Monday, September 01, 2014

The Teacher's Diary

entah macam mana, di malam pasca hari merdeka ini saya memilih filem untuk ditonton secara random. dan saya memilih The Teacher's Diary. filem keluaran Thailand awal tahun lalu.

filem ini dibikin sungguh cantik. kemas. dan tahap comel yang secomel pelakonnya ;)

ini cerita tentang Song, seorang guru baru yang ditempatkan mengajar di sebuah houseboat. sekolah yang terapung, dengan hanya 5 orang murid. semasa baru tiba di sekolah ini, Song terjumpa sebuah diari milik Ann, bekas guru yang pernah mengajar di situ sebelumnya. dalam hari-hari yang sepi dan mencabar, diari Ann inilah yang banyak memberi inspirasi dan menjadi teman. dari situlah terjelas tagline filem ini " is it possible to love someone you've never met?".

filem ini berdasarkan kisah benar. setiap manusia ada kisah indah masing-masing. kisah mereka adalah yang berbaloi dikongsi bersama.

sudah lama tidak tonton filem bagus seperti ini. filem hollywood lebih banyak aksi. filem melayu masih cinta, lawak dan hantu. filem yang baik ada beberapa, dengan jumlah penonton yang selalunya tidak lebih 5 orang dalam panggung. entah sampai bila golongan yang sedikit ini harus jadi penyokong dan tetap datang menonton supaya para pembikin yang ada semangat ini tidak merajuk dan merendahkan matlamat demi pulangan yang lumayan.

Friday, August 08, 2014

Travelog Seychelles

i - Seychelles

Buku ini merakamkan pengalaman penulis mengembara di Seychelles selama seminggu. Tempoh seminggu ini termasuklah hari pergi-balik perjalanan dan juga tempoh transit (lebih 24 jam) dalam perjalanan. Jadi, saya kira tempoh ini terlalu singkat, tambahan pula tujuan penulis kembara ke republik itu adalah untuk kajian ilmiah dan menjejak tinggalan Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim yang dibuang negeri oleh Inggeris -kerana didakwa membunuh J.W.W. Birch.

Sultan Abdullah digambarkan gembira berada di sana. Walaupun dalam buangan, baginda tetap diberi keistimewaan kemewahan sebagai sultan semasa di Pulau Mahe. Penulis berjaya menemui rumah agam tempat kediaman Sultan Abdullah yang sekarang dimiliki oleh pegawai tempatan. 

ii - lagu negeri perak

Semasa di sana jugalah Sultan Abdullah terpikat dengan lagu Rosalie (dalam bahasa Perancis). Apabila baginda dibenarkan pulang ke Perak, baginda mengambil lagu Rosalie untuk dijadikan lagu Negeri Perak -Allah Lanjutkan Usia Sultan.

Dipendekkan cerita, semasa menjelang kemerdekaan, panel yang bertindak memilih lagu untuk dijadikan lagu kebangsaan negara telah mendengar lagu rasmi bagi semua negeri dan sepakat memilih lagu negeri Perak untuk dijadikan lagu kebangsaan. Sebuah pertandingan dianjurkan untuk menggubah liriknya. Daripada pertandingan tersebut, lahirlah lirik Negaraku :)

Dalam cerita panjang pula, lagu Rosalie ini begitu popular di kalangan anak-anak kapal dan menjadi siulan mereka. Kerana itu lagu ini tersebar luas seantero dunia dan contoh terdekat adalah liriknya yang digubah menjadi lagu Terang Bulan di Indonesia.


iii - Travelog


Kaedah pengulangan memang bukan minat saya. Kerana itu saya perlu banyak bersabar dan bersungguh untuk menghabiskan karya-karya besar seperti karya Azizi Hj Abdullah atau Shahnon Ahmad. It tooks a lot of my energy, seriously.

Mungkin ini masalah gen-y, atau masalah orang IT, atau masalah diri sendiri. *wink*.

Sudah lama juga saya membawa travelog ini ke sana sini, sekarang baru berada di bab 30. sebagai sebuah travelog, buku ini tidak mempunyai timeline yang jelas. bab-babnya bercampur-campur dan diulang-ulang.

Tuesday, August 05, 2014

Siri

Secara rasminya The Mentalist sudah tamat season 6. Dan bakal ada sambungan ke Season 7. Boleh dikatakan hanya ini sahaja tv series yang saya ikuti bertahun-tahun. Dengan gigihnya stream atau download untuk dapatkan episod terkini. Dulu ada satu siri lagi; Fairly Legal. Tapi Fairly Legal hanya bertahan dua seasons.


Sebenarnya, saya sedikit terlewat mengikuti season 6 kerana sebenarnya sudah agak bosan dengan never ending story. Pencarian Red John - bayangkan daripada season 1 sampai season 6. Dari tahun 2008 sampailah 2014!

Barangkali begitu, kepintaran yang terlalu berjela-jela juga menjemukan. Jadi seeloknya kita bersederhana saja dalam semua perkara , termasuk dalam cinta ;)

*Misteri Red John berjaya selesai dalam season 6. Sedih juga bila CBI ditutup dan mereka berpindah ke FBI. Harap tak jadi seperti tipikal kisah FBI dalam season 7 nanti.

Selamat hari raya! Jangan lupa boikot produk Israel selagi mampu!

Wednesday, July 16, 2014

Sosial cara kini



Eleanor Roosevelt jika masih ada sekarang, harus menambah di mana letaknya golongan yang suka membincangkan hal diri sendiri secara ekstrim. Saya sekadar tertanya-tanya.

i
Beberapa minggu ini saya sudah kurang membuka facebook, kerana masalah dengan diri sendiri. Jangan marah dulu, memang, saya suka membaca hal-hal hidup rakan-rakan setiap kali scroll down timeline. Tapi semakin lama saya semakin sakit dengan perangai diva, tunjuk pandai, berlagak dan kaki gaduh di timeline. Sekali lagi jangan marah, saya faham, di facebook anda, andalah diva. Well, we are our own hero/heroin in OUR story. Jadi, tidak mahu banyak komen tak puas hati dengan keyboard dan dengan hati, tutup mata. #akuyangupdatekauyangpanas

Konsep di twitter lebih sakit lagi. Tweet memang terus dari hati, kisahnya. Maka sumpah seranah jadi sangat mudah di situ. Entah mengapa kita sukar betul membendung perasaan, susah betul meluah rasa marah tanpa mencaci. #silaterasa

ii
Jadi apa yang saya buat untuk mengisi masa yang selama ini digunakan bersosial di skrin adalah membaca blog-blog kegemaran. Ada tiga sebenarnya, satu tentang sejarah, satu blog travel dan satu lagi tentang life. Cuma bak kata orang, good things come to those who wait. Memang terpaksalah menunggu sebulan sekali untuk tunggu mereka ni update. Hahah.

Kalau memang sedang lapang di rumah, tonton rancangan masak dan makan di tv (tak berapa faham juga kenapa rancangan makanan saja yang ada di tv pada bulan puasa). Kemudian, selain survey design corelle terkini untuk mak atau info-info penting untuk masa depan, saya akan baca buku-buku di rak “belum dibaca” sambil pasang playlist album terbaru Ed Sheeran, X (multiply). Ya, penyanyi lagu kegemaran saya sepanjang zaman, Lego House, baru sebulan release album baru.

iii
Walau apapun, Ramadan sudah masuk peringkat kedua –keampunan. Semoga sama-sama kita mendapat keampunan dan kebaikan.

Thursday, July 03, 2014

Rebel

Saya selalu berfikir, orang muda yang rebel, sebaiknya buatlah seperti Soe Hok Gie. Berani (dah pasti), logikal dan bertanggung jawab.

Saya mengenal Gie melalui filemnya dahulu. Filem Gie (2008) mengangkat Nicholas Saputra sebagai Soe Hok Gie. Lelaki puitis yang berani menentang dalam keadaan sememangnya sudah sedia kacau.

Kerana begitu tertarik dengan filemnya, saya memesan buku Catatan Seorang Demonstran kepada seorang rakan yang kebetulan ke Indonesia. CSD sebenarnya adalah diari milik Gie, yang ditulis sejak tahun 1967 (beliau berusia 15 tahun) sehingga tahun 1988 (sehari sebelum kematian beliau). 

Catatan ini bermula sejak Gie di bangku sekolah, kemudian beberapa kali bertukar sekolah kerana bertengkar dengan guru-gurunya. Di sinilah dia menuliskan bahawa "guru bukan dewa, dan selalu benar. Dan murid bukan kerbau".

Gie kemudian menjadi mahasiswa Fakulti Sastera, Universiti Indonesia, sememangnya dia menjadi mahasiswa yang tidak duduk diam. Selain menulis, juga aktif menyusun acara menonton filem di fakulti dan seterusnya mendiskusikan filem yang mereka tonton. Ada ketika dia juga keluar berdemonstrasi menentang kepimpinan Sukarno dan di akhirnya dia sendiri merasa bersalah apabila setelah Sukarno turun, junta berkuasa dan keadaan jadi makin kacau. Atas rasa tanggung jawab itulah Gie labih tajam menulis dan mengkritik kepimpinan negara walaupun dinasihati oleh orang sekelilingnya supaya berhenti saja setelah datang pelbagai ancaman.

“apakah kau masih akan berkata, kudengar derap jantungmu.
kita begitu berbeda dalam semua
kecuali dalam cinta?”

Salah satu yang menarik adalah catatan Riri Reza (pengarah filem Gie) yang sememangnya sangat terinspirasi dengan Gie sejak kali pertama dia membaca CSD ketika di universiti. Menariknya, Riri Reza membayangkan Gie adalah sosok yang selalu serius, pendiam dan tidak berkawan. Dengan persepsi itulah mereka (Riri dan Mira Lesmana) mencipta sosok Soe Hok Gie pada Rangga di dalam Ada Apa Dengan Cinta. Hanya semasa dalam pembikinan skrip Gie, Riri menemubual rakan-rakan dan ahli keluarga Gie dan barulah dia menemui sifatnya yang sebenarnya tidak pasif.

Satu lagi kegemaran Gie adalah mendaki gunung, di sana dia menikmati alam dan menulis puisi. Gie meninggal dunia pada usia 26 tahun semasa berada di Gunung Semeru, gunung yang menempatkan puncak tertinggi tanah Jawa.

Saya turunkan puisi terakhir Soe Hok Gie, yang turut dibaca dalam babak akhir filem Gie;

ada orang yang menghabiskan waktunya berziarah ke mekkah
ada orang yang menghabiskan waktunya berjudi di miraza
tapi aku ingin habiskan waktuku di sisimu sayangku

bicara tentang anjing-anjing kita yang nakal dan lucu
atau tentang bunga-bunga yang manis di lembah mendala wangi
ada serdadu-serdadu Amerika yang mati kena bom di danang
ada bayi-bayi yang mati lapar di Biafra

tapi aku ingin mati di sisimu sayangku
setelah kita bosan hidup dan terus bertanya-tanya
tentang tujuan hidup yang tak satu setanpun tahu

mari, sini sayangku
kalian yang pernah mesra, yang pernah baik dan simpati padaku
tegakklah ke langit atau awan mendung
kita tak pernah menanamkan apa-apa,
kita takkan pernah kehilangan apa-apa




Wednesday, March 12, 2014

Perjalanan Bersama Memoir

Ketika saya menulis post ini, misi mencari MH370 masih diteruskan. Doa kita untuk mereka, semoga ada penyelesaian yang terbaik. Sebenarnya sudah sekian lama saya berhenti menulis hal-hal peribadi di sini. Saya lebih bebas (dalam zon selamat) untuk berkongsi tentang pembacaan dan refleksi yang tidak banyak. Kita tinggalkan sebentar buku-buku pemenang Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH, ataupun buku-buku avant-garde karya penulis mapan, saya baru selesai membaca karya Azizi Abdullah, Memoir Seorang Guru.

Membaca buku ini saya rasakan seperti sebuah perjalanan unik yang separa panjang. Perjalanan dengan keretapi. Seperti menaiki ETS dari KL ke Ipoh.


Bab-bab awal begitu perlahan dan menguji ketekunan. Samalah seperti perjalan awal menaiki ETS, bunyi enjin keretapi berdengung-dengung dan kemudian meninggalkan landasan. Pemandangan tidak menarik, hanya ruang gelap dinding KL Sentral kemudian bersambung pula dengan Stesen Kuala Lumpur. Keretapi berhenti lagi –seperti pembacaan yang diuji lagi. Dengan sabar (selepas beberapa hari), saya sambung membaca lagi.

Tidak lama kemudian keretapi bergerak laju sedikit meninggalkan Stesen KL, pemandangan semakin baik dan untung jika tidak berjerebu, kita boleh melihat lukisan matahari di celah-celah bangunan tinggi. Panahan tajam matahari ini adalah semasa Mat tersungkap pohon pinang. Bab ini memang membuka mata, memaksa saya berlawan dengan minda sendiri. Cerita yang begitu ngeri itu adalah batu licin yang membuatkan saya terjatuh dalam sungai deras. Seperti di dalam keretapi, penghawa dingin yang baik dan kelajuan membuatkan saya terus hanyut zzzZZzzzz....

Lena terganggu dengan pengumuman keretapi tiba di Tanjung Malim, ah begitulah pembacaan yang sedang enak tadi terganggu dengan bahagian tertentu yang membosankan. Saya perlu bersabar lagi mendengar enjin keretapi berdengung dan bergerak perlahan. Perjalanan indah bersambung lagi. Hal sama berulang beberapa kali sehingga saya sudah terbiasa dengan ritual keretapi ini. Beberapa kali saya turut sama marahkan ustaz ini yang asyik membenci muridnya. Juga marah kerana ceritanya begitu perlahan. Tapi tidak lama, keretapi kembali bergerak dengan 110km/j. Ada cerita tentang Alias dan beruknya, kemudian tentang Mihad, Sakinah dan Mohd Dhuha. Anak-anak miskin yang mahu belajar, perlu berlawan dengan kemiskinan dan persekitaran.

Sampai akhirnya keretapi tiba di Ipoh, stesen terakhir. Elok pula cuaca baik yang menyambut. Buku ini ditutup dengan happy ending, bekas murid menjadi orang berguna, dia merestui profesyen pilihan anaknya malah ustaz ini dapat penghargaan pula daripada bekas murid-muridnya.

Walaupun keretapi telah tiba di destinasi, kali ini saya mahu menyambung perjalanan lagi, mahu ke Taiping dengan keretapi lain. Sekarang saya membaca Zikir Rindu, daripada bab-bab awal ini, rupanya buku ini adalah sambungan kepada Memoir Seorang Guru. Cuma buku ini lebih nipis, perjalanan tidak lama untuk sampai ke Taiping :)

Saturday, February 22, 2014

Tersesat ke Ipoh

Notis: Ini bukan review. 

Bagi saya, Sepetang di Kafe Biblioholic adalah sebuah novel yang membawa kelainan. Plotnya disusun kemas dan perjalanannya sederhana. Saya rasa banyak momen yang dapat dilukis dengan begitu baik, terutamanya saat-saat menikmati teh dan kopi.


Ketepikan tentang Redza atau Umair yang menjadi pilihan. Saya hanya jatuh hati dengan Tengku Iskandar sahaja. (Eh ini cerita lain). Perasaan si watak utama, Kamellia, menikmati teh atau kopinya ditulis dengan begitu berhati-hati, sampaikan pembaca mungkin akan merasa malang jika membacanya di tengah malam tatkala kafe sudah ditutup, jadi perlu menunggu esok untuk menikmati minuman sepertinya juga. Tapi, ini semua nafsu! Hehe.

Selain Kuala Lumpur, Bandaraya Ipoh (ya, bandaraya ok, bukan bandar) juga menjadi latar dalam beberapa bab dan disebut sebagai bandar yang tidur. Baik di sini saya ada masalah. Kita selalu mencela pembangunan yang memusnahkan semua kesan lama yang walaupun tidak ada impak kepada sejarah negara. Tapi apabila ada sebuah bandaraya yang pembangunannya dibiarkan perlahan dan banyak bangunan era kolonial yang dipelihara malah masih digunakan, kita menggelarnya bandar yang tidur?

Walau bagaimanapun, saya terjumpa artikel kembara ini di The Washington Post. Tentang seorang mat saleh yang tersesat ke Ipoh dan dia menyukainya. Jadi, selain Tengku Iskandar, saya suka pada mat saleh ni juga ;)


Monday, January 20, 2014

Membaca Kembali TKVDW




Membaca kembali buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini lain perasaannya. Buku ini saya beli memandangkan naskhah yang pernah saya baca dahulu dipinjam orang dan masih belum dipulangkan. Tak mengapalah. Naskhah kedua yang saya ada ini lebih istimewa (jangan ada yang teka saya dapat autograf pulak) kerana saya beli di Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka yang sempat diziarahi tahun lepas. Sebuah percutian keluarga yang sangat bermakna. Saya tidak ingat sejak bila, tapi saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk ke rumah kelahiran Buya Hamka dan melihat sendiri Danau Maninjau. Memang cantiknya tidak terkata.

Tapi kecantikan itu tidaklah dapat percuma. Untuk turun ke sana dari Bukittinggi, kita perlu melalui 44 buah kelok yang sudahlah sempit, boleh tahan juga curamnya. Memang setiap kelok itu ditandakan nombor, dan sebagai pengubat hati, dari Kelok 44 yang paling atas lagi kita sudah boleh lihat pemandangan Danau Maninjau menggamit-gamit. Psiko kan!

Membaca kembali TKVDW dengan usia yang lebih remaja (ehem), memberikan ruang untuk saya berfikir lebih banyak. Jika dulu hanya dapat menghadam kisah cinta Zainuddin dan Hayati saja, sekarang pembacaan itu boleh diluaskan lagi tentang adat Minang, kerendahan hati, dan paling istimewa, kehalusan bahasa yang digunakan Hamka. Ada bahagian-bahagian yang dapat dirasakan juga sayu dan pedihnya.

Saya suka nasihat abang Muluk kepada Zainuddin selepas dia sakit teruk kerana Hayati berkahwin dengan Aziz; janganlah jadi lemah kerana seorang perempuan, sedangkan Zainuddin adalah orang yang berilmu dan dipandang baik oleh masyarakat. Zainuddin menyewa di rumah ibu Muluk sepanjang pengajiannya di Padang Panjang. Tapi Muluk sentiasa mengelak untuk bertemu dengan Zainuddin kerana Zainuddin orang siak (orang alim) manakala dia orang Parewa (orang muda yang suka berjudi, menyabung, tetapi hebat dalam silat dan berdukun etc).

Tapi setelah Zainuddin pulang daripada mengembara untuk mengubat hati :), ibu Muluk menyarankan Zainuddin cuba bercakap dengannya, barangkali ada yang dapat dikongsi. Dari situlah Muluk bertindak sebagai seorang abang dan sampai akhirnya menjadi sahabat yang setia dan bersama Zainuddin ke Jakarta dan seterusnya Surabaya. Sahabat yang saling belajar dan saling menyokong.

Dalam pembacaan kali kedua ini juga, saya sudah terbayang Herjunot Ali sebagai Zainuddin dan Reza Rahadian yang membawa watak Aziz. Filemya masih ditayangkan di Indonesia...saya masih menunggu dengan sabar untuk menontonnya.

Sementara itu, saya sedang membaca buku Ayah, tulisan Irfan Hamka yang menulis kisah hidup Buya Hamka dari pandangan anaknya.

Wednesday, January 01, 2014

Tahun Baharu

Sekali lagi, hari ini adalah hari yang baru. Sebuah tahun baru yang ada banyak signifikannya untuk diri kita masing-masing, secara teori atau praktikalnya. Saya baru baik dari demam yang agak teruk, dua kali berturut-turut dalam satu bulan. Its like a reset for me. So, here I am, a cup of coffee, and picturing myself writing a new year resolution. Yes, I do mean picturing. Sebab sebenarnya kan tengah tulis blog je. Haha...

Monday, November 25, 2013

Menulis

makin lama, makin jarang saya menulis blog. bukan blog saja, makin jarang menulis karya apatah lagi fb. bukan masalah idea atau cerita. masalahnya adalah saya mempunyai terlalu banyak suara di dalam kepala, ok kedengaran sedikit ngeri.

tapi, kerana terlalu banyak hal-hal yang bertelagah dalam kepala, saya memilih jalan jauh untuk memikirkan perkara yang perlu menggunakan banyak perancangan dan mengajar saya supaya lebih sistematik - mengembara, contohnya.

setiap kali mengembara, perancangan yang rapi memang perlu. ini sangat bukan saya. saya lebih kepada seorang yang ad-hoc, buat keputusan cepat dan tak berfikir panjang. yang mana membuatkan saya berfikir banyaaaaak perkara dalam satu masa. ya, sampai seorang kawan saya pernah bertanya adakah memang by default saya akan memikirkan hal-hal dunia. hahah tapi tentulah tak seteruk itu kan...

cuma untuk mengembara, saya akan jadi sedikit teratur, paling tidak sudah ada senarai tempat yang mahu dikunjungi dan rangka masa untuk memudahkan planning. begitu juga untuk tempat penginapan, kenderaan dan keperluan. hal ini akan jadi lebih detail jika mengembara berkumpulan, kerana semua orang perlu faham tentang perjalanan dan skop tugas masing-masing.

hal seperti ini menjadikan saya lebih 'sibuk' dan kurang masa berfikir perkara yang tidak berkait. dan membuat itinerary perjalanan memberikan kepuasan yang tak kurang hebatnya seperti menyiapkan sebuah karya.

sunrise, the crowd and angkor wat.