Wednesday, May 25, 2011

Sukakan Happy Ending?

Sangat menusuk kalbu orang yang suka melanggar lampu merah. ehem.

Saturday, May 07, 2011

Minda Tertawan

kesempatan bertemu dan berkenalan dengan raja ahmad aminullah yang sudi menjadi tetamu Borak Buku 4 tempoh hari mengujakan saya untuk membaca Minda Tertawan; Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa. justeru, buku ini adalah salah satu buku yang saya beli di pbakl tempoh hari.

sememangnya saya masih belum memahami istilah minda tertawan ataupun 'captive mind' yang dipopularkan oleh syed hussein al-attas ini. membaca Minda Tertawan membuaka lebih banyak ruang ke arah pemahaman itu.

setakat ini saya baru menguliti separuh isinya, penyampaian santai dan ringkas tidak meremehkan tujuan penulisan dan isi-isi di dalamnya. inilah pendapat awal saya. unuk ulasan lain mungkin perlu tunggu saya membaca hingga akhir dahulu!

Wednesday, March 30, 2011

Love

"Semua orang bisa menulis, tapi tak semuanya beruntung bisa menjual tulisan" –Awin


kebetulan singgah di kedai dvd, ada beberapa tajuk menarik yang dijual dengan diskaun. saya beli beberapa tajuk, salah satunya Love. Filem indonesia tahun 2008 yang diadaptasi daripada Cinta. sebetulnya saya sudah menonton filem ini pada tahun 2008, saya tetap merasakan filem Cinta lebih berkesan. kecuali babak Rama-Iin yang dilakonkan Fauzi Baadilla.

Fauzi dengan mukanya, ekspresinya, dan suara yang dalam ketika membaca puisi 'aku adalah kunang-kunang' sangat berkesan. itulah satu-satunya babak yang saya ingat dalam Love sebelum menonton kembali dvdnya.

Oh ya, bukan nak bercerita tentang perbandingan Love dan Cinta. saya sebenarnya mahu kongsikan beberapa line kegemaran dalam filem ini selain yang mula-mula tadi;

"Hidup itu ibaratnya toko buku. Di dalamnya ada bacaan-bacaan ringan sampai bacaan-bacaan berat. Tapi kebanyakan orang datang untuk mencari buku yang ringan-ringan aja" - Awin

"Kita tak tahu apa yang bakal terjadi esok, jika di hari ini kita berhenti" – Rama

"Ketakutan berlebihan itu berbahaya." "Sama bahayanya dengan harapan yang berlebihan" – Awin dan Tere

"Kalau kamu tak mahu aku masuk sejauh ini, seharunya dari awal lagi kau tak buka pintu hati kamu untuk aku" – Tere

"Cinta yang sejati; cinta yang ketika kita kira sudah pergi ternyata cuma bersembunyi, menunggu untuk kembali lagi." -Dinda


walau apapun, yang terbaik tentulah bacaan puisi Fauzi


Saturday, March 26, 2011

Earth Hour


sekadar tutup lampu memang tak beri kesan kepada dunia. memang kita tidak dapat mengurangkan kadar pemanasan global dengan satu jam. tapi, mengapa tidak mahu menyokong benda yang baik. kan?

26 Mac, 8.30-9.30 pm GMT+0800

Wednesday, March 09, 2011

Cerpen ECPM; Komen SM Zakir

Awal 2006, saya setia dengan Tunas Cipta. Walaupun tidak pernah ada karya saya yang tersiar di situ, saya suka membaca komentar SM Zakir untuk cerpen-cerpen yang tersiar bulan sebelumnya dan ulasan Shamsudin Othman untuk bahagian puisi.

Ulasan yang diberikan setiap bulan dalam dua ruangan berbeza ini menepati apa yang saya cari; kritikan dan cadangan penambahbaikan. Shamsudin Othman memberi cadangan secara tidak langsung dengan menampilkan contoh sajak-sajak yang baik dan seseuai dengan tema ulasan. Begitu juga SM Zakir. Contoh-contoh yang diberikan membuatkan saya lebih cepat faham. Bukan diberikan teori semata-mata.

Kerana ini, saya berazam agar ada karya saya yang diulas oleh mereka di TC. Ahamdulillah, impian itu tercapai apabila puisi saya tersiar pada bulan September. Seterusnya memungkinkan saya mengikuti MPR pada tahun yang sama (2006).

Saya merasakan tidak boleh menulis cerpen. Lantas saya memang tidak pernah menulis cerpen ketika itu. Cuma selepas MPR saya mencuba (selepas dipaksa oleh kak Nisah). Sayangnya, penerbitan TC dihentikan dan digantikan dengan sisipan TC dalam Dewan Sastera. Jadi tiada lagi ruangan untuk ulasan cerpen dan puisi yang tersiar. Selepas penerbitan TC dijalankan semula, Shamsudin Othman dan SM Zakir tidak lagi menjadi pengkritik tetap.

Dipendekkan cerita, tahun 2011 ini, impian saya menjadi nyata apabila SM Zakir mengkritik sedikit tentang cerpen Eskapisme Cinta Pagi Merdeka (Dewan Kosmik, November 2010) dalam TC Mac. Cerpen ini dikumpulkan bersama beberapa cerpen teman-teman lain dalam esei bertajuk Kepelbagaian Dalam Cerpen Penulis Muda Mutakhir.

Seperkara lagi yang saya suka ialah label yang diberkan SM Zakir kepada kami;
“...kelompok penulis yang membentuk kelompok geososial mereka melalui kegiatan sastera yang dilibati bersama tidak lagi cenderung menulis melalui gaya dan bentuk yang sama.”

Sunday, February 13, 2011

Adaptasi: Filem atau Buku Dahulu

saya baru selesai mambaca buku The Accidental Billionaires yang telah difilemkan sebagai The Social Network penghujung tahun lepas. saya sememangnya cenderung menyukai filem yang diaptasi daripada buku. maka ini menjawab persoalan mengapa saya suka baca novel-novel nicholas sparks. kebanyakan karya beliau difilemkan, dan saya sangat suka menonton apa yang dibaca.

seboleh-bolehnya, saya akan membaca buku dahulu sebelum menonton filemnya. saya akan merasakan kepuasan dengan apa yang saya tonton kemudian selepas membaca dengan plain - without judgment. hal ini jarang berlaku apabila saya menonton filem dahulu, saya akan kesal dengan perubahan jalan cerita dan pembacaan saya cenderung untuk menjadi hambar, lalu cepat bosan.

The Accidental Billionaires saya baca selepas menonton The Social Network. walaupun plotnya tidak banyak berubah, pembacaan saya agak tergesa-gesa dan bias kerana sejak awal lagi saya sudah mempunyai rasa kasihan kepada Eduardo, membayangkan Mark sebagai tipikal geek yang egoisitik, Sean seorang pengacau yang sungguh menjengkelkan dan kembar Winklevoss yang menjadi 'perencah' tambahan.

begitulah saya membaca sampai ke muka surat akhir. mark tetap begitu, tebal dengan perangai bangsanya. seperti terentang banner 'vote for eduardo' dalam kepala. ops, ini bukan pasal eduardo dalam The Social Network sangat comel ya. tapi, walau bagaimanapun eduardo juga sebangsa dengan mark!

Tuesday, February 08, 2011

Intelektual Politik

Jika di bidang fiqh yang kadang-kala menghajatkan kepastian hukum, para ulama saling menghormati, apalagi masalah perbezaan pandangan politik. Di bidang yang tidak sering 'hitam putih' ini, umat Islam semestinya jauh lebih dapat saling menghargai. [Dua sisi Umar bin Khattab]


saya barangkali adalah remaja tipikal yang tidak begitu suka kepada politik kepartian. saya memang tidak gemarkan sepak terajang politik ini yang selalunya berputar belit, penuh dengan kritikan-kritikan pelik dan saling menjatuhkan.

menggunakan pentas ceramah agama, contohnya, untuk menyebarkan kritikan dan pembelaan bukanlah sesuatu yang salah. tetapi biarlah berpada, mungkin cukup sekadar 10%. senario sekarang, para penceramah cenderung menjadikan isu-isu politik sebagai 'umpan' ceramah mereka dengan jenaka-jenaka yang menjatuhkan pihak lain. jadi di mana intelektualnya? walaupun tidak semua orang perlukan yang intelek-intelek, tapi mengapa perlu merendahkan audien.

sebuah kritikan, pada saya, perlulah ada sebab dan pilihan. sebab; mengapa perkara itu salah, pilihan; cadangan lain untuk menggantikan perkara yang dikritik. memang, sudah lumrah, orang yang berada di luar padang bola lebih kecoh daripada yang bermain. kalau tak ada pengkritik di luar padang, pemain akan bermain sambil-lewa. tapi, kalau semuanya mahu didengar, barangkali tak ada lagi yang mahu main bola.

saya barangkali adalah remaja tipikal yang tidak begitu suka kepada politik kepartian. tetapi tidak suka tak bermakna tidak ambil tahu. ramai kawan-kawan saya cenderung untuk tidak ambil tahu. sebabnya? apa yang terpapar di media (arus perdana dan alternatif) langsung tidak menjana pemikiran mereka. layan novel jiwang lagi baik. ada juga ruang berimaginasi!

Tuesday, February 01, 2011

Bukit Bintang

Ini adalah judul sajak saya dalam Tunas Cipta bulan ini. Saya memang sengaja mahu menulis tentang ini di sini kerana selain bersifat peribadi, sajak ini adalah sesuatu yang lain daripada beberapa karya saya yang pernah tersiar.

Bukit Bintang, kalau perlu dijelaskan dalam satu perkataan, adalah sajak yang jujur. Apa yang tertulis adalah apa yang sebenarnya berlaku; lokasi, waktu, suasana, watak-wataknya, malahan juga sedikit isi perbincangan kami di meja kafe. Yang mana biasanya saya akan sedaya upaya 'sorokkan' dalam tulisan. Tapi tidak kali ini.

Dalam sajak ini juga saya sengaja memasukkan suatu unsur yang selalu ada dalam sajak-sajak penyair kegemaran saya.

Terima kasih kepada pihak editorial yang sudi menyiarkannya. Tidak sabar menunggu TC Mac untuk ulasan.

Memang, bagi penulis, semua karya adalah peribadi. Untuk yang terlibat, mungkin ini boleh jadi rakaman sejarah kita pernah berkawan. Mana tahu, bila Azriq judah jadi SN nanti, boleh jadi bukti persahabatan. Dan, tentu saja, saya tetap menuntut sajak balas Perempuan Bukit Bintang yang disebut-sebut kelmarin.

Saturday, January 22, 2011

Trivia 2010

Ya, saya tahu sekarang sudah hampir penghujung Januari. Tapi masih ‘bulan 1’, jadi rasanya belum terlambat untuk saya bernostalgia sedikit tentang tahun 2010. Ahaks!

  1. Saya labelkan Journey to Space oleh angkasawan negara sebagai Book of the Year. Sebabnya, saya menunggu buku tersebut berbulan-bulan dan akhirnya dapat di PBAKL dengan autograf. Ternyata sangat berpuas hati dengan pengisiannya.
  2. Movie of the Year, barangkali Magika.
  3. Mula membaca falsafah. Tertekan juga baca buku-buku Al-Attas. Tapi kata abang Lutfi, itulah gaya Al-Attas...
  4. Selain sejarah Perak, saya mula sukakan sejarah Tudor Court. Terima kasih kepada The Other Boleyn Girl.
  5. Perangai kumpul-tanda-tangan-penulis saya semakin menjadi-jadi. Malah saya membawa Daun sampai ke Pangkor dan memaksa Fairuz kenalkan saya dengan Pak Malim. Apalagi, sebab nak autograf beliau lah! Kemudian tersengih-sengih sepanjang hari.
  6. Mula terjebak dengan masalah ‘orang dewasa’. Sangat sangat sangat terekan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sabar memberi sokongan. Sengaja tidak letak nama mereka, takut ada pula yang pergi korek rahsia. Hehe.
  7. 3 kali kemalangan. Yang pertama, langgar main-main saja. Yang kedua dan ketiga, kereta cedera, tapi saya OK. Alhamdulillah.
  8. 3 kali pindah rumah.
  9. Kali keberapa patah hati? Oh, abaikan.
  10. Tajuk cerpen sendiri yang paling saya suka ialah Eskapisme Cinta Pagi Merdeka. Cerpen ini tersiar di Dewan Kosmik November. Tajuknya sangat elegan! Hehe.
  11. Tajuk novel sendiri yang paling saya suka tentulah Gerhana. Sebab hanya satu saja novel saya.
  12. Tiada tajuk puisi sendiri yang paling saya suka. Setakat ini, semuanya biasa-biasa.
  13. Konvoi raya sampai ke rumah Kak Nisah di Seremban. Raya paling banyak jalan-jalan semenjak remaja ni. Bezanya dengan zaman kanak-kanak; dulu kumpul duit raya, sekarang beri duit raya.
  14. Saya sudah bertahun-tahun tidak menulis diari. Jadi, sangatlah susah nak siapkan trivia-trivia ni!

Saturday, January 15, 2011

Sejarah Adalah Sejarah

saya baru sahaja mendengar cerita tentang pengalaman seseorang yang belajar Sains Komputer di zaman 1980-an. bukan lama sangat jarak masanya. sedangkan saya sendiri lahir dalam tahun 1980-an juga.

beliau bercerita bagaimana ketika sekitar 1986, hanya ada satu makmal komputer untuk pelajar sains komputer. dan komputer pada ketika itu adalah komputer yang tak dapat saya bayangkan sekarang. hard disk sebesar tin biskut, mesin seluas bilik kelas, tapi hanya boleh dioperasikan oleh 5 pengguna sahaja. ya, ini adalah komputer biasa. bukan mainframe atau database.

kerana kesukaran ini, hanya pada tahun dua mereka boleh menggunakan makmal komputer ini. sebelumnya, pembelajaran lebih kepada programming. bagaimana menulis programming code tanpa komputer? teknologi yang digunakan ialah teknologi punchcard. coding akan dipunch pada program card, kemudian akan ada mesin lain untuk run code tersebut. jumlah card bergantung pada kompleksiti program. kalau besar, beratus-ratus card diperlukan.

yang paling saya kagum, bagaimana apabila dirun, ada error? mereka terpaksa menghabiskan sepanjang siang dan malam untuk menyemak setiap satu card sampai boleh mengenalpasti mana satu yang salah.

sekarang, laptop sudah ada di mana-mana. kadang-kadang seperti tidak dapat dibayangkan dahulu tidak ada kemudahan seperti ini. tapi itu adalah sejarah. dan sejarah tetap begitu, samada kita boleh menerima atau tidak.