Friday, June 14, 2013

Sayang Ustazah Sayang


Kisah ini begitu lembut. Perlahan dan tenang seperti madrasah itu sendiri. Tetapi di dalamnya bergolak dengan pelbagai konflik. Memang, orang suka melabelkan bahawa penulis perempuan lebih suka bercerita seputar hal rumah tangga, tentang cinta dan derita. Tak global langsung! Tapi setelah 'letih' dengan isu-isu besar, saya lebih suka memesrai buku-buku yang bertema sederhana.

Novel ini tidak membawa isu yang besar, hanya seputar madrasah dan kehidupan ustaz-ustazahnya saja. Semasa membaca bab-bab awal, saya perlu menyelak kembali Bab Satu beberapa kali untuk mengingati watak. Ustazah Nazimah - guru besar, Ustazah Zahirah - punya masalah dengan suami, Ustazah Naemah - suka berniaga, Ustazah Zamilah - ustazah yang masih bujang dan menjalin cinta dengan Musdi. Kemudian ada juga dua orang ustaz di situ, dan beberapa lagi watak lain. Dengan nama yang seakan-akan saja macam tu, memang haruslah saya sesekali 'tersilap orang'.

Ceritanya sederhana, masing-masing mendepani pelbagai masalah; hal rumah tangga para ustaz, ustazah, masalah pelajar yang hidup dalam keluarga susah, begitu juga hal anak-anak muda yang selalu duduk di warung kopi di depan madrasah. Dalam masa yang sama, mereka juga sedang bekerja untuk menjayakan Malam Derma untuk mengutip wang membesarkan madrasah.

Saya suka kias-kiasan yang digambarkan dalam surat Ustazah Zamilah-Musdi, meskipun hanya di tulis sedikit sahaja. Mengingatkan saya bertapa indahnya bahasa persuratan Melayu yang berhias dengan seni dan kias.

Keseluruhannya, kalau awak memang anti dengan novel pergolakan rumah tangga dan soal hati, tak perlulah membacanya. Tapi mungkin rugi sedikit, kerana novel ini lain dari yang lain.

Friday, June 07, 2013

Buku Kembara

Awal tahun dahulu, saya pernah menulis bahawa saya mahu membaca buku-buku berkaitan kembara. Alhamdulillah, Eat, Pray, Love dan Ibu Melayu Mengelilingi Dunia telah berjaya dibaca. Saya tahu, banyak buku tentang kembara yang terdapat di pasaran, tetapi kehendak saya mungkin sedikit berlebihan. Saya lebih suka membaca cerita pengalaman daripada sekadar checklist atau promosi. Meskipun begitu, saya tetap ‘hormat’ kepada kepentingan Lonely Planet dan yang seumpamanya.

Jadi, semasa diberitahu bahawa SuaraSuara sedang mengusahakan dua buah buku berkenaan catatan kembara, saya agak tidak sabar mahu membacanya. Travelscapes dan Landskap Kembara masing-masing dalam bahasa Inggeris dan Melayu mula dijual semasa PBAKL yang lalu.

Sejujurnya, pertama kali cuba membaca kedua-dua buku ini, agak sukar untuk saya jatuh suka. Ini kerana kedua-duanya merupakan gabungan catatan kembara daripada penulis-penulis yang berbeza. 8 penulis menyumbang untuk Travelscapes dan 10 penulis untuk Landskap Kembara. Masalah dengan kepelbagaian ini adalah susah untuk mendapatkan feel pembacaan. Masing-masing menggunakan pendekatan berbeza, dengan gaya dan cara tersendiri. Begitu juga sudut pandang yang digunakan, pelbagai. Tapi kelebihannya pula adalah kita dapat ‘membaca’ kepelbagaian itu.

LANDSKAP KEMBARA: PERJALANAN RENCAM SENIMAN
Itu adalah tajuk pada front cover buku. Kebanyakan penulis yang menyumbang adakah mereka yang mengembara dengan jiwa seni; penulis dan pelukis. Lokasi kembara/seminar/bengkel/misi yang ditulis pula adalah Cuba, Afghanistan, Afrika Selatan, Jakarta, Palembang, Itali, Manila dan Cambodia.

Saya suka membaca catatan Siti Zainon Ismail di Itali dan Rom yang sungguh halus dan puitis. Saya juga sukakan tulisan MF Nasution yang jujur terhadap Jakarta. Begitu juga tulisan-tulisan lain yang membawa pengalaman masing-masing.

TRAVELSCAPES : ALTERNATIVE JOURNEYS
Kalau Landskap Kembara menyajikan penulisan yang pelbagai kepada pembaca, Travelscapes lebih lagi kepelbagaiannya. Ada juga yang membawa saya ke suatu pemandangan baru, ke tengah kebun getah (pada zaman sebelum merdeka) dan ke dusun durian di Gopeng :)

Secara keseluruhannya, membaca pengalaman dan penulisan yang rencam dalam dua buah buku ini memberi perasaan yang bercampur-baur juga. Adakalanya seronok, ada kala sedih, ada kala geram dan lebih banyak seronok mengembara bersama-sama mereka.

Jika berminat untuk membeli, saya tidak pasti berapa harganya. Saya membeli semasa promosi pelancaran, RM 50 untuk 3 buah buku (termasuk buku Tonton Filem yang turut diterbitkan). Boleh buat bising di FB SuaraSuara untuk maklumat lanjut.

Friday, May 31, 2013

Taman dan Seorang Teman

Petang ini, sengaja saya membelek lagi kumpulan puisi Chairil Anwar - Aku Ini Binatang Jalang. Niat di hati, saya mahu carikan sebuah sajak Chairil yang sedikit 'lembut' untuk diberikan kepada seorang teman yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. 

Teman saya ini, menurutnya, namanya diberikan oleh ayahnya bersempena nama Chairil Anwar, dengan salah satu sebabnya adalah kerana sajak Penerimaan.

Tapi akhirnya saya hanya menemukan sajak Taman, yang ini bukan didedikasikan untuk dia, sekadar untuk saya baca. (ehem bimbang juga pasangannya marah nanti. haha)

Taman

Taman punya kita berdua
tak lebar luas, kecil saja
satu tak kehilangan lain dalamnya.
Bagi kau dan aku cukuplah
Taman kembangnya tak berpuluh warna
Padang rumputnya tak berbanding permadani
halus lembut dipijak kaki.
Bagi kita bukan halangan
Karena
dalam taman punya kita berdua
Kau kembang, aku kumbang
aku kumbang, kau kembang.
Kecil, penuh surya taman kita
tempat merenggut dari dunia dan 'nusia

Chairil Anwar
Maret 1943


Untuk teman saya itu (kalau berkesempatan dia membaca), saya ucapkan semoga berbahagia. Maaf kerana tidak dapat ke Johor esok. Sejujurnya saya memang ingin sangat meraikan hari bahagiamu, juga meraikan persahabatan unik kita.

Selamat pengantin baru.

Saturday, May 25, 2013

Kemanusiaan, Budaya dan Agama dalam Ayam Patah Kepak

Tajuk: Ayam Patah Kepak
Penulis: Hafizah Iszahanid
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Terbit: 2013
Nombor Resit: ITBM02000002

Ayam Patah Kepak, ini merupakan kumpulan cerpen pertama Hafizah Iszahanid. Memang saya ternanti-nanti kumpulan cerpen ini dan penantian itu ternyata berbaloi apabila naskhah berkulit putih bersih ini diterbitkan awal bulan lalu. Kebanyakan cerpen di dalam kumpulan cerpen ini mengangkat tema kemanusiaan dan lebih cenderung diisi dengan elemen budaya dan jati diri beragama. Ini boleh dibaca jelas dalam 13 cerpen yang terkandung di dalam buku ini.

Cerpen pertama, Adiba Seorang Ultraman, mengangkat isu masyarakat, tentang Adiba seorang ibu muda yang mahu ‘lari’daripada AIDS dan ini menemukan Adiba dengan “saya”, seorang doktor. Kisah ini bukan tentang perjuangan dengan diri sendiri semata-mata, tetapi juga dengan masyarakat dan kaum keluarga.

Ayam Patah Kepak yang diangkat menjadi judul buku mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Cerpen ini membawakan watak Riyan yang mahu mengangkat idea komunisme, dengan alasan persamaan perjuangan – komunisme menolak penindasan,, ketidakadilan dan menentang kapitalisme. Tapi dalam masa yang sama, dalam mipinya dia melihat lelaki dengan tengkolok Helang Menyongsong Angin dan dia tahu mimpi ini mahu membawakan makna sesuatu. Lelaki ini datang lagi kemudian, kali ini dengan destar Ayam Patah Kepak.

Beberapa cerpen membawa tema cinta dan agama. Antaranya Nama Saya Ling Mei Ling, Kami Bertemu di Brussels dan Lari dari Katrina. Kami bertemu di Brussels menggugah pembaca dengan persoalan cinta dan pesona, yang mana sebenarnya?

Hati Yang Parah dan Menjadi Perempuan membawa isu wanita yang lari daripada kebiasaan. Hati yang Parah adalah sebuah kisah tentang Zana, muslimah yang teguh dalam perjuangan tapi kalah melawan dirinya sendiri dan pujuk rayu teman “seperjuangan”. Penceritaan segar dibawa dalam Menjadi Perempuan, latar moden berganti dengan cerita dari zaman Dinasti Tang tapi membawa jalan yang sama –tentang wanita yang mahu (dan terpaksa) jadi jelita.

Dalam Dakapan New York bukanlah sebuah kisah romantis, tapi dengan lembut cerpen ini mengangkat isi sejagat, tentang cakna pada isu agama dan perjuangan yang sebenar. Lari Dari Katrina pula bukanlah cerpen sedih. Cerpen ini bercerita tentang Kathrine, seorang gadis Amerika yang memilih Islam dan memilih suami lalu meninggalkan dunia lamanya. Tapi dugaan datang kuat apabila dia diasak kembali dengan cita-cita lama untuk menjaid penyanyi dan masalah rumah tangga. Pengarang menyusun plot dengan sangat baik dan membuatkan saya sedikit terkejar-kejar mahu tahu pengakhirannya.

Emosi yang sama juga berlaku dalam cerpen Ryan & RM200,000. Ryan, seorang doktor pakar dikaburi dengan bayaran besar untuk melakukan IVF untuk seorang penyanyi dengan sperma sang kekasih. Memang, dengan RM200,000, Ryan mahu saja menutup mata pada hal etika dan agama.

Saya juga merasakan cerpen Istimewa istimewa. Cerpen ini disusun dengan begitu baik meski masih cuba “menyimpan” identiti sebenar seorang lelaki bernama Istimewa.

Cerpen terakhir, Pala Tumpa’ Kayau Indau adalah tentang Hanis, seorang Iban-Islam yang mahu membawa pua ke mata dunia. Tapi dia perlu mengorbankan tradisi, menurut indainya, dan semngat pua itu sendiri.

Seperti yang saya tuliskan di awal tadi, meskipun rencam dengan tema kemanusiaan dan isu-isu lain, cerpen-cerpen dan kumpulan cerpen ini diikat dengan agama dan budaya. Bagi saya, inilah kekuatan sebenar buku ini. Unsur budaya paling ketara dilihat dalam Ayam Patah Kepak dan Pala Tumpa’ Kayau Indau. Kehadiran lelaki kacak yang saya kira menyalin sejarah Raja Muhammad-Tun Besar dalam mimpi Riyan membawa makna yang cukup besar. Begitu juga pertelingkahan antara adat dan agama dalam meneruskan tradisi pua yang diolah dalam Pala Tumpa’ Kayau Indau.

Walaupun cerpen-cerpen seperti Lari Dari Katrina, Kita Bertemu di Brussels dan Dalam Dakapan New York mengambil tema luar negara, isu Islam tetap diolah dengan baik sekali.

============================================ 

Top 3 cerpen pilihan saya: Pala Tumpa’ Kayau Indau, Istimewa, Kami Bertemu di Brussels

Ada beberapa sebab saya gemar membaca kumpulan cerpen. Cerpen itu sendiri yang tidak panjang, mudah untuk dibaca berhenti-henti -sesuai untuk dibaca dalam perjalanan atau hanya pada waktu senggang. Tidaklah terlalu menjadi ‘terikat’ kepada cerita atau watak jika terpaksa berhenti membaca dahulu.

Thursday, May 16, 2013

Lalang

..sekadar lalang ditiup angin

Monday, April 15, 2013

Ilmu

"Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”

Berikut merupakan sebuah hadis Nabi, Riwayat al-Bazzar, yang menuntut kita menjadi antrara empat golongan; yang mengajarkan ilmu, yang menuntut ilmu, yang mendengar (menghadiri) majlis ilmu, atau golongan yang mencintai/membantu tiga golongan yang sebelumnya. 

Dan suatu kebinasaan kepada golongan kelima, iaitu yang menghalang atau membenci mereka.

Betapa tingginya martabat ilmu dalam Islam...

Friday, April 05, 2013

Hujan & Tak Sepadan

Di luar hujan. Renyai-renyai. Dan ketika hujan begini, rasa sayu tiba-tiba datang sendiri. Boleh jadi memang begitu padanannya; hujan dengan sedih dan sayu, matahari dengan cahaya gembira dan harapan, malam dengan rindu dan ingatan.

Jadi entah kenapa pula dalam tempias renyai-renyai hujan, saya terkenangkan baris akhir puisi Chairil Anwar - Karena kau tidak ‘kan apa-apa / Aku terpanggang tinggal rangka.

Kerana mungkin hujan datang dengan sayu, dan ketika pertama kali terbaca sajak ringkas ini, saya dapat merasakan kesayuannya...


TAK SEPADAN


Aku kira:

Beginilah nanti jadinya
Kau kawin, beranak dan berbahagia
Sedang aku mengembara serupa Ahasveros

Dikutuk-sumpahi Eros
Aku merangkaki dinding buta
Tak satu juga pintu terbuka

Jadi baik juga kita padami
Unggunan api ini
Karena kau tidak ‘kan apa-apa
Aku terpanggang tinggal rangka

Chairil Anwar

Sunday, February 17, 2013

Ibu Melayu Mengelilingi Dunia

Semasa awal tahun, saya berazam untuk membaca buku-buku berkaitan kembara. Antara yang saya senaraikan ialah Eat Pray Love dan Ibu Melayu Mengelilingi Dunia.

Ibu Melayu Mengelilingi Dunia – satu judul yang sangat legend. Tahniah kepada ITBM yang berusaha menerbitkan semula buku ini.

Tan Sri Aishah Ghani (PKMM, AWAS, UMNO, Menteri Kebajikan Masyarakat) meninggalkan tanah air dan keluarga untuk melanjutkan pelajaran di London. Catatan ini ditulis sepanjang perjalan beliau dengan kapal dari Singapura dan kemudian kisah kehidupan di London.

Saya sukakan pandangan beliau pada setiap yang dilihatnya. Banyak perkara yang mahu dibawa ke Malaya, yang ketika itu masih belum merdeka. Buku ini tidak banyak ber”emosi”. Lebih kepada pandangan yang terdidik.

Saya berharap lebih sebenarnya, saya mengharapkan lebih banyak cerita di London yang berkenaan dengan kehidupan sebagai seorang perempuan Melayu, anak rantau, Islam pula. Tapi buku ini berhenti mengejut selepas Pine Wood Studio.

Saya hentikan post mengejut di sini juga. Masih belum mahu menulis review.


Hajah Aishah Ghani
RM 25.00 / RM 30.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: 9789830689586
Tahun terbit: 2012
Jumlah muka surat: 182

Wednesday, February 13, 2013

Sehangat Asmara & Asrama

Selamat pagi Rabu. Akhir-akhir ini banyak drama dan filem yang diadaptasikan daripada novel. Ada yang berkonsepkan cinta, ada yang menambah unsur-unsur Islam (karya Islami katanya) dan pelbagai lagi.

Salah satu yang sedang hangat sekarang adalah drama bersiri Sehangat Asmara. Saya perlu berhati-hati setiap kali menaip tajuknya kerana asyik-asyik mahu tertaip ‘asrama’, kalau tajuknya jadi Sehangat Asrama, sudah tentu-tentulah hilang nuansa romantis. Tapi sesuai juga. Ahaks.

Saya pernah membaca novel ini, semasa di sekolah asrama – kan dah cakap tadi, memang sesuai jadi Sehangat Asrama! Okeh, ini cerita lamaaaa dahulu, biasalah ketika bosan di hujung minggu, saya mencari bahan bacaan yang menarik, memandangkan bilik tv selalu penuh. Biasanya ketika inilah kawan-kawan akan mengeluarkan novel-novel yang mereka seludup.

Ya, peraturan asrama kami tidak membenarkan novel cinta dibawa (dan dibaca!). Banyak juga asrama yang ada peraturan begini sebenarnya. Bukanlah menghairankan. Jika ada yang bertanya, novel jenis bagaimana yang boleh dibawa, saya boleh jawab “novel-novel yang ada di perpustakaan”.

Jadi itu bagaimana saya berkenalan dengan Kay dan Zainal. Secara sembunyi-sembunyi di dalam dorm.

Sekarang, ada juga sesekali saya tersengajatonton drama ini. Tentulah menarik hati, dengan latar Sydney yang cantik. Membuatkan saya terkenangkan dunia kampus. Tak banyak tanggung jawab dan mudah saja.

Ada satu episod, tidak pasti yang keberapa, ada scene mak-mak datin berbual di ruang tamu rumah, tentang anak-anak datin dan puan sri yang lain. Rasanya sudah lama tidak ada scene sebegini, biasanya sekarang datin-datin akan bersembang di coffee house.

Selamat menonton kepada yang suka menonton, selamat membaca kepada yang suka membaca.

"Orang cakap, bila seseorang tu ambil berat pasal kita, maknanya dia sayang kita" - Kay

Friday, February 08, 2013

Tahun Baharu

Beberapa hari lagi akan ada sambutan tahun baharu cina. Semua tahun baru pun kita sambut. Its good to be Malaysian, seriously. Walaupun saya sekadar meraikan kawan-kawan dengan makan limau yang mereka berikan hampir setiap hari *wink*

Mengimbas 2 tahun baru yang telah lepas; tahun baru hijrah dan tahun baru masihi, kedua-dua peralihan tahun baru ini saya sambut di pejabat. Bunga api dari tingkap pejabat sangat cantik, betul! Tidak berazam pun untuk gila kerja, tapi nampaknya kerja yang gilakan saya. Kita selalu tak banyak pilihan, bila ia melibatkan tanggung jawab :)

Selamat tahun baharu. 

gambar sekadar hiasan