Monday, March 31, 2008

CATUR KEHIDUPAN


tersiar di Berita Minggu, 30 Mac
ini adalah puisi yang kedua tersiar tahun ini, selepas Hijrah Terakhir. saya mula main catur sewaktu berumur 8 atau 9 tahun (tak berapa ingat). tapi saya masih ingat, hadiah hari jadi saya pada waktu itu adalah sebuah set catur yang besar. mula di situ saya jadikan main catur sebagai hobi, selalunya lawan dengan ayah, tetapi lebih kerap main dengan jiran sebelah pada waktu itu, seorang budak india (saya dah tak ingat namanya).
set catur tu memang saya jaga sepenuh hati, sampailah budak india sebelah rumah saya tu terpatahkan 'kepala' satu askar gara-gara berebut dengan adik dia. aduh... geramnya. saya memang suruh dia ganti dan tak kawan beberapa hari. haha memang kebudak-budakan. tapi dia tak ganti pun. (lagipun macam manala nak ganti satu askar je, kat pasar malam pun tak jual).
sewaktu pindah rumah selepas itu, banyak juga buah-buah catur yang hilang. sedih=(

selepas masuk sekolah asrama, saya semakin jarang main catur, tapi kalau sesekali main, mesti menang punya=)

sebenarnya, terlalu banyak yang kita boleh pelajari daripada gerakan-gerakan rahsia dan sebuah kehidupan yang kita jalankan di atas petak-petak papan.

Saturday, March 22, 2008

PENULIS DAN BLOG

Setelah membuat susunan jadual yang betul, akhirnya saya sampai juga ke DBP untuk program Astaka Minda, Penulis dan Blog: Trend Masa Kini, pagi tadi. Majlis dipengerusikan oleh abang Shamsudin Othman bersama dua panel; Jiwarasa yang membentangkan berkenaan perkembangan blog dan kembara buku di dunia blog (berasaskan pengalaman beliau sendiri) dan kak Nisah Haron yang bercakap tentang kepentingan blog kepada penulis.
Panel: Jiwarasa, Shamsudin Othman, Nisah Haron

Rakan-rakan mantan MPR: Kak Hani Salwah yang kesejukan, Ode yang fokus dan MF Kencana yang tekun


'Otai-otai' blogger

Setelah beberapa tahun menjadi ahli E-Sastera, inilah kali pertama saya bertemu dan bercakap dengan pengasasnya Dr. Ir. Wan Abu Bakar (dr irwan)

bersama dr irwan (tiga dari kiri) dan orang-orang hebat dalam dunia sastera

mantan-mantan MPR yang hadir

setelah penat bergambar, saya, kak hani, ode dan fairuz turun ke kedai buku DBP. Biasalah, kalau pergi kedai buku dengan rakan-rakan penulis, semuanya akan rambang mata dan senyap-senyap hilang di sebalik rak-rak buku.
Selesai borong buku, kak hani dengan baik hatinya membawa saya, ode dan Azree MH (yang lewat tiba kerana ada peperiksaan) makan tengah hari sebelum kak Hani sekali lagi dengan murah hati menghantar kami bertiga pulang ke destinasi terdekat masing-masing dengan selamatnya. terima kasih kak hani! =)

Azree dan Ode menikmati milo ais





selain bergambar, perkara yang paling gembira apabila jumpa rakan-rakan (termasuk senior-senior) MPR
ialah apabila balik ke rumah, semangat untuk menulis pasti berkobar-kobar. tak tahulah menjadi atau tidak karya selepas ini, yang penting saya dah renew semangat balik=)

Wednesday, March 12, 2008

SELESAI

Selesai pilihan raya.
Saya di rumah sewaktu meraikan hari-hari memilih. Waktu yang paling gembira sudah pastilah masa malam selepas waktu mengundi. Duduk ramai-ramai depan tv dan tengok tekaan siapa yang betul.

Walaupun saya tak suka politik, saya tetap ambil tahu apa yang berlaku di sekeliling. Walaupun saya tak minat politik, kadang-kadang saya boleh jadi penganalisis yang hebat juga=)

Tapi, alangkah sedihnya, untuk pilihan raya kali ini, barulah saya sedar diri, saya memang tak hebat sebenarnya. Memang banyak tekaan saya yang salah. Walaupun berharap nurul izzah menang di lembah pantai, saya langsung tak jangka pun yang dia akan menang. Begitu juga saya jangka kelantan akan kembali diterajui BN, itu pun salah juga, bahkan pas menang besar. Paling saya tak terfikir tentulah yang negeri perak tercinta akan berubah tampuk kuasa (saya sangat berharap perak akan lebih makmur dan membahagiakan. Haha). Wah. Tekaan yang betul cuma jangkaan yang khairi jamaludin menang di rembau, itupun tak tepat juga kerana saya jangkakan dia akan menang besar. Tapi hakikatnya hanya majoriti seribu lebih.

Siapa yang boleh nafikan hak dan kuasa magik pengundi dalam sebuah negara demokrasi.

Betapa besarnya perbezaan jangkaan saya dan orang yang lebih faham.

Betapa besarnya perbezaan fahaman saya yang hanya membaca berbanding orang yang berada pada situasinya. Saya hanya membaca akhbar dan membuat pemerhatian dari jauh, tetapi mereka berada pada situasi sebenar.

Malam keputusan pilihan raya, awalnya satu keluarga berkumpul depan tv. Keputusan awal kebanyakannya dari sabah, serawak dan melaka. Semuanya dimenangi bn, dan memang kami sudah jangka. Lama-lama semua orang bosan. Saya pun memilih untuk tengok “kala malam bulan mengambang”. Hampir separuh cerita, tiba-tiba rasa seram tengok seorang, saya pun tutup cd dan kembali tengok keputusan pilihan raya. Ayat pertama yang saya nampak: samy vellu kalah di sungai siput. Ish ini memang satu keajaiban! Haha. Mana taknya, semenjak saya faham cara hidup di dunia, memang samy vellu dan sungai siput tak dapat dipisahkan. Saya pun buat bising dan panggil semua orang yang dah buat hal sendiri. Memang kecoh satu rumah, walaupun ahlinya tak ramai. Tambah-tambah lagi selepas tv3 keluarkan keputusan tak rasmi datuk syahrizat kalah di lembah pantai. Memang malam semakin hangat. Selepas itu semakin banyak kejutan terpampang. Sayangnya saya dah tertidur semasa keputusan rasmi lembah pantai diumumkan. Mengantuk sangat!

Saturday, March 01, 2008

BILA HARUS MEMILIH

Saya tak suka politik. Saya masih belum nampak sesuatu yang menarik dalam dunia politik. Mungkin sedikit melampau, tapi saya memang selalu beranggapan politik adalah dunia yang tak bersih. Ops!

Saya tak suka pilihan raya. Saya memang tak suka musim pilihan raya. Setiap hari dalam akhbar akan penuh kempen. Dalam akbar arus perdana, memang pro satu parti sahaja. Saya tak suka situasi saling kutuk-mengutuk, saling tuding-menuding, yang mengaku salah tak ada pun, sampaikan saya tak tahu siapa yang benar. Paling saya tak suka, semua orang akan guna isu remeh. Isu presiden pas, Abdul Hadi Awang tak bersalam dengan lawannya, dr.ramzi, dibincangkan dalam akhbar berhari-hari! La apa bendala ni??? Saya tak terlalu berpuas hati tentang isu ni, mengagumi hadi awang sebagai ulama, saya yakin takkan sengaja dia buat begitu, jadi saya cari sumber-sumber lain. Benda kecil macam tu pun nak buat isu. Tak profesional langsung!

Semakin dewasa, saya belajar semakin banyak perkara. Kita tak perlu baca satu akhbar sahaja, jadilah pembaca yang adil dan bijak. Jangan terlalu taksub dengan akhbar-akhbar arus perdana di malaysia. Bacalah semua akhbar, dari semua pihak, selagi anda terdaya. Selepas baca berita harian dan utusan, apa salahnya baca juga
harakah=) (lagipun semua org tahu siapa yang kawal berita harian dan utusan, kan?) selepas akhbar-akhbar malaysia (tak perlulah baca akhbar-akhbar yang letak artis di muka depan), apa salahnya ambil masa sedikit jenguk-jenguk akhbar luar negara. Baca apa yang orang luar lihat pada kita.

Kita mungkin tak akan jumpa kenyataan bahawa pak lah mempunyai sangat banyak kelebihan dengan mempercepat pilihan raya kerana anwar ibrahim hanya boleh bertanding selepas mei tahun ini di berita harian atau utusan, tapi perkara ini disebut dalam
BBC UK!

Wednesday, February 20, 2008

SIBUK

..dunia kecil yang sibuk..

Saturday, February 16, 2008

BUTAKAH CINTA?

masih lagi tentang cinta..
oh
cinta

saya baca dalam berita harian hari ini:
saintis amerika menemui bahawa cinta memang buta!

heh

Sunday, February 10, 2008

CINTA OH CINTA!

Salam.

Kalau ada yang menonton The Apprentice minggu lepas, pasti ada sesuatu yang menarik untuk dibahaskan. Kalau yang tak minat, mungkin tak rasa apa-apa. Saya memang minat rancangan ini. Banyak yang saya boleh belajar secara tak langsung dari situ.

Episod lepas, kumpulan Kinetic tinggal 3 ahli, semuanya perempuan. Arrow ada 4 orang, seorang perempuan, yang lainnya lelaki. Seorang ahli Arrow rupanya dah main-main cinta dengan seorang ahli Kinetic. Episod lepas memang hal ini jadi isu paling panas. Episod sebelum ini, Kinetic kalah, jadi seperti biasa ada sesi perbincangan panas dan tuding-menuding salah di board room. Secara terbuka Mr. Trump memberi pandangan supaya Nicole (ahli Kinetic) meninggalkan Tim (ahli Arrow).

Malam yang sama, berlaku perbincangan hangat sesama ahli Arrow. Isunya, kesetiaan. Semua ahli memepersoalkan kesetiaan Tim –untuk Arrow atau Nicole (Kinetic). Tim mati-mati pertahankan diri.

Esoknya tugasan mereka ialah design iklan dan sisipan untuk New York Times bagi sebuah jenama pembersih mulut baru. Selepas teruk dihentam kawan-kawan sekumpulan semalam, Tim memang nampak bersungguh-sungguh kali ini, sampai memaksa semua orang menerima ideanya. Memang nampak sangat dia dalam tekanan, kalau mereka kalah, memang sure isu kesetiaan akan kembali dibangkitkan dalam bilik mesyuarat.

Pendekkan cerita. Akhirnya, Arrow kalah juga. Kinetic selamat. Kembali ke bungalow. Arrow pula bersiap-siap untuk salah seorang dipecat dan kembali ke khemah (memang konsep season ini, hanya yang menang tinggal mewah). Masuk bilik mesyuarat, seperti yang diduga, isu kesetiaan Tim dibangkitkan. Bukan saja ahli Arrow yang persoalkan, bahkan Mr. Trump dan anaknya Ivanka yang jadi juri turut persoalkan hal yang sama.

Banyak lagi yang dibincngkan di bilik mesyuarat, tapi akhirnya, Tim dipecat. Menurut Mr. Trump, Nicole telah menjadi satu bentuk distraction yang sangat hebat kepada Tim. Huhu cinta oh cinta... episod lepas, Tim dah tersungkur kerananya (sedangkan Nicole masih lagi belum fikir untuk serius, mak Nicole pun nasihatkan agar tumpukan pada temuduga yang belum pasti hujungnya ini dahulu).

Mungkin ini menepati ayat yang selalu ada pada intro the apprentice: Its nothing personal, it just business!

:: maaflah, entri ini sebenarnya saya dah tulis isnin lepas, tapi tak sempat nak upload. bukan merajuk tau kak rai, raya sakan.. jadi tak up-to-date sangat

Sunday, January 27, 2008

INSPIRASI


“SAYA kini mantan Sasterawan Negara dan tidak mahu lagi menggunakan gelaran tersebut. Saya juga tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas)."

“Mungkin saya lebih selesa bergerak atas nama individu dalam kegiatan-kegiatan sastera dan jika ada jemputan, lebih baik atas nama peribadi,’’

Itu reaksi SN A. Samad Said apabila tiada karya sasterawan negara mahupun pemenang hadiah sea write award dan hadiah sastera perdana disenaraikan untuk teks komsas yang baru. Hormat saya pada Pak Samad melimpah berganda-ganda!

Agak sibuk kebelakangan ini, dalam sibuk-sibuk pun sempat juga bertemu seseorang yang memang sudah begitu lama tak saya jumpa. pertemuan yang memang dirancang ini memberi makna yang cukup besar buat saya, yelah, insan ini adalah orang yang banyak memberi semangat untuk saya sewaktu zaman sekolah dulu, terutamanya semasa PMR dan SPM. walaupun dah lama, jasa orang tetap dikenang.

bertemu semula selepas lima tahun, memang banyak perubahan. selama ini selalu berhubung, tapi tak sempat bertemu, masing-masing bawa haluan ke arah lain.

semua orang mempunyai sumber semangatnya sendiri, manusia atau buku, mungkin juga pen, pensel, lagu atau apa-apa saja. seorang pensyarah saya dahulu pernah berkata,
kita perlu ada sesuatu yang menjadi inspirasi. orang yang tertekan dalam traffic jam contohnya, mungkin akan hilang atau kurang tekanannya apabila terdengar lagu yang sudah diangkat menjadi inspirasi dan dirasakan mampu memberikan semangat.

saya setuju, sekurang-kurangnya 'benda-benda' inspirasi ini boleh membuatkan kita sentiasa bermotivasi. hidup kan perlu ada motivasi.


orang yang saya temui baru-baru ini boleh dikatakan adalah orang penting yang banyak memberi semangat dan sokongan kepada saya, selain keluarga. tapi sebenarnya dia tak tahu pun hal ni.saya pun segan nak cakap. tak semua perkara yang orang fikir tentang kita, kita tahu. betul tak?

entah, mungin anda juga adalah sumber kekuatan seseorang, tapi dia pun tak beritahu=)


semoga terus ceria dan bersemangat menjalani hidup.
rasa-rasanya lepas ni saya nak cari pen buat sumber ilham.hehe

Wednesday, January 09, 2008

TIDUR

Permulaan hari yang sangat mengantuk. Padan pun dengan muka saya. Nak sangat ikut cara orang hebat, saya yang mengantuk dan letih.

Ceritanya, Dr. Sheikh Muzaphar rupanya hanya tidur 3-4 jam sahaja sehari kerana bagi beliau 'sleeping is just a waste of time'. Jadi, saya pun cubalah untuk tidur 4 jam sehari saja, dengan harapan saya boleh cemerlang macam Dr. Sheikh. Alih-alih, produktiviti saya pula yang menurun. Haha.

ooooo. Rupa-rupanya, Albert Enstein perlukan masa 10 jam untuk tidur supaya beliau boleh menjalankan aktiviti dengan hebat. Calvin Coolidge (Presiden Amerika yang ke-30) pula memerlukan 11 jam untuk tidur. Ronald Reagan pula menganggap tidak cukup hanya tidur pada waktu malam, beliau juga tidur siang. Begitu juga dengan Winston Churchill.

Tapi, sebaliknya pula bagi Thomas Alva Edison yang juga menganggap 'sleeping is just a waste of time', seperti pegangan Dr. Sheikh.

Aha. Kesimpulannya, fahami diri anda sendiri. Kenali diri dan kemampuan sendiri, untuk mencontohi orang lain. Kita boleh memilih untuk mengikut tabiat Albert Enstein atau Thomas Edison. Paling penting, fahami diri sendiri terlebih dahulu! Barulah boleh pasang azam dan jayakannya dengan baik. (kalau ada sesiapa yang mahu pasang azam untuk ubah waktu tidur sempena maal hijrah ni).

Contoh-contoh di atas saya baca dalam ulasan buku Power Sleep di akhbar. Lepas ni, nak cuba cari buku tulisan Dr.James B. Mass tu. Buat persediaan untuk azam maal hijrah tahun hadapan <- teruk betul, nak ubah tidur pun tunggu tahun baru=)

Kata Cervantes, seorang penulis Sepanyol, “tidur adalah wang sah yang dapat digunakan untuk membeli segala kesenangan dunia”

Jangan lupa pula, belilah kesenangan berpada-pada.

selamat tahun baru!
harap tak ada yang terlupa doa akhir dan awal tahun.

Saturday, January 05, 2008

KILASAN BELAKANG

Ramai yang cemerlang dalam PMR lepas. Mungkin yang paling cemerlang. Saya tak mahu komen tentang sistem pembelajaran. Saya sendiri lahir daripada sistem yang sama. Keberkesanannya? No komen.

Debaran menunggu keputusan memang lain, tapi ada kenikmatan tersendiri. (debaran pun nikmat?). Saya dulu, sampai termimpi-mimpi. Ada yang flying colours, kadang-kadang no clours. Haha. Hampir semua orang telah dan akan rasa debaran ni.
Saya sendiri, yang membuatkan saya risau lebih-lebih sebenarnya adalah harapan. Harapan dari mak dan ayah terutamanya. Kalau result tak elok ... aduhh! Kalau saya sendiri yang kecewa, saya tak kisah sangat, tapi kalau ada orang lain yang sandarkan harapan, payah juga. Saya jatuh, orang yang menyandarkan harapan pada saya pun akan jatuh sama.