Wednesday, March 28, 2007

KATA SAYA


kata saya: penaklukan keliling dunia bermula dengan langkah pertama

kerana:
anda tidak akan dapat menakluk dunia jika cuma ada impian, tapi kaki masih di situ juga. impian dan usaha mesti seiring!


kata saya juga: masalah setinggi gunung tidak akan selesai jika hanya dilihat dari bawah!

kerana:
mustahil anda punya kuasa Superman yang boleh menggunakan aura mata.

Wednesday, March 21, 2007

SEBUAH HUJAN

Alhamdulillah
cuaca sudah kurang panas, tidak seperti seminggu lepas. Sekurang-kurangnya tengah hari tidaklah terlalu berbahang.
Akhir-akhir ini, saya terlalu suka hujan. Apabila dengar sahaja guruh pertama berbunyi, saya sudahtersenyum lebar.

Semakin lebat hujan, saya semakin seronok. Kadang-kala saya rasakan seolah-olah hujan turun membawakan ilham unuk saya menulis. Sayangnya, sampai kini saya masih belum punya karya baru yang baik. Ada sahaja tak kena.

Namun, saya masih sukakan hujan. Hujan bersama bunyi-bunyian asli dan udara nyaman.Aduh seronoknya...Moga-moga akan ada hujan yang benar-benar membawakan ilham=)

11.17 pm
(Entri ini saya tulis sewaktu hujan sedang menggila,hati saya berbunga)

Sunday, March 18, 2007

PETUA DIET


Khas untuk orang-orang yang sedang berdiet. Ini diet yang diamalkan Rasulullah S.A.W


Elakkan makan SUSU + DAGING

Elakkan makan DAGING + IKAN
Elakkan makan IKAN + SUSU
Elakkan makan AYAM + SUSU
Elakkan makan IKAN + TELUR
Elakkan makan IKAN + DAUN SALAD
Elakkan makan SUSU + CUKA
Elakkan makan BUAH + SUSU, contohnya KOKTEL
Elakkan makan buah-buahan selepas makan nasi. Makanlah terlebih dahulu sebelum makan nasi.
Elakkan sama sekali dari meninggalkan makan malam. Sesiapa yang meninggalkan makan malam akan dimakan usia dan kadar kolesterol dalam badannya akan berganda.
Dalam kitab tercatat larangan memakan makanan darat bercampur dengan makanan laut.Nabi pernah menegah kita makan ikan bersama susu kerana dikhuatiri akan cepat mendapat penyakit.
Hal ini telah dibuktikan oleh sains yang menemui ion +(positif) di dalam ayam dan ion –(negatif) dalam ikan. Secara saintifiknya, jika ion negatif dan ion positif bercampur dalam suapan, biokimia yang terhasil yang boleh merosakkan usus kita.

Monday, March 12, 2007

KEMBARA HUJUNG MINGGU

DI MANA AGAKNYA YA???

Monday, March 05, 2007

CATATAN

i
Pada hari Ahad, semalam, sebuah akhbar menyiarkan temuramah bersama SN Arena Wati. Kakaguman saya menggunung, dalam keadan yang uzur, Pak Arena masih aktif menulis. Salah satu katanya “Menulis ialah peranan yang saya pilih dalam hidup ini. Dari dulu saya memilihnya dan saya mahu terus menulisnya”

Secara peribadi, Pak Arena merupakan antara contoh terbaik untuk orang seperti saya. Beliau sanggup ‘berkurung’ untuk menulis. Saya, yang sihat sejahtera sebegini sepatutnya perlu lebih tekun!

ii
Tahniah kepada Firdhaus Hassan(sahabat se-MPR 2006) kerana berada dalam senarai pemenang pertandingan mencipta logo kemerdekaan Malaysia ke-50. Penyampaian hadiah dilakukan pada hari ini. Lumayan juga hadiah yang bakal diterima Firdhaus. Boleh buat kenduri doa selamat ya. Tahniah!

Thursday, March 01, 2007

SALAHKAH?

“Keluarga saya tak akan benarkan.”
“Pergi ajelah, bukannya mereka tahu kalau awak tak beritahu!”
“Betul. Apa salahnya sesekali keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan. Tensionlah kalau semua benda tak boleh!”

Siapa yang bersalah? Salahkah remaja yang mahu mencari erti kehidupan? Atau salah rakan-rakan yang mempengaruhi? Atau salah keluarga yang terlalu mengongkong jiwa yang sedang/ingin terbang tinggi?

Mengenai dialog di atas tadi, kerapkali saya dengar begitu. Secara peribadi, apalah salahnya jika mahu bersiar-siar seketika. Melepaskan tension, kata kebanyakan orang.

“Kalau ke kolej, cukup sekadar belajar, belajar dan belajar. Jangan ke mana-mana.”

Namun, ada keluarga yang terlalu mengongkong. Itu memang sepatutnya. Tapi mungkinkah seorang remaja yang jiwanya mahu terbang ke awan, hatinya hendakkan pengalaman dan otaknya perlukan kerehatan mematuhinya sepenuh jiwa? (Alhamdulillah, setakat ini, keluarga saya tidak begitu)

Sebenarnya, hidup perlu toleransi, saling faham sesama sendiri. Keluarga perlu beri sedikit kebebasan dan remaja pula perlulah menjaga amanah, maruah dan kepercayaan keluarga. Apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini, selalunya itu BUKAN SALAH IBU MENGANDUNG, TAPI SALAH ANAK YANG TIDAK TAHU MENGENAL UNTUNG!

Saya tersedar, beberapa entri kebelakangan ini banyak bercerita tentang orang lain. Seolah-olah saya terlalu baik. Sejujurnya, itulah yang saya lihat di sekeliling saya. Itu yang saya nampak. Bukan mahu menuding jari, menjuih bibir atau membuat surat layang=)


Wednesday, February 21, 2007

CATATAN TERTANGGUH

Jumaat, 16 Februari 2007

Saya di Ipoh. Tengah hari tadi saya ke pusat bandar. Sewaktu melalui perhentian bas Medan Kidd, ramai sungguh pelajar-pelajar sekolah asrama berada di sana. Pelajar-pelajar yang memakai baju batik sekolah ini ada yang baru turun dari bas, ada juga yang mahu menaiki bas. Dalam warna-warni pakaian batik yang pelbagai itu ada juga saya nampak pelajar-pelajar yang memakai baju batik sekolah-sekolah saya dahulu (saya mempunyai dua sekolah menengah, tingkatan 1-3 dan tingkatan 4-5). Terimbau juga kenangan lama. Dahulu saya begitulah.

Rindu juga untuk berada di zaman itu. Malam sebelum pulang ke kampung selalunya adalah malam yang paling meriah. Kami akan duduk di bilik study dan berbual-bual dengan wajah ceria. Mestilah ceria, dapat bercuti daripada peraturan dan jadual sekolah. Jika diberi pilihan untuk kembali ke zaman bersekolah dahulu, saya tidak akan terima. Walaupun waktu itu adalah masa-masa yang penuh keseronokan, siapa yang mahu kembali ke kehidupan penuh peraturan dan jadual!

Kemudian saya makan tengah hari di medan selera bersebelahan masjid negeri. Terkejut juga melihat pakcik-pakcik yang sedang makan-makan, minum-minum dan hisap rokok. Lepak sungguh. Saya hairan betul. Santai sahaja pakcik-pakcik ini mendengar khutbah jumaat yang sayup-sayup itu sambil hisap rokok.

Kadang-kadang rasa malu sungguh. Sempena tahun melawat Malaysia ini tentu sekali ramai warga asing yang datang. Apalah agaknya pandangan mereka terhadap warga kita yang pakai tudung tapi bajunya tidak cukup kain atau kainnya cantik tapi tudungnya hilang. Itu kalau difikirkan pandangan warga asing. Kalau pandangan rakyat Malaysia yang bukan Islam pula bagaimana?

Thursday, February 15, 2007

DENGAR-DENGAR

Dengar cerita, orang sekarang(kebanyakannya perempuan) suka berdiet. Badan sudah kurus-kering –layak jadi cicak-girl –pun mahu berdiet lagi. Bagus juga, kalau yang sudah kerja, jimat duit gaji. Kalau budak IPT, jimat duit pinjaman/ biasiswa. Kalau budak sekolah, jimat duit mak ayah. Dengar-dengar juga, azam paling popular di awal tahun 2007 ini ialah turunkan berat badan.oooo…Dengar-dengar saja..

Dengar cerita, budak-budak sekarang malas belajar. Selalu minta duit buku, tapi bukunya tiada. Lagi dahsyat, yang dapat beribu-ribu duit PTPTN tapi buku pinjam kawan. Dengar-dengar saja..

Dengar cerita, budak-budak IPT selalu keluar ‘dating’ malam-malam. Oooo begitu ya. Habis tu, siang kelas penuh, malam keluar dating. Ulangkaji? Ooo waktu subuh agaknya. Dengar-dengar saja..

Yang paling sakit didengar, kadar bohsia-bohjan meningkat lagi. Kadar kehamilan luar nikah meningkat mendadak. Kadar pengguguran bayi(secara profesional tapi haram) juga meningkat, dengar-dengarnya sudah mencecah 20 kes sehari. Ada juga terdengar bahawa kes-kes sebegini kebanyakannya dilakukan oleh remaja Melayu. Eh eh. Mana nak letak muka ni..

Lagi satu, orang Islam di Malaysia ni pun nak sambut valentine juga ya. Rasanya perayaan di Malaysia ni sudah cukup banyak. Tak cukup Aidilfitri, Aidiladha, Awal Muharram, Isra’ Mi’raj, kita cuti juga untuk deepavali, tahun baru cina dan krismas! Kan dah banyak tu. valentine pun nak sambut juga?


Aduhai..terlalu banyak dengar pun susah juga!

Thursday, February 08, 2007

ISH ISH ISH..

i
Latar: kawasan perumhan kos sederhana

Pak Alif tidak pernah pergi berjemaah di masjid melainkan untuk Solat Jumaat, Solat Tarawikh (10 malam pertama) dan Solat Hari Raya. Selepas 40 tahun, tergerak hatinya untuk berjemaah Maghrib di masjid. Pak Alif pun mula bersiap-siap. Setibanya di masjid…

Pak Ba (rakan sebaya Pak Alif yang merupakan Tok Siak di masjid tersebut) : Eh, Alif. Tak pernah aku nampak kau datang berjemaah di sini. Kau ni buang tebiat ke? Mimpi apa semalam?

Mulai hari itu, Pak Alif tidak lagi berjemaah di masjid melainkan untuk Solat Jumaat, Solat Tarawikh (10 malam pertama) dan Solat Hari Raya.




ii
Latar: IPTA tempatan

Ta, seorang mahasiswi, baru sahaja beberapa minggu berkenalan rapat degan seorang lelaki. Pada temu janji pertama, Ta dan lelaki tersebut (Jim) bersiar-siar di kota metropolitan. Ta menyuruh Jim memimpin tangannya (mungkin kerana dia tidak boleh berjalan betul dengan sediri). Malangnya, Jim memberitahu bahawa dia tidak biasa menyentuh wanita bukan muhrim. Lalu, Ta pun pulang ke tempat tinggalnya dengan hati yang kecewa. Sampai di tempat tinggal, dia pun mengadu kepada kawan baiknya, Tha…

Ta: Aku tak puas hati, Jim tak nak pegang tangan aku!
Tha: Ala, kalau aku jadi kau, aku pegang je tangan dia dulu. Esok, bila kau keluar dengan dia, kau pegang je tangan dia.
Ta: Kalau lepas ni dia tak nak pegang tangan aku lagi, aku nak putus dengan dia!
Tha: Aku setuju!!!

Nota: Ta, Tha dan Jim adalah bekas pelajar sekolah agama.

Saturday, February 03, 2007

ORANG SAINS vs ORANG SASTERA

Kadang-kala, masyarakat kita selalu membeza-bezakan perkara yang tidak penting. Contohnya ialah pandangan berbeza yang diberikan kepada ‘orang sains’ dan ‘orang sastera’. Kata orang, ‘budak-budak sains’ adalah golongan pandai-pandai yang menjadi harapan bangsa dan negara. ‘Budak-budak sastera’ pula adalah golongan kelas bawah yang cuma jadi pelengkap, kurang bijak dan bermasalah. Dari segi logik akal, kenyataan ini sudah tentulah salah 100%. Minat setiap manusia kan berbeza-beza.

Tapi ini pandangan orang lama-lama. Rasa-rasanya mungkin tiada lagi persepsi negatif seperti ini sekarang. Pada zaman dunia tanpa sempadan ini, mestilah pemikiran juga sudah menjangkau jauh. Lagi pula, manakan lengkap dunia ini kalau hanya ada ‘orang sains’ sahaja kan.

Dahulu pernah seorang kawan memberitahu saya, kalau ada sekuntum bunga, dan bunga itu kita berikan kepada ‘orang sains’, dia akan mengkaji setiap bahagian bunga itu, sampai ke akarnya. Jika bunga itu kita berikan kepada ‘orang sastera’, dia akan bercerita segala-galanya berkenaan bunga itu, sampai ke setiap sifatnya yang tidak kelihatan.

Saya, mahu jadi kedua-duanya. Mahu jadi orang sains dan sastera. Mahu jadi orang yang bercerita berdasarkan apa yang saya kaji. Mudah-mudahan cita-cita yang tingginya melebihi langit ini akan berjaya saya gapai. (“,)