Tuesday, May 29, 2012

Kesilapannya...

Citarasa puisi saya dan Yana selalu berbeza. Tapi ada beberapa puisi yang kami sama-sama mengerti dan boleh dibaca bersambung-sambung jika bosan terperangkap dalam kesesakan jalan-raya. Salah-satunya puisi ini, yang tiba-tiba melintas di kepala saya malam ini;

Ingatan Pada Suatu Kasih Yang Tak Jadi

Kesilapannya
kau tak berdaya berterus-terang
dan aku tak berdaya mentafsir

Kesilapannya
kau mengatur gambar-gambar
dalam sebuah album yang indah
sedang aku tidak pernah melihat gambar-gambar itu

Kesilapannya
kita telah bertemu
dalam sebuah mimpi yang menggembirakan
tetapi aku lebih gembira
bila terjaga dari mimpi itu.

Zurinah Hassan


Entahlah, adakah ini mimpi yang menggembirakan, atau memang benar kami akan lebih gembira apabila terjaga nanti.

Monday, May 28, 2012

Sederhana


Saya selalu cemburukan orang yang hidup sederhana, tapi sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada. Orang-orang seperti ini sangat mudah menjadi ikhlas. Tidak berbuat sesuatu untuk pangkat, tidak berhasad-dengki, tidak bercakap belakang, tidak bermuka-muka, tidak mengharap dibalas atau dipuji. Tetapi orang seperti ini tidak banyak. Dan sangat sukar untuk menjadi seperti mereka.

Tuesday, April 24, 2012

Pesta Buku

hujung minggu ini bakal bermulanya pesta buku antarabangsa kl. tahun ini saya tidak mempunyai senarai yang panjang untuk diburu. memikirkan buku yang dibeli semasa pesta buku tahun lepas pun ada yang belum dibaca. belum termasuk yang dibeli di pesta buku tidak antarabangsa atau kedai-kedai biasa yang tidak berpesta.

saya cuma mahu memiliki beberapa buku-buku baru daripada penulis-penulis kegemaran dan harap boleh dapatkan tanda tangan mereka nanti. ehem tapi serasanya azam ini pun sama juga macam tahun lepas, yang akhirnya tak dapat diselamatkan...


Sunday, April 01, 2012

Kopi


Saya tidak pasti sejak bila saya menggemari kopi. Boleh jadi sejak saya akrab dengan penulisan. Ironinya, dalam kesibukan sekarang yang membuatkan saya kurang aktif menulis pun, saya masih menggemari kopi.


Atas nasihat seorang teman, sekarang saya sedang cuba mengurangkan kopi. Lebih kepada untuk menyeimbangkan kesihatan. Walaupun saya bukanlah dalam kategori peminum kopi yang terlalu tegar, barangkali pengambilan yang tidak seimbang agak menjejaskan kesihatan.

Sayu pula rasanya. Haha.

Saturday, March 17, 2012

Cerita

Ada sebuah cerita yang pernah saya kongsikan dengan seorang sahabat baik di universiti. Ketika itu kami masing-masing sudah membawa haluan kerjaya sendiri dan masing-masing berhadapan dengan ujian dan cabaran 'hidup sebenar'.

Cerita ini saya baca di internet, dan ketika sahabat saya ini terlalu tertekan, saya ceritakan kisah ini kepadanya. Dia sangat menyukai cerita ini dan mendapat 'sesuatu' daripadanya. Ceritanya lebih kurang begini;

Seorang pegawai bank Amerika bercuti di pedalaman Mexico dan semasa berjalan-jalan di pantai, dia bertemu dengan seorang nelayan tempatan yang sedang memungah hasil tangkapan di dalam bot kecilnya. Pegawai ini bertanya berkenaan hasil tangkapan nelayan ini, nelayan ini membalas yang hasilnya sekadar cukup-cukup makan. Pegawai ini bertanya pula mengapa nelayan ini tidak duduk di laut lebih lama dan menangkap lebih banyak ikan. Nelayan berkata yang hasil ini sudah cukup untuk menyara keluarganya.

Apa yang awak buat dengan masa selebihnya? Tanya pegawai bank itu lagi. Nelayan memberitahu bahawa masa selebihnya dihabiskan dengan bersama isteri dan anak-anak, bermain gitar atau duduk di kedai kopi dengan rakan-rakan. Pegawai bank tadi membalas lagi bahawa dia boleh membantu nelayan ini untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Nelayan ini seharusnya menggunakan lebih banyak masa bekerja untuk menangkap lebih banyak ikan, kemudian membeli bot yang lebih besar, kemudian membuka syarikat perniagaan perikanan, menjadi pengedar ikan, pindah ke bandar besar, dan menguruskan empayar pernigaannya sahaja.

Nelayan tadi bertanya berapa lama masa yang akan diambil untuk itu. 15 ke 20 tahun. Balas pegawai bank tadi. Selepas itu? Tanya nelayan lagi. Pegawai tadi menjawab, selepas itu awak akan menjadi sangat kaya, awak boleh menjual kesemua saham syarikat, mendapat puluhan juta ringgit.

Selepas itu? Tanya nelayan tadi lagi. Selepas itu awak boleh bersara, menghabiskan masa bersama isteri dan anak-anak, bermain gitar atau duduk di kedai kopi dengan rakan-rakan.

Sunday, March 04, 2012

Tragis


Buku tulisan Ivan Turgenev ini boleh saya simpulkan dengan satu perkataan - tragis!

Semasa mula membaca buku nipis ini, saya hanya mengandaikan ini adalah kisah cinta monyet yang paling tidak sekadar mempunyai konflik remaja atau ala-ala antara dua darjat.



First Love, cinta pertama tidak selalunya bertahan - tapi mendewasakan.

Friday, March 02, 2012

Ahad

Semasa hari berlangsungnya Borak Buku dengan Ustaz Don tempoh hari, sahabat saya yang saya panggil Kak Safi kebetulan datang ke KL. Walaupun perancangan asalnya beliau mahu turut menyertai Borak Buku, penangguhan waktu program dari petang ke malam menyebabkan rancangan itu terpaksa dibatalkan. Tapi kami sempat menyertai DOM (walaupun sampai agak-agak waktu makan), dan kemudian jalan-jalan ke kedai buku dan sekadar duduk berborak-borak sambil mencicip kopi.

Kami berkenalan semasa MPR. Duduk seapartment semasa di PD dan sebilik di KL. Selepas tahun 2006, kami hanya pernah bertemu beberapa kali di KL. Selebihnya hanya berkomunikasi di telefon atau internet. Persamaannya, kami sama-sama tidak begitu aktif menulis sekarang. Hehe. Barangkali keperluan untuk fokus kepada pelajaran menjadikan penulisan semakin perlahan. Tapi kami masih suka membaca dan menghargai sastera.

Dan persamaan lagi, rupanya kami sama-sama sukakan drama bersiri di BBC - The Mentalist :)


Thursday, February 23, 2012

Nota Tentang Hidup

Alhamdulillah, Borak Buku sudah masuk tahun kedua. Dalam seronok-seronok, kelam-kabut, penat, miscommunication, susah-payah dan senang-lenang, program ini sudah diadakan sebanyak 13 siri. Syukur atas segala nikmat dan kekuatan yang diberi kepada semua pihak. Ada banyak kesenangan disebalik kepayahan dan tentu sahaja ada banyak perkara yang mahu diperbaiki lagi.

Semasa Borak Buku dengan Ustaz Don tempoh hari, pelbagai isu yang dapat dibicarakan bermula dengan perbincangan tentang buku (kitab) Syamail Muhammadiyah. Salah satunya, beliau sempat membaca sebuah hadis popular berkenaan niat. 
“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."


Hadis ini adalah hadis pertama dalam susunan Hadis 40 (Imam Nawawi). Cuma sayangnya, kita (saya) selalu terlupa. Ustaz sempat mengulas bahawa setiap orang akan mendapat apa yang dikehendaki. Akan mencapai apa impian yang dihajati. Tapi, jika tidak ada niat kerana Allah, maka tiadalah 'bahagia' untuknya. Hmm saya meletakkan tanda pada perkataan bahagia itu kerana erti bahagia terbuka kepada pemahaman masing-masing.

Hadis ini membuat saya berfikir, tentang apa yang saya lakukan selama ini, segala yang saya kejar, apa yang saya usahakan, adakah paling tidak sedikit cebisan niat untuk ikhlas kerana Allah? Ternyata bagi saya ini adalah perkara mudah yang sukar. Mudah diungkap tetapi sukar dibuat. Mudah difaham tapi sukar dilaksanakan.

Moga hidup kita sama-sama menjadi semakin baik, bukan untuk dunia sahaja, tetapi akhirat juga. Amiin.

Wednesday, February 15, 2012

Plastik

segalanya terletak pada hati dan kekuatan diri. semasa keluar membeli barangan it bersama seorang sahabat hujung minggu lalu, selain berpuas hati dengan barangan yang saya beli, saya juga sukakan beg plastik dari kedai tersebut yang cantik dan 'berkualiti'. tapi sahabat saya yang turut berpuas hati dengan barangan yang dibelinya tetap tidak boleh menerima 'kesukaan' saya kepada beg tersebut atas alasan pencemaran alam sekitar. walaupun tidak perlu berhujah panjang, setidak-tidaknya saya tahu dia berpendirian teguh dengan perjuangan kehijauan alam sekitar dan ijazah sarjana berkaitan pertanian yang sedang dikejarnya itu tidak sia-sia.

beg plastik.. cantik tapi tidak boleh dikitar semula. kalau perangai plastik.. 

Friday, January 06, 2012

Kesetiaan

Ini perkongsian semasa sarapan semalam. Ya, saya tahu, di zaman Twitter ini, hal pagi semalam memang agak ketinggalan diceritakan pagi ini. Tapi ini bukanlah sebuah 'cerita'. Sambil sarapan pagi semalam, saya membelek-belek Aksara Usia. Tapi ini tidaklah bermakna sarapan saya semata-mata dengan kopi dan puisi saja. Heh!

Saya terselak puisi berjudul 'Kesetiaan'. Em rasanya selama ini memang saya tidak pernah membaca puisi ini, ataupun mungkin pernah membaca tapi tidak menusuk jiwa.

"aku tidak akan memohon maaf / kerana tidak setia kepada perasaanmu". Dua baris awalnya sangat menarik saya. Dua baris itu mempunyai magisnya sendiri walaupun tidak berbunga-bunga dan hanya menggunakan kata-kata biasa. Tidak lembut tetapi tidak pula terlalu keras. Ini bukanlah puisi cinta. Baris ketiga membuka ruang untuk pemahaman maksud yang lebih jelas. Tapi saya kira kalau tidak dijelaskan pun lebih baik, seperti karya-karya Chairil Anwar yang dibiarkan samar-samar saja sehingga ramai yang menebak itu adalah seputar kisah cinta.

Saya turunkan seluruh puisi itu di sini. 


kesetiaan

aku tidak akan memohon maaf
kerana tidak setia kepada perasaanmu
kepada rancangan politik
atau kepada mimpimu.

ini bukan meja perancang kuasa
tapi balai didik
di mana bijaksana menjadi ketua
di mana bangsa bernaung.

aku menolakmu
yang menolak unggul,
aku menolakmu
yang menolak manusia lain.

aku menolakmu, batu kering
di kampung tamadun.

SN Muhammad Haji Salleh