Monday, June 09, 2008

MINYAK NAIK @ NAIK MINYAK?

Minyak naik harga!

seperti kata Kak Nisah,manusia cepat melatah. ramai yang mengajak saya berbincang dan kebanyakan kesimpulan adalah sama -ada sesuatu yang tak kena dalam pemerintahan ini.

pendapat saya, beri peluang kepada para pemimpin muda yang mempunyai ideologi sendiri, ya, mana tahu, generasi muda yang belum banyak makan garam dan belum kena darah tinggi ini ada penawarnya!

pemimpin tertinggi, TOLONGLAH, jangan sekat kami.
terima kasih khas untuk YB Nurul Izzah yang perjuangkan hak para mahasiswa yang perlukan sedikit kebebasan.

boleh baca ucapan sulung beliau di parlimen yang dikhaskan untuk mewakili suara orang muda di sini.

Monday, June 02, 2008

PENYAMUN

Tulisan ini bukan sambungan daripada kisah penyamun kak Rai, tapi saya yang alami sendiri.

Hari Jumaat malam Sabtu baru-baru ini, rumah saya dipecah masuk. Pada mulanya, menghampiri jam 11 malam, saya ke tandas berhampiran dapur, tiba-tiba dengar bunyi sesuatu pada pagar besi di dinding belakang dapur. Saya syak sesuatu, bunyi seperti pagar tergoncang kerana dipanjat orang. Saya intai sedikit di tingkap dapur, tak ada apa-apa. Saya diamkan saja, saya fikir mungkin adik saya yang sedang menonton TV pergi ke dapur tadi. Mak dan ayah saya sudah tidur.

Saya masuk ke bilik. Tak lama lepas tu saya dengar adik saya pun masuk tidur. Saya keluar tutup lampu pada bahagian tengah, seluruh rumah gelap, cuma bilik saya saja yang terang-benderang.

Sambil duduk atas lantai, pasang lagu dan buat ‘konsert solo’ saya pun begitu asyik meng’edit’ template baru untuk blog rasmi MPR. Lebih kurang 1 pagi, saya dengar bunyi seperti tingkap bilik saya cuba dibuka dari luar. Saya jelaskan sedikit, bilik saya di bahagian paling depan, tingkap bilik saya ada tiga, semuanya ber’grill’ tapi ada satu tingkap yang ‘grill’nya boleh dibuka untuk hal-hal kecemasan, kebakaran dan sebagainya. Malam itu, bunyi itu saya dengar di tingkap yang ‘grill’nya boleh dibuka itu. Kebetulan pula langsir tingkap itu terbuka sikit di tengah, sikit saja, kira-kira 10 cm, tapi cukup jika orang cuba mengintai dari luar.

Selepas mendengar bunyi itu, saya bingkas bangun dan merenung tengah tingkap yang sedikit terbuka langsirnya. Dengan sedikit kekuatan, saya tutup lampu bilik, mengintai ke luar sedikit dan beberapa saat saja, saya buka lampu kembali dengan sedikit malap. Fuh berderau. Tapi saya fikir positif, tak ada apa-apa. Dalam darah berderau tu, saya sudahkan sedikit editing blog MPR, terus tutup laptop dan tidur dengan lampu terbuka.

Subuh esoknya, mak saya ketuk pintu billik awal-awal kerana sangkakan saya tak tidur. Saya pun kata, “semalam dengar bunyi kat tingkap”. Mak saya diam saja.

Jam sembilan, barulah ayah saya perasan, kereta mak tak bertutup rapat dan keadaan dalam sedikit bersepah. Sah! Ada orang rompak. Duit syiling habis licin, dia cuba kopak beberapa bahagian dalam kereta, tak berjaya. Ada dua gugus kunci rumah kami yang satu lagi diambil. Mujurlah tak ada kunci rumah yang sedang kami duduki ni di dalam kereta. Kereta itu letaknya betul-betul sebelah bilik saya, dan saya tak dengar apa-apa! Beberapa barangan besi kerja ayah saya turut hilang. Entah macam mana mak boleh terlupa kunci kereta semalam.

MasyaAllah, waktu itu memang darah saya dah berderau sungguh-sungguh. Lihat tingkap saya, memang ada sedikit kesan kopak. Mungkin banyak yang boleh diselamatkan jika saya berfikiran sedikit negatif dan percaya kepada kata hati sewaktu saya dengar bunyi di pagar dapur dan ketika saya rasa diperhatikan sewaktu tutup semua lampu. Walau apapun, saya sangat bersyukur dia (atau mereka) tidak berjaya masuk ke dalam rumah. Saya rasa malam itu dia (atau mereka) nampak setiap gerak-geri saya, sial betul! Saya tak boleh bayangkan jika sewaktu bunyi di tingkap, saya masih berfikir ‘tak ada apa-apa’. dia (atau mereka), berjaya kopak tingkap bilik saya, buka grill, dan lepas tu apa? Na’uzubillah!

Kami yakin dia (atau mereka) akan kembali, mereka pasti sangka kunci yang diambil dari dalam kereta itu kunci bagi salah satu pintu rumah ini. Segugus kunci kemudiannya ditemui oleh adik saya di sisi pintu kayu bahagian dapur, memang dia (atau mereka) sungguh-sungguh mahu masuk ke rumah, segugus kunci lagi tak ditemui. Doakanlah yang baik-baik untuk saya dan keluarga. Ketika menulis entri ini pun, saya masih lagi rasa darah berderau. Saya sangat risau memandangkan ayah saya kadang-kadang tidak ada di rumah, tinggal mak, saya dan adik saja. Doakanlah yang baik-baik untuk saya dan keluarga. Saya sangat menghargainya.

Monday, May 26, 2008

AYAT-AYAT CINTA

Novel ini menimbulkan sebuah fenomena luar biasa, di Indonesia khususnya. Tentu ada sesuatu yang sangat istimewa sehingga dianugerahkan sebagai The Most Favourite Book pada tahun 2005.

Menonton filem Ayat-ayat Cinta (AAC) memaksa saya untuk kembali membelek seimbas novel tulisan Habiburrahman El Shirazy itu. Sekadar untuk perbandingan. Sesuatu yang paling saya suka dalam novel ini (selain isu-isu Islamnya) adalah kritikan terbuka penulisnya terhadap pemimpin tertinggi Indonesia.

Apa yang dibela oleh presiden Indonesia jika bukan jawatan dan perutnya sendiri? .... Sedangkan beribu gadis Indonesia dijual, dirobek-robek kehormatannya dan diperlakukan seperti binatang di Singapura saja, presiden diam saja...




Maaf, saya bukan membangkitkan isu perlakuan presiden Indonesia di sini. Ada perkara besar yang perlu difahami.

Filem AAC dibuka dengan babak Fahri dan Maria yang tidak terdapat di dalam novel. Terdapat beberapa perbezaan versi novel dan filem. Tetapi perbezaan ini bukanlah sesuatu yang memburukkan, bahkan bagus juga untuk kesesuaian.

Novel AAC bagi saya, masih lagi dikategorikan sebagai novel pop. Jika dibandingkan dengan karya-karya penulis sastera serius sama ada karya remaja atau dewasa, AAC tidak membawakan tema dan persoalan yang besar. Hanya sekitar Fahri, seorang ‘azhari’ berhati lembut yang dicintai hampir semua wanita baik dan cantik di Mesir! Berbeza dengan novel-novel islamik penulis Zaid Akhtar yang membawakan tema lebih global dan kritikal seperti isu penindasan Bahasa Arab (Rona Bhosphorus), persoalan aurat dalam sukan (Justeru Impian di Jaring), sentuhan bernas kepada isu-isu semasa (Salju Sakinah) dan lain-lain lagi. Kunci utama yang membezakan AAC dan novel-novel pop Malaysia adalah nafas Islam yang menyuburkan segenap penceritaannya.

AAC sebagai filem, sebaliknya, adalah mutiara yang sangat berharga. Dalam lautan filem melayu (Malaysia terutamanya) yang membawakan tema entah apa-apa, kemunculan filem yang menekankan soal perhubungan lelaki-wanita dalam Islam ini seperti sebiji pelampung besar untuk meyelamatkan berjuta-juta muda-mudi yang hampir lemas. Tidak cukup, tetapi lebih baik daripada lemas kesemuanya sekali!

Penceritaan dalam filem AAC yang diubah sedikit daripada versi novel membuatkan kisah ini menjadi lebih realistik. Beberapa watak seperti ayah dan adik Maria yang sengaja di’tiada’kan juga bukan sesuatu yang mencacatkan. Babak selepas Fahri dibebaskan dari penjara contohnya, menimbulkan pergolakan dalam hidup Fahri yang sekelip mata mempunyai dua orang isteri. Babak ini, dalam novel, begitu mudah. Deus ex Machina. Fahri ‘sekelip mata’ bernikah dengan Maria, Maria sedar daripada koma lalu memberi keterangan di mahkamah, Fahri keluar penjara, Maria menghadapi hari-hari nazak dan akhirnya meninggal dunia dengan khusnul khatimah (menurut pembacaaan saya). Dalam filem, hari-hari selepas Fahri dibebaskan dari penjara adalah sesuatu yang sukar dalam senang. Menjaga hati dua isteri, berlaku adil untuk dua isteri yang seorangnya sakit dan seorang lagi mengandung, memang sangat menguji.

Tontonlah AAC untuk sebuah kelainan jika anda memerlukannya. Saya mungkin agak ketinggalan dalam hal-hal filem, seantero Malaya saya cari filem AAC ini, rupa-rupanya baru Jun depan filem ini akan masuk pasaran Malaysia. Haha. Tapi, walaupun ketinggalan saya sudah menontonnya lebih awal daripada kebanyakan rakyat Malaysia. Jadi, jika anda tunggulah Jun nanti untuk filem ini, insyaAllah=)

Friday, May 23, 2008

JANGAN MENYUSAHKAN ORANG LAIN!

Kalau nak susah, jangan menyusahkan orang lain!

TOKYO: Seorang petani Jepun yang membunuh diri dengan meminum racun serangga memuntahkan racun di hospital sebelum meninggal dunia, membebaskan gas toksik yang menyebabkan lebih 50 jatuh sakit, termasuk seorang daripadanya parah.

Sambung baca lagi..

Friday, May 16, 2008

SELAMAT HARI GURU

Agak lama juga saya tak update blog. Sedikit sibuk dengan tugasan-tugasan yang lain. Beberapa hari lepas, saya ada tugasan di Sekolah Kebangsaan Kampung xxxxxx. Saya dan team’ sampai di sekolah tersebut lebih kurang jam 10 pagi. Kami terus menuju ke tempat yang sepatutnya. Kebetulan waktu itu masa rehat, kami memang jadi perhatian. Sampai ada yang mengucapkan “Assalamualaikum, cikgu” kepada salah seorang daripada kami. Asyik dipandang di mana-mana. Memang rasa popular ala-ala sasterawan negara pulak! Haha.


Hampir pukul 1 petang, kerja masih belum selesai. Ada beberapa masalah yang belum dapat di selesaikan. Seorang guru yang ‘in charge’ datang menejenguk. Guru itu kemudian membelikan makanan dan minuman untuk tengah hari kami. Saya tak pasti, duit siapa. Sekolah itu memang sekolah kampung. Kecil, kurang kemudahan. Makanan itu pun hanya saya makan pada pukul 4 petang. (highlight sikit, rajin bekerja kononnya=)


Pukul 5, kerja masih belum selesai. Guru besar datang menjenguk dua kali. Hampir jam 6, seorang guru datang membawakan 5 bungkus bubur jagung untuk kami berlima. “Guru Besar belanja” katanya.


Saya sungguh terharu. Kami bekerja, dan kami dibayar untuk kerja kami. Tapi bagi saya, di sini ada nilai-nilai sejati orang Melayu, baik budi. Kami dibayar, kami juga ditaburkan budi! Memang terharu.


Sepatah kata ketua saya, “kalau di sekolah bandar, tak akan dapat macam ni”. Betul. Saya mengiyakan.


Sekolah bandar selalunya kaya, kerana PIBG dengan senang hatinya boleh banyak memberi. Tapi sekolah kampung, dengan ibu bapa yang rata-rata berpendapatan rendah, berapa sangat yang boleh disumbangkan? Guru Besar sendiri merungut begitu.


Bukan niat untuk mengguris sesiapa. Hari ini Hari Guru. Selamat Hari Guru untuk semua guru. Tidak kira anda mengajar di sekolah kampung, atau bandar. Ilmu yang dicurahkan, insyaAllah diberi ganjaran (selain gaji, tentunya).



(eh ada kena-mengena ke gambar ni?)



GURU PERANGSANG SEMANGAT

Terlanjur menulis tentang guru. Saya ada sebuah pengalaman yang memang telah lama saya simpan. Tak pernah saya cerita kepada sesiapa, kecuali seorang rakan yang kian hilang.


Sewaktu sekolah, saya memang minat matematik. Keputusan matematik saya selalu lebih cemerlang daripada rakan-rakan lain. Bukan riak ye, cerita saja. Cerita ini ketika awal tingkatan 3, saya tertidur dalam kelas matematik (haha tidur dalam kelas memang biasa bagi student asrama), tapi kali ini ter’kantoi’ dengan cikgu matematik yang sedang mengajar. Saya namakan cikgu N. Cikgu N menegur saya dari depan kelas. Adussssss, malunya bukan kepalang. Mujur kelas hampir tamat. Cikgu N mengkritik saya dengan tajam. Sebenarnya, untuk kawan-kawan saya yang lain, kena tegur dengan gaya yang memalukan begitu oleh cikgu N adalah perkara biasa. Tapi bagi saya yang memang sentiasa mempunyai rekod bersih dalam kelasnya, terkena pertama kali, memang sangat memalukan. Rasa macam kena cop di dahi pulak.


Tidak dapat dinafikan, ayat-ayat tegurannya sangat kasar, bagi saya yang mempunyai rekod bersih waktu itu. Sejak hari itu, saya jadi kurang suka dengan cikgu N. Sama seperti kebanyakan kawan-kawan yang lain. Perbuatan ini adalah perbuatan yang sangat saya tak suka –membenci cikgu. Tapi, alangkah.. memang selalu saya tak fokus dalam kelas matematik. Akhirnya, banyak yang saya tak boleh buat, keputusan dalam exam biasa-biasa. Saya sudah masuk dalam kategori ‘majority mode’. Sampailah suatu hari, ada gerak gempur untuk PMR. Sewaktu slot matematik, kami semua diberi soalan untuk diselesaikan.


Ketika cikgu N lalu hampir di barisan saya, rakan yang duduk di sebelah saya bertanya tentang salah satu soalan yang tidak dapat diselesaikannya. Ringkas saja jawapan cikgu N,


“tanyalah Nissa’ kat sebelah tu, dia mesti boleh jawab.”


Aduh, ayat tu memang sangat ringkas. Tapi memberi impak yang sangat besar untuk saya. Saya mula merasakan cikgu N sebenarnya menaruh harapan bahawa saya adalah salah seorang pelajar cemerlangnya. Untuk bebrapa waktu yang tinggal untuk PMR, saya kembali fokus dalam kelas matematik. Saya akan jumpa cikgu N di biliknya (cikgu salah seorang guru yang berjawatan). Hasilnya, Alhamdulillah, saya berjaya skor!


Saya tak kisah lagi walaupun ramai kawan-kawan saya yang benci cikgu N. Sebenarnya cikgu N memang antara top cikgu yang tak disukai, terutama pelajar lelaki. Siapa yang buat salah, mestilah ditegur atau dihukum, orang yang bersalah memang sukar nak terima. Jadi mereka memilih untuk membina kebencian. Macam saya tadi.


Terima kasih untuk semua guru saya, cikgu N juga, satu dialog itu memang mengubah hidup saya. Saya tahu, saya boleh diharapkan! Tak kisahlah kalau dikatakan syok sendiri... Hehe

Wednesday, May 07, 2008

KERAJAAN, JINGGA, KOPI

Mengapa kalau sesuatu yang melibatkan ‘kerajaan’ selalunya ada yang tak kena. Em. Susah nak huraikan. Contohnya, kenapa kalau perlukan perkhidmatan di bank, beeEsEn (contohlah), mesti lambat. Ini sepanjang yang saya laluilah. Kalau di tempat anda beeEsEn sangat cepat, alhamdulillah! Yang saya geram, kaunter ada 20, yang buka cuma empat.

4/20 = 0.2 = 20%

20% yang berfungsi? Kalau dalam exam, dah confirm gagal!

Orang-orang veteran (di sekeliling sayalah) risau sangat kalau anak-anak mereka tak kerja dengan kerajaan. Dengan alasan ada pencen, gaji tetap, banyak kemudahan bla bla bla. Saya pun terfikir juga, kalau ada degree, kerja pejabat kerajaan, boleh jadi bos! Tapi hidup mesti ada cabaran. Betul? Tak berani nak komen panjang.

Ramai yang marah bila ada cakap-cakap nak tarik keistimewaan orang bumiputera (melayu khususnya). Saya pun tak puas hati juga mula-mula. tapi sampai bila orang melayu nak harapkan bantuan serba-serbi? Seharusnya kita menjadi bebas. Bebas mengejar cabaran dunia. Meneroka pelbagai ragam hidup. Hak keistimewaan melayu memang perlu. Hei, tanah melayu ni kita yang punya kan! Tapi perlu didik diri sendiri agar tak terlalu bergantung pada pertolongan. Orang melayu boleh jadi sangat hebat di negara ini. Ada kuota dalam pejabat, ada universiti khas bumiputera, ada projek-projek khas untuk kontraktor bumiputera dan macam-macam lagi.

Contohnya seperti bank beeEsEn tadi. Sampai bilalah nak berubah jadi efisyen sikit? Sepatutnya, lepas tukar uniform baru, semangat pun baru. Merah campur jingga. Memang patut jadi efisyen, sebab kedua-duanya warna semangat!

2- jingga
Tentang jingga, ramai yang terpegun apabila awan jingga muncul di kuantan petang 4 mei lepas. Unik. Menarik. Macam-macam komen lagi.
Hello, awan jingga itu sebenarnya kesan kepada tahap pencemaran yang sangat tinggi, juga kesan daripada pemanasan global yangsemakin dahsyat. Fenomena ini terjadi apabila bahan toksik dan racun dilepaskan ke udara, kemudian terkumpul di udara. Hal yang sama pernah dilihat di Indonesia dan Filipina. Sekarang dah muncul di Malaysia!




Dalam istilah sains, hal ini dinamakan ‘halo’ iaitu debu-debu yang terampai di ruang udara dan membentuk ketumpatan udara.

Ehm.. Tak sedar-sedar lagi?


3- kopi?
Memang banyak perkara yang kita tak sedar dan pandang ringan. Saya sendiri pun begitu. Kita semua perlu banyak membaca dan berfikir. Ada satu cerita,
As cakap pada Es (dua-duanya belajar tinggi, bukan setakat spm saja) yang dia perlu minum kopi bagi mengurangkan mengantuk untuk menyiapkan tugasan. Es dengan muka ingin tahu pun bertanya, “oh kopi boleh kurangkan mengantuk ye?”. Dengan rasa pelik As pun jawab, “mestilah, kan kandungan kafein dalam kopi tinggi”. Tanpa rasa bodoh dan sedikit gaya sombong Es berkata, “bukan apa, selalunya orang cakap minum nescafe untuk hilangkan mengantuk, tak pulak dengar pasal kopi.”
Aduss, apa nak jadi ni.. lepas ni agaknya Es akan tanam pokok nescafe belakang rumahnya.

Sunday, May 04, 2008

TOLONG ORANG

anak: Mak, cikgu kata, kita mesti selalu tolong orang lain. Betul ke?

Mak: Betul tu. Kita hidup mesti banyak tolong orang lain.

anak: ooo habis tu, 'orang lain' tu buat apa?


Saya :: pening kepala ....

Monday, April 21, 2008

SUKA-SUKA

sambungan..
saya namakan entri ini, SUKA-SUKA.

biasa dengar tak 101% ?
biasa kan orang kata, "saya akan bagi 101% komitmen". contohnya.

jadi, jom kita buat kira-kira, apa sebenarnya yang boleh lebih daripada 100%. sedangkan 100% tu kan sama dengan 100/100,
jadi 101/100, macam mana tu?

letakan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
sebagai
1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26

sekarang, jom main kira-kira
H-A-R-D-W-O-R- K

8+1+18+4+23+15+18+11 = 98%

kalau

K-N-O-W-L-E-D-G-E

11+14+15+23+12+5+4+7+5 = 96%

selalu orang kata, perangai paling penting. jadi kita cuba
A-T-T-I-T-U-D-E

1+20+20+9+20+21+4+5 = 100%

(betul agaknya 'kata orang' tu)

tapi,
L-O-V-E-O-F-G-O-D

12+15+22+5+15+6+7+15+4 = 101%

cinta TUHAN melebihinya.
sekali lagi, entri ini sekadar suka-suka. saya dapat dari e-mel. sekadar nak kongsikan bersama=)

Wednesday, April 16, 2008

PESTA LAGI, dan MATEMATIK

pesta buku sudah berakhir. sebelum pulang ke ipoh sempat saya ke pwtc sekali lagi pada hari jumaat. sempat juga menghadiri sesi pelancaran buku terbaru kak nisah. (walaupun sebenarnya sempat lihat pak samad terima cenderahati saja =)
seronok juga datang hari jumaat tu, tak terlalu sesak dengan pengunjung. bertemu abang lutfi ishak, yang katanya tidak menulis lagi (merajuk ke?) tapi tak sempat borak lama pun.
alhamdulillah berjaya juga dapatkan buku puisi terbaru pak samad, 68 Soneta Pohon Gingko juga beberapa buku lain yang tak dapat dibeli sebelum itu.

habis cerita pesta buku. saya nak cerita tentang matematik. percaya atau tidak, matematik memang punya magis tersendiri. kebetulan pula sekarang tengah heboh tentang 'bekas' pelajar pintar matematik yang nampaknya seperti kurang menggunakan akalnya lagi.

sila fokus di bawah ini:

1 x 8 + 1 = 9
12 x 8 + 2 = 98
123 x 8 + 3 = 987
1234 x 8 + 4 = 9876
12345 x 8 + 5 = 98765
123456 x 8 + 6 = 987654
1234567 x 8 + 7 = 9876543
12345678 x 8 + 8 = 98765432
123456789 x 8 + 9 = 987654321

1 x 9 + 2 = 11
12 x 9 + 3 = 111
123 x 9 + 4 = 1111
1234 x 9 + 5 = 11111
12345 x 9 + 6 = 111111
123456 x 9 + 7 = 1111111
1234567 x 9 + 8 = 11111111
12345678 x 9 + 9 = 111111111
123456789 x 9 +10= 1111111111

9 x 9 + 7 = 88
98 x 9 + 6 = 888
987 x 9 + 5 = 8888
9876 x 9 + 4 = 88888
98765 x 9 + 3 = 888888
987654 x 9 + 2 = 8888888
9876543 x 9 + 1 = 88888888
98765432 x 9 + 0 = 888888888

masyaAllah.
sekarang lihat simetri ini:

1 x 1 = 1
11 x 11 = 121
111 x 111 = 12321
1111 x 1111 = 1234321
11111 x 11111 = 123454321
111111 x 111111 = 12345654321
1111111 x 1111111 = 1234567654321
11111111 x 11111111 = 123456787654321
111111111 x 111111111 = 12345678987654321

anda percaya pada magis matematik?ada satu lagi yang saya mahu kongsikan. bersambung...

Sunday, April 06, 2008

SEKITAR PESTA BUKU

bersama SN A. Samad Said di gerai Wira Bukit
sabtu - 5 April, saya ke Pesta Buku Antarabangsa KL. akhirnya, sampai juga saya ke sana. sebenarnya dah berjanji dengan ramai orang, tapi last minute semuanya ada hal. kawan saya di uia ada final exam, kak safi tak jadi datang, kawan di ukm ada praktikal dan macam-macam lagi. ada juga beberapa orang kawan (mahasiswa universiti) yang saya ajak, tapi tak nak pergi.

part ni, saya memang sedikit sedih + kecewa. nak ajak pergi pesta buku pun susah? bukannya saya ajak menebas lalang (tapi saya tak tahulah kalau-kalau mereka ni jenis yang suka tebas lalang=). kalau macam ni, sampai bilalah pandangan orang yang mengatakan 'mahasiswa universiti malas membaca' nak berubah?

hari jumaat malam sabtu, fida dan mf kencana yang confirm akan datang. terima kasih banyak-banyak untuk mf kencana yang sudi jadi penunjuk jalan. tapi dah macam bodyguard pulak. hehe. saya memang tak tahu jalan, inilah pertama kali saya sampai ke pwtc. pesta buku tahun lepas, tak dapat datang, tahun-tahun sebelum ini lagilah tak dapat datang. tambah-tambah lagi kalau kena guna kenderaan awam di KL. memang awal-awal lagi saya dah fail. kena buat triple study barulah boleh lulus dan kenal laluan-laluan di KL ni.

sampai di pwtc, ingat nak tunggu fida. tapi buku-buku di dalam pwtc tu dah memanggil-manggil.nasib baik pun tak tunggu cik fida ni, orang dah penat jalan dia baru sampai.haha.

jejaka-jejaka MPR di kaunter buku MPR, gerai Wira Bukit
walaupun rasanya tak membeli terlalu banyak, tapi balik saja memang saya jadi pokai.tinggal beberapa ringgit saja dalam dompet. itupun tak dapat saya beli beberapa buku yang saya sudah berkira-kira nak beli untuk hadiah hari lahir 2 3 orang kawan.

memang sengaja saya tak bawa duit terlalu banyak, dengan harapan saya tak akan berbelanja terlalu banyak. duit-duit yang dalam dompet pun memang saya dah asing-asingkan tujuannya. tapi sudahnya, semua habis. hahaha.

oh. terima kasih untuk azree mh dan mf kencana yang dengan sabarnya menunggu saya ambil autograf dr. sheikh muszaphar. bukan selalu dapat jumpa angkasawan negara kan. dua-duanya dah nampak macam bosan sangat=)
bagus juga pesta buku ni hanya seminggu. kalau sebulan, nampaknya hari-hari kena makan megi=)