Wednesday, November 21, 2007

PASCAMENGEMAS

Asyik mengemas bilik semalam. Bukan mengemas pun sebenarnya, lebih kepada memunggah. Setiap kali berjalan aktiviti kemas/punggah bilik, mesti memakan masa yang lama. Mana taknya. Sambil menyerakkan semua kertas-kertas, buku-buku dan barang-barang, saya belek semuanya sebelum dibuang. Walaupun dah pasti memang ‘sampah’ yang dah bertahun-tahun disimpan tu tak berguna.

Mungkin sedikit pelik, secara tak sengaja, saya memang suka simpan benda yang tak berguna. Contohnya keratan-keratan akhbar tentang berita yang saya sendiri tak tahu kenapa saya simpan. Begitu juga barang-barang yang kononnya ada nilai sentimental, padahal tak ada nilai apa-apa pun. Mungkin waktu itu saya rasakan benda tu menarik dan saya suka, tapi selalunya setahun kemudian saya pasti buang juga=)

Sambil belek-belek harta karun dalam bilik, selak-selak diari lama, saya bukan orang yang aktif menulis diari, cuma catat sebaris dua, itupun bukan setiap hari. Selalu saya dengar penulis-penulis bermula aktif menulis dengan minat mencatat di diari. Entah kenapa saya tak rajin menulis diari. (tapi saya suka baca diari=) Saya lebih cenderung meletakkan ‘barang’ di diari. Sewaktu pertama kali buat ujian darah sendiri dahulu, saya lebih suka melekatkan kad ujian darah yang digunakan daripada menulis panjang-panjang. Setiap kali nampak kad tu, saya akan ingat jerih-payah semasa buat ujian darah dalam makmal waktu tu. Memang payah. Bayangkan perlu cucuk hujung jari sendiri untuk dapat setitis darah. Cucuk sendiri tau, bukan pakai alat yang selalu nurse guna tu. Pulak tu, bukan boleh cucuk perlahan, nanti darah tak keluar, perlu beri impak yang kuat. Jadi, saya yang tak sampai hati buat sendiri terpaksa minta kawan saya yang buatkan.haha. Cuma terfikir kalau-kalau saya terlebih cucuk. Tapi hal macam tu secara logiknya tak boleh berlaku kerana jarum tu adalah jarum khas.

Kembali pada hal belek-belek barang tadi, saya pun terjumpa surat-surat dari kawan-kawan pada zaman tak ada handphone dulu. Seronok apabila baca kembali surat-surat lama. Walaupun hanya cerita budak-budak, tapi kemesraan tebal. Sekarang, lebih kerap berSMS, mesra juga, tapi lebih ringkas selalunya. Walau apapun, yang paling penting :sekali berkawan, tetap kawan selamanya!

ini bukan salah satu sampah dalam bilik saya, sengaja saya letakkan buat kenangan di sini

Sunday, November 18, 2007

SIBUK

apabila selalu lama tak update, dan tak layan shoutbox..
tandanya saya sedang seronok bercuti=)
sekarang banyak masa saya habiskan dengan membaca, mencari ilmu2 baru.

nantilah saya update yang lain..

Thursday, November 08, 2007

BANYAK

salam
haha tak nak cakap pasal angkasawan lagi. mungkin bila2 senang nanti saya cuba2 senaraikan macam yang Arzee minta tu. (kalau memang saya betul2 rajin nak buat macam tu, lepas tu nampaknya kena minta claim dari kerajaan)


saya sebenarnya tak nak fikir panjang2 hal yang tak terlalu berkaitan. kalau nak sebut pasal duit tu lebih baik guna untuk buat pelancar, macam tak biasa pulak dengan persekitaran kita ni, ada lagi yang tak betulnya nanti. hal tu pun boleh jadi masalah. lagipun, dah org tawarkan hantar angkasawan, terima seadanya. itupun dah banyak pakai belanja. (aduh tadi kata tak nak cakap pasal angkasawan)

bertukar! (macam dalam cerita yang
guna kad untuk jadi super hero tu, saya lupa nama dia)
selepas berakhir era suka sangat dengan doraemon, saya suka tengok shin chan, tapi mak saya memang anti shin chan (mesti semua org tau kenapa).
lama2 tengok shin chan tu pun boleh jadi tension.

tapi kalau disuruh pilih antara shin chan dengan chibi maruko chan (betul ke ejaan ni?) saya lebih rela pilih shin chan. maruko tu,
masyaAllah, rasa macam nak lempang je.
haha
tapi sebenarnya saya lagi suka pingu. kawan2 saya selalu pelik macam mana saya boleh suka kartun ni. kalau tengok betul2, pingu ni boleh menjana minda tau. satu contoh, kita boeh faham (atau cuba faham) apa yang dia cakap, walaupun kita tak faham bahasa dia.pingu pingu tapi kadang2 geram juga!

tak kisahlah yang mana pun. kita boleh buat banyak pilihan. hiudp ni bukan objektif. dalam satu ceramah oleh Prof. Khoo Kay Kim dulu beliau menyebutkan bahawa kita tak perlu pilih. tapi kita perlu menilai. yup saya setuju. hidup adalah subjektif. kita tak perlu susah2 pilih antara nasi lemak dan nasi goreng yang mana paling best, paling kita suka, paling elok dimakan. tapi kita perlu menilai kedua-duanya, bukan untuk cari yang terbaik tapi untuk memahami.
faham ke? macam mana nak huraikan ni, mungkin lain kali boleh cerita tentang topik ni. sebelum saya melalut-lalut, lebih baik stop.

kalau nak tahu what we want most, mungkin boleh pinjam kompas jack sparrow.
rasa macam nak pergi belayar pulak!


gambar ni kalau tengok betul2, ada bentuk kalimah Allah, gambar diambil dari satelit Apollo kalau tak silap. saya jumpa di internet.

kak rai, lagu ferhad tu saya dengar kat radio je, kak rai siap burn dalam cd, ish ish ish

Wednesday, October 31, 2007

KOKOK AYAM & PENGAJARAN


Ini adalah catatan promosi diri: KEMPEN!


sebuah website menganjurkan pertandingan puisi, kata penganjur, maklumkan kepada para peminat supaya mengundi. Jadi para peminat saya, mari mengundi! haha. sesiapa yang nak undi boleh klik sini, kalau tiba-tiba rasa terus nak undi saya, kod puisi saya Puisi 10.

tapi, maaf, saya tak mampu memberikan duit minyak untuk anda mengundi, tak mampu untuk menurap jalan tanah merah kat kampung anda yang memang sejak belum merdeka lagi begitu. begitu juga saya tak cukup kewangan untuk memberi duit kopi, atau duit rokok. maaf banyak-banyak, duit raya saya pun dah habis.haha, moga ini undian yang bersih!


--------------------------------------------------------------


Selamat menjalani hari-hari yang gemilang.

Pertama kali mendengar lagu baru nyanyian Ferhad, Kukoo, memang saya terpegun. Pertama kerana liriknya yang begitu sinis dan kedua kerana deklamasi-rap oleh Pak Samad yang begitu selamba dan sedap didengar. Secara peribadinya, saya sangat suka lagu-lagu sebegini sebab ramai yang sukakan hiburan, dengar radio dan tengok tv. Jadi dengan adanya lagu-lagu begini, selain hiburan, dapat juga beri pengajaran dan teguran. (selain dapat juga kenalkan kepada orang yg tak tau bahawa A.Samad Said tu sasterawan negara!)

Selain lagu ferhad ni, Ahli Fiqir juga antara artis muda yang banyak masukkan unsur teguran dan pengajaran dalam lagu. Bagus. Kalau artis nasyid, dah tentulah banyak pengajarannya, cuma berapa ramai golongan muda terutamanya yang dengar nasyid? Ditambah lagi dengan prinsip ntah apa apa kebanyakan radio swasta yang tak banyak putarkan lagu nasyid, pengajaran dalam lagu-lagu nasyid hanya mampu diselami insan-insan yang dengar IKIM contohnya.

Jadi adalah sangat penting sebenarnya artis-artis dan komposer-komposer (kawan-kawan yang bakal jadi komposer, take note ya!) hasilkan lagu yang tak hanya hidup dalam kepompong kisah cinta yang tak kemana.

Begitu juga penulis. Penulis perlu menjadi pencetus kepada sesuatu yang bagus. Setelah saya mengenali ramai penulis-penulis muda, membaca tulisan penulis-penulis mapan, saya faham bahawa penulis bukan semata-mata menjadi pencerita, tetapi perlu jadi pemikir, penegur, penyebar ilmu, pencetus budaya positif dan banyak lagi sebenarnya.

Banyak perkara yang boleh dipandang positif. Kalau sesuatu dipandang positif, tentu namapk cantik, baik dan kita pun tak pening dengannya. Saya masih berfikir, adakah perlu mencari negatif dahulu atau saya yang memang kurang merasa masin dunia ni yang terlalu fikir positif. Menyentuh isu angkasawan negara. Saya dengar-dengar ramai yang memberi tanggapan negatif. Antara yang popular ialah penghantaran angkasawan negara adalah suatu pembaziran.

Dari sudut pandangan saya sendiri, hal ini sangat baik. Dengan penghantaran seorang angkasawan dari projek timbal balik pembelian dengan rusia ni, ramai anak-anak muda belia yang berminat dengan sains angkasa, ramai yang tak lagi ‘takut-takut’ dengan sains. Kalau sebelum ini orang kata anak melayu bukan ‘berotak’ sains. Hari ini, anak melayu yang pergi ke angkasa.

Tahniah untuk Dr.Sheikh Muszapha!

Katakanlah, bukan anak malaysia yang jadi angkasawan tu, angkasawan dari negara jiran contohnya yang naik Soyuz tma11 tu ke ISS, tentu orang-orang yang bising-bising kata projek angkasawan malaysia tak patut ada sekarang ni akan berdiri dan menjerit “mana perginya anak malaysia!” huuu agaknyalah.hehe

Saturday, October 20, 2007

SALAM AIDILFITRI LAGI

salam semuanya.
banyak saya ingin kongsikan sebenarnya.. tentang kisah-kisah beraya (selamat hari raya), tentang jejaka hebat malay yang berada di angkasa (oh saya bangga walaupun dia bukan siapa2 pada saya!), tentang bulan puasa, tentang seoran gtengku yang bilala agaknya nak berakhir (ape ni?), tentang macam2 lagila.

tapi, dalam sebulan lepas raya ni, saya memang akan menjadi manusia yang sangat sibuk (kononnya?)
tapi tetap ada masa kalau ada sesiapa yan gnak jemput ke open house! haha
doakan saya!

Monday, October 08, 2007

SALAM AIDILFITRI

Kemajuan teknologi telah melambakkan kepelbagaian pilihan dalam kehidupan. Menimbulkan sekian banyak kaedah-kaedah baru, ada yang memudahkan, ada juga yang menyusahkan.

Salah satu perubahan yang paling hampir dengan kita adalah cara berhubung. Kalau dahulu, guna surat, kalau kecemasan guna telegram, ataupun maju sedikit guna telefon. Surat selalunya bertulis tangan, mahu cantik sedikit guna typewriter, lebih baik bertaip komputer. Tapi sekarang sudah terlalu maju. On komputer, boleh hantar e-mel. Rasa mahu bersembang, chatting di IM. Bukan boleh chat sahaja, boleh tengok muka secara life juga.

Kalau kecemasan, handphone sentiasa ada di tangan. Bila-bila boleh call. Mahu jimat, hantar sms.


Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket


Menjelang sambutan-sambutan tertentu, hari raya yang tak lama lagi misalnya, alat-alat perhubungan begini memang hot. Musim-musim perayaan contohnya. Antara kad-kad biasa atau kad-kad maya anda lebih suka yang mana?

Kad-kad digital selalunya lebih menjadi pilihan. Mungkin kerana mudah, murah, cepat, selamat dan macam-macam lagi. Mudah, tak perlu setem, tak perlu tulis. Murah, tak perlu beli kad di kedai, pilih saja yang disukai. Cepat, tak ambil masa untuk pos, untuk pilih kad, satu kad yang sama boleh dihantar kepada semua orang. Atau saja, kalau rasa terlalu banyak corak-corak menarik, sampai tak terpilih, boleh hantar seberapa banyak kad pun, kos masih sama. Tentu sekali selamat, dijamin sampai sekarang=) Selain itu, tarikan utama kad-kad digital ini selalunya pada animasinya. Bukan sekadar kad, ada video, kartun, lagu dan macam-macam lagi.

Cara yang lebih ringkas. Hantar sms saja. Tak perlu susah-susah, taip ucapan, terus send.

Tapi sejauh mana keberkesanan perutusan-perutusan digital ini? Selalunya kalau inbox e-mel penuh, mana-mana yang tidak penting, akan di’delete’. Termasuklah kad-kad cantik tadi. Namanya pun alam maya, macam tak ada. Begitu juga dengan sms, namanya pun short message, tentu sahaja jangka hayat ucapan-ucapan tadi lebih pendek lagi.

Dalam gaya hidup diselubungi teknologi, cara ‘manual’ masih juga disukai ramai (berdasarkan pemerhatian). Kad-kad, atau surat-surat ini boleh disimpan lama. Boleh jadikan harta warisan keluarga=)

Tapi ini tidak bermakna, ucapan-ucapan yang temporary ini tidak dihargai. Tentu saja setiap ingatan itu berharga.

Kalau saya sendiri, saya lebih suka yang manual. Em tak juga. Sebenarnya saya suka menerima kad-kad manual/biasa. Tapi suka menghantar kad-kad atau ucapan-ucapan digital. Hahaha hipokrit sungguh!

Anda pula bagaimana? Mungkin ada yang suka sms, ada yang suka surat berjela. Mungkin ada juga yang tak suka apa-apa=)

Saturday, September 29, 2007

BLOG MANTAN MPR

Salam.
Atas inisiatif beberapa orang mantan MPR, sebuah blog rasmi mantan Minggu Penulis Remaja telah ditubuhkan.
Tidak dapat dinafikan, pembinaan blog ini bermula setelah melihat "kejayaan" Blog Rasmi MPR 2006 mengumpul dan "mengikat" kami, mantan-mantan MPR 2006 (dan juga para mentor tersayang).

Saya amat berharap agar blog Mantan MPR akan berjaya mencapai objektifnya. Sekurang-kurangnya dengan berkah bulan Ramadan.

Monday, September 24, 2007

SAINS LAGI..

Ramadan Kareem.

Moga kita semua terus-terusan sihat dan hebat di bulan puasa. Puasa adalah sesuatu yang sangat menyihatkan. Rahsianya, puasa merupakan kaedah rawatan tertua di dunia. Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu rawatan kepada pesakit-pesakit mereka. Malah, Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi adalah antara golongan bukan Islam yang sering kali berpuasa.

Berdasarkan kajian, antara penyakit yang dapat disembuhkan puasa ialah athma, radang sendi, sukar tidur, gangguan pada system penghadaman dan penyakit kulit. (saya percaya tentu ada banyak lagi)

Dari sudut kesihatan, puasa sebenarnya selalu diamalkan oleh para haiwan=)
Menurut Dr. Cindy Engles, binatang jika sakit, akan menjauhi makanan. Kalau ada yang tak percaya boleh lakukan kajian. Puasa mampu mempercepatkan kadar penyembuhan kerana secara umumnya, bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak, maka dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan ini akan melemahkannya.

Sedikit petikan dari Dr. Lonny J.Brown “sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan puasa semasa sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan.”

Justeru, alangkah hebatnya orang-orang Islam. Sepanjang hayat kita diwajibkan memasuki bulan pembersihan badan (detoksifikasi; pembersihan badan daripada toksin), di samping pahala yang begitu mudah diberikan.

Rujukan: Quran Saintifik; Dr. Danial Zainal Abidin.

Monday, September 17, 2007

SALAM RAMADAN

Salam Ramadan.
Masuk saja bulan puasa, memang ada banyak cerita. Kalau zaman budak-budak,ramai yang puasa yang yok – makan nyorok-nyorok. Tapi saya masa kecil-kecil dulu kiranya dalam kategori budak baik la juga, jujur puasa=)

Saya selalu dengar cerita, ramai orang yang akan datang penyakit, seiring dengan kedatangan bulan puasa. Tapi sampai hari ni, saya masih belum pernah berdepan dengan golongan macam ni, setakat dengar cerita saja.

Bulan puasa ni sebenarnya bulan ajaib. Satu contoh, orang yang dalam kategori perokok tegar, boeh stop merokok waktu puasa. Fuh, tak ke ajaib tu! Contoh lain, orang yang tak pernah boleh bangun subuh pada hari-hari biasa, waktu bulan Ramdan mulia ni boleh pula bangun sahur. On time pulak tu. (golongan-golongan macam ni memang saya biasa jumpa)

Puasa sebenarnya sesuatu yang sangat menyihatkan. Sangat saintifik. Sudah ada beberapa kajian yang dibuat berkenaan puasa (Ramadan). Antaranya pada tahun 1984, kajian dilakukan oleh Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman, Jordan. Beliau melakukan kajian terhadap 42 oang lelaki dan 26 orang wanita Islam. Darah setiap orang diperiksa bagi mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, potassium, sodium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada akhir bulan didapati paras gula dalam darah mereka menurun ke tahap rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Begitu juga dengan paras lemak dlam darah yang secara umumnya turut menurun. Selain itu, kadar kolesterol ‘jahat’ iaitu LDL menurun dan sebaliknya kolesterol ‘baik’ iaitu HDL meningkat.

Banyak lagi rahsia puasa yang belum dapat kita singkap. Setiap ibadah datangnya dari Allah, hanya DIA yang tahu apa yang terbaik untuk umat terbaik ini.

Terakhir; jangan lupa bersahur, kerana “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur.” Hadis Nabi, riwayat Muslim, Amad, Abu Daud, Tirmizi dan Nasai.

Rujukan: Quran Saintifik; Dr. Danial Zainal Abidin.

Sunday, September 09, 2007

SASTERAWAN dAn TAULADAN

Salah satu masalah besar di mana-mana negara ialah akhlak. Apabila disebut masalah akhlak, golongan utama yang dituding tentunya para remaja. Golongan ini adalah golongan yang perlukan tauladan, bimbingan dan contoh dalam kehidupan mereka.

Saya lebih suka mencari contoh yang realistik. Realistik di sini saya maksudkan dengan contoh-contoh yang lebih dekat dengan kehidupan. Mudah diterima serba–serbi. Oleh itu saya lebih suka membaca karya-karya sastera. Novel dan cerpen contohnya, tentu sekali berkisar tentang kehidupan manusia, kalau cerita tentang binatang pun, masih tetap dikira sebagai kehidupan. Di sinilah saya temui tauladan!

Saya memang akan baca dengan hati-hati, kemudian mengambil contoh-contohnya. Barulah saya tahu, “oh rupanya boleh buat macam ni”, “kalau buat begini, orang akan fikir begitu”, “kalau ini, jadi itu” dan macam-macam lagi kesimpulan-kesimpulan lain.

Masalah bagi orang seperti saya, kalau penulis tersebut memberikan cerita yang bagus, alhamdulillah. Tetapi kalau sudah menyimpang ke sana sini, alahai, saya akan jadi apa? Memang selalu dikatakan, kalau ketemu sesuatu, fikir dahulu baru terima. Kalaulah pembaca waras masa tu=) Kalau otaknya memang kosong...

Memang kalau mahukan tauladan bagus, bacalah buku-buku agama misalnya. Contohnya tentang akhlak, adab dan pelbagai lagi. Tetapi pandanglah dari konteks remaja@pembaca hari ini, sejauh mana berkesannya buku-buku ilmiah? Bukan saya mahu menolak terus buku-buku berkonsep ilmiah, tetapi berapa ramai remaja terutamanya yang membaca buku-buku sebegini berbanding dengan mereka yang membaca novel? Jadi, terlalu jelas tauladan di mana yang lebih berkesan.

Kepada para sasterawan, tulislah yang baik-baik, agar orang-orang macam saya dapat tauladan yang bagus-bagus=)