Monday, June 02, 2008

PENYAMUN

Tulisan ini bukan sambungan daripada kisah penyamun kak Rai, tapi saya yang alami sendiri.

Hari Jumaat malam Sabtu baru-baru ini, rumah saya dipecah masuk. Pada mulanya, menghampiri jam 11 malam, saya ke tandas berhampiran dapur, tiba-tiba dengar bunyi sesuatu pada pagar besi di dinding belakang dapur. Saya syak sesuatu, bunyi seperti pagar tergoncang kerana dipanjat orang. Saya intai sedikit di tingkap dapur, tak ada apa-apa. Saya diamkan saja, saya fikir mungkin adik saya yang sedang menonton TV pergi ke dapur tadi. Mak dan ayah saya sudah tidur.

Saya masuk ke bilik. Tak lama lepas tu saya dengar adik saya pun masuk tidur. Saya keluar tutup lampu pada bahagian tengah, seluruh rumah gelap, cuma bilik saya saja yang terang-benderang.

Sambil duduk atas lantai, pasang lagu dan buat ‘konsert solo’ saya pun begitu asyik meng’edit’ template baru untuk blog rasmi MPR. Lebih kurang 1 pagi, saya dengar bunyi seperti tingkap bilik saya cuba dibuka dari luar. Saya jelaskan sedikit, bilik saya di bahagian paling depan, tingkap bilik saya ada tiga, semuanya ber’grill’ tapi ada satu tingkap yang ‘grill’nya boleh dibuka untuk hal-hal kecemasan, kebakaran dan sebagainya. Malam itu, bunyi itu saya dengar di tingkap yang ‘grill’nya boleh dibuka itu. Kebetulan pula langsir tingkap itu terbuka sikit di tengah, sikit saja, kira-kira 10 cm, tapi cukup jika orang cuba mengintai dari luar.

Selepas mendengar bunyi itu, saya bingkas bangun dan merenung tengah tingkap yang sedikit terbuka langsirnya. Dengan sedikit kekuatan, saya tutup lampu bilik, mengintai ke luar sedikit dan beberapa saat saja, saya buka lampu kembali dengan sedikit malap. Fuh berderau. Tapi saya fikir positif, tak ada apa-apa. Dalam darah berderau tu, saya sudahkan sedikit editing blog MPR, terus tutup laptop dan tidur dengan lampu terbuka.

Subuh esoknya, mak saya ketuk pintu billik awal-awal kerana sangkakan saya tak tidur. Saya pun kata, “semalam dengar bunyi kat tingkap”. Mak saya diam saja.

Jam sembilan, barulah ayah saya perasan, kereta mak tak bertutup rapat dan keadaan dalam sedikit bersepah. Sah! Ada orang rompak. Duit syiling habis licin, dia cuba kopak beberapa bahagian dalam kereta, tak berjaya. Ada dua gugus kunci rumah kami yang satu lagi diambil. Mujurlah tak ada kunci rumah yang sedang kami duduki ni di dalam kereta. Kereta itu letaknya betul-betul sebelah bilik saya, dan saya tak dengar apa-apa! Beberapa barangan besi kerja ayah saya turut hilang. Entah macam mana mak boleh terlupa kunci kereta semalam.

MasyaAllah, waktu itu memang darah saya dah berderau sungguh-sungguh. Lihat tingkap saya, memang ada sedikit kesan kopak. Mungkin banyak yang boleh diselamatkan jika saya berfikiran sedikit negatif dan percaya kepada kata hati sewaktu saya dengar bunyi di pagar dapur dan ketika saya rasa diperhatikan sewaktu tutup semua lampu. Walau apapun, saya sangat bersyukur dia (atau mereka) tidak berjaya masuk ke dalam rumah. Saya rasa malam itu dia (atau mereka) nampak setiap gerak-geri saya, sial betul! Saya tak boleh bayangkan jika sewaktu bunyi di tingkap, saya masih berfikir ‘tak ada apa-apa’. dia (atau mereka), berjaya kopak tingkap bilik saya, buka grill, dan lepas tu apa? Na’uzubillah!

Kami yakin dia (atau mereka) akan kembali, mereka pasti sangka kunci yang diambil dari dalam kereta itu kunci bagi salah satu pintu rumah ini. Segugus kunci kemudiannya ditemui oleh adik saya di sisi pintu kayu bahagian dapur, memang dia (atau mereka) sungguh-sungguh mahu masuk ke rumah, segugus kunci lagi tak ditemui. Doakanlah yang baik-baik untuk saya dan keluarga. Ketika menulis entri ini pun, saya masih lagi rasa darah berderau. Saya sangat risau memandangkan ayah saya kadang-kadang tidak ada di rumah, tinggal mak, saya dan adik saja. Doakanlah yang baik-baik untuk saya dan keluarga. Saya sangat menghargainya.

4 comments:

Anonymous said...

Penyamun sekarang 'lapar' sangat agaknya.Itulah,suruh buat hudud tak mahu.Kalau buat dari dulu,boleh tido aman damai kita ni.Insya Allah...!

Akak geram sebab tak dapat tangkap penyamun tu lagi.Ini mike sendiri sipi-sipi nak dapat berkas penyamun tu!Allah jua Maha Melindungi.

hani salwah yaakup said...

Isyh isyh isyh...menakutkan baca kisah mike & kak rai...aduhai...

Semoga Allah SWT menlindungi awak dan keluarga!

Anonymous said...

huhu terima kasih kak rai dan kak hani..
kak rai, saya nak tangkap pun takut.hehe.. sekarang ni memang tak boleh tido lena langsung

Anonymous said...

dari jauh, abg doakan keselamatan nissa sekeluarga