Novel ini menimbulkan sebuah fenomena luar biasa, di Indonesia khususnya. Tentu ada sesuatu yang sangat istimewa sehingga dianugerahkan sebagai The Most Favourite Book pada tahun 2005. Menonton filem Ayat-ayat Cinta (AAC) memaksa saya untuk kembali membelek seimbas novel tulisan Habiburrahman El Shirazy itu. Sekadar untuk perbandingan. Sesuatu yang paling saya suka dalam novel ini (selain isu-isu Islamnya) adalah kritikan terbuka penulisnya terhadap pemimpin tertinggi Indonesia.


Apa yang dibela oleh presiden Indonesia jika bukan jawatan dan perutnya sendiri? .... Sedangkan beribu gadis Indonesia dijual, dirobek-robek kehormatannya dan diperlakukan seperti binatang di Singapura saja, presiden diam saja...
Maaf, saya bukan membangkitkan isu perlakuan presiden Indonesia di sini. Ada perkara besar yang perlu difahami.
Filem AAC dibuka dengan babak Fahri dan Maria yang tidak terdapat di dalam novel. Terdapat beberapa perbezaan versi novel dan filem. Tetapi perbezaan ini bukanlah sesuatu yang memburukkan, bahkan bagus juga untuk kesesuaian.
Novel AAC bagi saya, masih lagi dikategorikan sebagai novel pop. Jika dibandingkan dengan karya-karya penulis sastera serius sama ada karya remaja atau dewasa, AAC tidak membawakan tema dan persoalan yang besar. Hanya sekitar Fahri, seorang ‘azhari’ berhati lembut yang dicintai hampir semua wanita baik dan cantik di Mesir! Berbeza dengan novel-novel islamik penulis Zaid Akhtar yang membawakan tema lebih global dan kritikal seperti isu penindasan Bahasa Arab (Rona Bhosphorus), persoalan aurat dalam sukan (Justeru Impian di Jaring), sentuhan bernas kepada isu-isu semasa (Salju Sakinah) dan lain-lain lagi. Kunci utama yang membezakan AAC dan novel-novel pop Malaysia adalah nafas Islam yang menyuburkan segenap penceritaannya.

AAC sebagai filem, sebaliknya, adalah mutiara yang sangat berharga. Dalam lautan filem melayu (Malaysia terutamanya) yang membawakan tema entah apa-apa, kemunculan filem yang menekankan soal perhubungan lelaki-wanita dalam Islam ini seperti sebiji pelampung besar untuk meyelamatkan berjuta-juta muda-mudi yang hampir lemas. Tidak cukup, tetapi lebih baik daripada lemas kesemuanya sekali!
Penceritaan dalam filem AAC yang diubah sedikit daripada versi novel membuatkan kisah ini menjadi lebih realistik. Beberapa watak seperti ayah dan adik Maria yang sengaja di’tiada’kan juga bukan sesuatu yang mencacatkan. Babak selepas Fahri dibebaskan dari penjara contohnya, menimbulkan pergolakan dalam hidup Fahri yang sekelip mata mempunyai dua orang isteri. Babak ini, dalam novel, begitu mudah. Deus ex Machina. Fahri ‘sekelip mata’ bernikah dengan Maria, Maria sedar daripada koma lalu memberi keterangan di mahkamah, Fahri keluar penjara, Maria menghadapi hari-hari nazak dan akhirnya meninggal dunia dengan khusnul khatimah (menurut pembacaaan saya). Dalam filem, hari-hari selepas Fahri dibebaskan dari penjara adalah sesuatu yang sukar dalam senang. Menjaga hati dua isteri, berlaku adil untuk dua isteri yang seorangnya sakit dan seorang lagi mengandung, memang sangat menguji.
Tontonlah AAC untuk sebuah kelainan jika anda memerlukannya. Saya mungkin agak ketinggalan dalam hal-hal filem, seantero Malaya saya cari filem AAC ini, rupa-rupanya baru Jun depan filem ini akan masuk pasaran Malaysia. Haha. Tapi, walaupun ketinggalan saya sudah menontonnya lebih awal daripada kebanyakan rakyat Malaysia. Jadi, jika anda tunggulah Jun nanti untuk filem ini, insyaAllah=)
1 comment:
Sdr. Menarik juga cara Sdr menghujah "keburukan" novel AAC ini. Saya suka membacanya. Mohon maaflah kerana telah membaca dan memberi reaksi.
Satira+Kacau
Post a Comment