakin baik dan untung jika tidak berjerebu, kita boleh melihat lukisan matahari di celah-celah bangunan tinggi. Panahan tajam matahari ini adalah semasa Mat tersungkap pohon pinang. Bab ini memang membuka mata, memaksa saya berlawan dengan minda sendiri. Cerita yang begitu ngeri itu adalah batu licin yang membuatkan saya terjatuh dalam sungai deras. Seperti di dalam keretapi, penghawa dingin yang baik dan kelajuan membuatkan saya terus hanyut zzzZZzzzz....
Lena terganggu dengan pengumuman keretapi tiba di Tanjung Malim, ah begitulah pembacaan yang sedang enak tadi terganggu dengan bahagian tertentu yang membosankan. Saya perlu bersabar lagi mendengar enjin keretapi berdengung dan bergerak perlahan. Perjalanan indah bersambung lagi. Hal sama berulang beberapa kali sehingga saya sudah terbiasa dengan ritual keretapi ini. Beberapa kali saya turut sama marahkan ustaz ini yang asyik membenci muridnya. Juga marah kerana ceritanya begitu perlahan. Tapi tidak lama, keretapi kembali bergerak dengan 110km/j. Ada cerita tentang Alias dan beruknya, kemudian tentang Mihad, Sakinah dan Mohd Dhuha. Anak-anak miskin yang mahu belajar, perlu berlawan dengan kemiskinan dan persekitaran.
Sampai akhirnya keretapi tiba di Ipoh, stesen terakhir. Elok pula cuaca baik yang menyambut. Buku ini ditutup dengan happy ending, bekas murid menjadi orang berguna, dia merestui profesyen pilihan anaknya malah ustaz ini dapat penghargaan pula daripada bekas murid-muridnya.
Walaupun keretapi telah tiba di destinasi, kali ini saya mahu menyambung perjalanan lagi, mahu ke Taiping dengan keretapi lain. Sekarang saya membaca Zikir Rindu, daripada bab-bab awal ini, rupanya buku ini adalah sambungan kepada Memoir Seorang Guru. Cuma buku ini lebih nipis, perjalanan tidak lama untuk sampai ke Taiping :)



