Isnin kembali lagi.
Hujung minggu yang lalu saya habiskan sepenuhnya bersama keluarga, di Shah Alam. Pada petang Sabtu, saya dan dua orang sepupu merayau-rayau di sekitar Plaza Low Yat- Imbi- Times Square. Sejak meningkat remaja, memang jarang benar saya berbual mesra bersama sepupu-sepupu walaupun dengan yang sebaya. Apabila keluar bersama mereka saya rasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak, di mana kami selalu meluangkan masa bersama-sama. Bezanya sekarang kami tidak lagi bermain masak-masak, tembak-tembak atau bercerita mengenai siri kartun di televisyen, tetapi lebih terbuka untuk berbicara pelbagai isu. Mendekati soal peribadi, pelajaran, kerjaya, perancangan masa depan dan sebagainya.
Bagi saya, peluang sebegini memang jarang-jarang diperolehi. Bukan senang mahu berkumpul dan keluar bersama-sama (di KL pula tu!). Sewaktu kecil, kami sesama sepupu yang sebaya (kira-kira 5 orang) memang rapat, memandangkan dalam keluarga pada waktu itu, majoriti sepupu sudah dewasa, bahkan anak-anak mereka sudah sebaya dengan kami –generasi yang kecil-kecil ni. Memang unik! Ini menyebabkan kami cuma bermain sesama sendiri apabila berkumpul beramai-ramai. Namun apabila masing-masing sudah menginjak ke sekolah menengah kami membawa haluan sendiri dan jarang bertemu. Kalau bertemu pun memang jarang berbual panjang (terutama dengan sepupu lelaki).
Mungkin ini merupakan salah satu perbezaan perlakuan disebabkan oleh perubahan peringkat usia. Pada zaman kanak-kanak, kami rapat. Apabila besar sedikit, masing-masing sudah jadi pemalu, tambahan pula jarang bertemu. Kini, kami sama-sama telah remaja (ada yang sudah mahu kahwin pun), kemesraan zaman kanak-kanak berulang lagi. Mudah-mudahan situasi ini tetap sama untuk peringkat usia yang seterusnya.
Kembali kepada kisah saya dan dua sepupu, kami keluar sekitar 5 jam, tetapi cuma sempat meninjau beberapa gajet terbaru. Sebabnya, masa perjalanan sahaja sudah menelan hampir 2 jam. Jadi, tempoh pergi dan balik sudah mengambil masa 4 jam, gara-gara kesukaran mendapat kenderaan awam. Tetapi sekurang-kurangnya tempoh selama itu membolehkan kami membuka pelbagai topik. Saya rasa perjalanan kami masih boleh dibanggakan, bayangkan, dalam masa lebih kurang satu jam kami boleh meronda 3 plaza! Hebat.
Semalam pula, puisi saya TEJA, TANPA CINTA, tersiar di akhbar Mingguan Malaysia. Puisi tersebut telah lama saya hantar kepada editor, semenjak sebelum MPR lagi. Setakat ini, itu merupakan puisi saya yang paling panjang yang pernah tersiar. Aduhai, terasa malu dan kerdil yang teramat sangat apabila puisi itu disiarkan, berhampiran dengan puisi abang Shamsudin Othman pula tu. Namun, secara peribadinya, bagi saya, TEJA, TANPA CINTA merupakan puisi terbaik yang saya hasilkan sebelum menyertai MPR. Selepas MPR tentunya lain=)

2 comments:
kalau abg nampak nissa kat shah alam... siap! abg selalu merayau kat uitm dan pusat bandar.. he he he he... wajah nissa dah hafal dalam ingatan abg. nanti, abg sergah nissa... ha ha ha
(sebenarnya, tak tau nak tulis apa..)
take care
abg jebat ok gak tu..belanja saya makan.hahaha---macamla kenal muka saya=)
Post a Comment