Wednesday, July 21, 2010

Gerhana



mana satu pilihan anda?

Saturday, July 17, 2010

Melihat Dari Beberapa Sisi, Sudut dan Segi

setelah semakin belajar mengenal hidup. saya semakin memahami bahawa hidup bukanlah sebuah garis lurus. maka ia tidak boleh dilihat lurus dan terus.

setelah semakin banyak membaca, lebih daripada dua buku setahun seperti statistik membaca rakyat malaysia beberapa tahun lalu, saya semakin faham dan berani untuk melihat sesuatu dari pelbagai sudut berbeza.

saya fikir, persekitaran menjadikan masyarakat melayu takut untuk melihat dalam pelbagai segi. sesuatu boleh jadi positif dan negatif. tugas kita untuk menimbang dan memilih.

buku dan filem adalah dua perkara yang sekarang sangat memerlukan timbang tara yang baik. terutama yang dihasilkan oleh pemikiran di luar sempadan malaysia. saya terfikirkan filem 'my name is khan' apabila menyebut tentang ini. filem tersebut adalah sebuah karya yang bagus. mereka berani memainkan isu-isu besar dalam sebuah penceritaan ringkas dengan selapis 'kemanusiaan' yang menyimpan luahan 'berani' di sebaliknya.

penonton boleh memilih untuk mengambil sisi agama, kemanusiaan, cinta, kasih-sayang, sosial, politik atau sebagainya. atau mengambil semua, dan kemudian mencerna.


Sunday, July 04, 2010

Baling

catatan ini memang terlewat. semasa sedang berfikir-fikir untuk update blog, hal ini terlintas di fikiran saya. cerita singkat perjalanan ke dua daerah yang menjadi sempadan dua negeri.

bulan lalu, kebetulan sedang bercuti, saya bersiar-siar sampai ke penghujung negeri perak; pengkalan hulu. namanya saja sudah menjadikan perjalanan sangat jauh dan melelahkan. sebenarnya memang ada sedikit urusan di sana, lantas saya gunakan peluang itu untuk bersiar-siar juga. sampai di pengkalan hulu, saya teringatkan rakan baik di universiti yang sekarang bekerja dan menetap di kampung halamannya; baling, kedah.

sebaik menghubungi, dia juga punya masa lapang. lantas kami mengatur pertemuan di pekan baling. lebih mudah saya gambarkan, pengkalan hulu terletak di atas gunung, manakala baling terletak di kaki gunung. sebaik menuruni gunung dari pengkalan hulu, saya sudah terpegun dengan pemandangan baru di baling. sukar sekali untuk di gambarkan. pekannya terletak betul-betul di kaki gunung batu. kalau tidak salah namanya gunung baling. gunung ini bukan gunung yang saya turuni dari perak tadi. kawasan pekan sangat redup dan terlindung dari cahaya matahari yang terbit dari belakang gunung.

pengkalan hulu sebenarnya lebih dekat dengan pekan baling berbanding pekan terhampir dalam negeri perak, gerik.

saya seperti terbayang zaman awal dahulu, pekan baling ini pasti sibuk seperti melaka. menjadi transit kerajaan siam, burma dan lembah bujang. pasar jual-beli di bawah gunung. manakala tentera berkawal di atas gunung. bayangan saya sahajalah.

berbalik kepada rakan saya tadi; atin. kami bertemu di pekan kemudian bergerak ke lata bayu untuk merasai air terjun negeri lain. 5 bintang untuk itu. lata kinjang masih terbaik :)

kemudian pulang ke pengkalan hulu dan kembali ke ipoh melalui gerik (greek?), lenggong, kuala kangsar, sungai siput, chemor...


Sunday, June 20, 2010

Anulus

Anulus lebih dikenali sebagai Gerhana Cincin. barangkali kerana fasanya yang membentuk seolah-olah cincin emas di langit. fenomena gerhana matahari yang berlaku pada 15 Januari, awal tahun dahulu adalah gerhana anulus. sayangnya, malaysia tidak termasuk dalam laluan gerhana paling sempurna, tetapi suasana gerhana itu masih dapat dirasai.


anulus juga ada kena-mengena dengan 'sesuatu yang baharu' seperti yang saya tuliskan dalam entri sebelum ini. rakan-rakan yang rapat barangkali sudah dapat mengagak.

tapi, tunggu sahaja. nanti akan saya tuliskan juga :)

Thursday, June 17, 2010

Sesuatu Yang Baru

semasa menukar 'cat' blog ini dahulu, saya memang sengaja memilih tema bintang dan angkasa. pertamanya, saya memang sentiasa mencintai sains angkasa. semasa sekolah rendah, saya pernah menanam cita-cita untuk menjadi ahli astronomi. ya, cita-cita tipikal kanak-kanak kerana ketika itu saya merasakan jika mahu menjadi angkasawan, ia memerlukan seratus tahun untuk tercapai.

sekarang, apabila malaysia sudah mempunyai angkasawan, saya masih merasakan cita-cita saya itu mustahil kerana kriteria ketat yang diperlukan oleh seorang angkasawan. maka saya memang menyerah kalah dan meneruskan hidup di bumi sahaja. tapi walau apapun, impian mesti tinggi mencecah angkasa.

oh. yang kedua. saya memilih tema bintang dan angkasa ini untuk sesuatu yang bakal muncul tidak lama lagi. nantikan :)

Saturday, June 12, 2010

HUJAN

Guruh berdentum di langit Shah Alam. Hujan baru turun renyai-renyai. Tadi saya sekadar melayan cuti dengan bersantai di katil bersebelahan tingkap sambil membaca novel cinta.


Sekarang saya sudah bangun membuka lampu dan duduk menghadap laptop. Irama rintik hujan juga sudah kedengaran. Entah kenapa dan bagaimana, saya jatuh cinta dengan suasana ini; hujan, kopi, laptop dan buku.

Rancangan untuk keluar bersantai bersama rakan sudahpun ditangguhkan. Dengan suasanan ini, saya lebih selesa di rumah sahaja. Berhenti untuk secawan kopi.

Sunday, May 23, 2010

Akhirnya..

Alhamdulillah. Akhirnya hasrat untuk mendapatkan pasport tercapai juga. Lama sudah menyimpan cita-cita. Selama ini hanya seludup sahaja untuk ke luar negara. hehe.

Pagi Jumaat lepas, sempat singgah di pejabat imegresen. Saya mengisi masa menunggu dengan bersarapan di kedai berhampiran. Selesai sarapan, nombor dipanggil dan urusan hanya seketika. Kerana tidak mahu menunggu dua jam, saya memilih untuk mengambil pasport keesokan harinya.

Taraaa. 'Tiket' wajib saya untuk ke luar negara..


Syukurlah dipermudahkan Tuhan. Paling lewat perancangannya, pasport ini akan dirasmikan sekitar hujung Julai nanti. Seawal-awalnya masih dalam perancangan. Jika tercapai satu lagi hasrat, mungkin boleh melawat-lawat sekitar Brunei atau Singapura dahulu.


Sunday, May 02, 2010

Cat Baru

selamat datang. sengaja menukar cat baru. setelah bosan dengan warna lama yang membuatkan saya semakin malas menulis. maka dengan warna baru yang membawa ke bintang-bintang angkasa raya, saya akan rajin menulis.

selamat datang. selamat membaca. ayuh, sama-sama kita ke angkasa!

Saturday, May 01, 2010

BERPERSATUAN

Facebook banyak membuka kenangan lama. Laman sosial yang menjadi ‘kafe’ bertemu rakan-rakan lama dan menyingkap kenangan silam. Pagi ini, semasa melihat gambar-gambar ‘tagged’ di facebook, saya terimbas kembali zaman berpersatuan. Saya tiba-tiba terfikir adakah persatuan yang saya sertai semasa bersekolah dahulu membentuk siapa saya sekarang.



Sejak boleh memilih persatuan sendiri, bermula di tingkatan dua, saya menyertai Kelab Pidato. Sangat kontra kerana saya langsung tidak pernah malah tidak mahu berucap di hadapan khalayak. Rasanya saya memilih kelab ini kerana ini merupakan antara kelab paling aktif pada waktu. Dengan pelbagai program yang dianjurkan saban minggu. Ya, inilah yang saya suka; menganjur dan menguruskan sesuatu program. Oh ya, dan kami dapat trofi Kelab Terbaik pada tahun itu.

Menganjak ke tingkatan tiga, saya masih dengan kelab yang sama. Masih terus merancang dan menguruskan aktiviti-aktiviti ‘wajib’ seperti pertandingan debat dan pelbagai lagi. Petang Rabu menjadi hari yang ditunggu-tunggu. Dalam waktu perjumpaan dua jam itu kami akan bermesyuarat bersama semua ahli dan diselang-selikan dengan aktiviti dalaman kelab yang sangat menarik. Tetapi pada tahun itu, trofi Kelab Terbaik terlepas kepada kelab lain.

Di tingkatan empat dan lima, (kalau tidak salah) saya menyertai persatuan bahasa. Tingkatan empat di Persatuan Bahasa Arab dan tingkatan lima berpindah ke Persatuan Bahasa Melayu. Dalam masa yang sama juga menyertai Kadet Pertahanan Awam JPA3. Saya sangat benci berkawad. Sebab itu saya pilih pertahanan awam, menjadi anggota penyelamat semasa aktiviti sekolah lebih menyeronokkan.

Di matrikulasi, tiada persatuan. Rasanya matrik adalah tempat untuk belajar sahaja (dan bertemu sebegitu ramai rakan-rakan sebaya. hehehe).

Melangkah ke universiti pula, rasanya perlu buat entri lain kerana baru terasa, banyak juga persatuan dan kelab yang saya sertai semasa di universiti.

Rasanya, walaupun tidak banyak, persatuan dan kelab banyak membantu pembentukan peribadi. Dalam kes saya, saya banyak belajar menguruskan organisasi dan erti tanggung jawab.

Friday, April 30, 2010

koc merah jambu


koc merah jambu sudah mula beroperasi. saya masih belum lihat dengan mata sendiri. cuma lihat di tv dan akhbar. sesuatu langkah yang positif. selepas ini tentu akan rasa lebih selamat untuk ke KL. hehe

cuma, harapan saya, semoga penguatkuasaannya benar-benar dilaksanakan. pihak berwajib perlu pantau juga. bimbang ada kaki-kaki asing yang masuk mencemarkan koc comel ini :)